You are on page 1of 2

Bahasa Melayu

Peribahasa – Melentur buluh biarlah dari rebungnya

Peribahasa merupakan warisan bangsa yang masih dipelihara hingga kini. Warisan itu
antaranya melentur buluh biarlah dari rebungnya bermaksud mengajar atau mendidik
seseorang dilakukan ketika ia masih kecil. Peribahasa yang lain sama maksud denganya ialah “
tatkala lagi rebung tiada dipatah kalau sudah menjadi aura apa gunanya ”. Maksudnya ajarlah
seseorang itu ketika belum mencapai usia dewasa. Kedua-dua peribahasa tersebut
menggambarkan bahawa pemupukan sikap atau perlakuan hendaklah dilakukan semasa
seseorang itu masih berada dalam alam kanak-kanak.

Amalan pemupukan sikap yang baik itu jika dilakukan sesudah seseorang itu meniti usia
remaja sudah tentu kurang berkesan kerana ia sudah terbawa-bawa dengan kebiasaan yang
dilakukannya selam ini. Salah satu contoh berhubung dengan amalan pemupukan sikap murni
sejak kecil ialah amalan menabung. Oleh sebab itu, ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya
untuk menjanakan amalan tersebut dalam kalangan anak mereka. Langkah ini amat wajar
dipraktikkan kerana wang yang ditabungkan sedikit demi sedikit itu lama kelamaan mennjadi
banyak. Jika seseorang itu mula menabung ketika sudah menjejak usia dewasa tidak mungkin ia
akan menyimpan wang yang banyak. Dengan itu, jelaslah jika hendak dilakukan sesuatu perkara
itu mesti dilakukan sejak awal. Bagi anak-anak pula, selain dapat mengelakkan diri daripada
sikap boros, hasil tabungan itu dapat digunakan untuk pelbagai keperluan termasuk biaya
pendidikan dan mereka dapat mengelakkan diri daripada berhutang.

Sekiranya kita perhatikan perkara lain, sebagai contoh saban hari gejala social menular
secara meluas dalam kalangan remaja. Oleh sebab itu, langkah yang paling efektif untuk
menangani penyakit social ini bergantung kepada peranan dan tanggungjawab yang harus
dilaksanakan oleh ibu-bapa. Dalam kehidupan harian, ibu-bapa memikul amanah demi
membentuk keperibadian yang mulia dalam kalangan anak-anak sejak mereka di dalam buaian
lagi. Antaranya ibu bapa perlu memberikan pendidikan agama dan moral yang sempurna
kepada anak-anak. Dengan itu, nilai-nilai murni dapat ditanam di dalam jiwa remaja sejak awal
lagi. Sebaliknya jika rebung sudah menjadi buluh yang keras maka amatlah susah bagi ibu bapa
untuk membetulkan kesilapan yang dilakukan oleh anak-anak. Peribahasa ini dengan jelas
member ingatan kepada kita agar dapat membina jiwa murni dalam kalangan generasi muda
ketika mereka masih berada di alam kanak-kanak.
Selain itu, maksud peribahasa ini dapat dikaitkan dengan pemupukan amalan membaca
dalam kalangan rakyat Malaysia. Kita harus maklum bahawa membaca bukan sahaja berupaya
menambahkan ilmu pengetahuan malahan dapat mematangkan pemikiran. Oleh sebab
pembacaan memberikan faedah yang banyak kepada seseorang maka amalan ini harus disemai
sejak seseorang itu masih kecil. Menerusi pembacaan seseorang itu akan menjadi insane yang
berkebolehan dan mendalam pengetahuannya tentang sesuatu bidang ilmu. Dengan itu,
mereka tidak mudah diperbodoh atau diperalat oleh orang lain kerana mereka dapat berfikir
secara rasional.

Disamping itu, kesedaran tentang penjagaan alam sekitar dapat disemai dalam jiwa
seseorang itu sejak mereka di bangku sekolah lagi. Pelbagai langkah dapat dijalankan untuk
mencambahkan kesedaran berhubung dengan penjagaan alam sekitar. Pendidikan alam sekitar
perlu disuburkan sepanjang masa didalam jiwa kanak-kanak melalui ceramah, pertandingan
menulis esei,melukis poster dan sebagainya. Jika kesedaran tentang penjagaan kebersihan
dapat dipupuk sejak zaman kanak-kanak maka Negara kita tidak akan berhadapan dengan
masalah pencemaran yang serius seperti yang berlaku pada hari ini. Hal yang positif akan wujud
kerana rakyat mempunyai kesedaran tentang kesan negatif yang berpunca daripada
pencemaran.

Maksud peribahasa yang dibincangkan ini boleh dikaitkan dengan penerapan nilai-nilai
agama juga. Tambahan pula, setiap orang mengakui bahawa pendidikan agama sangat penting
dalam kehidupan. Pegangan yang teguh pada ajaran agama dapat dijadikan perisai untuk
menghalang seseorang terjerumus ke dalam kancah maksiat. Oleh sebab itu, pendidikan agama
wajib disemai di dalam jiwa setiap insan sejak mereka mula mengenal kehidupan. Menerusi
pendidikan agama kita dapat melahirkan manusia yang beriman, bermoral, bertakwa dan tinggi
sahsiahnya. Sehubungan dengan itu, ibu-bapa berperanan penting memberikan pendidikan
agama kepada anak-anak sejak anak itu berada di dalam buaian sebelum tanggungjawab itu
beralih sebahagiannya kepada guru-guru di sekolah.

Berdasarkan perbincangan di atas, jelaslah bahawa peribahasa tersebut mempunyai


tujuan yang murni untuk mendidik dan mengingatkan kita tentan pelaksanaan amalan
pendidikan. Seseorang itu hendaklah dididik tentang sesuatu perkara sejak individu berkenaan
masih kecil lagi. Menerusi amalan pendidikan yang berpandukan saranan peribahasa ini, kita
dapat mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan Negara yang maju. Sehubungan dengan
manfaat daripadanya maka wajrlah peribahasa ini dijadikan pedoman dan panduan hidup dari
generasi ke generasi .

You might also like