You are on page 1of 2

Budaya kerja Islam menggalakkan kesatuan

ABU BAKAR YANG


Institut Kefahaman Islam Malaysia

1 Januari 2004

RUANG lingkup ibadat dalam Islam amat luas dan merangkumi setiap kegiatan
kehidupan manusia. Setiap aktiviti yang dilakukan baik berkaitan individu mahu pun
masyarakat ialah ibadat menurut Islam selagi ia memenuhi syarat-syarat tertentu.
Antara syarat itu ialah amalan yang dikerjakan hendaklah diakui Islam, bersesuaian
dan tidak bercanggah dengan hukum syarak kerana amalan ada hubungan dengan
perkara haram atau maksiat, tidak sesekali dianggap sebagai ibadat.

Amalan yang dilakukan mempunyai niat baik bertujuan memelihara kehormatan


diri, menyenangkan keluarganya, memberi manfaat kepada umat seluruhnya dan
bagi memakmurkan bumi sebagaimana yang dianjurkan Allah.

Amalan berkenaan mestilah dibuat dengan seelok-eloknya bagi menepati apa yang
ditetapkan oleh Rasulullah dalam sebuah hadis diriwayatkan Al-Baihaqi yang
bermaksud: “Bahawa Allah suka apabila seseorang daripada kamu membuat
sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya”.

Ketika membuat amalan, hendaklah sentiasa menurut hukum syarak dan ketentuan
batasnya seperti tidak menzalimi orang lain, khianat, menipu, menindas atau
merampas hak orang.

Setiap pekerjaan yang dilakukan tidak sekali melalaikan ibadat khusus seperti solat,
zakat dan sebagainya dalam melaksanakan ibadat umum yang lain seperti yang
diingatkan dalam surah Al-Munafiqun, ayat 9 yang bermaksud: “Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah harta-harta dan anak-anak kamu melalaikan kamu
daripada mengingati Allah, barang siapa berbuat demikian, maka mereka
sebenarnya orang-orang yang rugi”.

Oleh itu, apabila seorang mukmin dapat menyempurnakan kelima-lima syarat


berkenaan dalam mengendalikan segala pekerjaan dan urusan kehidupannya, maka
dia akan dikira sentiasa beribadat kepada Allah meskipun tidak duduk di dalam
masjid ketika melakukan kerja itu.

Secara umumnya, budaya kerja membicarakan mengenai aliran pemikiran,


perasaan dan cara sesebuah masyarakat menjalankan kerja. Budaya kerja yang
menepati falsafah dan nilai etika Islam akan melahirkan ciri masyarakat tersusun.

Oleh kerana pekerjaan adalah tuntutan agama dan ibadat, maka organisasi dan
pekerja Muslim sewajarnya sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti prestasi
pekerjaannya.

Budaya kerja Islam juga membina kekuatan melalui mekanisme dalaman iaitu
menjadikan usaha dan menjalankan pekerjaan sebagai satu tuntutan agama kerana
keimanan serta prestasi pekerjaan mempunyai hubungan yang rapat.
Bagi seorang pekerja Muslim yang ingin menghayati Islam, ia seharusnya turut
berusaha meningkatkan prestasi kerjaya dari masa ke semasa dan menjadikan
mekanisme dalaman sebagai dorongan serta motivasi.

Bagaimanapun, mengikut realiti semasa, kebanyakan pekerja tidak memahami


Islam secara menyeluruh dan melihat amalan bekerja sebagai sesuatu yang
terpisah daripada agama.

Pekerja juga perlu menepati semangat tauhid yang menganjurkan supaya faktor
yang terdapat dalam diri manusia disatukan.

Ini bererti setiap pekerja Muslim perlu menjaga dan mempertingkatkan akhlak
dirinya dalam menjalankan amanah pekerjaannya.

Peningkatan prestasi kerja seharusnya disusuli peningkatan akhlak pekerja kerana


Islam melihat tuntutan akhlak sebagai sesuatu yang bersifat positif dan dinamik
yang menggerakkan pekerjaan daripada semua dimensi.

Budaya kerja Islam memberi penekanan tinggi terhadap disiplin melalui


penghayatan kerja bagi mengelak pekerja menghadapi krisis kemanusiaan
disebabkan tiada amalan disiplin.

Budaya kerja Islam juga menganjurkan kesatuan dalam matlamat dan penghayatan
syura dalam masyarakat bagi memastikan keberkesanan menjalani pekerjaan
tercapai melalui semangat bekerja secara muafakat.

Kesimpulannya, budaya kerja dalam Islam yang berasaskan tauhid dan nilai
kemanusiaan mempunyai kaitan rapat dengan semangat pengabdian manusia
sepenuhnya kepada Allah.

Islam berkeyakinan semua urusan manusia dalam menjalankan tugas atau


pekerjaan akan membawa hasil yang cemerlang jika menepati nilai kemanusiaan.

Penyusunan atau teknik menjalankan tugas perlu bersesuaian mengikut perubahan


masa dan ia boleh dipelajari daripada bangsa yang maju kemudian diubah
mengikut kaedah tempatan.

Penghayatan nilai murni dan etika kerja dalam perkhidmatan atau pekerjaan adalah
pendekatan yang dinamik dan akan terus relevan dengan usaha manusia.

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)(234432-H)


2, Langgak Tunku Off Jalan Duta
50480 Kuala Lumpur
Tel : 03-62046200/0889
Fax : 03-62014189

You might also like