You are on page 1of 3

PUASA SI MISKIN

Sekadar renungan.... .......buat peringatan buat diriku yang sering

terlepas pandang. Aku telah menemui sebuah rumah yang usang. Rumah

itu hanya berdindingkan buluh bertanggakan batang kelapa. Di serambi

rumah itu ada beberapa anak kecil yang kelihatan lesu dan letih. Aku

hampiri mereka lalu bertanya kepada yang paling tua antara mereka, seorang

kakak yang berumur baru kira-kira 11 tahun:

"Mana emak? "

"Mak pergi menoreh," jawabnya.

"Mana bapak?"

"Bapak pergi kerja..."

"Habis tu adik yang kecil ini siapa yang jaga?" Di situ ada seorang

bayi dalam lingkungan umur 5 bulan.

"Adik ini sayalah yang jaga." Jawab budak berkenaan.

"Awak ada berapa orang adik-beradik? "

"Sepuluh."

"Adik ni yang ke berapa?"

"Saya yang kelapan."

"Mana abang-abang kamu pergi?"

"Tolong emak menoreh."

"Adik puasa hari ini?"

"Sama je pakcik, puasa ke tidak.. Kami ni makan sekali je sehari..."

Jawabnya.

Mendengar kata-kata itu aku sungguh terharu.

Lalu aku bertanya lagi "Adik bersekolah dimana?"


"Saya tak sekolah.. Emak bapak tak mampu..".

"Bapak kerja apa?"

"Tangkap ikan kat sungai nak buat lauk bukak puasa ".

Budak itu memberi tahu, lebih baiklah bulan puasa berbanding bulan

lain kerana pada bulan puasa mereka dapat makan kuih. Ada saja orang yang

hantar. Aku berlalu dari situ dengan seribu-satu keinsafan. Kebetulan

di simpang jalan ada orang menjual daging lembu tempatan. Aku beli satu

kilo tulang lembu. Di kedai runcit pula, aku beli rempah sup dan

sepuluh kilo beras untuk disedekahkan kepada keluarga itu. Bila saja aku beri

barang-barang itu pada adiknya, dia melompat kegembiraan sambil

menjerit

"Yeh yeh..! Kita dapat makan daging malam ni..!". Aku bertanya kepada

si kakak mengapa adiknya girang sangat. Dia memberitahu aku, sejak dari

raya korban tahun lepas baru sekarang mereka berpeluang makan daging lembu

sekali lagi. Seminggu kemudian aku datang lagi ke rumah itu. Bila

mereka melihat aku datang, mereka girang menyambutku di pintu rumah.

Kebetulan pada hari itu aku sempat berjumpa dengan ibu mereka. Sungguh

menyedihkan cerita yang aku dengar: Anak yang berumur 4 tahun itu memberitahu

padaku bahawa mereka sudah seminggu makan sup tulang yang aku berikan hari

itu.

"Tiap-tiap hari mak buat sup, sedaplah Pakcik.."

Aku bertanya kepada emaknya macam mana dia lakukan hinggakan sup itu

boleh tahan sampai satu minggu? Dia memberitahu padaku bahawa pada

hari pertama dia merebus tulang itu,dia telah berpesan kepada anak-anaknya

agar tidak membuangkan tulang yang telah dimakan. Dia kutip semula

semua tulang-tulang itu dan merebusnya semula untuk dimakan pada hari

berikutnya. Itulah yang dia lakukan setiap hari. Dia berkata


"Kalau tidak dapat makan isi, hirup air rebusan tulang pun dah lebih

dari cukup untuk anak-anak saya. Dia orang suka sangat."

Aku bertanya lagi "Upah menoreh berapa makcik dapat?"

"Cuma RM3.00 sehari."

"Ayahnya bekerja macam mana"

"Kalau dia dapat ikan itulah yang dibuat lauk setiap hari."

Rupa-rupanya aku terlupa bahawa aku sebenarnya hidup dalam keadaan

mewah..

Pernahkah anda menghirup air rebusan tulang yang direbus semula

sepanjang hidup anda? Atau adakah anda buang saja tulang itu beserta

daging-daging yang ada padanya kerana anda kata ianya "TAK SEDAP"?

Mungkin kita sudah terbiasa hidup senang hinggakan kita lupa bahawa kalau pun

kita susah, masih ramai lagi orang yang lebih susah dari kita.

You might also like