You are on page 1of 24

Takrif solat:

Solat dari segi bahasa ertinya doa. Dari segi syarak pula ia bermaksud beberapa
perkataan dan perbuatan yang didahului dengan takbir dan diakhiri dengan salam,
mengikut syarat-syarat yang tertentu. Firman Allah swt:

"Dan dirikanlah olehmu solat, kerana sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari
(perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar" (Al Ankabut : 45)
Solat fardhu yang wajib didirikan ialah solat lima waktu sehari semalam, iaitu subuh,
zuhur, asar, maghrib dan isya'.
Syarat wajib solat:
1. Islam
2. Baligh
3. Berakal

Syarat sah solat:


1. Suci badan dari dua hadas.
2. Suci dari najis sama ada di badannya, di tempat solatnya, dan di pakaiannya.
3. Menutup aurat.
4. Menghadap qiblat (kecuali yang uzur dan tidak terdaya)
5. Yakin masuk waktu solat.
(nota: sekiranya sesudah tamat solat, lalu disedari perkara yang tersebut di atas
terjadi - misalnya didapati ada najis di sejadah - maka perlulah diulangi solat itu
kerana ianya tidak menepati syarat sah solat)

Perkara-perkara yang membatalkan solat:


1. Keluar/kedatangan hadas.
2. Berkata-kata dengan sengaja walau sedikit, atau tertawa.
3. Makan/minum walau sedikit.
4. Melakukan gerakan di luar gerakan solat tiga kali berturut-turut (mutawaliyat).
5. Berniat keluar dari solat (mufaraqah).
6. Terkena najis yang tidak dimaafkan.
7. Beralih arah dari qiblat dengan sengaja.
8. Terbuka aurat dengan sengaja, atau tidak sengaja tetapi tidak segera ditutup.
9. Berubah niat dari satu solat ke solat yang lain.
10. Meninggalkan rukun solat.

Waktu-waktu Solat Fardhu:


Waktu-waktu yang telah ditetapkan untuk menunaikan solat ialah seperti berikut:
1. Solat Subuh - bermula daripada fajar menyinsing hinggalah terbit matahari. Masa
yang diperuntukkan kira-kira 2 jam.
2. Solat Zuhur - bermula selepas matahari mulai condong daripada puncaknya
sehingga bayang melebihi separuh panjangnya.
3. Solat Asar - bermula selepas berakhirnya waktu solat Zuhur sehinggalah matahari
terbenam.
4. Solat Maghrib - bermula selepas matahari terbenam sehingga hilang mega merah
di ufuk barat.
5. Solat Isya' - bermula selepas mega merah di ufuk timur hilang dan berterusan
sehingga terbit fajar pada hari keesokannya.
Perbuatan sunat sebelum solat:
1. Azan - ertinya memberitahu, dan pada syarak adalah perkataan tertentu untuk
memaklumkan kepada orang ramai tentang masuknya waktu solat fardu.
2. Iqamah.
3. Bersugi - ertinya membersihkan mulut dan gigi dengan alatan bersugi.

Waktu-waktu yang dimakruhkan solat tanpa sebab:


1. Selepas solat subuh sehingga naik matahari.
2. Ketika naik matahari sehingga sekadar segalah.
3. Ketika matahari di tengah-tengah langit.
4. Selepas solat asar sehingga masuk matahari atau matahari terbenam.
5. Ketika masuk matahari.
[kembali ke atas]

Rukun Solat
Rukun solat ada 13:
1. Niat.
2. Takbiratul-Ihram (Allahu-Akhbar yang pertama).
3. Berdiri bagi yang mampu.
4. Membaca surah Al-fatihah.
5. Rukuk dengan tama'ninah (tama'ninah: tenang dan tertib, tidak terburu-buru).
6. Iktidal dengan tama'ninah.
7. Sujud dua kali, dengan tama'ninah.
8. Duduk di antara dua sujud, dengan tama'ninah.
9. Tasyahhud/Tahiyyat Akhir dengan membaca bacaan Tasyahhud.
10. Duduk dalam Tasyahhud akhir.
11. Selawat kepada Nabi Muhammad saw dalam Tasyahhud Akhir.
12. Membaca salam
13. Tertib.
Huraian rukun solat:

1. Niat: niat dilafazkan di dalam hati. Lafaz yang disebut oleh mulut itu tidaklah
dipanggil sebagai niat. Niat solat berlaku semasa seseorang mengangkat takbiratul-
ihram iaitu tatkala ia mengata Allahu-Akbar. Umpamanya, untuk solat Zuhur, maka
seseorang itu akan bertakbiratul-ihram dan lalu hatinya berkata:

Sahaja aku solat Fardhu Zuhur, empat rakaat, tunai, kerana Allah Taala

Nota: tidak semua perkara dalam niat seperti contoh di atas adalah perkara-perkara
yang dituntut dalam perbuatan niat. Perkara yang dituntut dalam niat ada 3, iaitu
Qasad ("Sahaja aku solat"), Ta'arrudh (Fardhu) dan Ta'yin (Zuhur, sebagainya).

Oleh itu, niat "Sahaja aku solat Fardhu Zuhur" sudah mencukupi syarat sebagai niat.

Niat "Empat Rakaat", "Tunai" atau "Kerana Allah Ta'ala" adalah tidak disyaratkan,
bahkan hanya sunat hukumnya. Namun begitu adalah lebih baik untuk
menghadirkan kesemuanya di dalam hati.
Adapun niat menjadi imam ("Imaman") atau makmum ("Makmuman/Makmumatan")
ketika takbiratul-ihram hanyalah disyaratkan pada sembahyang Jumaat sahaja,
tetapi pada sembahyang lain tidaklah disyaratkan dan hanya sunat hukumnya.

Jika tidak diniatkan menjadi imam atau makmum ketika takbiratul-ihram untuk
sembahyang Jumaat, maka tidaklah sah sembahyang Jumaat seseorang itu.

Jika seseorang makmum tidak berniat menjadi makmum ketika takbiratul-ihram


dalam sembahyang (selain daripada fardhu Jumaat), dia masih lagi dibolehkan
berniat mengikut imam pada mana-mana rukun sembahyang, contohnya ketika
rukuk. Namun begitu, adalah makruh hukumnya jika seseorang itu berterusan
dengan sengaja mengikuti imam dengan tanpa berniat menjadi makmum.

Imam yang tidak berniat menjadi imam ketika takbiratul-ihram, atau ketika mana-
mana rukun yang lain, tidaklah terbatal sembahyangnya ataupun sembahyang
makmumnya.

Bagi sembahyang Qasar (memendekkan solat fardhu yang empat rakaat menjadi
dua rakaat), perkara-perkara yang manjadi tuntutan ketika takbiratul-ihram selain
Qasad, Ta'arrudh dan Ta'yin ialah niat Qasar. Maka bagi seseorang yang hendak
solat Qasar perlulah berniat sekurang-kurangnya: "Sahaja aku sembahyang Fardhu
Zuhur Qasar."

Bagi sembahyang sunat yang mempunyai waktu dan sembahyang sunat yang
mempunyai sebab, maka wajiblah disertakan di dalam niat hanya dua perkara, iaitu
Qasad ("Sahaja aku sembahyang") dan Ta'yin (sunat Hari Raya Adha, sunat gerhana
bulan, dan sebagainya).

Dituntut juga dalam perkara niat ini ialah menentukan qabliyah (sebelum) dan
ba'diyah (selepas) dalam sembahyang sunat Rawatib. Ini tertentu kepada
sembahyang sunat Zuhur, Maghrib dan Isya' sahaja, seperti dinyatakan dalam niat:
"Sahaja aku solat Sunat Zuhur qabliyah/ba'diyah" atau "Sahaja aku solat Sunat
Sebelum/Selepas Zuhur."

Adapun sembahyang sunat Subuh dan Asar tidaklah disyaratkan niat qabliyah,
kerana kedua-dua sembahyang tersebut hanya ada qabliyah sahaja dan tiada
ba'diyah (iaitu tidak ada solat sunat Rawatib selepas Subuh dan Asar).

Bagi sembahyang sunat mutlak pula wajib disertakan di dalam niat semasa
takbiratul-ihram satu perkara sahaja iaitu Qasad. Umpamanya seseorang hanya
perlu berniat: "Sahaja aku sembahyang".

2. Takbiratul-Ihram, iaitu mengucapkan Allahu-Akbar untuk memulakan solat.


Perkataan Allahu-Akbar itu tidak boleh ditukar dengan lafaz lain.

Sebutan kalimah Allahu-Akbar itu diwajarkan agar tidak melebihi daripada empat
belas harakat (tujuh alif), dan pergerakan tangannya tidak melebihi tiga kali
pergerakan, kerana semua ini akan menjejaskan kesahihan dan kesempurnaan solat.

Nota: sebutan Allahu-Akbar yang teramat panjang ketika niat, dan pergerakan
tangan yang berkali-kali, adalah disebabkan oleh was-was atau berterusan tidak
kepastian sama ada apa yang dilakukanya itu telah sempurna atau belum. Was-was
adalah berpunca dari bisikan syaitan, dan seseorang yang ditimpa was-was ini
perlulah banyak berzikir, sebaiknya zikir "Laa-Ilaha-Illallah."
3. Berdiri bagi orang yang berkuasa. Sekiranya seseorang itu berdiri tetapi condong
ke hadapan, ke belakang, ke kanan atau ke kiri hingga tidak dapat dinamakan
sebagai berdiri maka hukum solat itu tidak sah. Sekiranya tidak mampu berdiri maka
bolehlah dilakukan solat secara duduk, baring mengiring, menelentang atau secara
mana yang termampu. Untuk solat sunat dibolehkan sembahyang secara duduk,
namun tidak digalakkan.

4. Membaca al-Fatihah: pada tiap-tiap rakaat dengan memelihara segala makhraj


dan tajwid fatihah. Mazhab Syafi'e mewajibkan rukun al-Fatihah untuk makmum
dalam solat berjemaah.

5. Rukuk, berserta tama'ninah. Sekurang-kurangnya rukuk ialah membongkokkan


belakangnya sampai dua tangan di atas dua kepala lutut, disertai dengan tama'ninah
iaitu berhenti sebentar sekadar lama bacaan Subhanallah, dan anggota-anggota
berat kemudian berhenti. Doa tasbih ketika rukuk ialah:

"Maha suci Allah yang Maha Agung dengan sifat kepujian-Nya."


6. Iktidal: Ertinya berdiri tegak semula selepas rukuk, berserta tama'ninah. Doa
tasbih ketika iktidal ialah:

"Allah mendengar akan orang yang memuji-Nya."


Kemudian disambung pula dengan bacaan:

"Ya Tuhan kami! Bagi-Mu segala puji."

7. Sujud ialah meletakkan dahi di atas tempat sujud, dan dahi itu mestilah tidak
berlapik dengan sesuatu. Sekiranya terpaksa seperti dahi dibalut kerana luka dan
sebagainya, maka tidaklah wajib dibuka. Dahi yang berlapik dengan songkok dengan
sengaja tanpa sebab adalah tidak sah solatnya. Anggota sujud ada 7:
      1. Dahi
      2. Dua tapak tangan
      3. Dua lutut
      4. Dua perut jari kaki
Doa ketika sujud ialah:

"Maha suci Allah yang Maha Mulia dengan sifat kepujian-Nya"


8. Duduk di antara dua sujud berserta tama'ninah. Mengangkat kepala dan badan
untuk duduk di antara dua sujud ini mestilah mengandungi tujuan. Oleh itu,
sekiranya seseorang itu mengangkat dari sujud kerana tujuan lain, umpamanya
mengelakkan daripada binatang, maka hendaklah ia kembali sujud semula. Duduk
antara dua sujud merupakan rukun pendek maka tidak wajar dilama-lamakan. Doa
tasbih ketika sujud ialah:
"Ya Allah ampunilah daku, rahmatilah daku, kayakan daku, angkatlah darjatku,
rezekikanlah aku, berilah aku hidayah, sihatkanlah aku dan maafkanlah aku."
9. Tahiyyat/Tasyahud akhir. Membaca tahiyyat akhir juga hendaklah dipelihara
segala bacaan di dalamnya. Bacaan tahiyyat akhir adalah seperti berikut:

"Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera
atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas
kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan
melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh
Allah.
Kurniakanlah rahmat dan kesejahteraan Kepada junjungan mulia Muhammad saw
dan ke atas ahli keluarga baginda yang mulia, sebagaimana rahmat dan
kesejahteraan yang telah Engkau kurniakan kepada Ibrahim dan ahli keluarga
Ibrahim. Dan limpahkanlah berkatMu kepada Muhammad dan ahli keluarga
Muhammad seperti mana berkatMu kepada Ibrahim dan ahli keluarga Ibrahim.
Sesungguhnya Engkau yang amat terpuji lagi amat mulia."
nota: ungkapan "sayyidina" di dalam contoh di atas hanyalah sunat hukumnya dan
tidak mengapa jika ditinggalkan.
10. Duduk ketika tahiyyat akhir.

11. Selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. sekurang-kurangnya; "Allahumma-solli


'ala Muhammad."

12. Salam pertama: Sekurang-kurang salam ialah "Assalamu'alaikum" bermaksud


"salam sejahtera ke atas kamu."

13. Tertib. Tertib ditakrifkan sebagai mendahulukan yang dahulu dan


mengkemudiankan yang kemudian. Solat yang tertinggal ketertiban rukun-rukunnya
dikira tidak sah.
[kembali ke atas]

Sunat Hai'ah & Ab'adh


Perkara-perkara sunat semasa solat ada dua:
1. Sunat Hai'ah
2. Sunat Ab'adh
Sunat Hai'ah ada 15 perkara:
1. Mengangkat tangan ketika Takbiratul-Ihram, ketika rukuk, ketika iktidal dan
ketika bangun pada rakaat kedua. (nota: bangun dari rakaat pertama dan ketiga
tidak diperlukan mengangkat tangan)
2. Meletakkan perut tangan kanan di atas tangan kiri dan memegangnya dan
meletakkannya di bawah dada atau di atas pusat.
3. Membaca doa tawujud/iftitah. Doa iftitah ialah:

"Allah Maha Besar sebesar-besarnya. Dan puji-pujian bagi Allah sebanyak-


banyaknya. Dan Maha Suci Allah siang dan malam. Kuhadapkan mukaku, kepada
yang menjadikan langit dan bumi, aku cenderung lagi berserah kepada Allah, dan
bukanlah aku dari golongan orang-orang yang menyekutukan Allah. Sesungguhnya
sembahyangku, ibadatku, hidupku, dan matiku kuserahkan hanya kepada Allah seru
sekalian alam. Sekali-kali tidaklah aku menyekutukan-Nya. Dan dengan demikian
aku ditugaskan, dan aku adalah dari golongan orang-orang Islam."

4. Membaca A'uzubillah
5. Membaca Al-fatihah dan surah dengan suara yang kuat (jahar) pada masa-masa
yang ditentukan.
6. Membaca amin selepas fatihah
7. Membaca surah al-Quran di rakaat pertama dan kedua selepas bacaan al-Fatihah
8. Membaca tasbih ketika rukuk
9. Membaca tasbih ketika iqtidal
10. Membaca tasbih ketika sujud
11. Membaca tasbih ketika bangkit dari rukuk
12. Meletakkan kedua tangan di atas peha dengan melepaskan jari kesemuanya
13. Duduk iftirasy pada semua duduk iaitu duduk di atas buku lali kaki kiri
14. Duduk Tawarruk iaitu duduk tahiyat akhir
15. Salam yang kedua
Sunat Ab'adh ada 7 perkara:
1. Tahiyyat awal. Doa tahiyyat awal ialah:
"Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera
atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas
kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan
melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh
Allah."

2. Selawat didalam Tahiyat awal


3. Duduk Tahiyat
4. Doa qunut waktu subuh dan pada solat witir. Doa qunut ialah:

"Ya Allah, tunjukkanlah aku sebagaimana orang yang telah Engkau tunjukkan.
Sejahterakanlah aku sebagaimana orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah
aku sebagaimana orang yang telah Engkau pimpinkan. Berkatlah hendaknya untuk
apa-apa yang telah Engkau berikan kepadaku. Jauhkan aku dari segala kejahatan
yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sajalah yang
menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain
daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperoleh pimpinanMu.
Dan tidak mulia orang yang Engkau musuhi, telah memberi berkat Engkau, oh
Tuhan, dan Maha Tinggi Engkau. Maka hanya untuk Engkau tetapkan. Aku minta
ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dirahmati Allah jugalah kiranya Muhammad,
Nabi yang buta-huruf, dan keluarganya dan sahabat-sahabatnya, dan diberiNya
kesejahteraan."

5. Selawat di dalam qunut


6. Berdiri semasa qunut
7. Membaca selawat ke atas keluarga Nabi pada Tahiyyat akhir.
Sekiranya tertinggal sunat Ab'adh, maka disunatkan ia sujud sahwi; manakala
tertinggal sunat hai'ah tidak diperlukan sujud sahwi.
[kembali ke atas]

Solat Berjemaah
Solat berjemaah bermaksud solat yang dilakukan lebih daripada seorang, atau
secara beramai-ramai, dengan diketuai seorang imam. Sabda Nabi SAW:
"Solat berjemaah itu lebih afdhal (baik) daripada solat bersendirian dengan 27 kali
darjat" (HR Bukhari dan Muslim)
Solat berjemaah terdiri daripada seorang imam dan sekurang-kurangnya seorang
makmum. Solat secara berjemaah sangat dituntut dalam Islam. Bagi Mazhab Syafie
hukumnya ialah fardu kifayah, manakala sesetengah pendapat mengatakan solat
berjemaah hukumnya sunat mua'akad atau sunat yang sangat dituntut dalam Islam.
Antara solat yang biasa ditunaikan secara berjemaah ialah solat fardu lima waktu,
solat hari raya, solat sunat tarawih dan solat sunat witir. Tetapi bagi sembahyang
Jumaat, ia wajib dikerjakan secara berjemaah.

Syarat-syarat sah solat berjemaah:


1. Berniat mengikut/menjadi imam (untuk solat Jumaat sahaja, dan tidak diwajibkan
bagi solat-solat yang lain).
2. Mengetahui segala apa yang dikerjakan oleh imam.
3. Tiada dinding yang menghalangi antara imam dan makmum, kecuali bagi
makmum perempuan di masjid hendaklah dibataskan dengan kain.
4. Tidak mendahului imam dalam takbir dan tidak pula melambatkannya.
5. Tidaj mendahului imam dalam rukun-rukun sembahyang.
6. Kedudukan imam ialah di hadapan makmum, sekurang-kurangnya di takat tumit.
Makmum tidak boleh berada di hadapan atau sebaris dengan imam.
7. Solat makmum harus sama dengan solat imam, misalnya sama-sama solat Zuhur,
Jumaat, qasar, jamak dan sebagainya.
8. Makmum lelaki tidak mengikut imam perempuan.

Semasa berniat, seseorang itu disunatkan menambah perkataan makmuman


(makmum lelaki), makmumatan (makmum perempuan), imaman (imam lelaki) atau
imamatan (imam perempuan) selepas menyebut solat yang ingin dilakukan. Solat
seseorang itu tetap sah walaupun tidak berniat menjadi imam/makmum, melainkan
ketika solat Jumaat.

Antara syarat untuk menjadi imam:


* Bacaannya lebih baik daripada bacaan makmum.
* Seseorang itu bukan sedang mengikut atau menjadi makmum kepada imam lain.
* Imam itu sudah mumaiyiz.

Terdapat sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Imam ialah yang menanggung
pembacaan, apabila baik pembacaannya maka pahala untuk dirinya dan untuk
mereka (makmum) dan jika rosak pembacaannya maka dosanya ialah di atas dirinya
sendiri, dan bukannya atas mereka (makmum).”

Dalam solat berjemaah bersama satu makmum, maka makmum itu kedudukannya di
sisi kanan imam, asalkan tidak terkehadapan ataupun sebaris dengan imam.
Sekiranya hanya ada satu makmum dalam solat berjemaah, dan makmum pertama
sedang berdiri di tepi kanan imam, lalu disertai pula seorang lagi makmum, maka
imam disyaratkan maju ke hadapan atau makmum yang pertama berundur belakang
(tidak melebihi tiga langkah) ke saf bersama makmum kedua.
[kembali ke atas]

Masbuq
Masbuq ialah apabila makmum ketinggalan dalam solat berjemaah.
Contoh: apabila seseorang makmum memasuki solat jemaah, lalu ia takbiratul-ihram
dan mendapati imam sedang rukuk, maka perlu makmum mengikuti rukuk imam itu
dengan tanpa wajib menyelesaikan rukun fatihah.
Sabda Rasulullah saw: "Apabila seseorang diantara kamu datang (untuk) solat
sewaktu kami sujud, hendaklah ikut sujud dan janganlah kamu hitung itu satu rakat.
Barangsiapa yang mendapati rukuk bersama imam, maka ia telah mendapat satu
rakaat."(H.R. Abu Daud).
Dari hadis di atas, maka difahamilah bahawa orang yang mendapatkan rukuk
dianggap telah mendapatkan satu rakaat, biarpun tanpa sempat menyempurnakan
rukun fatihahnya.

Sekiranya makmum sempat mengikuti rukuk imam dengan sempurna (sekadar


dapat menyentuh lutut) sebelum imam bangun untuk iktidal, dikira makmum sudah
mendapat rakaat ("muwafiq"). Jika makmum tidak sempat menyempurnakan rukuk,
atau makmum memasuki solat sesudah imam rukuk (iaitu semasa sujud, atau duduk
tahiyyat dan sebagainya) maka tidaklah dikira ia mendapat rakaat itu ("masbuq").

Sekiranya makmum hanya sempat masbuq di tahiyyat akhir, tidaklah ia perlu


membaca doa dalam tahiyyat akhir kerana doa tahiyyat itu disunatkan hanya untuk
orang yang bertasyahhud akhir. Makmum yang masbuq itu juga diperbolehkan
duduk iftirasy seperti di dalam rakaat kedua.

Setelah solat berakhir dan imam memberi salam, maka makmum itu perlulah
bangun dan menyelesaikan solatnya dengan menambah rakaat yang tertinggal.

Jika makmum sedang takbir lalu imam memberi salam, maka makmum ditegah
duduk kerana duduk itu mengikut imam, dan imam telahpun selesai solatnya. Jika
makmum itu duduk dengan sengaja dan tahu akan tegahannya maka batallah
sembahyang itu.

Dalam solat Subuh, makmum masbuq mestilah berqunut sekali lagi untuk dirinya di
rakaat keduanya meskipun ia telah berqunut bersama imam di awal sembahyang
tadi.

Dalam solat Jumaat pula, sekiranya makmum sempat mendapat rakaat kedua
dengan ia sempat rukuk bersama imam, maka dikira ia mendapat solat Jumaat itu
dan hanya perlu menyelesaikan jumlah dua rakaat sahaja. Tetapi sekiranya
makmum tidak sempat rukuk dalam rakaat terakhir solat Jumaat, maka ia dikira
solat Zuhur dan perlulah menyempurnakan jumlah empat rakaat.
[kembali ke atas]
MASBUQ DAN MUWAFIQ

MASBUQ

Masbuq ialah makmum yang ketinggalan (tidak sempat takbiratul ihram bersama imam)

dan tidak mendapat masa yang cukup untuk membaca Al-Fatihah bersama imam. Ini disebabkan

semasa ia masuk berjamaah, imam sedang rukuk atau hampir-hampir akan rukuk.

Orang yang berkeadaan begini sekiranya ia dapati imam sedang rukuk, maka hendaklah ia terus

bertakbir serta niat sekali dan setelah berdiri sebentar, (lamanya dalam kadar bacaan Subhanallah)
teruskan rukuk bersama imam.

Sekiranya dapat berhenti sejenak bersama imam semasa rukuk, maka itu adalah dikira satu rakaat
walaupun tidak membaca Al-Fatihah kerana orang yang masbuq Al-Fatihahnya ditanggung oleh

imam.

Sekiranya ia berkesempatan berdiri bersama imam dalam masa yang singkat, maka hendaklah ia
membaca Al-Fatihah sekadar mana yang dapat dan teruskan mengikut imam di dalam rukuk dengan
syarat dapat berhenti bersama di dalam rukuk itu.

Ringkasnya, dapatlah dikatakan bahawa orang yang masbuq itu ialah orang yang mempunyai

kesempatan yang sedikit untuk membaca Al-Fatihah ataupun tidak mempunyai peluang langsung

kerana imam sudah pun rukuk ketika kita sampai untuk mengikutinya.

Orang yang masbuq ini tidak wajib membaca Al-Fatihah melainkan kalau ia berkesempatan untuk
membacanya, maka hendaklah ia membacanya sekadar mana yang mungkin sehingga imam rukuk.

MUWAFIQ

Muwafiq ialah makmum yang dapat takbiratul ihram bersama imam dan mempunyai masa yang

cukup untuk membaca Al-Fatihah bersama imam dengan bacaan yang sederhana. Jika sekiranya ia
(muwafiq) masih belum selesai membaca Al-Fatihah sedangkan imam telah rukuk, maka hendaklah

ia menghabiskan Al-Fatihah itu sehinggalah imam selesai sujud dan bangun dari sujud yang kedua.

Sekiranya makmum masih tidak selesai juga sedangkan imam sudahpun bangun berdiri ataupun

duduk tahiyat akhir, maka hendaklah makmum itu memilih sama ada berpisah dengan niat

mufaraqah (berpisah) ataupun terus mengikut perbuatan imam dan rakaat itu tidak diambil kira.

Kalau tidak berbuat salah satu di antara kedua hal tersebut, maka batallah sembahyangnya.

Cara duduk dan bacaan tahiyat:

Makmum yang masbuq hendaklah duduk mengikut rakaat yang ia berada ketika itu. Sekiranya ia
berada pada rakaat yang kedua atau yang ketiga, maka hendaklah ia duduk iftirasy walaupun

imam duduk tawarruk.

Dan mengenai tahiyat pula, makmum yang masbuq bolehlah membaca sehingga akhir tahiyat

supaya ia tidak meluangkan masa. Ia boleh berbuat demikian walaupun ia tidak berada dalam tahiyat
akhir.

Istikhlaf
Istikhlaf bererti imam digantikan oleh salah seorang daripada makmumnya (lalu
menjadi imam) bagi menyempurnakan sembahyang mereka, disebabkan keuzuran
imam pertama itu.
Jika imam keluar daripada sembahyangnya disebabkan berhadas, atau biarpun
dengan tiada sebab, adalah diharuskan bagi salah seorang makmum
menggantikannya.

Disyaratkan bagi makmum yang menggantikan imam itu adalah pengganti


(khalifah/mustakhlif) yang sah menjadi imam kepada jemaah yang lain. Jika imam
itu diganti oleh makmum yang kurang fasih dalam bacaan fatihah (ummiyan), atau
orang bisu, atau orang yang tidak jelas bacaannya seperti mendengungkan pada
tempat yang tidak dengung serta mengubah bacaan, maka tidak sah sembahyang
makmum yang lain jika mengikutinya, kerana ia tidak sah menjadi imam.

Disyaratkan juga imam itu diganti oleh makmum yang berada di saf pertama betul-
betul di belakang imam. (nota sampingan: makmum saf pertama di belakang imam
adalah juga bertanggungjawab untuk menegur imam di kala kesilapan bacaan atau
perbuatan solat, dengan isyarat bacaan "Subhanallah.")

Imam yang keluar itu hendaklah keluar dengan tertib, sekurang-kurangnya beralih
ke kirinya jika tiada luang kosong untuk ia mundur. Kemudian makmum yang
mengganti imam itu hendaklah pula maju ke hadapan dengan tidak lebih dari dua
pergerakan langkah. Tempatnya yang kosong di saf hendaklah pula diisi oleh
makmum lain, sama ada di sebelah atau di belakang, juga dengan tidak lebih dari
dua pergerakan langkah.

Istikhlaf hendaklah dilakukan dengan serta-merta. Jika imam keluar daripada


jemaah sedangkan makmum telahpun lanjut melakukan satu rukun, maka ditegah
penggantiannya selepas itu. Juga ditegah penggantiannya jika makmum tersebut
diam terlalu lama dengan kadar berlalunya satu rukun, sama ada rukun fi‘li
(perbuatan) atau rukun qauli (percakapan). Sekiranya didapati tiada sesiapa yang
maju menggantikan imam, maka makmum diperbolehkan mufaraqah (berpisah) dari
berjemaah dan meneruskan solat bersendirian.
Tidak disyaratkan ke atas makmum dalam istikhlaf untuk berniat lagi untuk menjadi
makmum, kerana mustakhlif (pengganti) itu sudah dalam kedudukan imam yang
awal.

Cara Istikhlaf Dalam Sembahyang

Apabila seorang mustakhlif menggantikan imam dalam sembahyang yang sama atau
bilangan rakaat yang sama, maka sah penggantian tersebut di mana-mana rakaat
pun kerana mustakhlif itu mengikuti tertib imam sebelumnya dan tidak membawa
kepada percanggahan.

Adapun jika diganti oleh seorang yang di luar sembahyang (mustakhlif bukan
daripada kalangan makmum, dan terus masuk menjadi imam), maka menurut
pendapat Imam Nawawi dan jumhur ulama adalah diharuskan istikhlaf dengan
syarat mustakhlif tersebut menggantikan imam pada rakaat pertama, atau rakaat
ketiga (pada sembahyang yang empat rakaat) kerana tidak akan bercanggah dengan
tertib makmum yang mengikutinya.

Jika berlaku percanggahan dalam tertib, maka tidaklah diharuskan istikhlaf.


Contohnya ialah apabila seorang yang di luar sembahyang mengganti imam pada
rakaat kedua atau rakaat terakhir, dan dia (pengganti) itu akan bangun berdiri bagi
rakaatnya yang pertama sedangkan makmum yang lainnya duduk tahiyyat awal
(atau tahiyyat akhir) di rakaat mereka.

Jika makmum yang masbuq menggantikan imam yang keluar daripada jemaah
hendaklah dia menjaga tertib imam tersebut, sebagaimana perbuatannya jika imam
belum keluar daripada jemaah. Sebagai contoh, jika makmum yang masbuq pada
rakaat kedua dalam sembahyang subuh, kemudian imam itu berhadas lalu diganti
oleh makmum yang masbuq itu, maka makmum yang menggantikan itu hendaklah
menjaga tertib imam pertama dengan menyambung perbuatan sebagaimana yang
perlu dilakukan di dalam rakaat kedua dalam sembahyang subuh iaitu berqunut,
duduk dan bertasyahud biarpun pada asalnya dia baru melakukan satu rakaat.
Selepas itu baharulah mustakhlif yang masbuq itu bangkit semula (tanpa salam)
untuk menggenapkan solat dua rakaatnya, lalu berqunut lagi pada rakaat keduanya
itu bagi dirinya sendiri sahaja (doa qunut bersendirian dan bukan qunut berjemaah).
Para jemaah yang mengikuti mustakhlif yang masbuq tersebut ada dua pilihan pada
tahiyyat akhir tadi iaitu sama ada berniat mufaraqah (berpisah daripada imam) dan
terus memberi salam, ataupun duduk menunggu mustakhlif itu dan memberi salam
bersama-samanya.

Makmum-makmum masbuq yang bangkit semula untuk menyempurnakan


sembahyang mereka setelah sempurna solat berjemaah adalah diperbolehlah kepada
salah seorang daripada mereka yang masbuq itu untuk maju ke hadapan menjadi
imam dan makmum masbuq yang lain itu boleh mengikutinya. Istikhlaf sebegini
adalah diharuskan kecuali dalam sembahyang Jumaat kerana tidak harus mendirikan
lagi sembahyang Jumaat selepas selesai dikerjakannya.

Istikhlaf Dalam Sembahyang Jumaat

Apabila imam keluar selepas membaca dua khutbah dan sebelum mengangkat
takbiratul ihram bagi sembahyang Jumaat, adalah diharuskan menggantikannya jika
mustakhlif itu juga turut menghadiri khutbah. Jika ia tidak menghadiri khutbah maka
dia tidak diharuskan mengganti imam itu.
Jika imam keluar daripada sembahyang selepas mengangkat takbiratul ihram pada
rakaat pertama sembahyang Jumaat dan sebelum rukuk di rakaat kedua, adalah
harus dia diganti oleh mustakhlif yang bersama imam sebelum imam keluar daripada
jemaah itu, kerana mustakhlif itu dikira tergolong dalam ahli Jumaat. Jika ia tidak
bersama imam sebelum dia keluar daripada sembahyang, maka tidak diharuskan ia
mengimamkan sembahyang itu kerana dia tidak tergolong dalam ahli Jumaat.

Manakala jika imam itu keluar selepas rukuk dalam rakaat kedua sembahyang
Jumaat, imam tidak harus diganti oleh mustakhlif yang tidak bersama imam sebelum
dia keluar daripada jemaah. Akan tetapi jika mustakhlif itu bersama imam sebelum
imam keluar daripada jemaah tetapi dia tidak bersama imam sebelum rukuk pada
rakaat kedua (mustakhlif masbuq), maka difardhukan ke atas mustakhlif itu
sembahyang Zuhur.

Makmum yang bersembahyang Jumaat diharuskan pula mengikuti mustakhlif yang


difardhukan ke atasnya sembahyang Zuhur itu. Akan tetapi hendaklah mustakhlif itu
menjaga tertib imam yang awal. Manakala makmum yang mengikutinya ada dua
pilihan, antara memberi salam dengan niat mufaraqah atau makmum menunggu
mustakhlif dan memberi salam bersamanya. Cara ini adalah yang lebih afdhal
dilakukan.
[kembali ke atas]

Sujud Sahwi
Sahwi bermaksud lupa sesuatu. Pengertian dari segi syarak adalah terlupa sesuatu di
dalam solat. Sujud sahwi adalah sujud yang dilakukan sebanyak dua kali setelah
selesai bacaan Tahiyat akhir dan sebelum salam; ia dikerjakan untuk menutup
kecacatan dalam pelaksanaan solat kerana terlupa, dan hukumnya adalah sunat.
Doa sujud sahwi adalah seperti berikut:

Ertinya: "Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa."
Sebab-sebab sujud sahwi ada tiga: kerana kelebihan, kerana kekurangan, dan
kerana ragu-ragu.
1. Sujud Sahwi Kerana Kelebihan
Barangsiapa terlupa di dalam solatnya lalu tertambah rukuk, atau sujud, dan
sebagainya, maka dia perlu sujud sahwi.

2. Sujud Sahwi Kerana Kekurangan


Barangsiapa, justeru terlupa, lalu meninggalkan salah satu sunat ab'adh, maka ia
harus sujud sahwi sebelum salam. Misalnya, makmum terlupa tahiyyat awal dan
hanya teringat setelah sempurna qiam (berdiri tegak), maka dia tidaklah perlu duduk
kembali dan cukup baginya sujud sahwi. Namun, sekiranya dia teringat sebelum
separuh bangkit untuk qiam, maka bolehlah dia kembali duduk dan
menyempurnakan tahiyyat awal dan tidak perlu sujud sahwi.

c. Sujud Sahwi Kerana Ragu-ragu


Keragu-raguan di dalam solat adalah kerana tidak meyakini sama ada terlebih atau
terkurang, umpamanya seseorang ragu sama ada dia di dalam rakaat ketiga atau
keempat. Keraguan ada dua jenis:
1. Sekiranya seseorang lebih cenderung kepada satu hal (waham, atau lebih 50%
pasti), umpamanya dia lebih meyakini dia kini di dalam rakaat ketiga dan bukan
rakaat keempat, maka dia harus menurutkan mengambil sikap kepada yang lebih ia
yakini, kemudian dia melakukan sujud sahwi setelah salam.

2. Sekiranya seseorang itu ragu-ragu antara dua hal, dan tidak condong pada salah
satunya (dzan, atau hanya 50-50 pasti), maka dia harus mengambil sikap kepada
hal yang sudah pasti akan kebenarannya, iaitu jumlah rakaat yang sedikit. Kemudian
menutupi kekurangan tersebut, lalu sujud sahwi sebelum salam.

Hal-hal Penting Berkenaan Dengan Sujud Sahwi

1.Apabila seseorang meninggalkan salah satu rukun solat secara tidak sengaja, dan
ia teringat ketika belum sampai pada rukun yang sama di rakaat berikutnya, maka ia
wajib segera kembali kepada rukun yang tertinggal itu, dan kembali meneruskan
solat dari situ. Sekiranya dia teringat dan sedang pula berada pada rukun yang
tertinggal itu pada rakaat berikutnya, maka rukun yang tertinggal itu dianggap
terganti dan ia perlulah meneruskan solat seolah-olahnya di rakaat yang sebelum
itu. Pada kedua-dua hal ini, wajib dia melakukan sujud sahwi setelah salam atau
sebelumnya.

2.Apabila sujud sahwi dilakukan setelah salam, maka perlu pula melakukan salam
sekali lagi.

3.Apabila seseorang yang melakukan solat meninggalkan sunat ab'adh secara


sengaja, maka batallah solatnya.

 Jika ketinggalan kerana lupa, kemudian dia ingat sebelum beranjak dari sunat
ab'adh tersebut, maka hendaklah dia melaksanakannya dan tidak perlu sujud
sahwi.

 Jika ia teringat setelah melewatinya tapi belum sampai kepada rukun


berikutnya, maka hendaklah dia kembali melaksanakan rukun tersebut, lalu
sujud sahwi selepas salam.

 Jika ia teringat setelah sampai kepada rukun yang berikutnya, maka sunat
ab'adh itu gugur, dan dia tidak perlu kembali kepadanya untuk
melakukannya, akan tetapi perlu sujud sahwi sebelum salam.
4.Sekiranya seseorang itu terlupa sujud sahwi dan teringat hanya selepas memberi
salam maka bolehlah ia sujud sahwi, dengan syarat ingatan itu timbul dalam masa
yang tidak begitu lama.
5. Sekiranya imam terlupa sujud sahwi, makmum bolehlah sujud sahwi setelah
imam memberi salam.
[kembali ke atas]

Sujud Sajadah/Tilawah
Tilawah ertinya bacaan, dan Sujud Sajadah atau sujud Tilawah itu ialah perbuatan
sujud apabila seseorang itu bertemu ayat sajadah dalam bacaan al-Qur'an sama ada
di dalam solat ataupun di luar solat.
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu dia sujud; maka syaitan jatuh sambil
menangis. Katanya, "Celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu
mendapat syurga. Aku disuruh sujud, tetapi aku menolak maka untukku neraka."
(HR Al-Bukhari dan Muslim)

Hukum sujud sajadah adalah sunat mu'akad, atau sunat yang amat digalakkan.

Dari Umar r.a.: Pada suatu hari Jumaat, dia (Rasulullah) membaca surah al-Nahl di
atas mimbar, maka ketika sampai pada ayat sajadah, dia lalu turun dan sujud. Dan
para hadirin juga turut melakukan sujud. Pada hari Jumaat berikutnya, dibacanya
surah berkenaan, lalu apabila sampai pada ayat sajdah dia berkata: "Wahai
manusia, sebenarnya kita tidak diperintahkan (diwajibkan) sujud tilawah. Tetapi
barangsiapa bersujud, dia telah melakukan yang benar. Dan barangsiapa yang tidak
melakukannya, maka dia tidak mendapat dosa." (HR Bukhari)

Ayat-ayat sujud sajadah ialah:

1. Surah 7 (Al-A’Raaf) Ayat 206


2. Surah 13 (Ar-Ra’d) Ayat 15
3. Surah 16 (Al-Nahl) Ayat 50
4. Surah 17 (Al-Isra’) Ayat 109
5. Surah 19 (Maryam) Ayat 58
6. Surah 22 (Al-Hajj) Ayat 18
7. Surah 22 (Al-Hajj) Ayat 77
8. Surah 25 (Al-Furqaan) Ayat 60
9. Surah 27 (An Naml) Ayat 26
10. Surah 32 (As-Sajdah) Ayat 15
11. Surah 38 (Shaad) Ayat 24
12. Surah 41 (Fushshilat) Ayat 38
13. Surah 53 (An-Najm) Ayat 62
14. Surah 84 (Al-Insyiqaq) Ayat 21
15. Surah 96 (Al-'Alaq) Ayat 19

Nota: Perlu dinyatakan bahawa bacaan Surah 38 (Shaad) Ayat 24 menurut Syafi'iyah
dan Hanbaliyah tidak termasuk ayat sajadah, tapi ayat yang disunatkan untuk sujud
syukur (keterangan sujud syukur akan menyusul selanjutnya). Bacaan surah 22 (Al-
Hajj) Ayat 77 pula menurut madzhab Syafi'iyah dan Hanbaliyah dimasukkan sebagai
ayat sajadah.

Untuk mengenali ayat-ayat sajadah itu di dalam al-Qur'an, kebiasaannya pada ayat-
ayat itu ada ditandakan garis atau simbol dengan tertulis perkataan sajadah.

Bacaan doa yang sunat dibaca ketika sujud ialah:

Ertinya: "Aku bersujud dengan wajahku kepada Dzat yang telah merupakan dan
menciptakannya, dan menciptakan pendengaran dan penglihatannya dengan
kekuatan-Nya. Maha memberkati Allah, sebaik-baik Pencipta."

Cara melakukan sujud sajadah di dalam solat ialah terus bersujud (tanpa niat, dan
tanpa mengangkat tangan) sebaik sahaja selepas membaca ayat sajadah, kemudian
membaca doa sujud sajadah di dalam sujud, lalu kembali berdiri dan meneruskan
bacaan selanjutnya. Sekiranya bacaan surah itu telahpun tamat (ayat sajadah di
pengakhir surah), apabila bangun dari sujud sajadah maka teruslah rukuk selepas
berdiri sebentar .

Adalah sunat bertakbir "Allah-Akbar" sebelum turun dari qiam untuk melakukan
sujud sajadah. Disunatkan juga agar bertakbir apabila naik dari sujud. Adalah tidak
perlu mengangkat tangan ketika naik dari sujud.

Di dalam solat berjemaah, makmum wajib mengikuti imam sama ada imam itu
melakukan sujud sajadah ataupun tidak. Bercanggah dari mengikuti imam akan
menyebabkan solat makmum itu batal. Akan tetapi, adalah sunat hukumnya bagi
makmum melakukan sujud tilawah selepas selesai salam dengan syarat jarak di
antara sujud dan salam itu tidak lama.

Bagi sembahyang yang dibaca dengan suara perlahan, umpamanya solat Zuhur,
sujud tilawah itu sunat dibuat oleh imam setelah dia selesai menunaikan
sembahyang supaya tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan makmum.

Rukun sujud sajadah di luar solat ialah:


1. Niat - iaitu "Sahaja aku sujud sajadah kerana Allah Ta'ala"
2. Takbiratul-ihram
3. Sujud
4. Salam.

Sujud sajadah di luar solat adalah disunatkan kepada pembaca dan juga pendengar
bacaan ayat sajadah, dan sujud si pendengar itu tidak tergantung sama ada
pembaca (qari) itu turut sujud atau tidak.

Syarat sah sujud sajadah di luar solat adalah sama seperti syarat solat (suci dari
hadas besar dan kecil, mengadap kiblat, menutup aurat, dan sebagainya), dan tidak
berjangka waktu yang lama antara bacaan ayat sajadah dan perbuatan sujud.

Sekiranya seseorang itu mendengar bacaan ayat sajadah dan tidak berupaya untuk
sujud sajadah (umpamanya sedang memandu), maka bolehlah ditangguhkan sujud
sajadah itu hingga ketika dia boleh, asalkan tidak terlampau lama masa yang
terluput di antaranya.

Tidak perlu berwuduk untuk sujud sajadah ketika di luar solat, namun berwuduk itu
adalah lebih afdal.

Apabila hendak sujud sajadah di luar solat, disunatkan bertakbir "Allahu-Akbar"


(selepas daripada Takbiratul-ihram) dan disunatkan juga bertakbir apabila bangun
dari sujud sebelum salam.

Adalah tidak perlu untuk seseorang itu bangun untuk berdiri (qiam) apabila hendak
melakukan sujud sajadah di luar solat. Namun begitu, apabila seseorang itu sedang
berdiri, maka perlulah dia bertakbiratul-ihram di kala qiam, kemudian sujud, duduk,
dan salam.

Nota sampingan:

Sujud Syukur

Sujud Syukur adalah perbuatan sujud ketika seseorang mendapat limpahan rahmat
daripada Allah, atau terhindar daripada malapetaka.
Hukum sujud syukur adalah sunat, dan hanya dilakukan di luar solat. Sekiranya
seseorang itu melakukan sujud syukur di dalam solat, maka batallah solatnya.

Cara sujud syukur dan syarat sujud syukur adalah sama seperti sujud sajadah di luar
solat.

Di samping melaksanakan sujud syukur, disunatkan juga bersedekah dan melakukan


sembahyang sunat syukur.
[kembali ke atas]

Solat Qasar & Jama'


Maksud solat qasar bagi orang yang musafir ialah memendekkan atau meringkaskan
solat fardhu yang empat rakaat (Zuhur, Asar dan Isya’) menjadi dua rakaat sahaja.
Solat qasar itu merupakan satu kelonggaran yang dikhususkan kepada orang yang
musafir sahaja. Solat Maghrib dan Subuh tidak boleh diqasarkan, dan perlu
ditunaikan dengan sempurna seperti biasa.
Orang yang musafir yang memenuhi syarat-syarat sebagaimana yang diharuskan
solat qasar, harus juga solat jama'. Maksud solat jama' ialah menghimpunkan atau
mengumpulkan dua solat dalam satu waktu, iaitu menghimpunkan solat Zuhur
dengan Asar, atau Maghrib dengan Isya’ dalam satu waktu yang sama, sama ada
dalam waktu yang pertama atau yang kedua. Solat Subuh tidak boleh dijamakkan.

Syarat-syarat solat qasar:


1. Musafirnya hendaklah tidak bertujuan maksiat.
2. Perjalanannya hendaklah tidak kurang daripada dua marhalah.
3. Solat yang diqasarkan itu hendaklah solat Zohor, Asar, dan Isya’ sahaja, dan
dilaksanakan secara tunai. Tidak dibolehkan qasar solat qada’ bagi solat yang
ditinggalkan semasa musafir apabila telah tiba di dalam kawasan kediaman. Solat
yang ditinggalkan dalam musafir boleh diqasarkan apabila diqadakan di masih dalam
musafir.
4. Hendaklah diniatkan qasar di dalam masa takbiratul ihram.
5. Tidak boleh berimamkan orang yang bersolat tamam (sempurna ).
6. Hendaklah tempat yang dituju itu tertentu. Jika sekiranya tempat yang dituju itu
tidak tentu, maka tidak boleh qasar.
7. Berkekalan perjalanannya sehingga sempurna solat.
8. Ia tahu bahawa orang yang musafir itu harus mengerjakan solat qasar.

Solat Jama' terbahagi kepada dua:


1. Jama' Taqdim
2. Jama' Takkhir.

Solat Jama' Taqdim:


Jama' Taqdim dilakukan solat Zohor dan solat Asar pada waktu Zohor, atau solat
Maghrib dan solat Isya’ pada waktu Maghrib. Dinamakan solat ini Jama' Taqdim
kerana solat yang kedua yang belum masuk waktunya dibawa ke solat yang
pertama.

Syarat-syarat Jama' Taqdim:


1. Hendaklah didahulukan solat yang empunya waktu dengan tertib, ertinya
mendirikan dahulu solat Zuhur atau Maghrib yang dikira solat yang pertama,
kemudian barulah diikuti dengan solat yang dijamakkan iaitu Asar atau Isya’ yang
dikira solat kedua.
2. Hendaklah diniatkan jama' pada solat yang pertama atau yang empunya waktu itu
dalam mana-mana juzud sembahyang sebelum salam tetapi yang afdal disyaratkan
niat semasa takbiratulihram.
3. Hendaklah berturut-turut (mu'alat) antara dua solat itu dengan tidak diselangi
dengan penceraian yang dikira panjang uruf.
4. Hendaklah berkekalan musafirnya daripada permulaan solat yang pertama hingga
sempurna takbiratul-ihram solat kedua, kerana batal solat jamaknya apabila ia jadi
mukim di antara dua solat itu.

Solat Jama' Takkhir:


Jama' Takkhir dilakukan solat Zohor dan solat Asar pada waktu Asar, atau solat
Maghrib dan solat Isya’ dilakukan dalam waktu Isya’. Dinamakan solat ini Jama'
Takkhir kerana solat pertama yang telah tamat waktunya itu dibawa ke solat yang
kedua.

Syarat-syarat Jama' Takkhir:


1. Hendaklah berniat Jama' Takkhir sebelum habis waktu solat yang pertama
(umpamanya berniat Jama' Takkhir untuk solat Zuhur bersama solat Asar, sebelum
tamat waktu Zuhur). Jika ia tidak berbuat demikian hukumnya haram mentakkhirkan
solat yang pertama itu daripada waktunya dan solat itu jadi qada’ pada waktu yang
kedua.
2. Hendaklah berkekalan musafirnya itu sehingga diselesaikan solat yang kedua, dan
sekiranya ia telah jadi mukim sebelum selesai solat yang kedua nescaya yang
pertama itu jadi solat qada’.

Huraian pengertian musafir:


Apabila seseorang itu bermusafir lebih dari dua marhalah (60 batu), maka ia harus
melakukan solat qasar dan jama' sekali. Solat jama' dan qasar ini adalah suatu
keringanan yang diberi oleh Allah kepada hamba-Nya dalam segenap masa bagi
orang musafir, senang atau susah asalkan melebihi dua marhalah.

Permulaan musafir ini dikira setelah kita keluar kawasan, sama ada melalui sungai,
parit, kota sempadan atau kawasan yang sudah tidak ada bangunan lagi. Akhir
musafir ialah apabila kita memasuki kawasan permulaan musafir tadi. Solat jama'
dan qasar boleh dilakukan apabila perjalanan seorang musafir tidak kurang dari 60
batu atau 100 km walaupun ada khilaf ulama dalam penentuan jarak jauhnya. Jadi,
untuk berhati-hati, eloklah dikira dari 60 batu.

Apabila seseorang itu sudah sampai ke kawasan permulaan ia bertolak tadi, maka
selesailah solat jama' dan qasarnya. Ia tidak boleh lagi mengerjakan solat secara
jama' dan qasar. Apabila seseorang itu bermusafir dan berhenti pada satu tempat
selama 4 hari atau lebih, maka putuslah safarnya. Tapi, sekiranya ia hendak berhenti
di situ selama tiga hari, maka bolehlah solat jama' dan qasar. Tiga hari itu tidak
termasuk hari sampai dan hari keluar. Apabila seseorang itu berhenti di suatu
tempat dengan niat akan berada di situ selama tiga hari, tapi kerana urusan tidak
selesai dari sehari ke sehari, maka ia diharuskan jama' dan qasar sehingga 18 hari.

Perjalanan seseorang musafir hendaklah tentu dan ia tahu ke mana arah tujuannya.
Jika ia tidak tahu ke mana hendak diarahkan perjalanannya itu, maka tidak boleh
jama'/qasar.

Orang yang musafir kurang dari tiga marhalah (90 batu) maka afdal solat
sebagaimana biasa. Jika perjalanannya melebihi 90 batu, maka baginya lebih afdal
mengerjakan solat jamak dan qasar.
Kemudahan solat jama' (jama' sahaja) juga diberikan kepada ahli karyah yang ingin
mengerjakan solat berjemaah apabila hujan lebat dan kampung itu merupakan satu
kawasan yang biasa lecah dan becak lalu tidak kemampuan untuk datang
berjemaah, dengan syarat ada hujan pada awal kedua-dua solat, di antara kedua
solat, dan pada salam solat pertama. Tidak mengapa kalau sekiranya hujan itu
berhenti di pertengahan solat pertama atau di pertengahan solat kedua.
[kembali ke atas]

Solat Jumaat
Solat Jumaat ialah solat dua rakaat yang dilakukan pada hari Jumaat menggantikan
solat Zuhur, dan dilakukan secara berjemaah selepas mendengar khutbah. Firman
Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat
pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi [ke masjid] untuk mengingati Allah
[dengan mengerjakan solat Jumaat] dan tinggalkanlah berjual beli [pada saat itu];
yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui [hakikat yang
sebenarnya]," - Al Jumu'ah: 9
Sabda Rasulullah SAW: "Solat Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang
Islam dengan berjemaah, kecuali empat jenis manusia: hamba sahaya yang dimiliki,
perempuan, anak-anak, dan orang yang sakit." - Riwayat Abu Dawud & Hakim
Solat Jumaat itu hukumnya Fardhu Ain, iaitu wajib dikerjakan atas setiap mukallaf
dengan syarat-syarat tertentu.
Syarat wajib solat Jumaat:
1. Islam - tidak wajib bagi orang kafir.
2. Baligh - tidak wajib bagi kanak-kanak yang belum baligh.
3. Berakal - tidak wajib bagi orang yang gila.
4. Merdeka - tidak wajib ke atas hamba abdi.
5. Lelaki - tidak diwajibkan untuk orang perempuan.
6. Sihat - tidak wajib bagi orang yang uzur dan berhalangan.
7. Bermastautin atau bermukim - tidak wajib bagi orang yang musafir.

Syarat sah solat Jumaat:


1. Didirikan didalam waktu Zuhur.
2. Tempat mendirikan solat Jumaat itu hendaklah di suatu tempat yang telah di
tetapkan seperti masjid, dewan, padang dan sebagainya.
3. Mestilah berjemaah dengan sekurang-kurangnya 40 orang yang tinggal tetap di
kawasan itu.
4. Didahului dengan dua khutbah.

Rukun-rukun khutbah Jumaat:


1. Khutbah dimulai dengan memberi pujian pada Allah SWT seperti ucapan:
"Allahamdulillah".
2. Diikuti dengan salawat ke atas Nabi Muhammad SAW: "Allahuma salli ala Saidina
Muhammad waala ali Saidina Muhammad."
3. Khutbah hendaklah mengandungi pesanan kepada para jamaah agar bertaqwa
kepada Allah SWT seperti: "bertaqwalah kamu kepada Allah."
4. Membaca satu ayat Quran pada khutbah yang pertama atau kedua, tapi paling
elok pada khutbah yang pertama.
5. Mendoakan setiap Muslim pada khutbah yang kedua sekurang-kurangnya:
"Rahima-kumullah."
Syarat sah Khutbah Jumaat:
1. Pembaca khutbah hendaklah seorang lelaki, tidak sah jika orang perempuan.
2. Pembaca khutbah hendaklah menutup aurat.
3. Suci daripada hadas dan najis pada pakaian, badan dan tempat.
4. Berdiri pada kedua-dua khutbah itu pada yang mampu.
5. Membaca khutbah setelah masuk waktu Zuhur dan dilakukan sebelum solat
Jumaat.
6. Membaca rukun-rukun khutbah di dalam bahasa Arab, tidak boleh di baca dalam
bahasa ibunda seperti membaca salawat Nabi dalam bahasa Melayu.
7. Mualat antara khutbah yang pertama dengan khutbah yang kedua, antara segala
rukunnya dan antara khutbah dengan solat.
8. Duduk sebentar setelah selesai khutbah pertama sebelum memulakan khutbah
kedua. Jikalau pembaca berkhutbah dalam keadaan duduk, maka pisahkan di antara
dua khutbah itu dengan diam sebentar.
9. Khutbah didengar oleh 40 orang yang bermukim sekalipun tidak memahami
bahasa yang digunakan untuk menyampaikan khutbah.
10. Mencukupi bilangan 40 orang dari mula khutbah hingga akhir solat.

Seorang Muslim yang mengalami salah satu perkara di bawah ini adalah dikecualikan
dari menunaikan solat Jumaat, mereka hanya perlu bersolat Zuhur seperti biasa:
1. Sakit - Iaitu sakit yang menyukarkan untuk ke masjid atau bimbang akan
memudaratan penyakitnya.
2. Hujan - Jika hujan itu membawa kesukaran untuk pergi ke masjid.
3. Musafir - Iaitu orang yang keluar sebelum subuh untuk bermusafir.
4. Takut dizalimi - Orang yang bersembunyi kerana takut di zalimi.

Perkara-perkara sunat yang dilakukan pada hari Jumaat:


1. Mandi sunat hari Jumaat, terutama ketika hendak berangkat ke Masjid.
2. Memotong kuku.
3. Memotong, mencabut atau mengunting bulu [ketiak, hidung, misai].
4. Bersugi.
5. Memakai wangi-wangian.
6. Berhias diri dengan memakai pakaian yang bersih dan cantik.
7. Bersegera pergi ke masjid.
8. Berniat iktikaf.
9. Solat Tahiyatul Masjid sebaik sahaja masuk ke dalam masjid.
10. Memperbanyakkan berzikir, membaca Al Quran dan bersalawat atas Nabi.
[kembali ke atas]

Solat Sunat
Perlaksanaan solat-solat sunat amat digalakkan selain dari solat-solat fardhu.
nota: solat sunat, umpamanya solat sunat hajat, ada pelbagai cara. Oleh itu
pembaca digalakkan merujuk kepada ahli agama tempatan tentang perbezaan cara
dan yang mana lebih digemari pembaca.
Terdapat 16 jenis solat sunat:
1. Sunat Rawatib - solat sunat mengiringi solat fardhu. Solat sunat rawatib ada dua
jenis: Sunat "Qabliyah" iaitu solat rawatib yang dikerjakan sebelum solat wajib, dan
waktu-waktunya ialah: 2 rakaat sebelum solat Subuh, 2 rakaat sebelum solat Zuhur,
2 atau 4 rakaat sebelum solat Asar, dan 2 rakaat sebelum solat Isya'; dan Sunat
"Ba’diyyah" iaitu solat rawatib yang dikerjakan setelah solat fardhu, dan waktu-
waktunya ialah: 2 atau 4 rakaat sesudah solat Zuhur, 2 rakaat sesudah solat
Maghrib dan 2 rakaat sesudah solat Isya'.
2. Sunat Dhuha - solat ketika matahari baru naik pada waktu pagi sekadar satu
galah tingginya, sekurang-kurangnya 2 rakaat dan sebanyak-banyaknya 12 rakaat
(enam salam).
3. Sunat Witir - solat selepas solat Isyak, kebiasaannya dirangkaikan dengan solat
sunat tarawih. Bilangan rakaatnya ialah 1, 3, 5, 7, 9 atau 11 rakaat.
4. Sunat Tahajjud - solat pada lewat tengah malam selepas bangun dari tidur.
5. Sunat Tasbih - solat yang mengandungi 300 tasbih, dan dianjurkan sekurang-
kurangnya dikerjakan sekali seumur hidup. Solat tasbih ada empat rakaat, dengan
satu salam jika dikerjakan pada siang hari, dan dengan dua salam jika dikerjakan
pada malam hari. Cara mengerjakan solat tasbih ialah dengan membaca tasbih 15
kali sesudah membaca surat Al-Fatihah, 10 kali tasbih ketika rukuk, 10 tasbih ketika
iktidal, 10 tasbih ketika sujud pertama, 10 tasbih ketika duduk antara dua sujud, 10
tasbih ketika sujud kedua, dan 10 tasbih ketika duduk sebelum qiam di rakaat
pertama dan ketiga (atau 10 tasbih selepas tahiyyat awal di rakaat kedua, dan
selepas tahiyyat akhir di rakaat terakhir sebelum salam.) Ulangi 75 tasbih ini untuk
empat rakaat.
6. Sunat Hajat - solat untuk memohon hajat atau ketika berada dalam kesulitan.
7. Sunat Tahiyyatul Masjid - solat ketika memasuki masjid.
8. Sunat Taubat - solat untuk memohon keampunan setelah menginsafi perbuatan
mungkar.
9. Sunat Musafir - solat sebelum keluar untuk bermusafir.
10. Sunat Hari Raya - solat pada hari raya Aidilfitri dan AidilAdha, dan
mengandungi takbir tujuh kali pada rakaat pertama, dan takbir lima kali pada rakat
kedua.
11. Sunat Tarawih - solat selepas solat Isyak pada bulan Ramadan.
12. Sunat Istikharah - solat untuk meminta petunjuk yang baik, apabila kita
menghadapi dua pilihan, atau ragu dalam mengambil keputusan. Sebaiknya
dikerjakan pada 2/3 malam terakhir.
13. Sunat Mutlaq - solat sunat tanpa sebab dan tidak ditentukan waktunya, juga
tidak dibatasi jumlah rakaatnya.
14. Sunat Wuduk - solat selepas mengerjakan wuduk.
15. Sunat Khusuf (Gerhana) - solat sunat sewaktu terjadi gerhana bulan atau
matahari.
16. Sunat Istisqa' (Minta Hujan) - solat sunat yang dikerjakan untuk memohon
hujan. Tiga hari sebelum solat istisqa' segenap penduduk diwajarkan berpuasa dan
meninggalkan segala kezaliman serta dianjurkan beramal soleh. Pada hari keempat
semua penduduk termasuk yang lemah akan pergi ke tempat yang lapang dengan
berpakaian sederhana dan tanpa wangi-wangian untuk solat istisqa’. Solat ini juga
diiringi dengan dua khutbah selepas solat. Pada khutbah pertama hendaklah
membaca istighfar 9 kali dan pada khutbah kedua 7 kali.
[kembali ke atas]

Solat Khauf
Solat khauf (atau solat ketakutan) ialah solat yang ditunaikan dalam keadaan
suasana peperangan dengan pihak musuh. Solat khauf adalah kemudahan yang
tidak terdapat dan tidak boleh dilaksanakan di dalam sembahyang–sembahyang
yang lain.
Ulamak–ulamak fiqah juga telah bersepakat tentang adanya ketetapan syarak
mengenai solat khauf ini, "bahkan yang dimaksudkan dengan khauf oleh mereka
bukan semata –mata takut kepada serangan musuh malah termasuk juga khauf
(takut)dari ancaman kebakaran dan juga binatang–binatang buas dan lain–lain lagi
daripada ancaman yang boleh menyebabkan kemusnahan dan kehancuran."

Cara–cara menunaikan solat khauf dapat simpulkan kepada dua keadaan:

Sebelum tercetus peperangan (situasi berjaga-jaga)

Terdapat dua cara yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.w.t mengikut keadaan
kedudukan arah musuh:

1) Musuh berada di arah qiblat

Syarat solat khauf dalam keadaan sebegini ialah:

a) Bilangan tentara Islam itu lebih banyak


b) Tidak dikhuatiri tentera musuh mampu membuat serangan hendap ketika
sembahyang berlangsung
c) Bilangan tentera islam itu dapat dipecahkan kepada beberapa bahagian (iaitu
lebih daripada 6 orang)

Cara solat khauf dalam situasi sebegini adalah seperti berikut:

Imam perlu membahagikan batalion tentera kepada dua kumpulan, dan setiap
kumpulan sekurang-kurangnya tiga orang. Seterusnya dua kumpulan akan membuat
saf di belakang imam; setiap kumpulan boleh terdiri daripada beberapa saf,
mengikut jumlah yang munasabah di mata imam. Imam akan bersembahyang
bersama dengan kedua-dua kumpulan sehingga kepada rukuk di rakaat yang
pertama, kemudian hanya kumpulan pertama sahaja yang akan turut rukuk bersama
imam, manakala kumpulan yang kedua pula terus berdiri(dalam keadaan iktidal)
untuk menjaga pertahanan, kalau-kalau ada gerakan baru atau serangan dari pihak
musuh.

Setelah imam dan bahagian pertama bangkit untuk rakaat yang kedua, bahagian
kedua pula akan turun menyempurnakan rakaat pertama secara bersendirian
hinggalah mereka mendapatkan imam semula pada rakaat yang kedua. Pada rakaat
ini, imam akan rukuk diikuti dengan kumpulan yang kedua sahaja akan turut
bersama–sama dengan imam, manakala kumpulan yang pertama tadi akan tetap
berdiri (iktidal) sehinggalah imam dan kumpulan yang kedua sampai ke tahiyyat
akhir, barulah mereka akan menyempurnakan rakaat yang kedua secara
bersendirian dan mendapatkan imam di tahiyyat akhir (yang mana imam hendaklah
menunggu kumpulan pertama dengan memanjang doa)kemudian imam akan
memberi salam bersama-sama dengan kedua-dua kumpulan tersebut.

2) Musuh tidak di arah qiblat

Cara solat khauf dalam situasi ini pula adalah seperti berikut:

Imam akan membahagikan tentera kepada dua kumpulan; kumpulan yang pertama
akan bersembahyang bersamanya manakala kumpulan yang kedua akan kekal
mengawasi keadaan. Imam pada permulaannya akan solat bersama kumpulan yang
pertama untuk rakaat yang pertama sekiranya sembahyang dua rakaat atau
sembahyang qasar, dan dua rakaat pertama sekiranya sembahyang genap (empat
rakaat). Sesudah itu imam akan bangkit untuk rakaat seterusnya dan berdiri bagi
menunggu kedatangan kumpulan yang kedua. Adapun kumpulan pertama akan niat
berpisah dengan imam (niat mufaraqah) dan menamatkan sembahyang masing-
masing secara bersendirian, kemudian bergerak manggantikan tempat kumpulan
kedua yang tadinya mengawasi keadaan. Manakala kempulan yang kedua pula akan
memulakan sembahyang bersama imam (yang mana imam sedang berada di
rakaatnya) hinggalah sampai ke tahiyyat akhir (bagi imam), dan di sini imam akan
memanjangkan doa dalam tahiyyat akhir bagi menunggu kumpulan kedua
menyempurnakan baki rakaat mereka masing-masing sehinggalah mereka juga
sampai di tahiyyat akhir dan imam akan memberi salam bersama-sama dengan
mereka. Kumpulan pertama akan mendapat kelebihan (fadhilat) takbirratul-ihram
bersama-sama dangan imam, manakala kumpulan kedua pula mendapat kelebihan
memberi salam bersama-sama imam.

Ketika peperangan sedang meletus

Sekiranya peperangan tercetus dengan dahsyatnya, dan waktu sembahyang hampir


ke penghujungnya sedangkan pihak musuh pula tidak menunjukkan tanda-tanda
untuk menghentikan serangan dan keadaan juga seolah-olah tidak memberikan
peluang untuk bersembahyang khauf secara berjamaah dengan imam; maka di
waktu ini kita disuruh untuk bersembahyang dengan isyarat hati sahaja tanpa
melibatkan rukun-rukun fi'li (perbuatan). Dalam pada ketika ini kita dibenarkan
untuk melakukan gerakan-gerakan yang berkaitan dengan peperangan seperti
memancung, menikam, menembak, dan sebagainya dan dimaafkan untuk tidak
mengadap qiblat.

Perkara-perkara yang membatalkan Solat Khauf:

1) Terbatal wudu’ ketika dalam sembahyang


2) Menjerit dan melaung (sekiranya tidak diperlukan)
3) Gerakan-gerakan yang banyak yang tiada kaitan dengan peperangan
4) Darah yang banyak (kecuali terpaksa atau darurat, di sisi mazhab Syafie; darah
yang banyak tidak menjejaskan sembahyang di sisi mazhab Maliki)
[kembali ke atas]

Nota:
1) pengunjung amat disyorkan merujuk kepada ustaz/ustazah tempatan sekiranya
mempunyai kemusykilan dalam perihal bab solat ini. namun, sekiranya ingin
bertanya penulis, hantarkan email kepada emzadii@hotmail.com (dan bukan di
guestbook!)
2) terima kasih kepada semua pengunjung atas teguran huraian/ejaan. Juga terima
kasih kepada semua yang menyuarakan sokongan dan perangsang dalam penulisan
bab solat ini.
3) perhargaan kepada RZ atas teguran dalam solat sunat tasbih.

Tambahan/pembetulan terkini: Oktober 2006

You might also like