You are on page 1of 11

Sucinya Sebuah Cinta

Sekarang kebanyakan universiti sedang bercuti panjang. Pada masa ini, boleh
dikatakan ramai para mahasiswa berlumba-lumba untuk mendapatkan kerja.
Tidak kira kerja apa, asalkan boleh mendatangkan hasil dan dapat mengisi
kekosongan masa cuti yang panjang ini.
Namun aku lebih suka untuk tinggal di rumah sahaja. Membantu emak berniaga
kedai runcit. Lagipun. Aku ingin menghabiskan masa cutiku bersama keluarga.
Selama ini aku banyak menghabiskan masa nun jauh di utara negeri untuk
mengejar cita-cita dan harapan. Dan kini aku ingin menebus kembali rinduku
kepada keluarga yang telah bertukar menjadi dendam ini.
“ Ilah! Tolong jaga kedai kejap. Mak nak solat dulu.” Pinta emak sewaktu
melintasi bangku tempat dudukku. Bagiku. Aku lebih suka bekerja di kedai runcit
ini sebab aku berpeluang untuk menghabiskan beberapa buah buku yang
sengaja kubeli sewaktu dalam perjalanan balik ke kampung. Kalau boleh. Aku
juga ingin meningkatkan lagi perniagaan keluarga ini. Aku sedang mencari idea
untuk memajukan kedai milik keluarga ini.
“ Hai Ilah! Bila balik?” Tanya makcik Som sambil meletakkan barang-barang
yang mahu dibelinya ke atas kaunter.
“ Balik semalam. Makcik sihat?” Tanyaku sekadar berbasa-basi.
“ Sihat orang tua Ilah. Lama ke kamu cuti ni?”
“ Adalah dalam tiga bulan.” Jawabku.
“ Berapa lama lagi pengajian kamu tu?”
“ Lebih kurang empat bulan lagi makcik.”
“ Ah dah tak lama tu. Nanti senanglah sikit mak dan ayah kamu bila kamu dah
kerja nanti.” Katanya sambil menjelaskan bayaran dan terus berlalu.
Bila disebut pasal kerja. Aku sendiri pun masih belum tahu kerja apa yang ingin
ku cari nanti. Masih belum terfikir lagi dalam fikiran ku ini. Cuma yang penting.
Aku ingin tamatkan pengajianku ini dengan seberapa segera. Aku ingin
membantu keluarga serta menampung adik-adik yang masih lagi menuntut.
kasihan aku tengok mak dan ayah bersusah payah untuk menyara kehidupan
kami.
Dalam keasyikan aku membaca buku itu, telefon bimbitku berbunyi menandakan
ada panggilan. Aku tersenyum bila melihat nombor yang tertera kerana aku tahu
siapa. Orang yang selalu aku rindu dan ingati. Orang yang banyak mengubah
cara hidupku. Kadang-kadang aku seperti tidak percaya bahawa aku boleh
tertarik padanya hanya dengan sekali pertemuan. Padahal sebelum ini aku tidak
pernah mengenalinya. Mungkin hanya melalui abang dan adik ku yang rapat
dengannya. Itulah dinamakan takdir.
“ Hello!”
“ Abang sini. Bagi tahu kawan-kawan yang lain kita nak buat mesyuarat
persatuan petang lusa kat surau.”
“ InsyaAllah…”Jawabku.
“ Ilah sihat?” Soalnya.
“ Sihat. Abang pula?”
“ Ok saja. Maafkan abang sebab tak dapat cakap panjang. Abang ada kerja ni.”
“ Nanti kita sambung lagi. Ok.” Dia memutuskan talian.
Sudah lama aku tidak menemuinya membuatkan aku bertambah rindu.
Maklumlah aku di Utara manakala dia di Selatan. Impian dan cita-cita yang
membuatkan kami terpisah, namun tetap jua bersemi dan hadir ke dalam jiwa
tatkala rindu mula membara. Entah macam mana rupa dia sekarang. Kali
terakhir aku menemuinya dua bulan yang lepas, dia agak kurus sedikit.
Rambutnya panjang mencecah bahu, janggut dan jambang dibiarkan tumbuh
meliar. Walaupun aku sudah memberitahunya bahawa aku tidak begitu menyukai
penampilannya sebegitu, namun dia tetap mengatakan itulah imejnya. Dah puas
aku beritahu, tapi dia tetap begitu. Apa-apa pun keadaannya. Aku tetap sayang
padanya kerana aku tahu sikap dan perangainya. Hanya penampilan dia sahaja
yang begitu tetapi dia tetap hebat.
Kiranya aku ceritakan, mungkin sukar untuk diterima orang. Sebenarnya aku
dah lama tertarik padanya. Dia selalu menjadi imam di surau dekat kampungku.
Manakala aku pula selalu menjadi makmumnya apabila berpeluang. Aku cukup
tenang sewaktu mendengar bacaan ayat-ayat sucinya. Suaranya membuatkan
aku terpukau sejenak. Dan kadang-kadang orang kampung memintanya untuk
menyampaikan kuliah. Aku juga selalu mendengar kuliahnya. Dia cukup pandai
mengolah isu-isu semasa dalam kehidupan masyarakat.
“ Aah… banyak perkara yang ada padanya membuatkan aku jatuh hati.”
aku rasa gembira bila teringatkan tentang mesyuarat persatuan yang akan
diadakan malam lusa. Itulah peluang aku untuk menemuinya. Dengar khabar,
dia bercuti sekejap sahaja kerana dia ingin mengambil kelas musim panas. Idea
dialah juga untuk menubuhkan persatuan mahasiswa di kampung kami. Katanya
untuk mengumpulkan anak-anak penduduk kampung yang belajar di universiti
bagi mencurahkan jasa kepada pembangunan ilmu dan minda penduduk. Kami
menyokong penuh ideanya itu, maka tertubuhlah persatuan mahasiswa di
kampung kami.
Malamku di kampung agak berbeza dengan di kampus. Ini kerana aku tidak
mempunyai sebarang aktiviti khusus seperti mesyuarat persatuan, studi,
bersukan dan sebagainya. Di rumah ini aku hanya mampu menghabiskan masa
untuk membaca buku dan membantu keluarga di kedai runcit.
Tiba-tiba sahaja aku berasa sunyi dan kesepian. Sunyi dari kesibukan kampus
dan tugas seorang pelajar. Tapi sebenarnya aku rindu. Rindu pada seorang
kekasih yang selalu memujuk dan membelai jiwaku dengan tingkah lakunya
yang terhormat dan tutur bicaranya yang terjaga. Tingkah lakunya yang terjaga
membuktikan bahawa dia menghormati maruah kewanitaanku serta kesucianku
sebagai seorang gadis. Dia mampu membuatkan aku rasa selamat bila
menemuinya. Tutur kata bicaranya memukau telinga serta bisa memujuk jiwa
yang resah dan gelisah. Walaupun aku dan dia sekampung, namun dia tetap
menjaga nama baikku dan nama baiknya daripada diperkatakan orang kampung.
Cuma aku sedikit tidak faham dengan prinsipnya. Katanya, dia tak nak mengikat
aku dengan sebarang janji. Jika ada takdir yang menyebelahi kami, insyaAllah
kami akan diijab kabulkan.
“ Abang tak nak mengikat Ilah dengan sebarang janji. Ilah bebas menentukan
arah hidup dan pilihan Ilah.” Katanya padaku.
“ Sekiranya ada orang datang meminang, Ilah dan keluarga berkenan serta
bersetuju maka abang rela dan redha melepaskan Ilah. Abang akan sentiasa
mendoakan kebahagiaan Ilah. Cuma Ilah perlu memberitahu abang saja agar
abang tidak berharap.” Sambung dia lagi.
“Kalau sesuatu itu telah ditakdirkan Allah milik kita, walau ia berada di seberang
laut dan dalam keadaan merangkak sekalipun ia akan tetap datang ke pangkuan
kita. Namun sekiranya sesuatu itu telah ditakdirkan bukan milik kita, walaupun
telah kita kunyah dan telan namun ia tetap akan dimuntahkan juga.” Itulah kata-
kata yang selalu diucapkan olehnya padaku.
Namun. Aku pasti semua orang bersetuju sekiranya aku katakan bahawa terlalu
sukar untuk kita mengubah kasih sayang sekiranya kita benar-benar mencintai
seseorang kerana cinta, kasih dan sayang adalah bukan sesuatu mainan yang
boleh dijual beli sesuka hati.
Terlalu banyak masalah hati yang timbul sekiranya aku terus memikirkannya.
Namun kadang-kadang, perasaan rinduku ini membuatkan kenangan dan
ingatan pengalaman perjalanan hidup ini menjadi manis.
Suasana malam di kampung cukup menenangkan jiwaku. Tiada bunyi bising dan
kekalutan seperti di kampus. Di sini malamnya sunyi dan mendamaikan. Hanya
sesekali sahaja terdengar bunyi burung tukang ataupun burung jampuk
bernyanyi. Desir angin yang berlagu mendendangkan irama istimewa buat
penduduk kampung seperti aku yang sentiasa inginkan persekitaran yang dapat
mengembalikan ketenangan jiwa dan kedamaian hati. Ia membuatkan aku tidur
lena bagai diulit dayang dan inang.
Seperti yang telah dijanjikan, ahli-ahli persatuan berkumpul di surau untuk
menghadiri mesyuarat. Kebanyakan ahli dapat menghadirkan diri, maklumlah
semua kampus sedang bercuti sekarang. Aku dan beberapa kawan-kawan yang
lain telah menyediakan beberapa juadah untuk jamuan selepas mesyuarat nanti.
Walau apa pun, yang pentingnya aku terpaksa menyediakan laporan mengenai
biro yang aku pegang. Pada mesyuarat agong yang lepas. Aku telah dilantik
sebagai pengerusi biro Helwani.
Mengikut tentatif mesyuarat, tujuan utama diadakan mesyuarat hari ini adalah
untuk membincangkan tentang aktiviti-aktivi yang akan diadakan pada musim
cuti ini. Mesyuarat dimulakan dengan ucapan aluan oleh Presiden persatuan
dengan menaruh harapan agar persatuan dapat menfaatkan masa yang ada ini
untuk menjalankan aktiviti yang boleh mengeratkan lagi hubungan dikalangan
para ahli dan juga pada masa yang sama dapat menaburkan bakti kepada
masyarakat kampung. Seterusnya pembentangan laporan oleh setiap ketua biro
mengenai perkembangan gerak kerja yang telah dilakukan dan perancangan
yang bakal dilakukan. Para ahli telah bersetuju untuk bersama-sama
mengadakan kelas tuisyen malam untuk anak-anak kampung ini yang akan
mengambil peperiksaan SPM hujung tahun nanti. Oleh itu, setiap orang
dibahagikan tugas-tugas yang perlu dilakukan. Aku telah ditugaskan untuk
mengajar subjek matematik.
“ Hai Ilah! Engkau nampak rapat saja dengan abang Shidi tu? Ada apa-apa ke?”
Tanya Marisa sewaktu kami menghadap jamuan.
“ Ish, engkau ni. Aku biasa aje. Tak ada apa-apa pun. Macam engkau dengan dia
juga.” Kataku. Kalau boleh. Aku tak nak kisah cinta kami ini diketahui orang
sebab nanti banyak pulak masalah yang bakal timbul nanti. Lagipun aku dah
janji dengan abang Shidi untuk merahsiakannya selagi dapat.
“ Manalah tau agaknya-agaknya senyap berisi pulak.” Sampuk Elisa.
“ Takkanlah dia nak pilih orang macam aku. Sedangkan kat kampus dia tu ramai
lagi yang lebih baik dari aku.” Helah aku.
“ Engkau mana tahu hati orang. Lagipun aku tengok dia tu macam suka saja kat
engkau.” Sambung Marisa lagi.
“ Engkau orang ni, jangan pandai-pandai pulak nak mereka-reka cerita. Kan
susah pulak aku nanti.” Kataku sambil berlalu dengan membawa pinggan-
pinggan serta cawan ke sink.
Nampak gayanya, kawan-kawan yang lain dah mula dapat menghidu hubungan
baik kami ini. Bukan apa. Aku takut juga nanti bila orang dah tahu akan tersebar
pula berita-berita yang tidak benar tentang kami.
Tadi abang Shidi sempat memberitahuku bahawa dia nak datang ke rumah
malam nanti. Katanya dah lama dia tak jumpa aku, jadi dia nak datang melawat
aku di rumah. Khabar itu membuatkan aku gembira. Memang aku menanti-nanti
kedatangannya. Ingin sekali aku menatap wajahnya sepuas hatiku untuk
menebus segala rinduku. Ingin sekali aku dengar suaranya agar bisa
membangkitkan perasaan kasih dan sayang. Begitulah kebiasaannya bila dia
pulang bercuti ke kampung. Dia akan datang menemuiku di rumah di temani
keluargaku sendiri sebagai saksi pertemuan kami. Agar kami dapat mengelakkan
dari sebarang fitnah dan cerita dari mulut manusia.
Malam ini aku turun berjemaah di surau. Berkebetulan abang Shidi yang menjadi
imamnya. Sudah lama juga aku tidak menjadi makmumnya, tidak mendengar
bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan alunan zikirnya. Malam ini aku berpeluang
lagi untuk menikmati keindahan dan kemerduan suaranya itu. Selepas solat
maghrib, para jemaah memintanya untuk menyampaikan kuliyah maghrib.
Walaupun tanpa persediaan, namun dia masih mampu untuk menyampaikan
kuliyahnya dengan baik dan teratur sekali. Aku lihat,para muslimat dan kaum ibu
begitu khusyuk sekali dan kadang-kadang tersenyum oleh kerana telatah dan
lawak yang diselitkannya dalam kuliyahnya itu. Dia membincangkan isu masalah
umat zaman sekarang. Zaman teknologi yang penuh dengan cabaran yang boleh
menggugat keimanan para orang Islam.
“ Tanpa iman yang kukuh dan persediaan ilmu, orang Islam akan hanyut dalam
arus kemodenan yang telah ditaja barat dengan membelakangkan agama. Pada
pendapat mereka, dengan berpegang pada agama ia akan menghalang
penganutnya dari mencapai kemajuan dan kemodenan.” Kata abang Shidi.
“ Telah banyak bukti-bukti yang ditunjukkan Allah bagaimana kesan dan
kesudahannya kemodenan yang membelakangkan agama. Contohnya barat
sendiri. Dalam mengejar arus kemodenan, kita boleh lihat berapa ramai para
remaja perempuan mereka yang melahirkan anak-anak diluar nikah. Semakin
maju kehidupan mereka semakin banyak jenayah yang berlaku dan semakin
hebat perancangannya. Semakin maju dan canggih peralatan semakin singkat
cara berpakaian mereka sehingga mereka tanpa segan silu mendedahkan
tempat-tempat yang tidak sepatutnya didedahkan kepada orang ramai.”
Hujahnya lagi.
“ Hari ini, perkara sebegini telah menular ke dalam masyarakat kita. Anak-anak
kita bebas berpakaian yang kononnya ‘up to date’ atau mengikut arus semasa.
Mereka juga bebas memilih pasangan mereka serta tanpa rasa takut melakukan
perkara-perkara yang selayaknya dilakukan oleh sepasang suami isteri di atas
nama kekasih. Bagi mereka itulah sebenarnya kemodenan. Ibu bapa pula telah
hilang peranan dan hak-hak mereka untuk mendidik anak-anak mereka. Mereka
hanya mampu melihat sahaja apa yang berlaku.”
Bagiku, apa yang dikatakan oleh abang Shidi itu ada kebenarannya. Di
kampungku sahaja, perkara-perkara seperti itu telah wujud. Anak-anak muda
yang terpengaruh dengan mereka yang pulang dari bandar-bandar besar dengan
membawa buah tangan berupa budaya-budaya kuning yang tidak senonoh itu.
Itulah sebahagian dari perbincangan kami sewaktu mesyuarat petang tadi. Cuba
untuk mendapatkan idea dan cadangan bagaimanakah cara dan jalannya untuk
kami lakukan bagi mengembalikan identiti masyarakat Islam yang sedang
menghadapi konflik identiti ini.
“ Oleh itu, setiap kita mempunyai tanggungjawab yang besar untuk dimainkan
bagi memastikan perkara ini tidak berlaku. Kita perlu sama-sama mencegahnya
supaya apabila ia berlaku kita tidak akan saling menunding jari untuk
meletakkan kesalahan itu di atas bahu dan kepala orang lain. Semoga Allah s.w.t
membantu kita dalam menegakkan agamanya yang suci ini daripada terus
dicemari oleh perkara-perkara yang menjijikkan itu.” Itulah kata-kata
terakhirnya sebagai penutup untuk kuliyah maghribnya malam itu. Aku lihat,
kebanyakan ahli jemaah berpuas hati dengan kuliyahnya tadi.
Selepas solat isyak. Aku terus balik ke rumah kerana abang Shidi dah janji untuk
datang ke rumah malam ni. Saja aku balik awal sikit kerana aku nak goreng mee
sebagai jamuan bila abang Shidi datang nanti. Lagipun tak ada yang istimewa
untuk hidangan nanti, cuma aku tahu abang Shidi suka makan mee.
Sedang aku asyik di dapur. Aku terdengar suara ayah memberi salam. Diikuti
suaranya menjemput seseorang naik.
“ Jemputlah naik!” aku yakin, dia datang dengan ayah semasa turun dari surau
tadi.
“ Terima kasih.” Ucapnya sambil melangkah naik ke rumahku. Aku masih lagi
dalam bilik untuk memakai tudung. Biarlah ayah dan mak yang melayannya
dulu. Aku mengenakan tudung pink yang pernah dihadiahkan olehnya sewaktu
aku menyambut ulang tahun kelahiranku yang ke 22 baru-baru ini.
“ Ilah! Abang Shidi datang ni. Keluarlah.” Panggil mak. Segan juga aku nak
keluar, maklumlah dah lama tak jumpa. Lagipun mak dan ayah ada sama. Apa
yang aku nak cakap depan mereka nanti. Takkan nak cakap pasal cinta, rindu
dan sayang. Malulah aku sebab mereka terlebih dulu makan garam daripada
kami.
“ Abang apa khabar?” Tanyaku sewaktu melabuhkan punggung di atas sofa
setentang dengannya.
“ Alhamdulillah, sihat. Ilah pulak macam mana?”
“ Ok saja. Macam biasa, cuma…….” aku tak dapat menghabiskan kata-kataku bila
aku tiba-tiba sedar yang mak dan ayah ada bersama kami. Kalau tidak pasti
mereka tahu nanti. Tapi aku yakin, walaupun mereka tidak tahu secara pasti
namun mereka dapat mengagak dari cara kami berdasarkan pengalaman
mereka sebagai orang tua.
“ Duduklah dulu ya, makcik nak ke dapur kejap.” Mak bangun menuju ke dapur.
Manakala ayah pula bangun untuk menukar bajunya. Jadi sekarang hanya
tinggal aku dan abang Shidi saja di ruang tamu rumahku itu.
aku jadi lebih segan bila kulihat dia sedang asyik memerhatikan aku. Dia
kemudian tersenyum bila dia lihat aku tersipu-sipu malu kerana diperlakukan
begitu.
“ Abang rindu pada Ilah.” Antara dengar tak dengar dia memberitahuku.
“ Ilah pun macam tu juga. Tapi nak buat macam mana, nak jumpa selalu tak
boleh. Sabar sajalah.” Kata-kata itu bagaikan untuk memujuk hatiku sendiri. Aku
sendiri pun kadang-kadang tak tertahan rasa rindu di hati ini. Tapi di sana ada
batas-batas yang perlu aku sedari agar aku tidak terjerumus ke dalam kancah
yang boleh membinasakan kami sendiri.
“ Kalau tidak kerana janji dan cita-cita, dah lama abang masuk pinang Ilah. Kita
kahwin lagi baik daripada terus dalam keadaan begini.”
aku tahu betapa abang Shidi berpegang kuat pada janjinya. Dia telah berjanji
dengan keluarganya untuk menjaga ibunya yang sudah tua dan menampung
pengajian adik-adiknya terlebih dahulu apabila dia tamat pengajian nanti.
Lagipun dia mempunyai cita-cita yang tinggi untuk masa depan. Segala-galanya
dia telah ceritakan padaku tentang janji dan cita-citanya itu supaya aku tahu
keadaan dirinya. Sebab itulah dia tidak mahu mengikat aku dengan sebarang
janji kerana dia takut aku tidak mampu menunggu lebih lama. Jadi aku bebas
untuk menentukan haluanku sendiri. Katanya dia redha dan rela sekiranya aku
memilih lelaki lain sebagai suamiku sekiranya itu sudah jodoh dan takdir bagiku.
“ Ilah perempuan, abang lelaki. Lelaki punyai lebih banyak tanggungjawab
terhadap keluarga yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum dia
mendirikan rumah tangga.” Katanya padaku dulu.
“ Takpelah. Abang tunaikan dulu janji abang tu dan dapatkan dulu cita-cita
abang tu. Kalau ada jodoh kita tak ke mana juga.” Beritahuku pasrah. Kadang-
kadang aku jadi serba salah juga, sebab cinta kami ni pelik tak seperti orang
lain.
“ Walau apapun, Ilah bebas menentukan jodoh Ilah. Abang tak ikat dengan
sebarang janji, cuma hanya takdir Allah adalah segala-galanya.” Mengingatkan
aku kembali dengan kata-katanya yang lepas.
“Berapa lama abang bercuti ni?” Tanyaku mengubah topik perbualan apabila
menyedari mak keluar membawa minuman.
“ Malam esok abang dah nak bertolak balik ke kampus. Abang ambil semester
khas. Nak pendekkan tempoh pengajian.” Beritahunya yang turut menyedari
kehadiran mak itu.
“ Jemputlah minum Rashidi. Mee tu Ilah yang buatkan. Rasalah.” Jemput mak.
“ Entah sedap entah tidak mee tu. Baru belajar masak.” Balasku kembali.
“ Alaa cuti lama, nanti boleh belajar masak kat rumah ni dengan makcik.”
Jawabnya sambil tersenyum.
“ Cuma kenalah rajin sikit.” Sambungnya lagi. Sambil tergelak kecil. Mak dan aku
turut sama tersenyum dengan jenaka dia itu.
Ah…abang tetap hebat. Aku begitu tenang apabila dapat melihat wajahnya. Dia
tidak banyak berubah, cuma jambang dan misainya digunting kemas.
Rambutnya agak panjang sedikit dan hampir mencecah bahu. Mungkin agak
pendek sedikit dari rambutku yang lebih sedikit dari paras bahu. Saja aku potong
pendek supaya senang aku menjaganya. Tapi dia lebih suka kalau aku berambut
panjang.
Walaupun dia masih belum menyuntingku untuk menjadi suri hidupnya, namun
aku telah lama mengambilnya sebagai perwira hidupku. Ataupun dia masih lagi
belum mengambilku menjadi mempelai perempuannya, namun dia telah lama
menjadi pengantin lelaki dalam persandingan kami di hatiku ini. Dia telah
berjaya menawan hatiku dan jiwaku oleh sebab sikapnya dan peribadinya yang
membuatkan aku benar-benar kagum.
“ Ya Allah. Aku bermohon padaMu dengan seluruh kehidupan ini agar menjaga
perasaan kecintaan ini. Kiranya dia benar-benar ditakdirkan buatku, maka
satukanlah kami di bawah naungan cinta dan kasihMu. Dan jika dia ditakdirkan
bukan milikku, maka Engkau jauhkanlah dia dari pandangan dan ingatanku.
Perkukuhkanlah kesabaranku dalam menghadapinya dan titiplah ke dalam hatiku
sifat keredhaan dengan takdirMu wahai tuhan.” Doaku pasrah.
Kami meneruskan program kelas malam untuk SPM itu. Aku dan kawan-kawan
yang lain masing-masing memainkan peranan dan tugas yang telah ditetapkan.
Agak sukar sikit untuk mengatur gerak kerja kerana abang Shidi tak ada sebab
selalunya dialah yang banyak mengatur dan memberikan idea. Jadi agak kelam
kabutlah sikit. Namun begitu dia selalu menelefonku bertanyakan perkembangan
dan perjalanan program itu. Selalu juga dia memberikan cadangan dan pendapat
serta buah fikirannya kepadaku untuk aku utarakan kepada kawan-kawan yang
lain bagi meningkatkan lagi gerak kerja dan prestasi persatuan.
Cuti kali ini memberikan aku banyak masa terluang. Aku habiskan masa-masa
lapangku dengan membantu mak dan ayah di kedai sambil membaca buku.
Kadang-kadang aku juga suka berfikir tentang masa depanku. Aku masih lagi
tercari-cari bagaimana aku ingin membina masa depanku sendiri. Kerjayaku,
keluargaku dan cita-citaku. Aku hanya ada satu semester lagi untuk
menamatkan pengajianku. Aku masih tertanya-tanya kerjaya yang macam
manakah yang akan ku pilih nanti. Aku cukup kabur mengenainya. Aku pernah
meminta pandangan abang Shidi mengenainya, dan katanya adalah lebih baik
buatku untuk memilih kerjaya yang ada kaitan dengan pengajianku sekarang ini.
Namun katanya, seharusnya tidak terlalu memilih kerja. Sekurang-kurangnya
kita akan mendapat pengalaman yang di luar bidang kita dan kita akan
memperolehi kebolehan yang baru. Seperti dia, walaupun bidang pengajiannya
dalam kejuteraan elektronik, namun tidak semestinya dia akan menjadi seorang
jurutera. Katanya, dia lebih minat untuk mengendalikan perniagaan keluarganya
dan ingin mengembangkan lagi. Tapi dia masih ada tiga semester untuk
menamatkan pengajiannya.
Hidup ini penuh dengan dugaan dan cabaran. Begitulah juga dengan percintaan
ini. Tidak dinamakan cinta sekiranya tanpa kasih, sayang dan rindu. Kasih
dengan berpada-pada, sayang dengan sepenuh kejujuran dan keikhlasan serta
rindu yang sentiasa memenuhi kamar hidup semenjak munculnya mentari di
ufuk timur hinggalah menghilangnya di horizon barat. Perasaan itu tidak pernah
luput mahu pun berkurangan dari sanubari ini. Namun ia tergugat juga apabila
pepohon cinta yang tertanam ini dilanda dugaan kasih dan menuntut aku supaya
membuat penentuan. Pilihan setelah berada di persimpangan dilema kasih.
Beberapa bulan selepas aku menamatkan pengajian, ada orang datang ke
rumahku untuk merisik khabar.
Kata mereka, ingin sekali merisik khabar jambangan di taman terlarang. Adakah
sudah disunting orang ataupun masih harum mekar di taman ini. Bagaimana
ingin aku ceritakan pada keluarga tentang ikatan kasih yang telah lama terjalin.
Kasih yang mewangi menyelubungi hidup dan menghiasi serta mewarnai suka
duka pengalaman hidup ini.
“ Ya Allah! Cubaan apakah yang Engkau timpakan ini. Aku tidak mampu
menghadapi dugaan ini tanpa bantuan dan petunjuk Mu tuhan. Aku ini gadis
yang lemah bisa tersasar dan tersesat dalam melayari cinta.
Ya Allah! Sekiranya ketentuan ini adalah terlebih baik buatku, maka Engkau
tetapkanlah hati dalam menerimanya. Berikanlah kesabaran padaku tatkala
terkenang segala pengalaman yang lalu.
Ya Allah. Aku menyerahkan segala ketentuan hidupku ini di tangan Mu wahai
tuhan yang mengetahui segala bicara hati ini.”
aku telah menghubungi abang Shidi untuk memberitahu tentang perkara ini. Aku
ingin meminta pendapatnya bagaimana untuk aku berdepan dan membuat
keputusan terhadap masalah ini. Adakah perlu aku memberitahu keluargaku
tentang kedudukan sebenar diriku yang telah dilamar cinta orang.
“ Keputusan terletak sepenuhnya di tangan Ilah. Sebarang keputusan yang Ilah
buat, abang tetap menyokongnya.” Beritahu dia padaku. Namun jawapannya itu
membuatkan aku bertambah buntu dalam mencari jalan penyelesaian.
“ Abang ni buat Ilah tambah buntu tau!” aku bersuara menahan air mata yang
mula nak mengalir keluar.
“ Sayang…..dengar elok-elok apa yang ingin abang katakan.”
“ Abang pernah beritahu yang abang tak pernah ikat Ilah dengan sebarang janji.
Hanya takdir Allah yang menentukan segalanya. Ilah bebas memilih sesiapa
sahaja lelaki yang bakal menjadi teman hidup Ilah. Abang rela dan redha dengan
pilihan Ilah asalkan Ilah bahagia dan lakukannya dengan sepenuh hati dan
kesedaran Ilah.” Sambungnya lagi. Aku sudah tidak dapat menahan sebak yang
mula memenuhi empangan ini. Maka mengalirlah air mata ini menuruni lurah-
lurah kedukaan dan kesedihan. Betapanya cinta ini dibina suci dengan penuh
setia dan kesedaran diri. Tidak pernah ternoda mahupun dinodai. Ia dipelihara
suci dari sebarang bisikan-bisikan durja yang mahu merosakkannya.
“ Cubalah abang fahami keadaan Ilah sekarang ni. Ilah tersepit tau.” Esakku
memohon belas.
“ Abang faham, abang faham sayang! Abang juga sepertimu sekarang ini. Tapi
kepentingan dan kebahagiaanmu itu terlebih pentingnya bagi abang daripada
kegembiraan hati abang sendiri. Abang tidak mampu untuk mengikatmu kerana
cita-cita yang masih lagi tersisa.”
“ Ilah tak mampu bang, Ilah tak mampu! Cinta abang telah lama bersemi di jiwa
ini. Mana mungkin Ilah membelakanginya”
“ Baiklah kiranya itu yang membuatkan Ilah tersepit, kini abang lepaskan Ilah
dari cinta abang.” Kata-katanya itu bagaikan belati tajam yang menusuk hatiku
yang telah sedia luka ini. Maka menangislah aku sendiri.
Betapa sukarnya untuk menyemai benih cinta yang kadang-kadang mengambil
masa seribu tahun lamanya namun terlalu senang merungkaikannya hanya
dengan beberapa patah kata yang menghiasi bibir. Begitu juga dengan kenangan
walaupun bercinta cuma sehari tetapi kenangan pengalaman tetap jua segar
walau seratus tahun.
Entah bagaimana inginku gambarkan tentang perasaan ini, bagaimana inginku
lakarkan kesedihan hati ini. Sedangkan inilah cinta pertamaku ketika aku
menongkah dewasa. Cinta yang disemai dan dijaga rapi. Tumbuhnya di
perkarangan terlarang dihiasi dan disirami kejujuran seorang kekasih dan
kehebatan seorang lelaki. Banyak yang aku pelajari darinya. Bagaimana cara nak
mendidik hati, cara memperelokkan budi dan teristimewa aku dapat memahami
apa itu makna kasih sejati.
“……. boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan
boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan
(ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak
mengetahuinya.”
Itulah ayat yang selalu dia perdengarkan padaku tentang hakikat kasih sayang.
Juga sebuah hadis nabi yang sampai sekarang aku masih mengingatinya tentang
sabda Rasulullah S.A.W:
Cintailah kamu akan sesuatu sekadarnya kerana mungkin di suatu hari ia akan
menjadi kebencian bagimu. Dan bencilah sesuatu itu sekadarnya kerana
mungkin di suatu hari yang lain ia akan menjadi kecintaan bagi kamu
aku kembali tersedar bila terkenangkan semuanya ini. Mungkin ada hikmahnya
percintaan antara aku dan dia ternoktah apabila aku diijab kabulkan dengan
lelaki lain. Siapa sangka semua ini akan berlaku. Dan benarlah sebagaimana
yang dikatakan bahawa siapalah kita untuk mendahului takdir.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu
pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung
yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah
jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal".
Ayat itu dia bacakan padaku sewaktu aku benar-benar putus harap dengan apa
yang telah berlaku. Aku bagaikan rasa kegelapan mula menyelubungi
kehidupanku. Aku rasakan hidup ini tidak bermakna tanpa kehadirannya. Namun
dia tetap tenang menasihati agar aku terus bersabar dan yakin dengan kehendak
Allah Taala. Aku masih ingat lagi sewaktu hari persandinganku dulu. Dia datang
menemuiku sewaktu aku berada di samping suamiku. Dia tetap tersenyum
gembira dengan persandinganku itu. Pelik benar lelaki ini.
“ Selamat pengantin baru. Semoga berbahagia selalu dan berkekalan hingga ke
anak cucu.” Ucapnya sambil tangannya menggenggam tangan suamiku. Mereka
berdua tersenyum senang. Seolah-olah mereka dah lama kenal.
“ Terima kasih kerana sudi hadir.”
“ Ini untukmu sahabat tanda kenangan dariku. Dan aku serahkan kekasih hatiku
ini kepangkuan jagaanmu dengan rela hati dan doa yang berkekalan.” Dia
meletakkan bungkusan atas ribaan suamiku.
aku terkejut dengan kata-katanya itu. Tidak terfikirkah dia bahawa bicaranya itu
akan membuatkan suamiku cemburu atau salah faham? Tidak terfikirkah dia
untuk menyimpan rahsia kisah percintaan antara aku dan dia dari pengetahuan
orang lain? Tidak terfikirkah dia bahawa rumah tangga yang baru dibina ini bakal
goyah dengan bicaranya itu?
“ Ah tuhan…. Mengapa ini terjadi?” Keluh hatiku sendiri.
Dia kemudiannya berpaling ke arahku. Aku tidak mampu untuk menatap
wajahnya itu. Namun aku paksakan untuk berbuat demikian. Aku lihat matanya
berkaca-kaca menahan sebak air empangan yang mahu melimpah.
“ Ilah……!!” Serunya perlahan.
“ Pada hari ini dengan ikhlas hati abang serahkanmu kepangkuan suamimu yang
abang hormati. Tiada yang lebih manis dan indah dalam hidup ini melainkan
sewaktu abang bahagia bersama cintamu. Namun ketahuilah olehmu bahawa
abang tidak mampu untuk menanggung cinta sucimu itu dan terus membawanya
ke gerbang bahagia sebagaimana dirimu alami pada hari ini. Hari ini putus sudah
cinta kita sebagai pasangan kekasih dan yang kekal hanyalah kasih dan sayang
abang seperti saudara kandungmu sendiri.”
“ Maka abang harap dirimu mampu membahagiakan suamimu ini sebagaimana
abang telah bahagia dengan cintamu suatu ketika dahulu. Cintailah dia seadanya
kerana dialah segala-galanya selepas tuhan dan rasul ikutanmu. Abang doakan
dirimu bahagia di sampingnya seorang lelaki yang kini bergelar suami buatmu.”
Ujarnya bersendu dan syahdu. Aku sudah tidak mampu lagi menahan tangisan
hati ini. Manik-manik jernih mula berlumba-lumba menuruni kelopak yang tak
mampu menahan terjahannya.
“ Usahlah dirimu menangis di hari berbahagia ini. Senyumlah tanda kesyukuran
kerana dikurniakan tuhan seorang lelaki yang terlebih baik untuk menggantikan
tempat abang dalam hidup mu.” Dia meletakkan bungkusan hadiah di sisiku
sambil berlalu meninggalkan majlis persandinganku itu. Aku berpaling melihat
suamiku, dia mengangguk-angguk ke arahku. Aku tidak tahu apakah makna
anggukannya itu.
Sejak dari hari itu. Aku cuba untuk melupakan kisah cinta yang lalu. Aku ingin
membuka lembaran kasih baru di samping suamiku. Siapa sangka, benih mawar
yang disemai tapi kemboja yang tumbuh. Cintaku untuk dia rupanya diganti
dengan orang lain. Lelaki jenis apakah itu? Takut untuk menghadapi kenyataan
dan tak mampu untuk berusaha bagi mengekalkan kisah cinta ini. Selalu
menyerahkan pada takdir. Sebagai perempuan. Aku masih mampu untuk
mempertahankan kesucian cinta ini tapi apabila tiada jaminan buatku darinya
mana bisa aku mempertahankannya sendirian. Menghadapi segala cubaan dan
dugaan perasaan yang selalu menerkam pintu kesabaran hati. Dan akhirnya aku
terpaksa mengikut arus setelah dia sendiri yang melepaskan tali ikatan cinta ini
dari hatinya. rasa hormat dan kagum terhadapnya mula terhakis sedikit demi
sedikit apabila aku dibiarkan begini.
Tapi setelah beberapa waktu, akhirnya terbongkar juga sebuah kisah yang
terselindung disebalik kisah percintaan kami dulu tatkala aku menimang cahaya
mataku yang pertama. Rupa-rupanya suamiku juga turut terlibat sebagai watak
tambahan dalam kisah duka itu. Tidak kusangka bahawa perkahwinan kami ini
adalah rancangan antara suamiku dan abang Shidi. Pada mulanya aku cukup
sedih bila mendengarnya dari mulut suamiku. Begitu murah sekali cintaku
sehingga ia boleh di ambil bila mahu dan ditolak bila dah jemu? Begitu sekalikah
rapuhnya ikatan cinta itu sehingga ia boleh diurai sesuka hati bila-bila masa
sahaja?
“ Bukan begitu..” Bela suamiku.
“ Habis tu macam mana?” Soalku kecewa.
“ Dia lakukan semuanya ini adalah untuk kebahagian Ilah. Bukan untuknya. Dia
menderita kerana memilih jalan ini. Tapi kerana Ilah, dia sanggup lakukannya.”
Jelas suamiku.
aku semakin tidak faham dengan sandiwara mereka ini. Apakah cerita sebenar
yang mereka selindungkan dari pengetahuanku?
“ Sebenarnya dia tidak mahu Ilah menjadi janda dalam usia yang masih muda.”
Keterangan suamiku itu membuatkan aku terkejut bagaikan dipanah petir.
“ Kenapa abang cakap begitu?!”
“Dia mengidapi penyakit yang sudah kronik. Dia tidak mahu Ilah menanggung
kesusahan kerananya.” Kelihatannya sendu dengan kata-kata itu.
“ Kenapa dia tidak pernah memberitahu Ilah?” Soalku seperti tidak percaya
dengan apa yang telah diberitahunya.
“ Entahlah abang pun tak tahu.”
Aah…Kenapa abang Rashidi tidak memberitahu aku pasal ini? Kenapa abang
tidak beritahu sendiri kepada Ilah? Kenapa abang biarkan Ilah berperasangka
terhadap abang?
Ya Allah! Cinta yang terbina ini adalah dengan sepenuh hati. Kuserahkan kepada-
Mu segala-galanya dalam menentukan perjalanannya. Kehidupan yang
diidamkan adalah umpama suatu impian yang kini telah jadi mimpi. Namun aku
tetap bersyukur kerana telah dapat mengecapi cinta yang tulus walaupun hanya
sebentar dan kini aku telah dianugerahkan seseorang yang bergelar suami di
sisiku.
Ya Allah! Kini aku pasrah dalam menghadapi ketentuan-Mu. Doaku, berilah dia
kebahagian yang berkekalan dan tabahkanlah hatinya dalam menempuh dugaan.
Sesungguhnya aku telah bahagia bersama cintanya dan anugerahkanlah dengan
kebahagian yang terlalu agung buatnya.
aku terlalu sukar untuk membendung perasaan ini bila mengingatkan apa yang
telah berlaku. Perasaan cinta yang telah disemai dan dijaga dengan sepenuh
perhatian. Cinta dan kasih suci yang tidak pernah ternoda dengan sebarang
muslihat jahat yang menguasai hati. Terlalu sukar untuk memiliki lelaki sehebat
itu.
Walau apa pun yang berlaku, dia tetap dalam ingatanku. Bukanlah aku ingin
membelakangkan suamiku. Tidak sama sekali. Namun kenangan lalu bukanlah
sesuatu yang mudah untuk dilupakan. Apatah lagi bila ia melibatkan perasaan
kita. Lagipun abang Rashidi rupa-rupanya adalah kawan baik suamiku kini.
Mereka bersahabat sejak dibangku sekolah lagi. Namun takdir yang telah
menentukan segala-galanya. Cintaku pada orang lain dan pelaminku bersama
orang lain. Aku tetap bangga kerana cintaku berlaku demikian bukan kerana
pengkhianatan, tapi oleh kerana keikhlasan dan pengorbanan seorang kekasih
yang terlalu tulus cintanya.
Sehingga kini aku masih lagi teringat saat dia nazak terlantar di katil hospital.
Wayar-wayar berselirat menghiasi badannya, namun ia tidak mampu untuk
menahan ataupun menyekat kehadiran malaikat maut yang berdiri bersedia
untuk memenuhi tuntutan tugas yang sudah tertulis sejak azali lagi.
Dia kelihatan pucat dan begitu kurus sekali, namun masih mampu untuk
menghadiahkan senyuman kepada para tetamu yang datang melawatnya tika itu
walaupun mereka diselubungi pilu menantikan saat-saat perpisahan yang entah
bila akan berlaku. Ahli keluarga dan waris terdekatnya berpusu-pusu datang dan
aku serta suamiku hanya mampu memerhati dari jauh.
“ Ya Allah! Ringankanlah penderitaannya dan jemputlah dia dalam keadaan
Engkau meredhai dan merinduinya.” Doa hatiku. Aku sudah tidak mampu untuk
melihat keadaannya begitu.
Dalam keadaan murung dan suram begitu, dia mengamit semua yang hadir
untuk mendekatinya. Kami memenuhi permintaannya itu walaupun ada yang
sudah terisak-isak dengan tangis.
“ Sa…saya moo…hon aampun dan maaaf daari semua….” Dia cuba untuk
berkata-kata walaupun terlalu sukar suara untuk keluar melalui kerongkongnya.
Para pelawat semuanya tunduk kesyahduan menahan sedih yang menujah
pantai hati.
“ Saa…ya miin…ta halal makan daaan mii…num.”
“ Ya Allah! Gagahkanlah hatiku ini untuk menerima cubaan mu dan tetapkanlah
kesabaran dalam menghadapi saat ini serta titipkanlah keredhaan dalam hatiku
untuk menerima takdir Mu.” Bisik hatiku.
“ Allahu Akbar!!!” Itulah kalimat terakhir yang aku dengari dari lidah seseorang
yang pernah aku cinta dan sehingga kini cintanya tetap menghiasi
kebahagiaanku. Pemergiannya itu tetap aku rasai kerana kehilangan seseorang
yang telah banyak mengajar aku erti sebuah kehidupan, keikhlasan dan kesucian
sebuah cinta.
“ Ya Allah! Rahmatilah rohnya dan tempatkannya bersama orang-orang soleh.
Berikanlah dia keutamaan di sisiMu sebagai seorang yang banyak berjasa kepada
agama Mu.” Itulah doaku sewaktu aku menziarahi pusaranya bersama suami dan
tiga orang cahaya mataku yang aku bina atas keikhlasan dan kesucian cintanya
yang dibawanya bersama untuk menemui tuhan.

You might also like