You are on page 1of 3

Proses Perkembangan Bahasa Kanak-Kanak

Pertuturan lancar dalam kalangan kanak-kanak bukan berlaku secara tiba-tiba, tetapi menerusi
pelbagai proses yang rencam. Usaha tersebut memerlukan latihan intensif dalam proses
perkembangan bahasa melalui pelbagai tahap sehinggalah wujud perubahan yang sempurna.
Hakikatnya, kebolehan berbahasa kanak-kanak ditunjangi oleh perkembangan fizikal dan
intelektual. Perkara yang paling mengagumkan, pada usia seawal beberapa bulan, kanak-kanak
telah dapat berkomunikasi dengan orang di sekitarnya. Berkaitan dengan fenomena berkenaan,
Miler dan Gildea (1987) mengulas bahawa pemerolehan bahasa kanak-kanak tidak berlaku
secara spontan, tetapi bertahap.

Kebolehan berbahasa kanak-kanak dikatakan berkembang seiring dengan perkembangan fizikal,


mental, intelektual dan sosial. Oleh sebab itu, perkembangan tersebut dikaitkan dengan
keseimbangan dinamik atau satu rangkaian yang bergerak daripada bunyi sederhana kepada
komunikasi kompleks. Miler dan Gildea (1987) turut merumuskan bahawa perkembangan
bahasa kanak-kanak tidak hanya dipengaruhi faktor biologi atau sosial sahaja, tetapi dikaitkan
dengan tahap perkembangan bahasa. Kanak-kanak secara biologisnya bersedia untuk belajar
bahasa sambil berinteraksi. Perkembangan tersebut juga dipengaruhi oleh penguasaan kanak-
kanak tentang sistem yang dipelajarinya, iaitu:

Fonologi

Pada usia enam minggu, kanak-kanak mula menghasilkan bunyi yang mirip dengan bunyi
konsosnan dan vokal, namun tidak dapat dipastikan bentuknya. Proses ini dinamakan agahan.
Sewaktu usia mencecah enam bulan, kanak-kanak mula menghasilkan campuran bunyi konsonan
dan vokal yang dinamakan bebelan. Sebagai contoh, vokal /a/ dan konsonan /m/ bentuknya
adalah KV….mamama.

Morfologi

Pada usia tiga tahun, kanak-kanak sudah dapat membentuk beberapa morfem yang menunjukkan
fungsi gramatikal nomina dan verba. Kesalahan gramatikal sering terjadi pada usia ini kerana
kanak-kanak masih berusaha menyatakan kehendak yang ingin disampaikan. Sebagai contoh,
kanak-kanak hanya mengambil sebahagian daripada ayat yang ingin dinyatakan, iaitu nak
mam… Pada usia 10 tahun, kanak-kanak terus membaiki bahasanya.

Sintaksis

Secara umumnya, pemerolehan sintaksis bermula apabila kanak-kanak dapat mengembangkan


dua atau lebih kata. Steinberg (1982) membahagikan perkembangan sintaksis berkenaan kepada
tiga tahap. Tahap pertama ialah telegraf - mengucapkan gabungan kata secara ringkas atau
dibina dengan hanya menggunakan kata inti. Contohnya, mau akan (mahu makan). Kedua,
morfem - menggunakan kata yang lebih rencam. Sebagai contoh, Ibu belikan adik baju
(penggunaan morfem terikat, iaitu ...-kan). Ketiga, transformasi - perubahan ayat mudah kepada
yang lebih rencam, seperti ayat tanya. Contoh ayat ialah Atuk kat mana? (Zulkifly Hamid 2006:
49).

Semantik

Kebanyakan kanak-kanak memperoleh 50 kosa kata dalam sesuatu masa sehingga usia mencecah
18 bulan. Perkembangannya semakin giat apabila kanak-kanak meningkat usia enam tahun. Hal
ini demikian kerana secara purata kanak-kanak akan mempelajari lima perkataan baharu sehari.
Oleh itu, jumlah peningkatan kosa kata adalah kira-kira 80,000 setelah memasuki alam
persekolahan (Owen & Robert, 1996). Seterusnya, kanak-kanak dikatakan sudah mampu
membezakan makna pada usia empat tahun. Misalnya, kanak-kanak memahami perbezaan
….Which stick is longer? (Frank Paker 1994: 218). Dalam kajian yang dilakukan oleh Dan Isaac
Slobin (1992: 86) terhadap kanak-kanak berusia dua tahun, didapati kanak-kanak tersebut
memiliki satu konfigurasi semantik dalam mindanya yang melibatkan satu predikat dan hujahan.
Selanjutnya, menurut kajian yang dijalankan oleh Antinucci dan Parisi (1974) dalam Dan Isaac
Slobin (1992), pada peringkat semantik, kanak-kanak boleh menyenaraikan beberapa jenis
adverba. Antaranya lokatif, waktu, tambahan, cara, alat dan kesalingan.

Berdasarkan dapatan lain pula, semasa kanak-kanak berusia antara 4 - 5 tahun, terdapat dua jenis
penambahan makna kata. Secara horizontal, kanak-kanak mampu memahami, selain
menggunakan sesuatu kata dengan makna berbeza, termasuk penambahan dari segi vertikal;
jumlah kata yang difahami dan digunakan dengan tepat (Owen & Robert, 1996).

Kemampuan kanak-kanak tidak bersekolah memaparkan bahawa kata berubah melalui dua cara,
iaitu konseptual; makna berdasarkan pengalaman individu yang bersifat sosial. Kedua, sintaksis;
makna dalam ayat yang menunjukkan hubungan sangat kompleks.

Di samping itu, kajian bahasa telah membuktikan bahawa kanak-kanak telah mula mengenali
banyak kosa kata sebelum usia mencapai enam tahun, namum mereka masih perlu belajar
memahami makna sebelum berupaya menguasai semantik orang dewasa. Kebanyakan
pemahaman makna berlaku semasa mereka berada dalam alam prasekolah (Owen & Robert,
1996). Penguasaan makna sukar diperoleh kanak-kanak seusia 4 - 6 tahun kerana dalam semua
bahasa terdapat banyak makna untuk satu perkataan. Sebagai contoh, tentang dalam bahasa
Melayu boleh membawa pelbagai maksud. Menurut Owen dan Robert juga, pertambahan
pemahaman makna yang sinonim hanya berlaku semasa kanak-kanak memasuki alam prasekolah
dan semakin meningkat apabila berada di sekolah rendah.
Pragmatik

Lazimnya dalam semantik, makna dianggap sebagai pertalian hubungan antara perkataan dan
penutur, namum dalam pemerolehan pragmatik melibatkan proses yang rencam. Pragmatik
menganggap makna sebagai pertalian tiga segi, iaitu hubungan antara perkataan, penutur dan
konteks. Namun begitu, kedua-dua penguasaan tersebut saling melengkapi dalam membantu
kanak-kanak memahami ujaran (Zaimatul Azma Zainon, 2006: 5). Perkembangan penguasaan
pragmatik bermula selepas prasekolah kerana pada usia berkenaan, kanak-kanak telah terdedah
dengan persekitaran yang memerlukan pemahaman terhadap persekitaran.

Rujukan

Miler, G. & Gildea, P. (1987). How Children Learns Words. Sciencetific Americana 257.3,
September: 86 - 91.

Steinberg, D. (1982). Psychplinguistic: Language, mind and world. London: Longman.

Zulkifley Hamid (2006). Aplikasi psikolinguistik dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa.
Selangor: PTS Profesional.

Owens Jr. & Robert, E. (1996). Language development: An introduction. Boston: Allyn and
Bacon.

Frank Parker (1994). (terj. Raja Rahawani Raja Mamat). Linguistik untuk bukan ahli linguistik.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dan Isaac Slobin (1992). (terj. Ton Ibrahim 1992). Ilmu psikolinguistik. Kuala Lumpur: DBP.

Zaitul Azma Zainon Hamzah (2006). Memahami Pertuturan Kanak-kanak Melalui


AnalisisPragmatik. Serdang: UPM.

You might also like