You are on page 1of 1

UPAYA BAHASA

Jika kita melihat ibu ayam dengan anak-anaknya, lazimnya kita melihat dan mendengar ibu ayam tersebut
mengeluarkan bunyi-bunyi tertentu. Dalam masa yang pantas, anak-anak yang telah berpecah-pecah
berlari-lari menghampiri ibunya. Setelah kita memerhatikannya, ternyata ibu ayam mengeluarkan bunyi-
bunyi untuk memberitahu bahawa anak-anaknya tentang makanan telah ditemukan.

Dalam peristiwa lain, dengan cara menari-nari, lebah dapat memberitahu teman-teman lebah yang lain
bahawa ada sumber, kuantiti, tempat dan jarak manisan. Tarian yang dilakukan dalam bentuk angka lapan
dipamerkan kepada teman-temannya; kecepatan lebah menari dan kekerapan kibasan sayap
menandakan jumlah serta jarak tempat manisan dari sarang. Angka lapan yang dibentuk
menunjukkan arah manisan (Von Frisch, 1981).

Terdapat jenis kera yang dapat memberitahu teman-teman kera lain apabila wujudnya bahaya yang
mengancam serta mencemaskan. Jika bahaya datang dari bawah pohon misalnya, ada harimau yang
sedang lalu. Kera tersebut memberitahu dengan cara tertentu sehingga kera-kera lain berlari untuk
bersembunyi di bahagian atas pohon. Sebaliknya, jika ancaman bahaya datang dari atas misalnya, ada
burung helang yang sedang terbang, maka dengan cara tertentu mereka diberitahu supaya bersembunyi di
bahagian bawah pohon dan seterusnya.

Daripada tiga contoh tersebut, jelas bahawa ayam, lebah dan kera boleh berkomunikasi antara satu sama
lain dengan menggunakan “bahasa” masing-masing. Begitulah juga bagi manusia. Kita juga mudah
berkomunikasi dengan manusia lain, menggunakan bahasa kita. Walau bagaimanapun, ada satu
pertanyaan yang timbul. Apakah bahasa yang digunakan oleh binatang sama dengan bahasa yang
digunakan oleh manusia?

Walaupun pada satu pihak ada beberapa persamaan, pada pihak yang lain ada ciri-ciri khusus yang
membezakan bahasa manusia dengan bahasa binatang. Pertama, bahasa manusia memiliki
kebergantungan kepada struktur. Suatu rentetan perkataan dalam ayat tidak membentuk rentetan yang
sembarangan, tetapi bergantung antara satu sama lain. Urutan perkataan memang nampak linear, tetapi
antara satu perkataan dengan satu perkataan lain membentuk satu struktur yang berhierarki.

You might also like