You are on page 1of 4

Peranan parti-parti politik dan NGO ke arah kestabilan politik, keutuhan ekonomi dan

kesejahteraan rakyat

Ucapan
- di Konvensyen Perpaduan Umat dan Rakyat Malaysia (PADU)
oleh  Ronnie Liu Tian Khiew

(Kuala Lumpur,  Ahad): Parti-parti politik dan NGO di tanahair kita ini telah memainkan satu
peranan yang penting dan positif untuk mengekalkan kestabilan politik sejak kemerdekaan
negara Malaysia. Parti-parti politik khasnya parti pembangkang mengamalkan prinsip dan cara
perjuangan melalui system pemilihan demokratik. Menang atau tidak, kita menghormati
keputusan pengundi dan pilihan rakyat. Dan kita terus memainkan peranan sebagai parti
pembangkang yang bertanggungjawab. Tidak pernah kita menghasut rakyat untuk membuat
kacau-bilau sehingga mengancam kestabilan politik. Parti-parti pembangkang Malaysia tidak
percaya kepada penggulingan kerajaan melalui keganasan.

Tetapi malangnya, parti-parti pemerintah di negara kita tidak mengamalkan system demokratik
yang tulen. Mereka menggunakan wang politik, manipulasi sistem pengundian, penguasaan
media dan taktik-taktik kotor yang lain untuk mengekalkan kuasa pemerintahan mereka.

Mereka tidak menggunakan kestabilan politik yang dicapai oleh parti-parti politik, khasnya parti
pembangkang dan NGO untuk membangunkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat jelata.
Sebaliknya, mereka menggunakan kedudukan mereka -untuk kepentingan mereka sendiri atau
kelaurga dan kroni-kroni yang menyokong mereka.

Tidak hairanlah maka Malaysia di bawah pemerintahan BN telah menjadi sebuah negara yang
dianggap sebagai penuh dengan korupsi dan ketidakseimbangan, kurang daya persaingan dan
tidak demokratik. Indeks korupsi antarabangsa terbaru menunjukkan kedudukan Malaysia terus
merosot, jatuh daripada No. 37 kepada No.39. Rekod hak asasi manusia juga terus merosot di
mana tahanan-tahanan ISA terus dizalimi dalam Kem Tahanan Kemunting.

Kerajaan Barisan Nasional sepatutunya menghargai mandat yang diberikan oleh rakyat untuk
mewujudkan sebuah negara yang aman dan makmur, yang mengamalkan nilai-nilai sejagat
seperti keadilan, kebebasan, domokrasi, kesaksamaan dan setiakawan. Kita masih jauh sekali
daripada konsep masyarakat madani yang menjadi impian dan idaman rakyat Malaysia.

Memang benar. Kita tidak boleh mencapai keutuhan ekonomi tanpa kestabilan politik.

Tetapi kita juga tidak boleh memcapai keutuhan ekonomi tanpa demokrasi yang tulen. Semua
negara yang maju dan makmur di dunia ini mengamalkan demokrasi. Kecuali sebilangan negara
yang memilik kekayaan gas dan petrol atau sumber alam sejadi yang lain. Selain daripada
Malaysia, banyak negara yang kaya dengan sumber alam sejadi tidak boleh menjadi maju dan
makmur kerana tanpa demokrasi yang tulen. Burma, Sudan, Indonesia, Filipina… semuanya
kaya dengan sumber alam sejadi, jauh lebih daripada Singapura, Korea atau Jepun.
Tengoklah apa terjadi apabila manusia seperti Marcos, Soeharto dan Tan Shwe  menjadi
pemimpin negara. Ekonomi negara-negara ini tidak pulih sehingga hari ini. Jelasnya sekali
mereka tidak mengamalkan demokrasi. Kuasa mereka susah dicabar tanpa sistem politik
demokratik yang tulen. Bukan mudah hendak menukar kerajaan kuku besi. Hanya kesedaran
politik rakyat yang kukuh ataupun “people power” dapat mengubah langskap politik dan
nasib rakyat.

Malaysia sepatutnya menjadi negara yang lebih maju dan makmur daripada jiran kita di rantau
Asia Tenggara kerana bukan saja negara kita kaya dengan sumber alam sejadi, negara kita juga
bertuah kerana tidak diancam oleh bencana alam, seperti gempar bumi, letupan gunung api dan
taufan. Baru-baru Jepun dilanda taufan Tomage dan 58 nyawa terkorban dan banyak harta-benda
binasa “overnight”, dalam masa semalaman.

Saya berharap rakyat Malaysia tidak akan menunggu sehingga keadaan merosot ke satu tahap
seperti negara jiran kita, Filipina dan Indonesia. Dan tentu sekali bukan seperti Burma. Di
Burma, rakyat tidak boleh menukar kerajaan walaupun Aung San Suu Kyi dan partinya menang
85% undi dalam pilihanraya umum pada 1990. Beliau terus dikenakan tahanan dalam rumah
sehingga hari ini. Rakan-rakannya masih merengkok di dalam penjara.

Peranan parti-parti politik

Apakah peranan yang harus dimainkan oleh parti-parti politik di negara kita? Parti-parti
pemerintah tidak boleh harap. Kita tumpukan focus kita kepada parti-parti pembangkang dan
NGO.

Parti-parti pembangkang sudah berusaha untuk menyatupadukan semua tenaga dan sumber
manusia untuk bertanding menentang parti-parti pemerintah. Tetapi malangnya tidak beberapa
berjaya. Parti DAP terpaksa keluar daripada Barisan Alternatif yang kita kasihi bukan kerana kita
takut kalah. Kita terpaksa berpisah kerana isu “Islamic State” tidak dapat diselesaikan.

Parti DAP boleh dan sudi berkerjasama dengan parti-parti politik yang mengamalkan prinsip
Islam dan agama yang lain. Tetapi ahli-ahli dan penyokong DAP tidak dapat menerima konsep
‘Islamic State” dan mereka menganggap DAP sebagai pengkhianat jika pemimpin berpakat
dengan parti politik yang berjuang untuk menubuhkan sebuah ‘Islamic State” di Malaysia.

Ini adalah kerana bukan sahaja mereka tidak memahami konsep “Islamic State”, mereka
rasa lebih selesa dan lega jika Malaysia terus menjadi sebuah negara majmuk yang berbilang
kaum, berbilang agama, berbilang budaya. Mereka boleh menerima satu pentadbiran kerajaan
yang mengamalkan nilai agama sejagat. Mereka tidak dapat menerima satu pentadbiran kerajaan
yang menempatkan taraf sesuatu agama lebih tinggi daripada agama yang lain. Kerana mereka
percaya keadaan ini akan mencetus kesangsian di antara penganut-penganut agama yang lain dan
hak-hak asasi mereka tidak dapat dilindungi dalam jangka masa panjang.

Justera itu, jika isu “Islamic State” tidak dapat diselesaikan, parti DAP tidak dapat berikat
dengan sebarang gabungan politik yang didominasikan dengan unsur-unsur politik “Islamic
State” pada masa depan.
Saya percaya bahawa parti-parti pembangkang di Malaysia hanya perlu membetulkan kesilapan
dan kelemahan parti-parti pemerintah untuk menyatupadukan semua rakyat. Tidak ada sebab
mengapa kita perlu menaruh harapan pada satu konsep yang tidak begitu jelas untuk
menyatupadukan rakyat yang terdiri daripada berbilang agama dan kepercayaan.

Parti-parti pembangkang seharusnya menumpu perhatian pada isu persamaan seperti hak asasi
manusia, demokrasi, ketelusan, kebebasan, keadilan dan kesaksamaan. Bukankah semua ini
merupakan nilai-nilai sejagat, yang diamalkan oleh agama Islam dan agama-agama seperti
Buddhisme, Christianity, Hinduisme, Sikhisme dan lain-lain?

Peranan NGO

Peranan NGO di Malaysia juga amat penting dalam penentuan bentuk demokrasi negara dan
nasib rakyat jelata. NGO boleh memainkan peranan yang tidak dapat dimainkan oleh parti-parti
politik kerana NGO merupakan satu kuasa non-partisan.

NGO boleh menggunakan sifat non-partisan ini untuk menyatupadukan parti-parti politik yang
menganut kepercayaan politik yang berlainan. Kadang-kadang rakyat merasa lebih selesa dan
lega untuk berjuang bersama NGO juga kerana sifat non-partisan ini.

Walau pun NGO bukan parti politik, tetapi mereka juga tidak boleh berpisah daripada prinsip
yang saya sebut tadi. NGO juga perlu berjuang atas nilai-nilai sejagat seperti demokrasi,
keadilan, kebebasan, kesaksamaan, setiakawan dan keamanan. Kesejahteraan rakyat juga
merupakan matlamat muktamad mereka.

Program Agenda Malaysia

Parti-parti pembangkang memang tajam dan tepat dengan kutukan dan kritikan terhadap parti-
parti pemerintah. Tetapi nampaknya kita kurang cekap untuk menggubah satu program yang
menarik serta menyakinkan rakyat bahawa barisan pembangkang lebih cekap dan effektif
daripada kerajaan BN untuk membawa perubahan social, politik dan ekonomi yang memberi
manfaat kepada rakyat.

Parti-parti politik pembangkang dan NGO harus bersama-sama menggubah satu program
alternative yang dapat menjamin kestabilan, pembangunan dan keutuhan ekonomi demi
kesejahteraan rakyat.

Marilah kita bersama-sama mewujudkan satu Agenda Malaysia, untuk menentang Agenda
UMNO dan agenda-agenda lain yang berunsur perkauman dan fikiran sempit.

Perjuangan untuk perpaduan umat dan rakyat Malaysia

Perjuangan untuk menyatupadukan semua rakyat tentu akan disabotajkan oleh musuh politik
kita. Tetapi tiada perjuangan tanpa pengorbanan. Berani kerana benar. Dengan cita-cita murni
dan sehati sejiwa, marilah kita bersama-sama berjuang untuk tanahair yang kita kasihi.
(24/10/2004)

* Ronnie Liu Tian Khiew, Setiausaha Antarabangsa merangkap Ketua Biro NGO

You might also like