You are on page 1of 13

RINGKASAN EKSEKUTIF;

Penerangan ringkas berkaitan Malaysia dan penduduknya yang unik, buminya yang
subur, pembangunan ekonomi yang pesat, kedudukannya yang strategik, kehidupan
rakyat yang harmoni, kemasukan penjajah yang mengamalkan dasar pecah dan perintah
dan usaha mereka mengaut komoditi negara, kemasukan buruh asing, usaha rakyat
sehingga mencapai kemerdekaan, keadaan negara selepas kemerdekaan, peristiwa
berdarah 13 Mei 1966 dan tindakan pantas kerajaan untuk mebentuk perpaduan kaum dan
integrasi nasional dilakarkan dalam pendahuluan kertas ini.

Selepas penjelasan definisi perpaduan, integrasi berdasarkan suasana Malaysia, kertas ini
menjelaskan masalah perpaduan dan integrasi nasional yang menjadi agenda utama
negara dan cabaran negara untuk mencapai Wawasan 2020. Diikuti pula dengan
halangan-halangan ke arah perpaduan dan integrasi seperti agama dan kebudayaan, dasar
penjajahan British, sistem pendidikan, amalan ekonomi, perbezaan politik dan
pendudukan Jepun.
Perasan tidak puas hati rakyat, jurang ekonomi, perbezaan kaum, suasana politik, isu-isu
sensitif yang ditimbulkan sehingga tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969 serta tindakan
kerajaan menubuhkan MAGERAN, DEB dan Rukun Negara dijelaskan dalam tajuk kecil
Peristiwa Berdarah 13 Mei.

Seterusnya dihuraikan keperluan prinsip-prinsip Rukun Negara dan diikuti dengan


hubungkait antara Rukun Negara dengan Sekolah melalui perlaksanaan Dasar Pendidikan
Kebangsaan berkaitan kurikulum, kokurikulum, peperiksan dan penggunaan bahasa
pengantar yang sama. Kemudian diteruskan dengan penubuhan Kelab Rukun Negara di
sekolah serta objektifnya.
Sebelum penutup, kertas ini menjelaskan amalan dan penghayatan prinsip-prinsip Rukun
Negara yang dilaksanakan di Kolej Islam Sultan Alam Shah seperti melafaz ikrar Rukun
Negara, mempamer prinsip-prinsip Rukun Negara, Nyanyian Lagu Kebangsaan dan
Negeri Selangor, Sekolah Penyayang, Pemuwafakatan Sekolah dan Masyarakat,
Pelaksanaan RIMUP, penyertaan dalam kokurikulum, penghayatan ibadat dan aktiviti
keagamaan, sambutan Bulan Patriotisme dan Kemerdekaan, lawatan dan ziarah,
pengurusan disiplin, hari keluarga dan sukan rakyat, acara kebudayaan dan kesenian,
perkhemahan ”Bina Insan”, majlis sambutan hari kebesaran, sistem rumah, program
”Sahsiah KISAS”, aktiviti luar sekolah dan tabung kebajikan.

Pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah pada hari ini adalah bakal pemimpin dan pembina
negara pada masa akan datang. Mereka berasal dari wilayah yang berlainan dan menjadi
ahli dalam komuniti sebuah sekolah berasrama penuh yang terdiri dari para guru,
kakitangan sokongan yang berbilang kaum dan dari daerah yang berlainan termasuk dari
Sabah dan Sarawak. Alam persekolahan dan kehidupan di asrama merupakan medan
terbaik untuk melatih komuniti kecil masyarakat Malaysia dan membina keyakinan para
pelajar dan warga sekolah peri pentingnya perpaduan dan integrasi ke arah pencapaian
akademik, kokurikulum dan pembinaan sahsiah yang cemerlang dan terbilang.
JAWAPAN SOALAN 1.
PENDAHULUAN;

Negara kita Malaysia terkenal di mata dunia sebagai sebuah negara yang sedang pesat
membangun. Kejayaannya bukan sekadar menangani isu-isu tempatan, bahkan ia turut
terlibat dalam menangani permasalahan yang menimpa dan dialami oleh masyarakat
antarabangsa. Malaysia turut dikenali sebagai sebuah Negara Islam yang unik.
Penduduknya berbilang bangsa dan kaum serta mempunyai kepercayaan dan pegangan
agama yang berbeza. Majoriti terbesar warganya terdiri dari kaum Melayu beragama
Islam. Bumi Malaysia adalah tanah asal tempat tumpah darah mereka.

Dahulu, negara ini dikenali sebagai Tanah Melayu. Tanah Melayu mendapat
kemerdekaan pada tahun 1957. Pada tahun 1966, namanya ditukar kepada ”Malaysia”.
Beberapa jenis flora dan fauna di bumi subur beriklim tropika ini sukar ditemui di tempat
lain. Hasil komoditinya menjadi idaman banyak pihak. Malaysia terkenal sebagai negara
pengeluar bahan-bahan mentah yang bernilai tinggi. Kedudukannya juga sangat strategik
dalam lingkaran laluan dagangan antarabangsa.

Walaupun rakyatnya berbilang etnik dan bangsa, tetapi mereka dapat hidup rukun dan
damai, tidak seperti penduduk di negara-negara lain yang tidak sunyi dengan perbalahan,
pertikaian dan permusuhan sedangkan mereka terdiri dari bangsa, keturunan dan
kepercayaan yang sama.

Kehidupan rakyat negara ini pernah diuji. Keharmonian hidup mereka tidak bertahan
lama kerana dicemburui banyak pihak. Beberapa kawasannya telah diserang dan dijajah
oleh pelbagai kuasa seperti Portugis, Belanda, Siam, Jepun, dan Inggeris. Segala bentuk,
rupa dan rasa keperitan dan kesukaran telah dilalui oleh ramai pemastautin tempatan
apabila mereka cuba menentang penjajahan asing demi memelihara tanah air tercinta.
Begitu juga semasa mereka berada di bawah cengkaman kuasa asing.

Banyak usaha dilakukan untuk mengembalikan semula kehidupan tanpa tekanan pihak
luar yang rakus kuasa dan benda lantaran tamak haloba untuk mengaut kekayaan dan
mengikis hasil negara. Beberapa kemudahan disediakan oleh kuasa asing yang kononnya
untuk membangunkan negara agar boleh dinikmati oleh anak-anak pribumi, tetapi
sebenarnya hanyalah helah penjajah. Penjajah sanggup membawa biji-biji benih pokok
getah untuk ditanam di sini kerana buminya subur dan sesuai. Pelbagai alat dan
kelengkapan canggih ketika itu dibawa masuk untuk memudahkan kerja-kerja mencari
dan menggali khazanah galian seperti bijih timah, besi, arang batu, emas dan sebagainya.
Mereka meredah segala ceruk negara untuk mencari dan mengaut kekayaan yang sangat
tinggi nilainya. Mereka membina lingkaran pengangkutan darat, laut dan udara untuk
memindah dan memunggah kekayaan perut negara ini ke tempat mereka. Kilang-kilang
dibina untuk mengumpul, memproses, memilih dan membawa keluar hasil komoditi
terbaik, sementara yang tinggal hanyalah sisa-sisanya sahaja. Mereka membawa masuk
buruh-buruh asing dari pelbagai negara terutama dari China dan India untuk
mendapatkan hasil dengan lebih cepat tanpa mementingkan bermacam masalah yang
akan memberi kesan kepada kehidupan, perpaduan dan keharmonian penduduk tempatan.
Semangat untuk mendapatkan kemerdekaan tidak luntur dalam jiwa bangsa Melayu
walaupun terpaksa menghadapi rintangan pihak penjajah dan orang tempatan sendiri.
Orang-orang Melayu yang dipimpin oleh Yang Mulia Tunku Abd. Rahman Putra Al Haj
tidak jemu-jemu mencari jalan terbaik dan rela bekerjasama dengan kaum-kaum lain
untuk mencapai kemerdekaan. Hasilnya pada tanggal 31 Ogos 1957, ‘Bapa
Kemerdekaan’ kita telah melaungkan kalimah keramat ”MERDEKA” dan diulang suara
oleh rakyat dari pelbagai bangsa dan keturunan dengan penuh kesyukuran. Bendera
”Union Jack ” diturunkan dan berkibar megah ”Jalur Gemilang” kemegahan rakyat jelata.
Tanah Melayu mula diiktiraf sebagai sebuah negara yang merdeka dan mempunyai
sistem pemerintahan dan perlembagaannya yang tersendiri.

Banyak perkara telah difikir dan pelbagai usaha dilaksanakan untuk mengisi
kemerdekaan dan memajukan bumi tercinta setelah sekian lama ditadbir oleh penjajah.
Bermacam-macam rintangan dan gerakan untuk menggugat keharmonian, keamanan dan
perpaduan antara kaum dapat ditangani oleh barisan pimpinan negara. Namun begitu
terjadi beberapa peristiwa yang tidak diingini kerana masih ada niat dan usaha jahat pihak
tertentu yang enggan memberi kerjasama untuk membendungnya. Jesteru, maka
perpaduan kaum dan integrasi nasional adalah isu dan agenda utama pemimpin dan
seluruh warga negara Malaysia.

DEFINISI:

Perpaduan dapat diertikan sebagai hubungan erat bersifat toleransi yang diwujudkan
secara sengaja dalam kalangan kaum dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat
bersama secara jujur dan ikhlas. Dalam kata lain perpaduan adalah proses
menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama
serta perasaan cinta dan banggakan negara.

Integrasi dirujuk kepada proses penyatuan masyarakat berbilang kaum, daerah dan
wilayah tempat tinggal, budaya, adat resam, cara hidup, latar belakang, kepercayaan dan
pegangan agama yang berlainan untuk menjadi satu entiti yang terikat oleh norma dan
nilai murni masyarakat sejagat demi mencapai tujuan dan kepentingan bersama secara
adil dan saksama.

MASALAH PERPADUAN DAN INTEGRASI NASIONAL.

Perpaduan rakyat menjadi satu cabaran utama yang dihadapi oleh Kerajaan Malaysia. Isu
perpaduan adalah utama dari sembilan cabaran untuk mencapai matlamat Wawasan 2020
yang berbunyi ”Mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu yang mempunyai
matlamat yang serupa dan boleh dikongsi bersama, berintegrasi di peringkat Wilayah dan
antara kaum, berasaskan persamaan hak dan keadilan”

Cabaran ini berkait dengan cabaran ke lima yang berbunyi ”Mewujudkan masyarakat
liberal dan bertolak ansur dengan rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat,
kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama
meletakkan kesetiaan mereka kepada negara’. Cabaran ini berkait pula dengan cabaran ke
tujuh iaitu untuk ”Mewujudkan masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang” iaitu
sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri dan kebajikan
insan tidak berkisar kepada individu tertentu sahaja.

HALANGAN DAN KESUKARAN UNTUK PERPADUAN DAN INTEGRASI.

Terdapat beberapa faktor sejarah yang menyulitkan proses pencapaian perpaduan di


Malaysia. Di antaranya ialah;

- Agama dan kebudayaan: Setiap kumpulan etnik mempunyai agama dan kebudayaan
yang berlainan. Setiap kaum pula mempunyai adat resam, bahasa, kesenian, budaya dan
sistem nilai yang berbeza. Masing-masing kurang mengenali dan memahami dan
seringkali menganggap mereka sahaja yang terbaik. Sikap ini menguatkan perasaan
buruk sangka yang menghalang pergaulan baik antara pelbagai kaum.

- Dasar Penjajah British: Penjajah British mengamalkan dasar pecah dan perintah yang
menjarakkan kumpulan-kumpulan etnik demi kepentingan dan keselamatan mereka
sendiri.. Penjajah sengaja menentukan status dan peranan yang berlainan bagi kaum yang
tertentu. Interaksi antara kaum menjadi terbatas dan lahirlah sikap prasangka negatif yang
kukuh antara rakyat tempatan yang berbilang etnik.

- Sistem pendidikan, persekolahan dan bahasa yang berlainan: Laporan Razak menyebut
bahawa tiada satu sistem pendidikan nasional di Tanah Melayu di mana setiap etnik lebih
gemar menghantar anak mereka ke sekolah yang menggunakan bahasa ibunda masing-
masing. Kurikulum yang digunakan juga tidak sama. Ada pula yang berpusat ke negara
nenek moyang mereka, tidak terdapat bahasa pengantar yang sama. Keadaan ini
melebarluaskan lagi jurang pergaulan, menghasilkan pandangan yang berlainan dan
menjejaskan persefahaman dan perhubungan sesama rakyat di samping mewujudkan
keperibadian dan perwatakan yang berbeza tanpa mempedulikan pembentukan warga
negara yang beridentitikan satu negara.

- Amalan ekonomi yang berlainan: Setiap etnik menjalankan aktiviti ekonomi yang
tertentu dan mendiami kawasan yang berlainan. Keadaan ini mewujudkan jurang
pendapatan yang tidak seimbang dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan
etnik yang berlainan jenis dan ras serta mengakibatkan perpaduan negara terancam.

- Perbezaan politik mengikut bangsa, kaum dan etnik: Kewujudan persatuan politik,
sosial dan ekonomi berdasarkan bangsa, kaum dan etnik tertentu telah memmperkuatkan
identiti sesuatu kumpulan dan menimbulkan perasaan syak wasangka kerana setiap
kumpulan hanya memperjuangkan hak dan kepentingan kumpulan tertentu sahaja. Parti-
parti politik yang berasaskan kepada suku kaum juga memainkan pelbagai isu sensitif
seperti bahasa, budaya, ekonomi dan hak keistimewaan sehingga memburukkan lagi
masalah perpaduan.
- Pendudukan Jepun: Kemasukan tentera Jepun ke Tanah Melayu menambah jurang
permusuhan antara orang Melayu dan orang Cina. Sebilangan besar tentera anti Jepun
terdiri dari orang-orang Cina, sementara ramai pula orang Melayu yang diambil oleh
tentera Jepun untuk menjadi askar dan polis. Keadaan ini menjadikan menjejaskan
persefahaman dan menimbulkan perasaan kurang senang antara masyarakat Melayu dan
Cina.

PERISTIWA BERDARAH 13 MEI 1969

Penjajahan British melalui dasar pecah dan perintah serta mementingkan kuasa dan
ekonomi menyebabkan terjadi jurang perbezaan dan pengenalan ekonomi berbentuk etnik
antara kaum dan wilayah. Pelbagai kaum terasa seperti tidak mendapat pembelaan dan
peluang yang sewajarnya. Dalam kempen pilihanraya 1969 pula, terdapat parti-parti
politik yang telah menimbulkan isu-isu sensitif yang menyentuh kaum tertentu.
Kehilangan dua pertiga majoriti parti Perikatan dalam pilihanraya umum tersebut, diikuti
kelantangan beberapa pemimpin parti pembangkang dan penyokong mereka yang
menimbulkan perasaan saling membenci dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
Kemuncak manifestasi perkauman ini ialah peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Kerajaan bertindak pantas dengan menubuhkan sebuah badan khas yang dikenali sebagai
Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Majlis ini dipertanggungjawabkan untuk
mengembalikan keamanan dan undang-undang negara, menentukan pentadbiran yang
licin, adil dan sempurna serta mengembalikan suasana keharmonian dan kepercayaan
antara kaum.

Peristiwa ini menunjukkan bahawa perpaduan nasional sukar dicapai jika terdapat jurang
perbezaan yang terlalu besar terutama dari segi ekonomi, politik dan sosial antara rakyat
pelbagai kaum.

Pada bulan Januari 1970, Majlis Perundingan Negara (MPN) ditubuhkan. Fungsi utama
majlis ini ialah meneliti isu-isu perpaduan negara serta mencari jalan untuk
menyelesaikannya. Antara hasil utama Majlis ini ialah Rukun Negara dan Dasar Ekonomi
Baru.

Perisytiharan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 sebagai ideologi kebangsaan negara
adalah bertujuan agar fikiran, pendapat dan perasaan rakyat pelbagai kaum dapat
dipersatukan secara pemuwafakatan dan bijaksana tanpa membangkitkan isu-isu sensitif
yang boleh mencetuskan keadaan yang tidak diingini.

RUKUN NEGARA;

Bahawasanya Negara Kita Malaysia, mendukung cita-cita hendak mencapai perpaduan


yang lebih erat di kalangan masyarakatnya, memelihara satu cara hidup demokratik,
mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati
secara adil dan saksama, menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi
kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak, membina satu masyarakat progresif yang
akan menggunakan sains dan teknologi moden.
MAKA KAMI, Rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usasha
kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan prinsip-prinsip berikut;

- KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN


- KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
- KELUHURAN PERLEMBAGAAN
- KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
- KESOPANAN DAN KESUSILAAN

HURAIAN KEPERLUAN PRINSIP-PRINSIP RUKUN NEGARA;

Keperluan prinsip-prinsip Rukun Negara dapat dihuraikan seperti huraian berikut;


Prinsip Rukun Negara
Huraian

Kepercayaan kepada Tuhan

Semua rakyat mengaku bahawa kuasa Tuhan mengatasi sebarang kuasa lain. Islam adalah
agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan oleh orang bukan Islam.
Prinsip ini akan mewujudkan masyarakat yang beragama dan berpegang teguh dengan
ajaran masing-masing. Diharapkan rakyat yang berpegang teguh dengan ajaran agama
akan mempunyai peribadi dan mengamalkan sifat-sifat terpuji yang dapat membentuk
fikiran, pertuturan dan perbuatan yang memanfaatkan diri sendiri serta orang lain kerana
semua agama mengajar kebaikan mengikut fahaman masing-masing.

Kesetiaan kepada Raja dan Negara

Prinsip ini bertujuan untuk menanam sifat-sifat kesetiaan, bertanggungjawab, sanggup


berkorban demi kerajaan dan negara serta bersedia memberi sumbangan dalam
pembangunan negara. Prinsip ini menegaskan bahawa Yang di Pertuan Agung adalah
lambang perpaduan negara.

Keluhuran Perlembagaan

Membolehkan masyarakat memahami bahawa perlembagaan negara merupakan sumber


perundangan tertinggi yang harus dipatuhi. Kesetiaan terhadap undang-undang negara
juga tidak boleh dipersoalkan berdasarkan keturunan atau kaum seseorang.

Kedaulatan Undang-undang

Mewujudkan masyarakat yang menghormati undang-undang negara kerana ia berfungsi


memberi perlindungan kepada semua anggota masyarakat. Setiap warga tertakluk di
bawah peraturan dan undang-undang yang diwartakan.
Kesopanan dan Kesusilaan

Bertujuan untuk memupuk sahsiah mulia dan terpuji dalam kalangan masyarakat
berbilang kaum agar tidak mudah menyinggung perasaan orang lain yang boleh
menjejaskan keharmonian negara.

Kesemua lima prinsip Rukun Negara di atas bertujuan untuk mewujudkan sebuah negara
Malaysia yang seluruh rakyatnya bersatu padu, adil, demokratik, liberal dan progresif.

DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN DAN PERPADUAN NEGARA;

Pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa
sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan
pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan
dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa ”Pendidikan di Malaysia adalah suatu
usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh
dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha
ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”

Secara tidak langsung dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu
padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan
dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa pengantar dan sistem
peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum
yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang persekolahan pelajar.

Kurikulum yang dibina bukan saja bertujuan untuk memberi ilmu pengetahuan dan
maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan ia juga dapat membentuk sahsiah,
keperibadian dan perwatakan murid yang diingini bagi memupuk perpaduan. Kurikulum
ini berorientasikan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai
tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan
Al Quran Dan Assunnah dan Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan
pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia serta membentuk tingkahlaku yang bersopan
santun dan saling menghormati sesama manusia.

PENUBUHAN KELAB RUKUN NEGARA DI SEKOLAH;

Semasa merasmikan sambutan Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2000 di Melaka,


Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Bin Hají Ahmad Badawi selaku Timbalan
Perdana Menteri pada ketika itu, telah menyarankan supaya Kelab Rukun Negara
ditubuhkan di sekolah. Sebelum itu, dalam perasmian Hari Perpaduan Peringkat
Kebangsaan 1999 di Pahang, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa
berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara untuk menjamin perpaduan dan
kemakmuran negara agar terus berkekalan. Dengan tertubuhnya Kelab Rukun Negara di
sekolah melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 17/2000 yang dikeluarkan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia berkaitan Penubuhan Kelab Rukun Negara Di Sekolah,
maka pengetahuan, pemahaman, penghayatan warga sekolah terutamanya golongan
relajar terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara ke arah menjana semangat perpaduan yang
lebih jitu dapat dipertingkat dan diperkukuhkan..

OBJEKTIF PENUBUHAN KELAB RUKUN NEGARA DI SEKOLAH;

Objektif penubuhan Kelab Rukun Negara di sekolah ialah;


- Memperkenalkan prinsip-prinsip Rukun Negara.
- Memberi pengertian dan kefahaman tentang lima prinsip Rukun Negara.
- Menyubur dan mempertingkatkan kesedaran kerohanian dan kepentingan Rukun
Negara sebagai asas norma kehidupan.
- Menjadikan prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai satu amalan cara hidup yang
berterusan bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri, setia, bersatupadu,
berwawasan, bermaruah, bersikap terbuka dan beretika sejajar dengan wawasan negara.

AMALAN DAN PENGHAYATAN PRINSIP-PRINSIP RUKUN NEGARA DI


SEKOLAH;

Di antara amalan dan penghayatan berkaitan prinsip-prinsip Rukun Negara yang


dilaksanakan di Kolej Islam Sultan Alam Shah ialah;

Melafazkan ikrar Rukun Negara –


Amalan ini dilaksanakan oleh semua warga sekolah dalam perhimpunan mingguan, hari
sukan tahunan dan semasa majlis ulang tahun kemerdekaan. Kesannya sangat positif
kerana semua warga sekolah dapat mengingati dan menghayati falsafah serta prinsip-
prinsip Rukun Negara.

Mempamerkan prinsip-prinsip Rukun Negara-


Semua prinsip Rukun Negara dipamer di tempat strategik seperti di pejabat, bilik
mesyuarat, perpustakaan, dewan besar, dewan kuliah, kantin dan pada bangunan sekolah.
Kesannya ialah semua warga sekolah dapat mengingat dan sentiasa sedar kepentingan
Rukun Negara sebagai seorang rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan dan kehidupan
yang harmonis untuk mencapai wawasan negara.

Nyanyian Lagu Negaraku dan lagu Negeri Selangor-


Amalan ini dilaksanakan pada setiap perhimpunan resmi sekolah. Semua warga sekolah
bingkas bangun dengan sendirinya apabila dimaklumkan oleh pengacara majlis dan
menyanyikan lagu-lagu tersebut dengan penuh semangat. Amalan ini dapat membina
perasaan setia, cinta dan bangga kepada negara dan raja yang menjadi lambang
perpaduan seluruh rakyat Malaysia.
Sekolah Penyayang –
Satu program yang dilaksanakan di sekolah dengan menekankan konsep ”Kolejku
Syurgaku” dan ”Yang Tua Dihormati, Yang Muda Disayangi” dengan penyertaan
bersama ibubapa pelajar melalui Persatuan Ibubapa dan Guru. Amalan ini dapat
mewujudkan golongan pelajar yang cinta kepada sekolah, membentuk peribadi pelajar
yang suka menolong dan menghormati orang lain, berbudi pekerti mulia, serta
menimbulkan perasaan kasih sayang dan hubungan mesra antara warga sekolah dan
sesama ibubapa para pelajar.

Pemuafakatan Sekolah dan Masyarakat –


Sekolah juga mewujudkan program pemuwafakatan dengan masyarakat setempat melalui
program-program ilmiah seperti ceramah agama, kuliah subuh, bacaan Yasin, solat hajat,
Makan Beradab, majlis khatam Al Quran, sambutan Maulidur Rasul, Ma’al Hijrah,
gotong royong membersih tanah perkuburan, majlis perkahwinan dan sebagainya.
Sekolah juga memberi kerjasama kepada penduduk dan masyarakat setempat apabila
mereka memohon kerjasama dari pihak sekolah untuk menggunakan kemudahan padang
dan dewan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti, majlis-majlis dan permainan tertentu.

Pelaksanaan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) -


Sebagai sebuah sekolah berasrama penuh yang majoriti pelajarnya terdiri dari pelajar
Melayu, namun mereka berasal dari daerah dan negeri yang berlainan termasuk dari
Sabah dan Sarawak. Program RIMUP secara kelompok turut diadakan di mana pelajar-
pelajar dari sekolah ini terlibat dengan program yang dirancang bersama dengan sekolah–
sekolah lain yang, mempunyai pelajar berbilang kaum. Jawatankuasa RIMUP peringkat
sekolah dan kelompok dianggotai kaum yang pelbagai. Kesan penglibatan pelajar dan
warga sekolah dalam program ini adalah sangat baik. Ia membolehkan mereka
berinteraksi dan bergaul secara lebih erat dan mesra seterusnya menyumbang kepada
perpaduan dan integrasi rakyat yang lebih erat.

Penyertaan Dalam Kokurikulum –


Semua pelajar diwajibkan mengambil bahagian dalam persatuan, permainan dan pakaian
seragam. Penyertaan aktif dalam kokurikulum dan pembabitan mereka dalam
perkhemahan, persembahan dan pertandingan di pelbagai peringkat akan mendedahkan
mereka kepada situasi yang berlainan dan beragam. Terdapat peraturan dan disiplin
tetrtentu semasa mengikuti program-program yang dijalankan. Pemilihan ahli
jawatankuasa dilakukan secara demokrasi dengan bimbingan guru penasihat dan jurulatih
dari pelbagai agensi. Mereka dapat berinteraksi secara sihat serta mematuhi peraturan dan
disiplin yang ditentukan. Hasil dari penglibatan pelajar secara aktif dalam aktiviti yang
dilaksanakan adalah sangat memuaskan terutama dalam usaha untuk membentuk dan
membina kehidupan masa depan pelajar dan sebuah masyarakat yang berdisiplin,
berharmoni bersatu padu dan berintegrasi.

Penghayatan Ibadat Dan Aktiviti Keagamaan –


Pelajar diwajibkan menunaikan kewajipan ibadat Solat lima waktu secara berjemaah dan
ibadat-ibadat lain di surau dan di masjid. Amalan ini dapat membentuk peribadi pelajar
yang ta’at kepada suruhan Tuhan. Mereka terasa bersalah jika suruhan Tuhan tidak
ditunaikan. Amalan ini berjaya membentuk golongan pelajar yang bersifat mulia dan
terpuji seterusnya menjadikan mereka warganegara yang cintakan kedamaian, keamanan
dan perpaduan yang sejati sebagai warga yang baik kerana kepercayaannya yang kuat
kepada Tuhannya. Mereka akan bersatu padu dan bekerjasama untuk membina kehidupan
terbaik dalam negara yang tercinta.

Sambutan Bulan Patriotisme dan Kemerdekaan –


Setiap tahun sekolah mengadakan pelbagai program sempena memperingati hari
ulangtahun kemerdekaan negara. Jawatankuasa sambutan peringkat sekolah ditubuhkan
dengan kerjasama Kelab Rukun Negara, Unit Bimbingan Dan Kaunseling, Kelab Guru
dan Kakitangan, Persatuan Sejarah dan Persatuan-persatuan pelajar. Sekolah juga turut
melibatkan penyertaan PIBG, Alumni, tokoh-tokoh dan sejarawan, Agensi dan Badan
Kerajaan dan Bukan Kerajaan dalam aktiviti yang dilaksanakan. Acara yang
dilaksanakan ialah seperti ceramah kemerdekaan, tayangan gambar berbentuk patriotik,
pembacaan sajak, sketsa, pentomen, kibaran ”Jalur Gemilang”, hiasan bilik darjah dan
asrama, pidato, forum, penulisan esei, derma darah, pameran, melukis potret tokoh
negara, perbarisan dan perarakan serta sambutan detik kemerdekaan. Pelajar juga terlibat
dengan program sambutan yang dianjurkan oleh pihak lain di peringkat daerah, negeri
dan kebangsaan. Penyertaan pelbagai pihak dalam menjayakan program ini dapat
membina keyakinan semua warga sekolah berkaitan pembinaan bangsa Malaysia yang
merdeka dan bertanggungjawab, bersifat patriotisme yang tinggi dan cintakan kehidupan
bersatupadu dan kestabilan negara.

Lawatan dan ziarah –


Sekolah menggalakan para pelajar membuat program lawatan ke tempat-tempat
bersejarah, Parlimen, Putrajaya, Bandaraya Melaka, Memorial, Tugu Negara, Muzium
Negara, Rumah-rumah kebajikan, asrama anak-anak Yatim dan miskin, Penjara, Rumah
perlindungan kanak-kanak, asrama orang kurang upaya, sekolah, universiti dan
sebagainya. Pelbagai acara diadakan semasa lawatan dan ziarah tersebut diadakan seperti
perbincangan, gotong royong, khidmat Imam dan Bilal, persembahan kesenian dan
kebudayaan, pertukaran maklumat dan sebagainya. Kesan dari program lawatan dan
ziarah ini sangat bermakna dan memberi kesedaran kepada pelajar peri pentingnya
berbudi bahasa, mengamalkan toleransi dan perhubungan baik sesama rakyat berbilang
kaum dan keturunan.

Pengurusan Disiplin Secara Kolektif, Telus dan Adil –


Jawatankuasa Disiplin dan Lembaga Disiplin sekolah diwujudkan. Pelajar didedahkan
berkenaan pengurusan disiplin dan peraturan sekolah dan asrama sejak hari pendaftaran
atau hari pertama persekolahan bermula. Peraturan sekolah dimaklumkan kepada semua
pelajar dan dipamerkan di setiap lokasi penting seperti bilik darjah, papan-papan
kenyataan sekolah dan asrama. Pelajar selalu diingatkan supaya mematuhi undang-
undang dan peraturan yang ditetapkan mengikut pekeliling yang dibenarkan. Pelajar
diberi peringatan, amaran dan nasihat supaya berkelakuan baik sepanjang persekolahan.
Setiap kes kesalahan diambil perhatian dan segala tindakan adalah mengikut prosedur
yang dibenarkan. Tindakan dan hukuman yang dikenakan ke atas pelajar yang
bermasalah adalah adil, menggunakan budi bicara yang sepatutnya dan bertujuan untuk
mendidik serta mengambil kira situasi dan masa depan pelajar terbabit. Keadaan ini
menjadikan suasana sekolah berada dalam keadaan tenteram dan harmoni sesuai sebagai
tempat mulia untuk mereka menimba pengalaman dan ilmu pengetahuan seterusnya
menjadi pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Pelajar menikmati suasana
kondusif di sekolah dan di asrama di mana. Budaya ”Sekolahku Syurgaku” dapat
diwujudkan. Mereka dapat merasakan kepentingan undang-undang, peraturan, etika, tata
susila dan perlembagaan di sesebuah institusi dan masyarakat serta menyedari
tanggungjawab semua pihak agar sentiasa menghormati dan mematuhinya.

Hari Keluarga dan Sukan Rakyat –


Program yang melibatkan seluruh warga pendidik, kakitangan dan beberapa orang pelajar
telah diadakan. Pelbagai acara dijalankan melibatkan semua eserta. Selain dapat
menghilangkan perasaan tertekan dengan bebanan tugas, program ini dapat membina
persefahaman, keteguhan perpaduan dan perasaan kasih sayang dalam kalangan seluruh
warga sekolah.

Acara kebudayaan dan kesenian-


Pelbagai acara berbentuk kebudayaan dan kesenian rakyat telah diadakan seperti
permainan tradisi, boria, dikir barat, nasyid, marhaban, berzanji dan lain-lain lagi yang
disertai oleh pelajar, kakitangan dan guru sekolah. Selain dapat berhibur, semua yang
terlibat dapat memahami dan mematuhi peraturan yang digariskan.

Perkhemahan Bina Insan –


Program ini melibatkan semua pelajar dan guru-guru serta sebahagian kakitangan
sokongan sekolah. Kerjasama diperolehi dari pelbagai pihak seperti Kerajaan Negeri
Selangor, Bomba, Polis dan sebagainya. Acafa-acara yang dijalankan ialah seperti
ceramah motivasi, pembinaan jati diri, kerohanian, kembara, ikhtiar hidup,
kewarganegaraan dan riadah. Suasana perkhemahan yang dijalankan di luar kawasan
sekolah sangat menyeronokkan para pelajar. Selain dari mendapat maklumat dan
kemahiran baru, mereka dapat merasai keindahan alam Malaysia, nikmat kehidupan
dalam sebuah negara yang aman dan damai.

Majlis Sambutan Hari Raya, Ucapan Tahun Baru Cina dan Hari Depavali-
Setiap kali menjelang hari perayaan, sekolah mengatur program yang melibatkan seluruh
warga sekolah. Beraneka jenis makanan yang dihidang dinikmati bersama. Sumbangan
yang diperolehi dari pelbagai pihak disampaikan kepada mereka yang kurang
berkemampuan. Ucapan selamat yang diberikan, disambut dengan penuh kemesraan dan
dapat membentuk perasaan kasih sayang dan perpaduan rakyat berbilang kaum dalam
dunia sekolah yang kecil.

Sistem Rumah –
Pelajar sekolah dari daerah yang berlainan termasuk dari Sabah dan Sarawak ditempatkan
dalam satu rumah supaya mereka dapat berinteraksi dan berkongsi hidup dalam
kehidupan sebagai pelajar sekolah berasrama penuh. Setiap rumah dibimbing dan
dipantau oleh para warden dan guru-guru dari pelbagai kaum. Perlaksanaan sistem ini
telah berjaya mewujudkan suasana kediaman yang aman dan sihat yang memberi
semangat kepada pelajar mengikuti proses persekolahan mereka dalam situasi yang
terbaik dan kondusif. Sistem ini mempunyai cara pemarkahan yang melibatkan empat
komponen utama iaitu sahsiah dan kepimpinan, akademik, kokurikulum dan 3K
(Kebersihan, Keselamatan dan Keceriaan) asrama dan kelas. Hasilnya kehidupan yang
harmoni dan berdisiplin dalam kalangan ahli rumah terbina sebagai sebuah komuniti
sekolah yang mempunyai semangat bersatu padu dan berintegrasi tinggi.

Program Sahsiah Kisas –


Satu program tahunan yang dirangka sejak tahun 2002. Pelbagai program diatur seperti
’Infaq dan Tadhiah’, ”Istiqamah dan Iltizam”, ”Khidmat Murabbi” dan ”Adab
Komunikasi”. Melalui acara-acara yang dijalankan, sekolah berjaya membentuk
keperibadian, sahsiah dan jati diri pelajar yang berketrampilan dan dapat menghayati
kandungan prinsip Rukun Negara.

Aktiviti Riadah di luar sekolah –


Sekolah menggalakkan pelajar mengambil bahagian dalam pelbagai program yang
dianjur pelbagai pihak seperti Majlis Perbandaran Klang, Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur, Pejabat Daerah Klang, Majlis Belia Malaysia, Jabatan Agama Islam Selangor,
Rakan Muda, INMIND dan sebagainya. Antara aktiviti yang disertai pelajar ialah
senamrobik, mencari harta karun, larian Bandar Diraja, Perarakan Sambutan Maulidur
Rasul dan Ma’al Hijrah, Larian Merdeka dan sebagainya. Pelajar dapat berinteraksi
dengan peserta dari pelbagai kaum dan lapisan masyarakat. Mereka dapat memahami
dengan lebih mendalam erti perpaduan dan perasaan hormat menghormati sesama
masyarakat.

Tabung kebajikan –
Sekolah mengadakan tabung kebajikan guru, kakitangan dan juga pelajar. Selain dari
kutipan yuran, derma kilat, sumbangan juga diperolehi dari pihak luar seperti PIBG,
Alumni, Bank Islam, Bank Rakyat, Pusat Zakat, Yayasan-yayasan Negeri, Koperasi
Muslimin, para dermawan dan orang perseorangan. Sumbangan ini diagihkan kepada
pelajar yang terdiri dari keluarga yang kurang berada untuk membayar yuran sekolah,
peperiksaan, wang saku, perubatan, zakat, pakaian, melanjutkan pelajaran, kematian atau
kemalangan dan sebagainya. Amalan sebegini dapat menyemai perasaan simpati, kasih
mengasihi, mengukuhkan ikatan muhibbah, perpaduan dan integrasi nasional seperti yang
dihasrat dan dicita-citakan dalam Rukun Negara.

PENUTUP;

Kejelekitan perpaduan dan integrasi rakyat dalam sebuah negara berbilang kaum sukar
dicapai tanpa pendedahan awal yang berstrategik, keintiman, persefahaman semua pihak,
kepercayaan dan pegangan kukuh terhadap ajaran agama, di samping menghayati dengan
penuh keinsafan intipati dan kandungan tersurat dan yang tersirat dalam kesemua prinsip
rukun negara.
Penghayatan Rukun Negara untuk mencapai perpaduan dan integrasi nasional yang padu
lagi jitu dilaksanakan di Kolej ini melalui proses pendidikan dan pembelajaran
berdasarkan kurikulum Kebangsaan, pembabitan dalam kokurikulum yang teratur dan
terancang, penghayatan keagamaan dalam kehidupan seharian, penyertaan semua warga
organisasi dalaman sekolah dan di luar sekolah dalam pelbagai aktiviti yang menjurus
kepada pembentukan kehidupan rakyat yang bersatu padu secara kolektif serta jalinan
perhubungan yang baik dan mesra yang diamalkan secara ikhlas dan penuh keinsafan
oleh semua pihak berdasarkan prinsip-prinsip Rukun Negara Malaysia.
Kini kita berada dalam era globalisasi dan liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan di Kolej
ini ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang bersatupadu. Walaupun terdapat
beberapa cabaran, tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan
strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan
bersifat pro aktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpaduan dan integrasi
nasional akan tercapai dengan restu dan perkenan Tuhan Yang Maha Berkuasa.

SENARAI RUJUKAN;

1. Sejarah Malaysia, Fajar Bakti Sdn. Bhd


2. Malaysia Kita, Institut Tadbiran Awam Negara, JPN, 1991
3. Malaysia Kita, International law book Services, 2007.
4. Buku Panduan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan, KPM, 2005.
5. Pengajian Am Kenegaraan Malaysia, Mohd. Thajudin Abd. Muthalib, East View,
1997.
6. Pengajian Am Kertas 900/1, Prof Madya Dr. Cheu Hock Tong, Pustaka Sarjana, 2001.
7. Negara Kita, INTAN, Kuala Lumpur, 1986.
8. Perlembagaan Persekutuan, Pindaan 1987, Jabatan Percetakan Kerajaan, Kuala
Lumpur, 1988.
9. Mengenal Perlembagaan Malaysia, Tun Mohammad Suffian Hashim, DBP, 1984.
Posted by abdullah hj hassan at 11:57 PM

You might also like