You are on page 1of 13

1.

0 INTERAKSI ANTARA TAMADUN ISLAM DENGAN


TAMADUN MELAYU SERTA KESANNYA

1.1 Pendahuluan

Sarjana dalam bidang ilmu tamadun berpendapat sesebuah tamadun tidak boleh hidup
bersendirian. Oleh sebab itu, sesebuah tamadun sentiasa berinteraksi dan berhubung dengan
tamadun – tamadun lain. Kewujudan interaksi ini berlaku kerana semua tamadun mengamalkan
sikap toleransi yang tinggi serta saling hormat – menghormati. Sifat – sifat yang baik itu akan
membuka ruang percambahan fikiran dan budaya serta dapat memperkayakan lagi tamadun
berkenaan. Namun begitu, tidak dapat dinafikan interaksi antara tamadun akan meninggalkan
beberapa kesan dalam tamadun berkenaan, sama ada kesan negatif atau kesan positif.

Perkataan tamadun merangkumi kebudayaan, peradaban, kemajuan (kebendaan dan


kerohanian) dan sopan santun. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, tamadun atau
civilization bermaksud kemajuan atau dalam tingkat penghidupan atau peradaban. Dari bahasa
Arab, perkataan tamadun atau peradaban sering dikaitkan dengan beberapa istilah seperti
madaniah dan hadarah. Perkataan tamadun lahir daripada perkataan maddana yang mempunyai
dua pengertian, iaitu merujuk kepada perbuatan membuka bandar atau kota, serta perbuatan
memperhalus budi pekerti. Ibnu Khaldun, bapa ilmu ketamadunan dalam bukunya Muqaddimah
menggunakan istilah umran untuk menerangkan konsep tamadun. Umran pada asalnya bermakna
suatu tanah atau tempat yang didiami manusia yang mempunyai persediaan yang cukup bagi
manusia dan keperluannya. Saiyid Qutb mendefinisikan tamadun Islam sebagai segala bentuk
kemajuan yang dihasilkan oleh sekumpulan masyarakat seperti sistem sosial, pemerintahan,
politk, ekonomi, dan kebudayaan yang berteraskan syariat Allah, serta bercirikan nilai – nilai
moral Islam. Manusia tidak akan dapat mencari satu etika tamadun jika tidak mempunyai
masyarakat yang bermoral.

1
Tamadun Melayu ialah sebuah tamadun yang dibentuk oleh sekelompok manusia yang
digolongkan secara luas sebagai kumpulan orang Melayu dan bertempat di suatu wilayah di Asia
Tenggara yang dikenali dengan pelbagai nama seperti Gugusan Kepulauan Melayu – Indonesia
(Malay – Indonesia Achipelago), Nusantara, Alam Melayu, Tanah Jawa dan sebagainya.
Menurut Mohd Ghouse Nasuddin 1993, tamadun Melayu merujuk kepada satu rumpun bangsa
yang berasal daripada satu punca, mempunyai asas kehidupan yang sama dan hanya berbeza dari
segi pengaruh alam perskitaran. Dari segi kesenian ia adalah lebih luas, merangkumi kawasan
dunia Melayu lama iaitu yang terletak di kawasan kepulauan dan benua Asia Tenggara dan
berpusat di kerajaan – kerajaan Srivijaya, Majapahit, Melaka dan Kedaram. Manakala, dalam
keadaan geopolitik, sekarang dunia Melayu lama merangkumi Malaysia, Brunei, Indonesia, Thai
Selatan, sebahagian Kemboja dan Selatan Filipina.

Tamadun Islam merupakan penghayatan Islam sebagai sebuah cara hidup (way of the
life) yang menyeluruh. Berbeza daipada tamadun – tamadun dunia yang lain, kelahirannya tidak
disebabkan faktor – faktor material. Perkembangannya bermula dengan turunnya ayat al – Quran
kepada Nabi Muhammad S.A.W pada abad ke – 7 Masihi. Baginda menjadi role model kepada
seluruh umat Islam dalam pengembangan tamadun Islam sehingga kini agar pembinaan tamadun
yang gemilang hendaklah berasaskan kepada penghayatan Islam itu sendiri. Kemajuan tamadun
Islam tidak terbatas hanya pada kemajuan kebudayaan semata – mata, malahan ia merupakan
kemajuan yang serentak dengan kerohanian. Tamadun Islam berbeza dengan tamadun dunia
yang lain kerana ia meletakkan al – Din sebagai asas yang membentuk tamadun berbanding
dengan tamadun lain yang diasaskan oleh manusia.

2
1.2 Konsep interaksi dalam konteks perkembangan tamadun

Interaksi secara mudahnya memberi maksud hubungan, pertemuan, komunikasi dan lain – lain
yang berlaku dalam kelompok, masyarakat dan seterusnya negara. Ini bermaksud interaksi antara
peradaban, bukanlah merujuk kepada interaksi antara tamadun itu sendiri, tetapi secara realitinya
merujuk kepada interaksi antara individu atau masyarakat yang mana individu atau masyarakat
tersebut mewakili sesuatu peradaban (tamadun).

Tiada peradaban yang tulen secara mutlak iaitu tiada tamadun yang wujud dan
berkembang secara ekslusif iaitu bergantung kepada faktor dalaman semata – mata. Pengalaman
dan penerimaan daripada peradaban yang lain melalui proses interaksi tamadun adalah proses
yang biasa dalam pembinaan sesebuah peradaban, misalnya dalam proses pembinaan. Tamadun
Melayu dapat dikesan melalui beberapa aspek seperti aspek fizikal, aspek agama, aspek bahasa,
aspek pakaian, aspek makanan, gaya hidup dan sebagainya. Aspek – aspek ini merujuk kepada
proses interaksi yang berlaku dengan tamadun atau peradaban luar.

Peradaban mempunyai jenis – jenis interaksi yang tersendiri. Jenis – jenis interaksi antara
peradaban ialah interaksi fizikal, interaksi teologi dan agama, interaksi sains dan teknologi dan
interaksi budaya. Interaksi fizikal ialah merujuk kepada hubungan yang berlaku dalam aspek
biologi antara kaum. Ia berlaku di sepanjang sejarah manusia. Kemudian, menerusi interaksi
toelogi dan agama, ramai berpendapat bahawa agama adalah satu sistem yang tertutup. Dari satu
segi, ia memang benar kerana terdapat agama yang unik yang hanya dapat dipraktikkan oleh
bangsa tertentu sahaja misalnya agama Shinto (Peradaban Jepun). Di samping itu, interaksi sains
dan teknologi merupakan unsur yang paling ketara dalam mana – mana peradaban. Contohnya
Peradaban Hidu yang kaya dalam bidang sains dan falsafah, sebahagian ideanya dalam aspek ini
adalah hasil interaksinya dengan tamadun China. Selain itu, interaksi budaya merupakan
interaksi yang paling jelas terlihat pada mana – mana tamadun. Interaksi budaya meliputi
pelbagai aspek kehidupan seperti makanan, pakaian, senibina, seniukir, muzik dan sebagainya.

3
Selain itu, setiap tamadun yang muncul mempunyai sifat – sifat, pencapaian serta
keunikan yang tersendiri. Namun demikian, ia tidak bermakna sesebuah tamadun itu tertutup dan
tidak menerima pengaruh luar sebaliknya terdapat interaksi yang berlaku antara tamadun.
Interaksi antara tamadun ini berlaku di peringkat nilai, idea, institusi dan insan. Ia berlaku di
sepanjang sejarah. Interaksi antara tamadun ini berlaku melalui proses yang tertentu dan juga
pelbagai toleransi yang tinggi serta sikap saling menghormati antara sesebuah tamadun dengan
tamadun yang lain. Sifat terbuka sesebuah tamadun ini memberi peluang kepada berlakunya
percambahan pemikiran dan budaya serta memperkayakan lagi tamadun tersebut dalam pelbagai
aspek. Hal ini dapat mengelakkan sesebuah tamadun itu daripada menjadi beku dan jumud yang
akhirnya boleh meruntuhkannya. Proses interaksi antara tamadun berlaku disebabkan pelbagai
faktor.

4
1.3 Faktor yang mempengaruhi interaksi antara Tamadun Melayu dengan Tamadun Islam.

Interaksi antara tamadun tidak akan berlaku tanpa adanya faktor – faktor yang membolehkannya
berlaku. Terdapat beberapa faktor yang membawa berlakunya proses interaksi antara tamadun
antaranya ialah :

Perkembangan agama Islam

Tamadun Islam berkembang di Alam Melayu melalui perkembangan agama Islam.


Perkembangan agama Islam berlaku secara aman kerana rantau Melayu telah lama dikenali oleh
pedagang – pedagang Islam sejak abad pertama Hijrah (abad ke – 7 M). Ini dibuktikan oleh
rekod Cina yang melaporkan telah terdapat sebuah kerajaan Isalm yang dikenali sebagai Ta –
shih di sekitar Sumatera Utara yang mempunyai hubungan dengan Tamadun Cina pada tahun
650M. Sebahagian besar pedagang Islam pada masa tersebut dipercayai datangnya dari Yaman,
iaitu sebuah kerajaan Arab yang bergiat dalam perdagangan. Di samping itu, selain kedatangan
Islam dari Tanah Arab terdapat dua lagi teori kedatangan Islam iaitu dari Cina dan India.

Geografi

Melalui kedudukan yang strategik kerana terletak di pertengahan jalan perdagangan antara Timur
dengan Barat, beberapa tamadun telah bertembung dan berinteraksi. Antaranya ialah interaksi
yang berlaku di Kepulauan Melayu. Kedatangan Islam ke gugusan Melayu telah memberikan
dampak yang mendalam terhadap kebudayaan atau cara hidup di kawasan tersebut. Selain itu,
kedudukan Kepulauan Melayu yang lebih terbuka kawasan geografinya (laluan perdagangan)
menjadi lebih terbuka sifatnya dalam orientasi ketamadunannya. Ini akan menyebabkan mereka
lebih terdedah kepada tamadun luar. Kerajaan Srivijaya dari kurun ke – 7 hingga ke – 11
merupakan kerajaan maritim Melayu yang terpenting dan telah mendominasi seluruh pesisir laut
di utara dan barat Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu dan Jawa Barat serta perairan Selat
Melaka dan Sunda.

5
Perdagangan

Perdagangan merupakan antara kaedah penting di dalam memperkembangkan Islam. Ini kerana,
hanya dengan bantuan aktiviti perdagangan sahaja yang memungkinkan Islam yang berasal di
sebuah wilayah yang jaraknya beribu – ribu batu dari Alam Melayu mampu berkembang.
Meskipun jalan darat juga mempunyai peranan besar dalam melihat kedatangan Islam, namun ia
masih kecil berbanding pengaruh yang dapat dimainkan oleh perdagangan serta laluan laut.
Perdagangan yang berlangsung antara masyarakat Arab dengan Alam Melayu yang berlaku sejak
sebelum Islam turut berkembang semasa zaman Islam. Alam Melayu yang mempunyai sejumlah
hasil yang penting dalam perdagangan menjadi tarikan utama kepada pedagang – pedagang Arab
ini. Malah dalam menjalankan aktiviti pedagangan, pedagang – pedagang Arab terutamanya dari
Hadramaut turut menjalankan aktiviti menyebarkan Islam. Ini kerana Islam itu sendiri
merupakan agama yang bersifat dakwah dan penyebaran Islam merupakan satu tugas setiap
penganutnya. Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika diperhatikan bahawa kebanyakan tapak
awal Islam di Alam Melayu adalah juga merupakan pelabuhan – pelabuhan utama seperti
Melaka, Aru, Perlak dan sebagainya.

Ekonomi

Faktor perdagangan secara jelas berkaitan dengan kepentingan ekonomi. Tamadun yang terlibat
dengan perdagangan, sikap mereka lebih terbuka kerana memperoleh pengalaman berinteraksi
dengan tamadun lain. Di Asia Tenggara, misalnya salah satu perkara yang membawa keagungan
dan kemasyhuran sesebuah tamadun ialah kepesatan perdagangan. Pada zaman Melaka (1400 –
1511), perdagangan merupakan perkara penting yang membawa kegemilangan tamadun Melayu
Melaka. Pedagang dari pelbagai pusat perdagangan seperti India, Arab, Siam, Kepulauan
Melayu, Cina, Burma dan tempatan telah berkunjung ke Melaka untuk menjalankan aktiviti
perdagangan mereka. Kemakmuran perdagangan ini membawa Melaka ke mercu kegemilangan
dan dihormati oleh kerajaan sekitarnya.

6
Faktor perkahwinan

Faktor ini telah merujuk kepada perkahwinan yang berlangsung antara kalangan pedagang dan
ulama’ Islam yang datang ke alam Melayu dengan wanita – wanita tempatan. Ini kerana, sebagai
pedagang atau ulama’, kehadiran mereka tidaklah diiringi oleh kaum wanita sehingga
menyebabkan mereka memilih untuk berkahwin dengan wanita tempatan di kawasan – kawasan
yang mereka pilih untuk menetap. Oleh kerana kalangan pedagang ini merupakan mereka yang
dihormati serta mempunyai kekayaan yang besar, maka masyarakat tempatan sering sahaja tidak
menolak apabila urusan perkahwinan ingin dilangsungkan, malah ia secara tidk langsung telah
meningkatkan kedudukan sosial sesebuah keluarga tersebut di kaca mata masyarakat setempat.
Perkahwinan antara seorang raja yang telah memeluk Islam dengan anak raja yang tidak Islam
turut memperkembangkan Islam. Ini kerana, perkahwinan tersebut mestilah dilangsungkan di
dalam keadaan Islam.

Faktor politik dan penaklukan

Faktor politik dan penaklukan turut menjadi antara faktor penting di dalam melihat pekembangan
Islam di Alam Melayu. Antara contoh yang paling jelas ialah penguasaan Melaka ke atas
beberapa kawasan di Semenanjung Tanah Melayu seperti di Perak, Pahang dan sebagainya
hingga sering sahaja dikatakan bahawa Islam di Perak dibawa dari Melaka

7
Peranan ahli – ahli sufi

Kalangan pendakwah merupakan antara pihak yang mempunyai tanggungjawab utama di dalam
mengembangkan agama Islam di Alam Melayu. Golongan ulama’ ini bukan sahaja memiliki
pelbagai ilmu Islam bahkan mereka amat bertakwa kepada Islam serta mempunyai keperibadian
serta karisma yang mulia sehingga mampu menarik pengaruh masyarakat setempat. Pendakwah
yang juga kebanyakannya merupakan ahli sufi menjalankan usaha penyebaran Islam dan telah
meninggalkan kesan yang mendalam terhadap kerajaan – kerajaan Islam Melaka, Acheh, Demak
dan sebagainya. Di Melaka, antara yang penting termasuklah Sheikh Ismail, Syed Abdul Aziz,
Maulana Abu Bakar, Maulana Ishak, Maulana Yusuf dan Sidi Arab. Di Acheh pula muncul
Hamzah Fansuri, Samsudin al – Sumatrani, Nurudin Raniri, Abdul Rauf Singkel dan sebagainya.

8
1.4 Kesan positif Tamadun Islam dalam Tamadun Melayu

Kesan utama yang dibawa oleh Islam ialah terhadap akidah dan kepercayaan di mana bangsa
Melayu telah meninggalkan ajaran agama Hindu – Buddha. Mereka percaya kepada Tuhan Yang
Maha Esa, hormat – menghormati antara manusia dan menitikberatkan soal persamaan taraf.
Kedatangan dan penerimaan agama Islam telah menghasilkan beberapa ciri utama dalam
tamadun Melayu, misalnya mengenai sistem politik dan pentadbiran, sistem pemerintahan
empayar Uthmaniyah telah diperkenalkan dan meletakkan sultan sebagai ketua negara dan ketua
agama Islam.

Mengenai sistem pendidikan, perkembangan ilmu pengetahuan dan pandangan semesta


ternyata agama Islam telah membawa perubahan dan pembaharuan kepada tamadun Melayu dan
istana dijadikan pusat kegiatan dan penyebaran ilmu pengetahuan, terutamanya agama Islam.
Semua golongan tanpa mengira kedudukan sosial berpeluang untuk mendapat dan mempelajari
ilmu pengetahuan. Kesannya, muncullah golongan intelektual, terutama alim ulama’ yang telah
menghasilkan tulisan mereka, terutama karya – karya berbentuk keagamaan yang disampaikan
dalam bentuk persuratan yang dinamakan sastera kitab.

Kedatangan Islam memberi jiwa yang baharu dan besar kepada kebudayaan Melayu
khususnya bahasa Melayu. Kedatangan pengaruh Islam menjadikan bahasa Melayu kaya dan
mampu digunakan untuk membahas perkara – perkara yang ilmiah seperti falsafah (yang tidak
pernah berlaku pada masa sebelum kedatangan Islam sekalipun pengaruh Hindu cukup kuat
bertapak pada kebudayaan Melayu pada ketika itu). Kehadiran ilmu Tasawuf, hukum dan undang
– undang, penterjemahan al – Quran (misalnya, Abdul Rauf al – Fansuri menterjemahkan al –
Quran buat pertama dalam bahasa Melayu pada abad ke – 17 M), perbahasan ilmu Hadis, ilmu
Hadis, ilmu fekah dan berbagai – bagai ilmu lagi. Ringkasnya, kedatangan Islam menjadikan
bahasa Melayu mampu untuk digunakan bagi membahas perkara – perkara yang bersifat
intelektual.

9
Interaksi antara Tamadun Islam dan Tamadun Melayu telah turut mempengaruhi bidang
seni bina terutamanya seni bina masjid. Bentuk kubah potong bawah adalah pengaruh seni bina
Arab dan Parsi. Oleh kerana Islam di Asia Tenggara dikatakan datang daripada beberapa daerah
yang berbeza, maka Tamadun Islam tidak hanya membawa unsur seni bina Arab, tetapi juga
bentuk seni bina China dan India. Malah bangunan masjid yang dibina juga mempertahankan ciri
– ciri seni bina tempatan. Contohnya, di Tanah Melayu, terdapat masjid yang mempunyai
bumbung berbentuk limas potong perak. Ciri – ciri seni bina Islam turut mempengaruhi , batu
nisan, makam dan kubur – kubur. Batu nisan merupakan karya seni Islam terawal yang masuk ke
alam Melayu. Antara batu nisan yang menampakkan pengaruh Islam ialah batu nisan Syeikh
Abd al – Qakir bertarikh 903 (Kedah). Kesenian batu nisan dan makam dapat dilihat juga pada
bentuk dan hiasannya. Misalnya batu nisan Maulana Malik Ibrahim berbentuk badan kapal
terbalik yang menggambarkan pengaruh Parsi. Hiasan tulisan ayat – ayat al – Quran
membuktikan kemahiran pengukirnya dalam seni khat Arab. Tulisan syair – syair Parsi atau pola
hiasan dedaun juga menyamai gaya Parsi.

Seterusnya, kesan interaksi lain ialah aktiviti ekonomi bercorak agrarian seperti
pertanian, perikanan, penternakan dan sebagainya yang bergantung kepada alam, masih lagi
berlangsung selepas kedatangan Islam. Kedatangan Islam turut meningkatkan aktiviti
perdagangan di kalangan masyarakat Melayu. Seiring dengan itu, lahirlah pasar serta kota
bersifat antarabangsa di mana terdapat aktiviti perdagangan oleh pedagang Asing dari Arab,
Parsi, Cina, India dan sebagainya. Perdagangan yang dulu dilakukan sebagai barter dan mata
wang semakin berkembang. Sistem mata wang diguna pakai secara meluas sesuai dengan
perkembangan aktiviti perdagangan bersifat antarabangsa pada masa tersebut.

Disamping itu, tulisan Melayu – Arab atau biasa disebut tulisan Jawi meresap ke dalam
kebudayaan Melayu. Dengan tulisan ini, bahasa Melayu dapat ditingkatkan, sementara hasil –
hasil kebudayaan Melayu zaman dahulu dapat dirakamkan sehingga kita dapat menyaksikannya
sampai sekarang ini. Bahkan, karya – karya Melayu lama lebih banyak dalam bentuk tulisan Jawi
daripada yang telah dirumikan.

10
Pengaruh Islam yang lain di Asia Tenggara adalah dalam bidang politik, perundangan
(pelaksanaan hukum syarak) dan pentadbiran. Ini dapat disaksikan pada sistem pemerintahan
Kesultanan Melaka (1403 – 1511M). Dalam perkara ini, peranan ulama – ulama Islam sangat
penting khasnya dalam membentuk masyarakat di Asia Tenggara, selain menjadi para pemimpin
untuk menentang pencerobohan kuasa – kuasa asing, terutama daripada penjajah Barat. Ulama’ –
ulama’ inilah juga yang telah mengajar dan mendidik masyarakat serta umat Islam untuk
menegakkan maruah bangsa, mempertahankan tanah air, agama dan bangsa, di samping
menghayati ajaran – ajaran agama Islam.

Tamadun Islam turut membawa perubahan dari segi politik dan pentadbiran. Konsep
‘devaraja’ yang menjadi pegangan polotik dan lambang daulat raja – raja tempatan telah
digantikan dengan konsep ‘khalifatullah fil – ardhi’. Raja tidak lagi dianggap sebagai penjelmaan
dewa – dewa Hindu tetapi merupakan khalifah Allah yang bertanggungjawab memakmurkan
bumi. Gelaran Raja telah bertukar kepada gelaran Sultan. Namun demikian, unsur kesakralan
Sultan yang meliputi kesucian diri Sultan serta keturunan baginda masih lagi mempunyai
pengaruh yang penting dalam masyarakat.

Islam turut mempengaruhi undang – undang. Contohnya, dalam hukum Kanun Melaka
dan Undang – undang laut Melaka. Walaupun semua tidak semua artikel – artikel dalam Hukum
Kanun Melaka yang selari dengan Islam, tetapi terdapat beberapa fasal yang mempunyai
keselarian dengan hukum Islam. Contohnya, dapat dilihat pada Fasal 8 : 2, Fasal 8 : 3, Fasal 5 : 1
dan Fasal 5 : 3 yang berkaitan dengan hukum bunuh balas. Ketelitian Hukum Kanun Melaka
dalam melaksanakan hukum Islam dapat dilihat apabila ia turut membicarakan tentang barang –
barang yang boleh dan tidak boleh diniagakan. Contohnya, dalam Fasal 30, dinyatakan larangan
menjual arak, khinzir, anjing dan tuak.

Selain daripada itu, kesan interaksi antara tamadun Islam dengan Tamadun Melayu telah
membawa kepada kemunculan beberapa buah kerajaan Islam tempatan seperti kerajaan Islam
Pasai, kerajaan Melaka, kerajaan Acheh, kerajaan Johor – Riau di sepanjang selat Melaka dan
lain – lain kerajaan lagi. Di samping munculnya kerajaan kerajaan Islam tempatan, pengaruh
Islam turut membawa beberapa perubahan penting kepada masyarakat Asia Tenggara

11
terutamanya di Kepulauan Asia Tenggara. Perubahan – perubahan yang berlaku merangkumi
aspek – aspek kepercayaan, politik dan pentadbiran, ekonomi dan sosial.

Kehadiran nazam atau naban yang merupakan sejenis puisi yang dilagukan. Nazam ini
berbentuk syair yang dikarang dalam bahasa Melayu dan mengisahkan riwayat Nabi Muhammad
s .a w, para nabi Allah yang lain dan juga para sahabat Rasulullah s.a.w. dalam syair ini,
diperkatakan juga tentang ajaran ilmu tasawuf, fekah dan ibadat. Persembahannya tidak disertai
sebarang alat muzik, tetapi memerlukan kemerduan suara. Persembahan seni lagu tersebut
biasanya diadakan dalam majlis – majlis perkahwinan, berkhatan, berkhatam al – Quran dan
upacara – upacara lain yang bercorak keislaman.

Dari segi sosial, kesan interaksi antara dua – dua tamadun adalah lahirnya konsep
keadilan tanpa mengenal kedudukan atau pangkat. Islam telah memperkenalkan sistem khalifah
Islam yang adil dan sistematik. Antara kesannya, gelaran Sultan, sistem mesyuarat di kalangan
ahli – ahli yang pakar disebut sistem syura, sistem hisbah iaitu menyeru kepada kebaikan dan
mencegah kemungkaran dan termasuklah kriteria perlantikan menteri.

12
1.5 Kesimpulan

Tamadun sesebuah masyarakat bukanlah bersifat tertutup, sebaliknya bersifat terbuka. Sifat
inilah yang memberi peluang kepada berlakunya interaksi antara tamadun. Interaksi antara
tamadun menghasilkan dua kesan yang penting, iaitu kesan positif atau kesan negatif. Kesan
positif memberi pengukuhan kepada sesuatu tamadun. Elemen – elemen atau ciri – ciri tamadun
luar yang diterima oleh sesuatu tamadun akan mengalami proses asimilasi dan penyesuaian.
Sementara kesan negatif pula, seringkali mewujudkan konflik antara masyarakat yang memiliki
tamadun yang berbeza. Konflik ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti teologi, ekonomi,
sosial dan politik. Faktor yang lebih sering menjadi penyebab kepada konflik ini ialah faktor
teologi.

Dalam interaksi antara tamadun kita juga dapati kesan yang yang terhasil daripada
interaksi itu juga tidak sama bagi kedua – dua tamadun. Bagi tamadun yang tinggi dan lebih
lama, ia lebih banyak mempengaruhi ataupun meninggalkan unsur – unsur penting kepada
tamadun yang lebih rendah. Sebaliknya, tamadun yang lebih rendah pencapaiannya akan lebih
bersifat receptive, walaupun ia turut mempengaruhi tamadun yanaag lebih tinggi. Kesan positif
daripada interaksi antara tamadun ini akan dapat memperkayakan tamadun tersbeut serta
mengelakkannya menjadi jumud, beku dan statik. Hasilnya, sesuatu tamadun yang terbuka dan
dapat mengasimilasikan pengaruh luar itu akan semakin berkembang dan melahirkan perubahan
– perubahan yang penting.

13

You might also like