You are on page 1of 15

TIPS PERANCANGAN KELUARGA

Pilih untuk Selamat ditulis bertujuan memberi maklumat berdasarkan kenyataan tentang
pemilihan perancangan keluarga dalam konteks realiti kaum wanita, terutamanya realiti seperti
keganasan rumah tangga. Wanita-wanita yang meminta perlindungan daripada WAO masing-
masing mempunyai tahap kesedaran dan pengetahuan yang berbeza tentang perancangan
keluarga. Walaupun dengan pengetahuan dan maklumat sebegitu, pemilihan kaedah
perancangan keluarga amat sukar dibuat jika seseorang wanita itu berada dalam situasi
keganasan rumah tangga.

Keganasan rumah tangga berlaku disebabkan dinamik kuasa dalam sesuatu perhubungan
antara dua insan di mana seorang dianggap lebih berkuasa daripada yang seorang lagi. Ini
bukannya perhubungan yang sama rata. Kebanyakan wanita yang berada dalam situasi
keganasan rumah tangga hampir tidak ada hak bersuara (atau kuasa berunding) dalam
perhubungan seksual, dan ramai yang dipaksa melakukan perhubungan seksual setelah didera
suami atau pasangan mereka. Dalam kejadian begini, besar kemungkinan seks berlaku tanpa
sebarang perlindungan dan akan mengakibatkan kehamilan yang tidak dirancang. Malahan,
terdapat juga kejadian di mana isteri atau teman wanita kemudiannya dijangkiti penyakit
kelamin ataupun HIV/AIDS akibat paksaan seks
tanpa perlindungan.

Selain daripada senario keganasan rumah tangga, di peringkat kebangsaan, sebahagian besar
kaum wanita di Malaysia secara amnya tidak tahu tentang hak seksual dan reproduktif mereka.
Pada tahun 1994, 54% wanita sudah berkahwin mengguna kontraseptif . Pada tahun 2004,
angka ini menurun kepada 51% di mana hanya 33% mengguna kaedah moden seperti pil,
“IUD” dan kondom. Jika dibandingkan, Thailand, Vietnam and China, kadar penggunaan
kontraseptif di kalangan wanita sudah berkahwin adalah di antara 70% - 80%.1 Sebagai
sebahagian daripada perkhidmatan WAO kepada wanita, pekerja sosial meneruskan usaha
mereka untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pelanggan mereka tentang hak-hak wanita,
termasuk hak untuk bebas daripada keganasan dan hak dalam sesuatu perkahwinan. Isu
tentang perancangan keluarga amat penting dalam perbincangan ini.

Kerjasama antara pekerja sosial dan pelanggan mereka inilah yang telah melahirkan konsep
untuk kit “Pilih untuk Selamat” ini. Risalah ini bukan sekadar teks sahaja, malah turut memberi
1
contoh visual tentang pelbagai kaedah perancangan keluarga dan melahirkan buku yang
menarik, komprehensif dan mudah digunakan sebagai rujukan bagi mereka
yang bakal menggunakannya, misalnya:

• Pekerja sosial yang bekerja dengan wanita, terutamanya mereka yang terselamat daripada
keganasan rumah tangga,

• Wanita yang datang ke WAO untuk perlindungan, bekas penghuni WAO dan wanita yang
datang untuk kaunseling bersemuka,

• Organisasi yang memberi perkhidmatan kaunseling dan perlindungan kepada wanita. Kami
berharap risalah Pilih untuk Selamat dapat memperkukuhkan lagi prinsip bahawa setiap
wanita mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat dan hak untuk membuat pilihan.

Mengetahui organ seks dan organ pembiakan anda


Kita semua pernah menyentuh diri sendiri di “bahagian bawah” sama ada ketika membersihkan
diri atau semasa melakukan onani tetapi tahukah kita bagaimana rupa “bahagian bawah” dan
apa yang ada di situ? Jangan malu-malu untuk melihat dan meneliti, inikan badan anda. Anda
hanya perlukan sebuah cermin kecil dan cahaya terang. Anda boleh duduk, bertinggung atau
membongkok dan betulkan kedudukan cermin supaya anda dapat melihat organ seks anda
dengan jelas.

Apakah yang berlaku ketika anda melakukan hubungan seks?


Beberapa bahagian badan kita adalah lebih sensitif kepada perangsangan seksual berbanding
bahagian lain. Bibir, buah dada, kulit, pangkal leher, paha sebelah dalam merupakan bahagian
badan yang sensitif kepada ciuman dan sentuhan dan membuatkan kita merasa tenang dan
seronok.

Keseronokan seksual boleh membawa kita ke tahap memuncak di mana kita mengalami
orgasma atau klimaks. Perangsangan faraj dan klitoris, sama ada dengan menggunakan zakar
(penis), jari atau lidah boleh membuatkan seseorang wanita mencapai orgasma. Ia merupakan
2
suatu perasaan yang menyeronokkan, seolah-olah melegakan otot-otot yang tegang, yang
datang beralun-alun atau secara tiba-tiba, bermula dari bahagian faraj atau klitoris dan
kemudiannya bergetar ke seluruh badan. Selepas orgasma, faraj kita mungkin merasa lebih
basah dan lembap daripada biasa.

Mengecap kenikmatan dan mencapai orgasma tidak ada kena-mengena dengan badan dan
rupa yang sempurna, tetapi lebih bergantung kepada perasaan dan pemikiran kita. Semasa
seks, zakar lelaki akan dimasukkan ke dalam faraj. Apabila lelaki mencapai orgasma, dia akan
memancutkan air mani yang mengandungi berjuta-juta sperma. Sperma dapat hidup sehingga
48 jam. Seseorang wanita boleh hamil jika melakukan hubungan seks ketika dia sedang subur
atau bila berlaku ovulasi (apabila ovari mengeluarkan telur atau ovum). Ovulasi berlaku
sebulan sekali dan ovum dapat hidup sehingga 24 jam. Sperma bergerak ke arah rahim dan
masuk ke dalam tiub Fallopio untuk bertemu ovum lalu menembusinya. Daripada jutaan
sperma yang dilepaskan, hanya satu yang akan berjaya. Ini dikenali sebagai persenyawaan.
Setelah disenyawakan, telur itu akan bergerak sepanjang tiub Fallopio dan akan membenam ke
dalam lapisan (pelapik) rahim. Lapisan ini menjadi persekitaran untuk telur tersebut membesar.
Wanita itu kini sudah mengandung atau hamil. Jika ovum tidak disenyawakan, lapisan rahim itu
akan gugur apabila tiba masanya dan ketika itulah seseorang wanita akan mengalami haid
yang juga dikenali sebagai “dating bulan”.

Soalan-Soalan Sebelum Anda Membuat Pilihan


Adakah saya inginkan anak?
Kaum wanita boleh membuat pilihan tentang rancangan kehidupan reproduktif mereka;
memikirkan sama ada atau seandainya mereka ingin mempunyai seorang atau beberapa orang
anak, bilakah masa yang paling sesuai untuk mempunyai anak, bilangan anayang mereka
impikan. Mempunyai anak membawa banyak perubahan dan tuntutan, bukan saja dari aspek
fizikal, tetapi juga emosi, psikologi, sosial dan kewangan. Anda harus berbincang dengan suami
mengenai bilangan anak yang anda berdua mahukan.

Adakah saya ingin menjadi seorang ibu?


Ibu bapa patut berkongsi tanggungjawab dan keseronokan pengalaman membesarkan anak-
anak mereka. Kebanyakan wanita bekerja di luar rumah dan selepas sehari suntuk penat
bekerja mereka masih dikehendaki membuat kerja-kerja rumah, memasak untuk keluarga dan
melayani karenah anak-anak walaupun mereka keletihan. Ramai wanita yang dibebani pelbagai
3
tanggungjawab sebegini kerana kebanyakan suami selalunya tidak mahu turut sama menolong
dengan kerja-kerja rumah. Sebahagian besar daripada mereka juga mengharapkan isteri untuk
mendidik anak-anak. Oleh sebab wanita terlalu sibuk mengurus aspek fizikal pembesaran anak,
mereka tidak mempunyai masa atau tenaga untuk menikmati aspek-aspek lain dalam
membesarkan anak-anak.

Anda sepatutnya mengharapkan bapa kepada anak-anak anda untuk menolong membesarkan
anak-anak dan juga menolong dengan kerja-kerja rumah agar anda dapat berehat dan dapat
meluangkan masa yang cukup bersama anak-anak serta keluarga.

Saya inginkan anak tetapi berapa ramai dan apa jarak umur
antara mereka?
Membuat keputusan sama ada mahukan anak atau tidak belum lagi memadai, anda juga perlu
menentukan bilangan anak dan jarak umur antara mereka. Menjadi hamil sekali lagi tidak lama
selepas melahirkan anak akan menyebabkan ibu tidak mendapat masa yang cukup untuk
menambah kembali khasiat dalam badannya. Jarak antara dua kehamilan yang dinasihatkan
adalah sekurang-kurangnya 18 bulan. Jika seseorang ibu yang masih menyusu menjadi hamil
sekali lagi, dia memerlukan pemakanan yang lebih untuk anak yang dikandung dan juga anak
yang masih disusukan. Pemakanan yang cukup akan memastikan tumbesaran dan kesihatan
anak yang bakal lahir tidak terganggu.

Kesihatan seseorang ibu paling diutamakan. Para ibu harus menjalani pemeriksaan kesihatan
yang tetap sebelum dan selepas kehamilan. Para bapa juga harus sentiasa berada di samping
pasangannya semasa berjumpa doktor dan melibatkan diri dalam setiap peringkat kehamilan.

Bagaimanakah saya tahu kaedah perancangan keluarga yang


sesuai untuk saya?
Beberapa soalan yang perlu diberi pertimbangan:

• Kekal atau sementara?


• Adakah anda merancang untuk mempunyai anak dalam jangka masa yang pendek atau
panjang?
• Dengan cara mengambil ubat makan atau dimasukkan ke dalam rahim atau badan?

4
• Ubat diambil setiap hari? Setiap kali sebelum membuat hubungan seks? Dimasukkan 3 – 5
tahun sekali?
• Senang atau tidak kaedah merancang keluarga itu dari segi masa, tempat dan belanja?
• Adakah saya perlukan perlindungan daripada penyakit kelamin (STI) dan HIV/AIDS?

Kaedah Kekal memberi anda jaminan bahawa anda tidak akan hamil selepas mengadakan
hubungan seks tetapi ini tidak akan melindungi anda daripada penyakit kelamin atau HIV/ AIDS.
Kaedah Sementara bermakna anda boleh mengeluarkan atau menghentikan kaedah
perancangan keluarga tersebut apabila anda membuat keputusan untuk hamil.

Siapakah yang boleh memberikan maklumat lanjut kepada saya?


Buat temu janji untuk rundingan dengan jururawat di Persatuan Perancangan Keluarga,
Malaysia (FFPAM) atau Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LLPKN).
Anda boleh berunding dengan doktor atau jururawat di hospital kerajaan dan klinik swasta.
Anda juga boleh berbincang dengan wanita yang bersedia untuk berkongsi pengalaman mereka
dengan anda tentang kaedah yang mereka gunakan. Bincanglah dengan pasangan anda
tentang pilihan yang ada dan kaedah yang paling sesuai diamalkan oleh anda berdua.

Awas!
Jangkitan Penyakit Kelamin dan HIV/AIDS
Jangkitan Penyakit Kelamin (STI)

• Jangkitan Penyakit Kelamin adalah jangkitan yang dipindahkan daripada seseorang kepada
orang lain melalui aktiviti seksual.
• Ini termasuk seks faraj, seks oral dan seks dubur.
• Penyakit yang boleh dijangkiti adalah Herpes, Chlamydia, Sifilis, Gonorea, dan banyak lagi.
• Sesetengah jangkitan dapat dirawat dengan pengambilan antibiotik untuk suatu tempoh
tertentu.
• Bagi jangkitan yang tidak dapat dirawat dengan antibiotik, terdapat ubat lain yang boleh
mengurangkan kekerapan jangkitan dan bahayanya.
• Gejala STI adalah rasa gatal di sekeliling faraj, dubur atau mulut, rasa sakit ketika membuang
air kecil, lelehan berwarna keruh atau kekuningan atau kehijauan, lelehan berbau busuk, bintil
atau kudis di sekeliling faraj, dubur atau mulut.

5
• Jika anda mengalami salah satu atau lebih daripada gejala di atas, jumpalah doktor dengan
segera untuk pemeriksaan dan rawatan.
• Jika anda mempunyai jangkitan, anda dinasihatkan supaya mengelakkan diri daripada
sebarang aktiviti seksual sehingga rawatan ubat anda selesai ataupun amalkan hubungan seks
selamat dengan menggunakan kondom.

HIV/AIDS

HIV
• HIV adalah singkatan bagi “Human Immunodeficiency Virus”.
• HIV adalah sejenis virus yang menjangkiti manusia, sama seperti virus lain, contohnya demam
selesema, campak, SARS dan lain-lain lagi.
• Virus HIV menyerang sistem pertahanan badan, membuatkan badan kita terdedah kepada
jangkitan lain. Virus ini dapat dijangkiti melalui:
1) Melakukan hubungan seks faraj atau dubur tanpa perlindungan dengan orang yang telah
dijangkiti.
2) Apabila berlaku pertukaran darah yang dijangkiti melalui:
a) Berkongsi jarum atau picagari
b) Pemindahan darah
c) Pemindahan organ
3) Ibu menjangkiti kandungan semasa mengandung, semasa kelahiran dan semasa menyusu.

AIDS
• AIDS adalah singkatan bagi “Acquired Immunodeficiency Syndrome”, iaitu sekumpulan
penyakit yang terjadi kepada mereka yang HIV-positif disebabkan oleh sistem pertahanan
badan yang lemah.
• AIDS disebabkan oleh virus HIV.
• Seseorang akan mendapat AIDS apabila dia tidak dapat lagi melawan jangkitan yang
biasanya dapat dilawan jika sistem pertahanan badannya kuat.
• Pada masa ini, AIDS tidak dapat disembuhkan.
• Sukar untuk mengetahui jika seseorang itu dijangkiti virus HIV. Satu-satunya cara untuk
memastikannya adalah dengan berjumpa doktor untuk membuat ujian HIV.
• Seorang yang telah diuji dijangkiti virus HIV (HIV-positif) tidak semestinya menghidap AIDS.

6
• Dengan rawatan ubat, seorang yang HIV-positif boleh meneruskan kehidupan sihat yang
berpanjangan
• Dia masih dapat menikmati kehidupan seks seperti biasa tetapi mesti mengamalkan cara seks
yang selamat agar pasangannya tidak dijangkiti virus tersebut.

Kaedah Perancangan Keluarga


Apakah maksudnya?
Bagaimana fungsinya?
Di mana boleh didapati?
Berapakah harganya?

Pil
• Mengandungi hormon yang mencegah kehamilan dengan menghalang ovary seseorang
wanita daripada mengeluarkan telur.
• Diambil (ditelan) pada waktu yang sama setiap hari. Jika anda t erlupa , walau sekali pun,
mengambil Pil ataupun mengambilnya pada waktu yang berlainan setiap hari, Pil tidak akan
berkesan dan anda mungkin akan hamil.
Perhatian lebih perlu diberikan jika anda mengambil ubat-ubatan lain atau antibiotik kerana Pil
mungkin tidak berkesan sepenuhnya. Dapatkan nasihat doctor atau amalkan kaedah
perancangan yang lain seperti menggunakan kondom untuk mendapat perlindungan yang lebih.
• Boleh didapati di hospital kerajaan, klinik LLPKN, Persatuan Perancangan Keluarga, hospital,
klinik swasta, dan farmasi.
• Harga bekalan pil untuk satu bulan adalah antara RM 9 – RM 50, bergantung kepada jenis pil
yang diambil.

Suntikan
• Mengandungi hormon yang akan membuatkan lelehan putih (mukus serviks) seseorang
wanita bertukar menjadi lebih pekat daripada biasa. Ini menghalang sperma daripada
memasuki ke dalam rahim.
• Hormon itu juga mengelakkan persenyawaan dengan menghalang ovari daripada
mengeluarkan telur dan menyebabkan perubahan di dalam rahim dan tiub Fallopio.
• Boleh didapati di hospital kerajaan dan klinik swasta.
• Pada permulaannya, 2 suntikan diperlukan dalam masa sebulan diikuti dengan satu suntikan
setiap 3 bulan. Harga setiap suntikan adalah lebih kurang RM45 ke atas.
7
Implan
• Kapsul kecil (panjang lebih kurang 4 – 5 cm) dimasukkan di bawah kulit pada bahagian dalam
lengan atas sebelah kiri seseorang wanita.
• Kapsul ini mengeluarkan hormon ke dalam badan yang akan menghalang kehamilan, sama
seperti Pil dan suntikan.
• Boleh didapati di hospital kerajaan dan klinik swasta. Harga implan adalah daripada RM450 ke
atas. Bergantung kepada bilangan implan yang dimasukkan, kaedah ini boleh bertahan antara 3
– 5 tahun. Mungkint erdapatk esan sampingan seperti rasa loya, sakit kepala, penahanan air,
kenaikan berat badan, payu dara berasa sakit atau haid tidak teratur. Dapatkan nasihat doctor
untuk mengetahui kaedah perancangan keluarga yang paling sesuai untuk anda dan keadaan
kesihatan anda. Jika anda mengalami rasa tidak selesa atau sebarang perubahan yang tidak
normal, jumpa doktor dengan segera.

Alat Dalam Rahim (IUD)


• Biasanya dibuat daripada plastik atau tembaga yang dililit sekeliling plastik. IUD dimasukkan
ke dalam rahim wanita dan menghalang percantuman sperma dan telur.
• Terdapat pelbagai jenis IUD yang ada, oleh itu tempoh penggantian adalah berbeza bagi
setiap jenis IUD. Ada yang mesti diganti setiap tahun, manakala ada pula yang boleh diganti
selepas 4 tahun ataupun lebih.
• IUD boleh didapati di hospital kerajaan, klinik swasta dan juga di klinik Lembaga Penduduk
dan Pembangunan Keluarga Negara (Klinik LPPKN) (sila lihat halaman XX untuk senarai klinik).
• Harga IUD bermula daripada RM90 – RM120 di klinik dan hospital swasta. Di Klinik LPPKN
harganya cuma RM 5.

Kondom
Kondoml elakidanp erempuan dibuat daripada lateks (getah) berbentuk silinder. Kondom
menghalang sperma daripada memasuki rahim. Selain daripada mencegah kehamilan, kondom
juga mengelak jangkitan penyakit kelamin dan HIV/AIDS. Terdapat tarikh tamat tempoh pada
kondom, oleh itu jangan lupa periksa bungkusan atau kotaknya sebelum kondom digunakan.
Kondom mesti disimpan jauh daripada cahaya matahari dan haba panas (di dalam poket seluar
jean juga!) kerana ini akan menyebabkan kondom menjadi rosak dan reput.
• Kondom lelaki disarungkan menutupi zakar yang sedang tegang sebelum zakar dimasukkan
ke dalam faraj. Selepas pancutan mani, sperma akan terkumpul di dalam ruang kosong di
8
hujung kepala zakar. Kondom mesti dibuang dengan segera untuk mengelakkan sebarang
kebocoran. Setiap kondom boleh diguna hanya sekali.
• Agar lebih selesa, guna pelincir berasaskan air (contoh: KY Jelly) sahaja, jika tidak kondom
akan terkoyak.
• Boleh didapati dalam paket (RM 1.20 ke atas bagi setiap paket) atau dalam kotak yang
mengandungi 6 atau 12 keping, di farmasi, pasar raya, kedai runcit 24-jam dan mana-mana
Persatuan Perancangan Keluarga.

Kondom Perempuan
• Kondom perempuan sama seperti kondom lelaki tetapi terdapat gelang di keduadua
hujungnya.
• Dimasukkan ke dalam faraj sebelum zakar memasuki faraj.
• Hujung yang tertutup menghalang sperma masuk ke dalam faraj. Hujung ini dimasukkan dulu
ke dalam faraj. Hujung yang terbuka adalah untuk membolehkan zakar dimasukkan.
• Perlukan latihan untuk membiasakan diri mengguna kondom ini.
• Buat masa ini, kondom perempuan belum ada dijual di Malaysia.

Diafragma atau Penutup Serviks, dengan Spermisid


• Penutup serviks sama seperti diafragma, cuma lebih kecil.
• Dibuat daripada getah lembut dan berbentuk seperti kubah. Mesti digunakan bersama
spermisid, sejenis gel yang membunuh sperma.
• Dimasukkan ke dalam faraj dan menutup pembukaan serviks. Mencegah kehamilan dengan
cara menahan sperma daripada memasuki rahim.
• Boleh dimasukkan beberapa jam sebelum membuat hubungan seks dan dikeluarkan
beberapa jam kemudian.
• Pasangan tidak akan perasan bahawa diafragma atau penutup serviks sedang digunakan.
• Penggunaan diafragma dan penutup serviks tidak lagi popular di Malaysia kerana wanita perlu
memasukkannya sendiri, jadi tidak mudah untuk mendapatkannya.
• Jika kaedah ini nampaknya selesa, dapatkan nasihat doktor tentang bagaimana untuk
mendapatkannya. Saiz serviks wanita berbeza antara satu sama lain. Doktor perlu mengukur
saiz serviks supaya dapat memastikan saiz dan padanan diafragma atau penutup serviks yang
betul dan supaya dapat dimasukkan dengan betul ke dalam faraj.

9
Kaedah Semulajadi
Biasanya diamalkan oleh wanita yang cuba untuk mendapatkan anak, dan bukannya untuk
mencegah kehamilan. Melibatkan pengawasan kitar haid supaya dapat menganggarkan waktu
ketika wanita itu sedang berovulasi atau subur. Risiko kehamilan menggunakan kaedah semula
jadi adalah tinggi. Tidak memberi perlindungan daripada jangkitan penyakit kelamin (STI) atau
HIV/AIDS. Sebagai langkah mencegah, ia sesuai diamalkan bersama kaedah perancangan
keluarga yang lain. Kaedah ini juga bergantung kepada kerjasama pasangan yang sanggup
melakukan hubungan seks hanya pada hari-hari apabila wanita itu pasti bahawa dia bukan
berovulasi atau subur.

Kaedah Ritma (Kalendar)


• Rekodkan pada kalendar, kitaran haid anda selama 8 – 12 bulan berturut-turut.
• Sebagai contoh, Anisa datang haid pada 15 April. Ini direkodkan sebagai Hari 1. 16 April
direkodkan sebagai Hari 2, 17 April sebagai Hari 3, dan seterusnya.
• Pada bulan seterusnya, dia datang haid pada 13 Mei. Seperti bulan yang lalu dia merekodkan
hari itu sebagai Hari 1.
• Tempoh kitaran haid dari 15 April sehingga 12 Mei adalah 28 hari. Rekod dibuat sekali lagi
untuk bulan yang seterusnya hingga mendapat 8 atau lebih, rekod kitaran haid.
Bagi Anisa, rekod kitaran haidnya adalah seperti berikut:

Bulan Tempoh Kitaran Haid


April 30 hari
Mei 28 hari
Jun 32 hari (paling lama)
Julai 29 hari
Ogos 27 hari
September 30 hari
Oktober 25 hari (paling pendek)
November 28 hari
Disember 31 hari

• Kitaran yang paling lama dan yang paling pendek digunakan untuk menganggarkan waktu
Anisa sedang subur. Hari-hari dalam tempoh subur dapat diketahui dengan menggunakan
formula berikut:
10
Bagi hari subur pertama, tolak 18 daripada tempoh kitaran yang paling pendek.
Bagi hari subur terakhir, tolak 11 daripada tempoh kitaran yang paling lama.

• Dalam kes Anisa, kitaran yang paling pendek adalah 25 hari. 25 – 18 = 7. Jadi, Hari 7 adalah
hari subur pertama.
• Kitaran paling lama adalah 32 hari. 32 – 11 = 21. Hari 21 adalah hari subur terakhir.
• Tempoh subur adalah dari Hari 7 sehingga ke Hari 21. Anisa mesti mengelakkan diri daripada
melakukan hubungan seks semasa tempoh ini jika dia tidak mahu hamil.
• Kaedah ini perlu terus diawasi setiap bulan untuk mengira semula anggaran tempoh subur.
Hanya bacaan bagi 8 – 12 bulan kitaran haid terakhir patut digunakan.

Kaedah Lelehan Faraj


• Lelehan faraj keluar melalui faraj dan berasa licin atau lekit.
• Ada kalanya tidak berwarna dan jernih atau kuning muda.

Lelehan Faraj semasa haid


• Semasa haid, lelehan faraj akan terselindung oleh lelehan haid.
• Kesuburan semasa haid jarang berlaku tetapi ada kemungkinan kecil seseorang wanita boleh
subur ketika itu. Perlu lebih berhati-hati semasa melakukan hubungan seks (seperti
menggunakan kondom) untuk mencegah kehamilan.

Lelehan Faraj selepas haid


• Selepas haid, terdapat beberapa hari kekeringan (tidak ada lelehan).
• Dalam waktu sebelum ovulasi ini, hari-hari kering ini dianggap selamat untuk melakukan
hubungan seks.

Lelehan Faraj semasa ovulasi


• Semasa ovulasi, mukus serviks berasa basah dan licin, seperti putih telur. Ini tanda bahawa
wanita itu sedang subur. Ovulasi berlaku 2 hari sebelum itu, sehingga 3 hari selepas hari mukus
yang paling basah dan licin.
• Dinasihatkan agar hubungan seks ditangguhkan atau kaedah perancangan lain digunakan
sehingga tamat tempoh ovulasi kecuali anda merancang untuk hamil.
11
Lelehan Faraj selepas ovulasi
• Selepas ovulasi, mukus bertukar menjadi lebih pekat dan lekit atau anda akan mengalami
kekeringan sekali lagi.

Suhu Badan Basal (BBT)


• Jangka suhu basal badan (jangka suhu senang dibaca yang memberi bacaan dalam
persepuluh darjah) digunakan untuk menganggar tempoh kesuburan dengan memerhatikan
perubahan suhu badan.
• Suhu diambil setiap pagi sebaik sahaja bangun tidur dan sebelum membuat apa-apa aktiviti.
Suhu itu kemudian direkodkan dan dipantau di atas kertas graf.
• Semasa ovulasi atau tempoh kesuburan, suhu badan akan turun sedikit. Suhu akan
meningkat semula selepas ovulasi dan setelah 3 hari berturut-turut suhu berada pada tahap
tinggi, tempoh kesuburan sudah tamat.
• Serupa dengan kaedah ritma (kalendar), seseorang wanita mesti menyimpan carta untuk
tempoh selama 8 – 12 bulan agar dapat membuat anggaran bila masanya dia selalu subur
dalam sesuatu kitaran.

Kaedah Pembedahan
Kaedah ini adalah kekal dan tidak boleh diubah kembali kepada keadaan asal. Oleh itu,
prosedur ini dilakukan ke atas lelaki atau wanita yang berumur 40 tahun ke atas (atau kitar
reproduktif mereka telah lengkap). Mereka yang berumur di bawah 40 tahun perlu mendapatkan
kaunseling terlebih dahulu sebelum menjalani prosedur tersebut. Kaedah ini melibatkan
mikrosurgeri memandangkan tiub yang dibedah sangat sempit dan kecil.

Vasektomi (Pemandulan Lelaki)


• Vasektomi adalah prosedur pembedahan lelaki untuk mengelakkan air mani bercampur
dengan sperma.
• Satu pembedahan kecil dibuat di kedua-dua belah kantung buah zakar (skrotum) dan
kemudiannya tiub vas deferens diikat dan dipotong. Ini akan menghalang sperma daripada
memasuki air mani.
• Prosedur ini merupakan pembedahan kecil dan tidak memerlukan seseorang itu dimasukkan
ke hospital.

12
• Ibu pejabat Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Jalan Raja
Laut, Kuala Lumpur menawarkan perkhidmatan kaunseling dan vasektomi yang berpatutan.
Bayaran untuk vasektomi adalah RM100.
• Juga boleh didapati di hospital swasta. Vas Deferens Skrotum

Pengikatan Tiub Bilateral (Pemandulan Wanita)


• Pengikatan tiub adalah satu prosedur pembedahan bagi wanita untuk menghalang sperma
daripada bertemu dan mempersenyawakan telur.
• Satu pembedahan kecil dibuat di bahagian abdomen untuk mendapat akses ke tiub Fallopio.
Tiub ini kemudiannya dipotong, diikat atau diklip.
• Prosedur ini mungkin memerlukan seseorang wanita itu dimasukkan ke hospital.
• Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) hanya member
perkhidmatan kaunseling dan akan merujuk pasangan ke hospital kerajaan untuk pembedahan.
Bayaran pembedahan di hospital kerajaan tidak melebihi RM100.
• Pembedahan sedemikian juga boleh didapati di hospital swasta.

Kontraseptif Kecemasan (Kaedah Selepas Persetubuhan)


Pil perancang kecemasan (“The morning-after pill”)
• Walaupun langkah berjaga-jaga telah diambil, kadang kala kejadian yang tak diingini mungkin
berlaku.
• Contohnya, kondom mungkin terkoyak selepas pancutan mani lelaki. Ini akan mendedahkan
wanita itu kepada risiko kehamilan.
• Untuk menghalang kehamilan, kontraseptif kecemasan boleh diambil misalnya pil perancang
kecemasan (Postinor). Pil ini mengandungi paras hormon yang tinggi, yang dapat mencegah
telur yang telah disenyawakan daripada membenam di dalam rahim.
• Terdapat 2 biji pil; pil pertama mesti diambil dalam masa 72 jam selepas hubungan seks tanpa
perlindungan. Pil kedua pula mesti diambil 12 jam selepas pil pertama diambil.
• Tidak begitu berkesan seperti pencegah kehamilan yang diguna sebelum atau semasa
hubungan seks, seperti pil atau kondom.
• Pil perancang kecemasan ini berharga RM3.50 dan boleh dibeli di farmasi.
• Pil ini juga boleh diambil jika seseorang wanita tidak menggunakan sebarang kontraseptif,
ataupun dipaksa melakukan hubungan seks.
• Digalakkan mendapat nasihat doktor terlebih dahulu.

13
Pengguguran Anak
• Kehamilan yang tidak diingini menyebabkan seseorang wanita itu mengalami dilemma kerana
tidak tahu apa yang sepatutnya atau dapat dilakukan olehnya.
• Ada yang mungkin mencuba amalan kepercayaan karut bahawa mengambil makanan tertentu
seperti nenas, atau jamu tradisional, akan menyebabkan keguguran embrio atau fetus. Cara ini
hanya akan memberi harapan palsu bahawa dia tidak lagi hamil dan masalahnya telah selesai.
• Namun begitu, wanita tersebut mungkin masih hamil dan apabila tiba masanya dia berjumpa
doktor, sudah terlambat untuk berbuat apa-apa.
• Pengguguran (atau penamatan kehamilan) adalah satu prosedur yang sah di sisi undang-
undang. Jika seorang doktor bertauliah membuat keputusan bahawa kehamilan akan
membawa kesan buruk ke atas kesihatan fizikal dan mental seseorang wanita, bergantung
kepada keadaannya, maka pengguguran tersebut adalah sah.
• Pengguguran boleh dilakukan dengan selamat melalui:
• prosedur pembedahan yang mengambil masa 5-10 minit, atau
• dengan memakan ubat.
• Memakan ubat boleh mengambil masa 1-2 minggu dan kadar kegagalannya adalah tinggi
sedikit dan mungkin memerlukan pembedahan kemudian.
• Pengguguran patut dilakukan seelok-eloknya dalam 3 bulan pertama kehamilan. Ini adalah
satu prosedur yang tidak boleh dibalikkan dengan risiko minimum. Prosedur pembedahan harus
dilakukan di klinik yang bersih dan selamat.
• Seseorang wanita boleh membuat pilihan untuk mendapat perkhidmatan kaunseling sebelum
melakukan pengguguran. Kaunseling tidak perlu jika dia sudah benar-benar pasti yang dia
mahu melakukan pengguguran.
• FFPAM dan “Reproductive Rights Advocacy Alliance Malaysia” (RRAAM) memberi
perkhidmatan sebelum dan selepas pengguguran. RRAAM juga mempunyai maklumat
hubungan bagi perkhidmatan pengguguran.
• Kos pengguguran bermula daripada RM300 ke atas bergantung kepada saiz kehamilan.

Menahan Diri (“Abstinence”)


• Menahan diri bermakna tidak melakukan hubungan seks atau mengambil bahagian dalam
apa-apa bentuk aktiviti seksual yang akan membawa kepada hubungan seks.
• Apabila pasangan tidak membuat apa-apa aktiviti seksual, zakar lelaki tidak masuk ke dalam
rahim wanita. Oleh itu, tidak ada risiko kehamilan ataupun jangkitan penyakit kelamin atau
HIV/AIDS.
14
• Sesiapa sahaja boleh mengamalkan kaedah ini, walaupun mereka dahulu pernah membuat
hubungan seks. Kaedah ini tidak melibatkan apa-apa perbelanjaan dan tiada kesan sampingan.

15

You might also like