You are on page 1of 3

Pengulas Buku: Faizal Riduan

E-mel Pengulas: faizalriduan@gmail.com


Buku yang Diulas: Adab Dialog dalam Islam
URL Blog/Facebook: http://faizalriduan.blogspot.com/2010/03/resensi-adap-dialog-dalam-
islam.html

Adakah masih ada dialog dalam Islam? Kita tertanya sendiri tatkala melihat polemik berkaitan
umat dan agama Islam apatah lagi yang mencabar status Qua Vadis ahli Sunnah Wal Jamaah,
ulama dan pihak berautoriti agama. Anehnya di satu pihak kelihatan seperti katak yang duduk
bergelap di bawah tempurung minda yang membutakan kebenaran sementara satu pihak lagi
tidak ubah seperti ikan di dalam balang kaca yang sekadar luas pemandangan tetapi tidak
boleh mengecap nikmat kebebasan bergerak dalam ruang awam. Dua situasi yang berbeza
tetapi kesannya tetap sama – tidak membina!
Sebenarnya ada banyak buku cendekiawan Islam yang memperkatakan tentang adab
berselisih pendapat dalam dialog dan muzakarah. Antara buku yang terbaik dalam kelas ini
ialah “al-Kifayah fi fann al-Jidal” karya Imam al-Haramain, “al-Ma’unah fi al-Jidal” karya Syirazi,
“Tarikh al-Jidal” karya Muhammad Abu Zahrah, “Adab al-Iktilaf” karya Dr Taha Jabir al-Alwani
dan “Adab al-Hiwar” karya Dr Muhammad Sayyid Tantawi. Namun bagi yang tidak arif
berbahahasa Arab, buku “Adab al-Hiwar” kini boleh dibaca setelah dialih bahasa oleh Institut
Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan tajuk “Adab Dialog Dalam Islam” setebal 602
muka surat.
Buku ini merupakan kajian tentang adab-adab berdialog dalam Islam yang diambil
daripada inti pati al-Quran, al-Sunah al-Nabawiyyah dan kata-kata ulama muktabar. Ia
menjelaskan bahawa syariat Islam membuka pintu perbahasan yang bijaksana berdasarkan
mantik yang betul, adab yang tinggi dan kebebasan mengeluarkan pendapat dalam lingkungan
ilmu yang berguna, kefahaman yang tajam, percakapan yang tinggi budi bahasa serta hati yang
putih bersih daripada sifat riak, hasad, ego, mengikut nafsu, kepentingan peribadi dan prejudis
tanpa sebab atau bukti yang munasabah.
Ia turut memaparkan bahawa secara semulajadinya, dialog sesama manusia adalah
penting kerana manusia tidak terlepas daripada berdialog sesama mereka dalam hubungan
sehari-hari dan dalam urusan yang berkait dengan makan, minum, pakaian, ubat-ubatan, hak
dan kewajipan. Perbezaan pandangan antara manusia dari aspek tujuan, matlamat dan
fikrahnya juga merupakan satu perkara yang penting. Perbezaan ini disebabkan beberapa
faktor yang antaranya, terang nyata dan ada juga yang tersembunyi. Syariat Islam mengariskan
1
beberapa prinsip dalam berbahas, berdebat ataupun berdialog agar ia berlaku dalam suasana
yang membina dan hasil yang dicapai adalah baik.
Lebih indah lagi, rakaman beberapa bentuk dialog yang berlaku antara para rasul
dengan kaum mereka, yang berkisar di sekitar keesaan Allah SWT, hari akhirat, hisab, dosa
dan pahala serta dialog tentang al-Quran dan kata-kata yang diucapkan oleh orang yang bodoh
sombong tentang hal ini serta jawapan terus dari Allah SWT ke atas mereka. Penyampaiannya
sangat mendalam dengan melihat dari pelbagai sumber perawi yang diperjelaskan lagi oleh
pengarangnya nyata memberikan kefahaman berbanding pemahaman secara harfiah dalam
terjemahan Al-Quran.
Turut dirakamkan semula ialah beberapa contoh dialog yang berlaku antara ahli kitab
secara amnya dan Bani Israel khususnya serta dialog dengan orang munafik yang
mengucapkan apa yang tidak ada dalam hati mereka. Dialog dalam bentuk soal jawab antara
orang baik dengan orang jahat ataupun di kalangan orang jahat sesama mereka dan orang baik
sesama mereka serta antara ahli syurga dengan ahli neraka turut dipaparkan secara dramatik
sekali.
Tidak keterlaluan dikatakan buku ini terbit tepat pada masanya ketika kemuncak
ketidakfahaman umat Islam tentang dialog yang menyihatkan, menyegarkan dan menjernihkan
yang kelihatan dalam kecelaruan feminisme Sisters in Islam (SIS) yang selalu prejudis dengan
lelaki Muslim yang dipukul rata sebagai pembawaan Islam yang ideal, perbalahan tentang
kebolehan orang bukan Muslim memasuki masjid dan meraikan perayaan Muslim, konfrontasi
bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)
dan ulama lainnya, penggantian istilah muzakarah kepada muqabalah dalam pertemuan dua
parti Islam, Umno dan Pas serta terbaru perebutan nama Allah SWT oleh gereja Kristian.
Fenomena kehilangan adab seperti ini selalu dikupas oleh Prof Syed Muhammad
Naquib Al-Attas dalam bukunya “Islam and Secularism”. Malah pada tahun yang sama 1973,
beliau mengingatkan umat Islam mengenai ilmu pengetahuan yang bersifat tidak bebas nilai
dalam Risalah, “Kita harus mengetahui dan menyedari bahawa sebenarnya ilmu pengetahuan
tidak bersifat neutral; bahawa setiap kebudayaan memiliki pemahaman yang berbeza-beza
mengenainya meskipun di antaranya terdapat beberapa persamaan. Antara Islam dan
kebudayaan Barat terbentang pemahaman yang berbeza mengenai ilmu, dan perbezaan itu
begitu mendalam sehingga tidak boleh dipertemukan.”
Apa yang dapat dilihat dalam kenyataan berbalas pihak-pihak bercanggah pendapat
lebih kepada memulangkan paku buah keras. Kenyataan balas biasanya bertindak dalam dua
cara iaitu bersifat ofensif dan defensif secara serentak, di tahap ini di satu pihak berharap, pihak
2
yang satu lagi akan kecundang di medan tempur hujah. Sifat tawaduk tunduk kepada
kebenaran seperti yang dijelmakan dalam diri Balqis Ratu Saba, Hercules Raja Rom dan
Najasyi Raja Habsyah bagaikan tidak tersirna walhal mereka ketika itu berada di tampuk
teragung sebuah kerajaan yang besar.
Sifat ‘perasan bagus’ dan ‘syok sendiri’ ini memantangkan penuturnya dari dikritik
sedangkan Allah SWT mengingatkan Nabi Musa yang mendakwa dirinya manusia yang paling
berilmu apabila ditanya soalan tersebut oleh kaumnya. Inilah yang membawa kisah pertemuan
Baginda dengan Nabi Khidir setelah direkemendasi oleh Allah SWT dalam firmannya,
“Sesungguhnya Aku ada seorang hamba di Majma’ al-Bahrayn yang ilmunya lebih banyak
daripada kamu”.
Namun sayangnya hari ini, ilmuwan Islam juga terpalit dengan budaya berdialog
menggunakan kerangka fikir Yunani melalui debat dialektik iaitu “membuktikan orang lain betul
dengan cara membuktikan orang lain salah”. Obsesi debat seperti ini sebenarnya seputar
menelanjangkan aib lawan untuk memperoleh kemenangan mutlak bukan dengan kekuatan
sendiri sebaliknya atas manipulasi kelemahan pihak lawan. Justeru sepandai-pandai ahli
falsafah Yunani pujaan golongan liberal rupanya mereka sekadar pandai membuktikan satu
sama lain sebagai salah!
Lebih parah lagi, akar akal sebegini menjalar hingga mencecah lapisan tauhid sehingga
timbul dialog yang sia-sia seperti, “Apakah al-Quran itu makhluk ataupun bukan makhluk?”,
“Perlukah doa Qunut dalam solat Subuh?”, “Selawat Syifa bercanggah dengan akidah” dan
“Bacaan talkin, tahlil, Yasin sebagai satu bidaah”. Benarlah sabda Rasulullah SAW, “Apabila
sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran”.

You might also like