You are on page 1of 7

PANDUAN MENYEDIAKAN KERTAS CADANGAN KAJIAN

1. Tajuk Kajian

Tajuk kajian harus mencerminkan skop dan kandungan kajian secara umum tetapi tepat.
Sebagai garis panduan umum, hadkan bilangan perkataan dalam tajuk supaya tidak melebihi
10 perkataan.

2. Kepentingan Kajian

Kajian harus mempunyai nilai sumbangan kepada penambahan ilmu dan boleh digunakan
untuk kepentingan organisasi dan perkhidmatan. Oleh itu kajian-kajian INTAN harus
mempunyai sumbangan yang boleh dimanfaatkan, misalnya ke arah:

i. Meningkatkan kualiti core business INTAN.

ii. Meningkatkan prestasi anggota perkhidmatan awam.

iii. Membantu usaha stakeholders dan kementerian/jabatan untuk melaksanakan


sesuatu program dengan berkesan.

iv. Membantu menjayakan pelaksanaan dasar-dasar negara secara umum.

3. Kenyataan Masalah

Kajian harus menyatakan permasalahan yang mencetuskan keinginan pengkaji untuk


menyelidikinya. Permasalahan merupakan kewujudan suatu yang “tidak kena” atau “tidak
sepatutnya” atau jurang antara situasi yang diinginkan (ideal) dengan situasi yang berlaku.
Permasalahan ini boleh dikesan oleh pengkaji berdasarkan pengalaman, pembacaan,
kenyataan di akhbar, aduan pelanggan, laporan agensi kerajaan, maklumbalas yang diterima
daripada jabatan terlibat dan sebagainya. Dalam kajian, permasalahan ini diolah dalam
bentuk kenyataan masalah (problem statement) yang ringkas tetapi padat dan tepat. Bolehlah
diterangkan serba sedikit mengenai mustahaknya masalah yang mendorong kajian dilakukan
dan implikasi yang mungkin timbul jika masalah tersebut terus dibiarkan.

4. Objektif Kajian

Objektif kajian meliputi perkara-perkara yang hendak dicapai atau dilaksanakan dalam projek
kajian. Pengkaji boleh menyatakan objektif kajiannya secara khusus atau membahagikan
objektif kajian tersebut kepada dua iaitu objektif umum dan objektif khusus.

i. Objektif umum – bersifat lebih menyeluruh iaitu merangkumi semua objektif


khusus yang dinyatakan dalam satu atau dua ayat. Dengan kata lain, objektif
umum merupakan ringkasan atau gabungan kepada objektif khusus.

ii. Objektif khusus – bersifat lebih jelas, spesifik dan biasanya terdapat lebih dari
satu. Fungsi objektif khusus ialah untuk menyelesaikan masalah yang
dinyatakan dalam kenyataan masalah. Objektif khusus akan memandu
mendapatkan keputusan atau penemuan kajian. Misalnya, jika terdapat dua
objektif khusus maka kajian akan sekurang-kurangnya mendapatkan dua
penemuan bagi memenuhi objektif khusus.

5. Skop dan Batasan Kajian

Secara praktikalnya sesuatu kajian itu dibatasi oleh kekangan masa, tenaga dan kewangan.
Oleh itu sesuatu kajian perlu menyatakan skop dan batasan sebagai terma rujukan. Contoh
skop dan batasan adalah seperti berikut:

i. Pemilihan jenis kursus, populasi peserta dan tempoh masa pelaksanaannya


(misalnya kajian impak kursus).

ii. Pemilihan organisasi tertentu (misalnya kajian mengenai penyampaian


perkhidmatan/kepuasan pelanggan).
iii. Lokasi geografi yang terlibat (misalnya kajian mengenai tahap kepuasan
pegawai di pedalaman/Sabah/Serawak).

iv. Metodologi (misalnya kajian menggunakan kaedah eksperimen quasi).

6. Teori dan Hipotesis Kajian

Teori memberikan arah haluan kepada pengkaji untuk melaksanakan kajiannya. Ia juga
membantu pengkaji memilih dan menilai angkubah yang difikirkan berkaitan dengan masalah
yang dikaji. Dengan itu pengkaji perlu membincangkan teori yang hendak diaplikasikan
seperti dari mana sumbernya, adakah diambil sepenuhnya daripada teori yang sedia ada atau
diubahsuai daripada teori tersebut. Juga perlulah dinyatakan model atau kerangka teori yang
dibangunkan dalam kajian tersebut.

Pemilihan sesuatu teori akan membantu pengkaji membentuk hipotesis-hipotesis yang ingin
diuji. Hipotesis ialah saranan yang bersifat sementara (mungkin betul atau tidak) tentang
hubungan antara sesuatu angkubah dengan angkubah lain dalam kajian. Hipotesis akan
memberikan fokus lebih khusus dan terarah kepada pengkaji dalam melaksanakan kajiannya.
Dalam kajian, setiap hipotesis yang dibina perlulah diuji kebenaran atau ketepatannya. Oleh
itu hipotesis yang baik perlu mempunyai ciri-ciri berikut:

i. Mestilah bersifat khusus, bukan umum.

ii. Pengertian dan konsep dalam hipotesis hendaklah terang, logik dan boleh
dioperasikan.

iii. Tidak mengandungi pertimbangan nilai (baik/buruk, patut/tidak).

iv. Mesti boleh/mampu diuji untuk disahkan atau ditolak kebenarannya.

7. Metodologi Kajian
Pelaksanaan sesuatu kajian itu pastinya akan melibatkan kaedah dan prosedur tertentu yang
perlu dilakukan secara saintifik dan teratur untuk mencapai objektif yang telah ditentukan.
Antara aspek-aspek yang perlu diambilkira dalam metodologi kajian ialah seperti berikut:

i. Reka bentuk Kajian

Reka bentuk kajian berkait rapat dengan klasifikasi kajian, misalnya ex-post
facto (bahasa Latin yang bermaksud kajian dilakukan selepas berlakunya
sesuatu peristiwa), kajian bereksperimen (sama ada eksperimen sepenuhnya
atau eksperimen quasi), kajian tinjauan (survey), kajian kes (mengambil
organisasi atau lokasi tertentu), kajian impak (penilaian keberkesanan sesuatu
projek) dan kajian tindakan (mengenalpasti cara melakukan sesuatu yang
paling berkesan). Pengkaji harus menentukan reka bentuk kajian yang paling
sesuai untuk mencapai objektif kajian seperti banci (mengambil seluruh
populasi), persampelan (memilih sampel tertentu daripada keseluruhan
populasi), pemerhatian, pemerhatian ikut-serta, temu bual, lawatan ke tapak
projek dan sebagainya dengan mengambilkira batasan masa, tenaga,
kepakaran dan kewangan.

ii. Kaedah Pengumpulan Data

Pengkaji perlu menyatakan sumber data yang digunakan sama ada bersifat
primer atau sekunder. Kemudian jelaskan kaedah yang digunakan untuk
memperolehi data seperti daripada dokumen atau penerbitan badan tertentu,
tinjauan di lapangan menggunakan borang soal selidik, tinjauan melalui pos/e-
mel, pemerhatian pengkaji, temu bual bersemuka, temu bual menerusi telefon
dan sebagainya.

iii. Kaedah Menganalisis Data


Pengkaji perlu menyatakan kaedah analisis data yang digunakan sama ada
secara kuantitatif, kualitatif atau kombinasi kedua-duanya. Sekiranya analisis
kuantitatif digunakan, nyatakan perisian statistik yang digunakan (misalnya
SPSS, SAS, GIS dan sebagainya) dan teknik statistik yang diaplikasikan. Jika
kaedah kualitatif digunakan, nyatakan bagaimana data yang diperolehi
tersebut dianalisis (misalnya secara transcribe verbatim).

iv. Populasi dan Persampelan

Kajian perlu mengenalpasti kaedah untuk mendapatkan populasi bagi


membina rangka persampelan. Rangka persampelan boleh diperolehi menerusi
maklumat yang ada di INTAN (senarai nama peserta kursus, JPA (lokasi
pegawai dan jabatan terkini), kementerian/jabatan (senarai nama petugas
kaunter/usahawan kecil) dan seterusnya. Selanjutnya perlu diterangkan kaedah
persampelan yang digunakan iaitu sama ada persampelan kebarangkalian atau
persampelan bukan kebarangkalian. Tatacara mendapatkan persampelan juga
perlu dinyatakan oleh pengkaji.

v. Ujian Rintis

Ujian rintis dilakukan untuk menguji kesahan dan kebolehpercayaan


instrumen kajian (borang soal selidik). Sekiranya item atau soalan yang dibina
dalam soal selidik adalah dibentuk sendiri oleh pengkaji, kajian rintis perlu
dilakukan ke atas sebilangan kecil responden yang dipilih. Maklum balas dan
komen mereka boleh digunakan untuk memperbaiki item-item yang
terkandung dalam soal selidik tersebut. Bagaimanapun jika pengkaji
mengambil borang soal selidik yang telah digunakan dalam kajian-kajian
terdahulu, maka borang soal selidik tersebut boleh digunakan semula
sekiranya ia telah dibuktikan mempunyai tahap kesahan dan kebolehpercayaan
yang tinggi.
8. Sorotan Kajian-kajian Lalu

Meneliti kajian-kajian lalu memberi peluang kepada pengkaji untuk mempelajari pengalaman
dan penemuan orang lain. Dalam bahagian ini, pengkaji boleh memberi sedikit ringkasan dan
komentar mengenai kedudukan epistemologi ilmu pengetahuan dalam bidang yang diselidiki
dengan menyorot aspek teori, permasalahan, metodologi, persampelan, penganalisisan data,
dapatan (penemuan), kekuatan, kelemahan dan cadangan penambahbaikan daripada kajian-
kajian lalu itu. Sorotan karya lalu sangat membantu pengkaji untuk membina model,
kerangka teori dan metodologi yang sesuai untuk mencapai objektif kajiannya. Sebaik-
baiknya pengkaji hendaklah mengaitkan apa yang disorot dalam karya lalu dengan apa yang
hendak dilakukan dalam kajiannya.

9. Anggaran Implikasi Kewangan

Pengkaji perlu menyenaraikan butiran perbelanjaan yang akan ditanggung oleh jabatan atau
penganjur/pelanggan untuk menjalankan kajian tersebut. Implikasi kewangan sebenarnya
banyak bergantung kepada cara pengendalian kajian, misalnya bayaran khidmat kepakaran
perlu dibuat jika kajian itu memerlukan bantuan konsultan luar. Jika pengkaji bercadang
menggunakan data primer, sebahagian kos perbelanjaan akan digunakan untuk membayar
upah pembantu penyelidik bagi mengumpul data.

10. Jadual Kerja

Dalam jadual kerja perlu dinyatakan tarikh dan jangka masa setiap peringkat penyelidikan
dijalankan iaitu bermula dengan menyediakan kertas cadangan kajian, melaksanakan sorotan
karya, menentukan teori dan hipotesis, merangka soal selidik, membuat pilot test,
mengumpul data, menganalisis data dan menulis laporan kajian. Salah satu kaedah yang
sesuai untuk merangka jadual kerja kajian ialah dengan menggunakan Carta Gantt.

Sebagai panduan untuk menyediakan jadual kerja, berikut adalah anggaran masa yang
diperlukan bagi setiap aktiviti dalam kajian berbentuk jangka pendek iaitu dilakukan dalam
tempoh 6 bulan (24 minggu).
Aktiviti Kajian Anggaran Masa
Menyediakan cadangan kajian 3 minggu
Meneliti kajian lalu/teori/metodologi 3 - 4 minggu
Merangka instrumen kajian 3 minggu
Menjalankan pilot test 2 minggu
Mengumpul data 4 -5 minggu
Menganalisis data 2 minggu
Menulis laporan 3 - 4 minggu
Jumlah minggu 20 – 23 minggu

Anggaran masa yang diberikan tersebut adalah sekadar panduan supaya pengkaji dapat
memberi tumpuan seimbang kepada semua aktiviti dan proses yang terlibat dalam kajian
mereka.

You might also like