You are on page 1of 13

TAJUK :

MASALAH DISIPLIN PELAJAR


Satu tinjauan di SMK Bandar Tasik Selatan

DISEDIAKAN OLEH :

Malina Binti A. Rashid (L20092004823)

NAMA PENSYARAH :

Dr. Rahimah Binti Wahid


ABSTRAK

Pelajar yang merupakan golongan remaja pada hari ini merupakan


harapan dan generasi pelapis negara untuk masa hadapan sepatutnya
bergelut melengkapkan diri menjadi insan serba boleh demi menempuh
hari yang semakim mencabar di masa depan. Tetapi, sebaliknya yang
berlaku dimana mereka lebih banyak mencurahkan tumpuan dan masa
muda berharga dengan tidak segan silu melakukan pelbagai jenayah
seperti mereka yang bertaraf profesional. Atas alasan mahu
mendapatkan populariti, meraih wang mudah serta mendapat
perhatian rakan sebaya, pelajar berusia 13 hingga 18 tahun ini sudah
tidak lagi malu melakukan jenayah. Berdasarkan pemerhatian di Sekolah
Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Selatan menunjukkan peningkatan
dalam perlakuan masalah disiplin pelajar. Faktor utama mendorong
kapada berlakunya masalah disiplin adalah disebabkan latar belakang
keluarga pelajar itu sendiri di samping faktor-faktor lain. Turut
dibincangkan adalah langkah-langkah untuk mengatasi masalah disiplin
dalam kalangan pelajar yang semakin meruncing pada hari ni.
1.0 PENGENALAN

Pelajar merupakan elemen atau aset penting dalam  negara dan bakal menjadi pemimpin negara pada
masa hadapan dan akan terus melaksanakan program pembangunan negara untuk mencapai Wawasan
2020. Pembangunan negara yang pesat dalam sektor ekonomi, sosial dan budaya serta perkembangan
teknologi maklumat yang berlaku pada ketika ini telah membawa bersama gejala sosial yang negatif di
kalangan remaja sekolah.  Keruntuhan akhlak dan nilai-nilai moral serta gaya hidup yang tidak sihat telah
memberi kesan yang buruk kepada keluarga, masyarakat dan negara.

1.1 Konsep dan definisi disiplin


Disiplin merupakan peraturan atau undang-undang yang bertujuan untuk membentuk para pelajar
selari kehendak agama, norma-norma masyarakat dan undang-undang sesebuah negara. Namun
begitu sesuatu yang mulia tidak mudah diterima oleh golongan pelajar, apatah lagi banyak unsur lain
mempengaruhi perkembangan mental mereka. Gejala seperti ponteng sekolah, melawan guru,
bersikap antisocial (peraturan), bergaduh, membuli, merokok dan sebagainya adalah masalah yang
sering diperkatakan. Mengikut kamus Oxford Advanced Learner’s, disiplin didefinisikan sebagai: 
“ … is the practice of training people to obey rules and orders and punishing them if they do not”  
Mengikut Kamus Bahasa Melayu terbitan Utusan Publication and Distributors Sdn. Bhd. (1995)
mendefinisikan disiplin sebagai “ kepatuhan, kesetiaan dan ketaatan kepada peraturan-peraturan
yang ditetapkan”. 

Manakala mengikut Kamus Dewan Edisi Baru Terbitan DBP, KL (1989) mendefinisikan disiplin
sebagai “Latihan terutamanya pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri mengikut
peraturan yang ditetapkan dan sekiranya ini berlaku sebaliknya hukuman atau denda dikenakan”. 
Mengikut Barbara An Kipter, Ph.D dalam Roger’s 21st Century Thesaurus, beliau mengatakan disiplin
itu adalah “latihan dan dendaan (Training and punishment)”. Terdapat 3 kategori masalah disiplin
atau kesalahan iaitu berat, sederhana dan ringan. Kesalahan disiplin yang berat dan sederhana akan
dimaklumkan kepada ibubapa untuk perhatian dan tindakan. Kesalahan-kesalahan yang ringan dan
yang lebih berat sepatutnya  direkodkan.

Masalah disiplin pelajar merujuk kepada perbuatan salah laku yang melanggar peraturan yang telah
ditetapkan oleh pihak sekolah. Gejala disiplin di sekolah merupakan isu antarabangsa yang masih
menjadi perbahasan semua peringkat sama ada ahli politik, ahli akademik mahupun masyarakat
biasa. Isu pelajar sekolah membuli, merokok, bergaduh, memukul guru, dan yang paling
mengejutkan, iaitu membunuh rakan sebaya menjadi topik perbincangan hangat setiap lapisan
masyarakat memandangkan gejala ini semakin hari menjadi semakin serius. Pelbagai pendekatan
digunakan oleh pihak sekolah termasuk melaksanakan konsep dendaan, sistem hukuman dan
bimbingan, namun masalah ini masih tidak berjaya dibendung. Merujuk pada Buku Rekod Salah Laku
Masalah Disiplin yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1990,
terdapat beberapa kategori salah laku disiplin, iaitu tingkahlaku jenayah, lucah, kekemasan diri,
tidak mementingkan masa, kurang sopan dan biadab, laku musnah, tidak jujur, dan ponteng.
Kesalahan yang dianggap berat pula termasuklah merosak harta benda sekolah, bergaduh atau
bertumbuk di sekolah, memukul atau mengancam pelajar atau guru, dan memeras ugut.

Laporan akhbar Utusan Malaysia pada 14 April 2006 mendedahkan kenyataan yang dibuat oleh
Timbalan Menteri Pelajaran, berkaitan masalah disiplin di kalangan pelajar. Menurut beliau, pada tahun
1995 kira-kira 1.74% daripada 5.5 juta pelajar di Malaysia terlibat dengan kes disiplin. Bilangan yang kecil
ini sepatutnya tidak menyebabkan kita berasa selamat dan selesa. Sebabnya bilangan 100, 000 ini boleh
mempengaruhi bilangan yang ramai itu. Walaupun statistik menunjukkan penurunan berbanding tahun
sebelumnya tetapi beliau berpendapat masalah ini tidak boleh dipandang ringan. Statistik bagi
sepanjang 2007, sejumlah 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan. Angka itu
meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes tahun lalu yang menyaksikan seramai 3,725 pelajar
ditahan. 

Jadual 1 : Kesalahan disiplin pelajar di SMK Bandar Tasik Selatan pada


tahun 2008 dan sehingga Mei 2010
KESALAHAN 2008 2010
Datang lewat ke sekolah 809 785
Ponteng sekolah 228 233
Mencederakan murid lain 2 36
Mencuri 5 15
Melawan/mencederakan guru 2 7
Merosakkan harta benda sekolah 1 7

Jadual 2 : Masalah disiplin pelajar di SMK Bandar Tasik Selatan mengikut tingkatan pada tahun 2010
Tingkatan Tingkatan Tingkatan Tingkatan Tingkatan
KESALAHAN Jumlah
1 2 3 4 5
Datang lewat ke sekolah 0 5 146 168 465 784
Ponteng sekolah 1 36 40 64 92 233
Mencederakan murid lain 1 6 14 5 10 36
Mencuri 2 10 0 1 2 15
Pemakaian tidak mengikut
1 23 15 10 49 98
peraturan
Mengganggu pengajaran
10 10 20 62 95 197
dan pembelajaran
Tidak menghormati guru 0 10 11 23 15 59
Jumlah 15 100 246 333 728 1422

Daripada jadual diatas, jelas menunjukkan bahawa masalah yang paling serius berlaku di sekolah ini
ialah kes pelajar datang lewat ke sekolah dan diikuti oleh kes ponteng sekolah. Daripada kes-kes
tersebut, kebanyakkannya terdiri daripada pelajar tingkatan lima dan seterusnya pelajar tingkatan
empat. Masalah ini tidak boleh dipandang enteng kerana bagi palajar tingkatan lima, mereka akan
menghadapai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan masalah ini akan mengganggu pelajaran
mereka. Memang tidak dinafikan bahawa, kebanyakkan pelajar ini adalah daripada kelas-kelas yang
lemah dan menghadapi masalah pembelajaran. Namun begitu, jika masalah ini masih tidak dapat
dibendung akan menyebabkan kesan buruk kepada sekolah dan diri mereka sendiri.

Berdasarkan rekod Kementerian Pelajaran tahun 2007 menunjukkan 21,060 pelajar (0.39 peratus)
dikesan ponteng sekolah, manakala 24,840 pelajar (0.46 peratus) pada tahun sebelumnya. Jika melihat
kepada jumlah peratusan yang kecil, tetapi jumlah yang kecil ini boleh mempengaruhi pelajar lain untuk
melakukan kesalahan yang sama. Isu lewat ke sekolah atau tidak pentingkan masa juga agak ketara
dengan rekod 18,360 pelajar (0.34 peratus) terbabit tahun lalu dan 15,120 pelajar (0.28 peratus) pada
tahun sebelumnya. Selain itu, salah laku pelajar kurang sopan seperti merokok, tidak hormat guru dan
pengawas serta berbahasa kesat adalah kesalahan paling banyak berlaku di sekolah membabitkan
23,220 kes (0.43 peratus ) tahun lalu dan 19,980 kes (0.37 peratus) pada 2006. Kesalahan berunsur
jenayah seperti mencuri, mencederakan pelajar, bergaduh dan pukul juga antara kes banyak dicatatkan
di sekolah iaitu 18,900 (0.35 peratus) tahun lalu dan 18,360 (0.34 peratus) pada 2006. Masalah
kenakalan pelajar seperti membawa telefon bimbit ke sekolah mencatatkan penurunan kes agak ketara
iaitu daripada 15,120 pada 2006 kepada 8,640 kes tahun lalu. Kesalahan laku musnah seperti
merosakkan kemudahan atau menconteng di bangunan sekolah juga berkurangan daripada 3,780 kes
pada 2006 kepada 3,240 kes tahun lalu. Kes salah laku disiplin berunsur kelucahan termasuk membuat
bahasa isyarat, lukisan serta menggunakan perkataan tidak senonoh mencatat jumlah sama pada 2006
dan tahun lalu, iaitu 2,700 kes. Statistik kementerian mengenai salah laku disiplin pelajar dalam tempoh
2003 hingga 2007 mencatatkan kadar purata dua peratus, manakala kes jenayah yang diteliti menerusi
rekod polis pada kadar purata 0.03 peratus.

2.0 FAKTOR YANG MEMPENGARUHI MASALAH DISIPLIN PELAJAR

2.1 Kurangnya kasih sayang dan perhatian ibubapa


Masalah ini semakin meruncing ekoran kurangnya kasih sayang dan perhatian ibubapa di era
globalisasi ini. Di mana, ibubapa lebih mengutamakan kerjaya mereka sehingga alpa tentang
tanggungjawab mereka mendidik anak yang dahagakan kasih sayang mereka. Sehinggakan anak-
anak dibiarkan dirumah tanpa dijaga oleh orang tua mereka selepas waktu persekolahan dan
ada juga ibubapa yang menggunakan khidmat pembantu rumah untuk menguruskan rumah
tangga mereka kerana kekangan masa yang dihadapai. Akibatnya, pelajar terbabit mencari jalan
keluar dengan melakukan tindakan-tindakan disiplin yang bertujuan untuk menarik perhatian
ibubapa mereka. Kadangkala ibubapa tidak memahami keinginan anak-anak mereka
menyebabkan masalah ini semakin berlanjutan sehingga memungkinkan berlakunya kes
jenayah.

2.2 Rakan sebaya


Pengaruh daripada rakan sebaya turut menjadi punca masalah disiplin dalam kalangan pelajar
sekolah. Pelajar sering menganggap rakan sebaya mereka sebagai rakan yang sebenar yang
mampu memberikan perhatian dan pertolongan setiap masa. Bagi mereka, rakan ialah
pendengar dan sanggup berkorban untuk mereka berbanding ibubapa yang gagal menjalankan
tanggungjawab mereka. Hal ini disebabkan, mereka lebih banyak menghabiskan masa bersama
rakan-rakan berbanding dengan keluarga kerana tiada harmoni dalam keluarga menyebabkan
mereka mencari hiburan di luar bersama rakan-rakan yang kebanyakkan menghadapai masalah
yang sama. Ringkasnya, rakan sebaya yang negatif akan memastikan disiplin pelajar itu akan
turut merosot dengan drastiknya.

2.3 Kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan telus


Tambahan pula, kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan telus dalam isu ini turut menjadi
faktor yang mendorong meluasnya masalah ini. Ada pihak sekolah yang merahsiakan masalah
disiplin sekolah mereka kerana tidak mahu nama sekolah terjejas. Tindakan ini menyebabkan
ada pelajar yang beranggapan tindakan mereka melanggar disiplin tidak akan dilaporkan oleh
pihak sekolah. Sikap acuh tak acuh sekolah yang turut kekurangan guru disiplin ini menyebakan
pelajar semakin berani melakukan kesalahan disiplin kerana beranggapan tindakan mereka tidak
dapat dikesan oleh guru. Oleh itu, cara pihak sekolah menangani masalah disiplin turut
menentukan peningkatan masalah disiplin pelajar. Namun begitu, terdapat juga pelajar yang
sudah lali dengan hukuman yang dikenakan menyebabkan mereka tidak lagi gentar dengan
tindakan yang bakal dikenakan.

2.4 Ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai dengan pelajar


Keadaan ini turut menjadi punca masalah ini terus berleluasa. Program yang menarik dapat
menghalang pelajar menghabiskan masa mereka di pusat-pusat beli-belah dan terjemurus ke
dalam aktiviti menyalahi disiplin. Masa yang mereka habiskan untuk menjalankan aktiviti yang
disediakan di sekolah akan menjadikan mereka lebih berdisiplin dan tidak mensia-siakan waktu
petang mereka dengan perkara yang tidak berfaedah. Pihak sekolah boleh menjalankan pelbagai
aktiviti selepas waktu persekolahan seperti kelas tambahan, aktiviti kokurikulum dan sukan atau
perjumpaan dengan guru. Aktiviti yang hendak dijalankan mestilah yang dapat menarik minat
mereka untuk menyertainya. Dengan ini, mereka akan merasakan mereka lebih dekat dengan
guru dan perhatian diberika kepada mereka akan mewujudkan keharmonian di sekolah dan
berkurangnya masalah disiplin.

2.5 Suasana dan persekitaran sekolah


Faktor ini turut mendorong kepada berlakunya paningkatan dalam masalah disiplin pelajar. Hal
ini kerana, kebanyakkan pelajar sekolah ini adalah tinggal berdekatan dengan sekolah dan
memudahkan mereka untuk ponteng tanpa pengetahuan ibubapa atau dengan pengetahuan ibu
bapa. Selain tu, terdapat juga pelajar yang keluar dari rumah dengan berpakaian sekolah tetapi
melencong ke tempat lain tanpa pengetahuan keluarga dan pihak sekolah. Mereka akan
berkeliaran dimana-mana pusat membeli belah atau tempat-tempat yang selalu mereka lepak.
Gejala ini terkenal terutamanya di sekolah-sekolah yang terletak di bandar kerana terdapat
banyak tempat-tempat hiburan untuk dikunjungi dan suasana kawasan perumahan yang
penduduknya masing-masing tidak ambil peduli akan hal orang lain. Jadi, masalah ini perlu
diatasi dengan mengetatkan peraturan disekolah dan perhatian yang lebih daripada ibubapa.

2.6 Latar belakang keluarga


Kemerosotan disiplin pelajar juga berpunca daripada latar belakang keluarga pelajar sendiri.
Hasil kajian yang dijalankan menunjukkan institusi keluarga yang goyang merupakan salah satu
punca utama pelajar terlibat dalam salah laku di sekolah. Ini kerana sesetengah pelajar terpaksa
bekerja untuk meringankan beban keluarga. Keadaan hidup yang susah ini menyebabkan pelajar
alpa akan pentingnya pelajaran. Ada di kalangan mereka mempunyai pandangan yang negatif
terhadap persekolahan. Sebaliknya, bagi pelajar yang mewah pula, mereka terlalu mudah
mendapat wang. Ini menyebabkan mereka bebas melakukan apa sahaja yang diingini seperti
menghabiskan masa berpeleseran di tempat-tempat hiburan dan melepak serta membeli-belah.
Hal ini menyemarakkan lagi gejala ponteng sekolah, antara kes salah laku pelajar yang paling
utama.

2.7 Kaedah serta bahan pengajaran yang tidak sesuai


Pengaruh guru juga dapat mempengaruhi pelajar melakukan disiplin seperti ponteng kelas. Hal
ini mungkin disebankan penggunaan bahan pengajaran yang gagal menarik minat pelajar atau isi
pelajaran itu tidak bersesuaian dengan mereka. Mereka merasa bosan sekiranya isi pelajaran
tidak mencabar atau terlalu mudah. Kesukaran memahami isi pelajaran yang disampaikan juga
menjadikan mereka bosan dan gelisah. Penyampaian pengajaran guru yang terlalu linear
membuatkan mereka bosan dan tidak menumpukan perhatian dan guru sekali sekala perlu
menyelitkan kata-kata jenaka untuk menarik perhatian pelajar.

2.8 Media massa


Sementara itu, kemunculan media massa turut mendorong masalah ini memuncak dengan
drastik. Kelakuan yang tidak senonah yang mereka saksikan telah menimbulkan rasa untuk
mencuba pula dalam hati pelajar. Kebanyakan masalah disiplin dikatakan satu cubaan meniru
kelakuan yang telah mereka tonton sebelum ini. Jadi, disiplin mempunyai kaitan rapat dengan
kejadian disiplin pelajar yang terus merosot itu.
Kemelut ini mudah dibendung jika semua pihak saling berganding bahu untuk sama-sama mencari jalan
menyelesaikan kemelut ini. Melalui penilaian aspek-aspek yang telah diketengahkan, maka adalah
penting bagi kita menangani permasalahan disiplin di kalangan pelajar sekolah mahu pun pusat
pengajian yang lebih tinggi demi menjamin keutuhan sekolah sebagai agen sosial yang berwibawa dan
dihormati. Prosedur pencegahan yang sistematik dan berkesan berasaskan pertimbangan punca-punca
penglibatan pelajar kepada masalah disiplin ini adalah perlu demi memelihara masa depan yang positif
kepada pelajar, sekolah dan masyarakat itu sendiri. Oleh itu kerjasama bersepadu antara pelajar,
sekolah, pihak berkuasa dan masyarakat adalah perlu ke arah pelaksanaan program pencegahan yang
berkesan serta menyeluruh berdasarkan langkah-langkah yang berkesan. 

3.0 LANGKAH MENGATASI MASALAH DISIPLIN PELAJAR

Menurut Feldman & Weinberger di dalam buku Developmental Psychology Childhood and
Adolescence (1996) di atas menerangkan bahawa penampilan sikap negatif yang persisten oleh pelajar-
pelajar hasil daripada keluarga yang bermasalah ini, akan menyebabkan beberapa respon negatif, tanpa
disedari, oleh masyarakat sekolah.
Pelajar-pelajar lain yang lebih pandai akan menjauhi diri daripada mereka.
Pelajar-pelajar ini juga akan kerap dikritik dan tidak diambil berat oleh guru-guru. 
Pelajar-pelajar ini akan ditempatkan di dalam kelompok pelajar-pelajar yang sama taraf
akademiknya dan secara relatifnya juga bermasalah dan mempunyai sikap anti-sosial.

Penolakkan masyarakat sekolah tersebut akan menyebabkan skop pergaulan mereka terbatas kepada
pelajar-pelajar yang lemah dalam matapelajaran dan bermasalah sama seperti mereka dan Sesetengah
daripada mereka membentuk geng-geng ataupun deviant cliques. Kumpulan ini akan menjerumuskan
mereka kepada peningkatan sikap-sikap agresif, anti-sosial, tidak mementingkan pelajaran dan terjebak
di dalam aktiviti-aktiviti yang berbau jenayah (Thomas Dishion & Associates, 1991). Kajian tersebut
bertepatan dengan senario kita hari ini. Biasanya unsur-unsur negatif yang besar seperti buli, peras ugut,
holiganisme, gangsterisme dan membakar sekolah melibatkan penyertaan lebih daripada satu pelajar.
Terdapat juga golongan pelajar yang memencilkan diri, hilang pegangan role model mereka iaitu
ibubapa dan guru dan sebagainya.
3.1 Peranan Sekolah
Di sekolah, subjek yang diajar oleh guru harus ada nilai tambah, iaitu menerapkan nilai-nilai
murni dalam setiap kelas. Kelas boleh dijalankan dengan interaktif supaya pelajar lebih berminat
untuk datang ke sekolah dan meneruskan kelas. Pelajar bukan sahaja diajar mengenai nilai
murni dan moral dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan dan Pendidikan
Moral tetapi elemen agama dan sivik seharusnya ada dalam setiap subjek supaya remaja akan
terdidik dengan nilai-nilai murni dalam setiap apa yang dipelajarinya. Penerapan nilai murni
dalam kelas boleh dijalankan dengan perbincangan dua hala antara pelajar dan guru dan
seterusnya dapat melihat sejauh mana pemahaman pelajar terhadap sesuatu nilai murni.

Selain itu, guru perlu sentiasa berbincang dengan ibu bapa tentang masalah yang dihadapi oleh
pelajar. Guru kelas boleh mengambil langkah yang proaktif dengan menyelidik latar belakang
pelajar-pelajar kelasnya dan menghubungi ibu bapa untuk berbincang jika timbul apa-apa
masalah yang boleh membawa kepada perlakuan disiplin. Dengan melabel murid jahat bukanlah
penyelesaiannya, tetapi guru seharusnya berusaha untuk memahami punca pelajar bertindak
sedemikian. Guru kaunseling juga harus ditambah kerana pelajar boleh merujuk kepada mereka
untuk membincangkan langkah-langkah untuk mengatasi masalah yang mereka hadapi.

3.2 Diri sendiri


Golongan remaja perlu mencari rakan sebaya yang betul yang tidak mendorong kearah negatif.
Umumnya, remaja banyak menghabiskan masa di sekolah bersama rakan-rakan dan apabila
pulang dari sekolah, mereka juga akan berkumpul dengan rakan-rakan yang sama. Pemilihan
rakan sebaya yang betul dapat mengelakkan daripada terpengaruh dengan unsur-unsur yang
salah dan akan yang baik adalah rakan yang mengingatkan kita semasa kita tersalah arah dan
laku. Selalunya rakan-rakan terdiri daripada orang yang sebaya mempunyai fikiran dan pendapat
yang sama dalam segala hal membolahkan mereka menjalankan aktiviti bersama-sama. Maka
remaja harus berhati-hati dalam memilih rakan dan tidak semestinya rakan mereka terdiri
daripada golongan yang sebaya kerana berkawan dengan orang yang lebih dewasa akan
membuatkan fikirannya menjadi lebih matang dalam melakukan sesuatu perkara.

Mereka yang menghadapi masalah perlu mendapatkan bantuan dengan orang lain jika tidak
dapat menyelesaikannya sendiri. Remaja perlu mendapatkan nasihat daripada orang lain selain
rakan sebaya jika menghadapi masalah di rumah atau dengan rakan-rakan kerana tidak semua
rakan sebaya memahami tentang masalah tersebut dan tidak dapat membantu. Kebanyakan
remaja lebih suka mendiamkan diri dengan masalah mereka ataupun hanya menceritakan
kepada rakan sebaya. Akibatnya, kadangkala langkah yang diambil menjadi masalah kepada
orang lain kerana tidak selari dengan tuntutan agama dan undang-undang. Berbincang dengan
kaunselor atau guru dapat membantu sekiranya ibu bapa dan penjaga tidak memahami masalah
remaja.
Berusaha menjadi contoh yang baik. Sikap ini harus ada pada setiap remaja kerana ia dapat
membantu remaja untuk mengawal diri daripada perlakuan yang tidak senonoh. Sekurang-
kurangnya jika tidak boleh menjadi contoh yang baik kepada orang lain, jadilah contoh dalam
ahli keluarga sendiri dan juga pada diri sendiri. Rasa bersalah sekiranya melakukan kesalahan
harus dibayar dengan azam untuk tidak mengulanginya lagi dan tidak berharap orang yang
terdekat melakukan kesalahan yang sama.

3.3 Peranan Keluarga


Ibu bapa adalah contoh dan role model yang terbaik kepada anak-anak dengan memberikan
contoh yang baik untuk diteladani. Elakkan pertengkaran di hadapan anak-anak serta perlakuan
yang menyebabkan anak-anak berdendam dan tidak berpuas hati terhadap ibu bapa. Setiap ibu
bapa pastinya menginginkan anak-anak mereka menjadi baik, tetapi ibu bapa seharusnya
terlebih dahulu menunjukkan teladan yang baik untuk diikuti. Selain itu ibu bapa harus prihatin
dengan pergerakan serta rakan anak-anak untuk mengelakkan kejadian yang tidak di ingini
berlaku dan menunjukkan keprihatinan ibu bapa kepada anak-anak supaya merasakan mereka
dihargai dan disayangi.

Seorang ibu bapa yang menginginkan keluarga yang bahagia perlu berusaha memahami
keperluan emosi dan jasmani anak-anak. Boleh dikatakan masalah banyak berpunca daripada
masalah dalaman iaitu masalah keperluan psikologi. Justeru itu adalah wajar bagi ibu bapa
untuk mempelajari keperluan psikologi anak-anak dan cara-cara menangani setiap isu anak dan
sentiasa mengambil tahu keinginan dah masalah anak-anak. Ibu bapa juga harus berperanan
memperlengkapkan anak-anak dengan ilmu agama dan kekuatan spiritual supaya lebih kuat
berdepan dengan cabaran-cabaran masa kini.
3.4 Peranan masyarakat dan media
Masyarakat juga harus berperanan dalam membantu remaja-remaja yang bermasalah dengan
memahami situasi keluarga remaja berkenaan. Orang yang terdekat dengan mereka seperti
jiran-jiran dan saudara mara boleh membantu dalam mengenal pasti remaja yang bermasalah
dan cuba membawa mereka ke jalan yang baik melalui teguran yang berhemah.

Media massa juga dapat membantu dari segi pengisian yang berguna melalui rancangan di
televisyen, radio dan juga di suratkhabar. Hal ini kerana, golongan remaja lebih terdedah dan
sangat peka dengan perkembangan teknologi semasa yang memungkinkan mereka lebih
mendorong kearah positif dan negatif jika disalahgunakan maklumat tersebut. Program-
program yang disediakan seharusnya lebih berinformatif dan menjana pemikiran remaja kearah
positif dan lebih matang.
4.0 PENUTUP

Para guru dan masyarakat harus sedar bahawa pelajar yang ada sekarang berbeza dengan pelajar pada
zaman 70-an dan 80-an dulu. Pelajar dulu takut dan hormat kepada guru, mempunyai hala tuju yang
jelas dalam belajar, tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak, bercita-cita tinggi selain daripada
dibesarkan dalam suasana keluarga yang penuh dengan kasih sayang, hormat menghormati di samping
tidak terlibat dalam arus mengejar kebendaan semata-mata. Pelajar dulu kaya dengan nilai-nilai budaya
timur yang mengutamakan nilai menghormati mereka yang lebih tua. Kata-kata guru dianggap keramat,
teguran guru ibarat nasihat. Paling penting, pada waktu dulu para pelajar tidak terdedah dengan
pelbagai bentuk budaya asing dan popular yang bisa menghakis nilai-nilai ketimuran yang mulia. Dulu,
rotan adalah senjata yang paling berkesan untuk merawat salah laku pelajar. Apa yang berlaku sekarang
sudah amat jauh bezanya.  

Sekolah dan golongan guru mesti menerima hakikat bahawa pelajar sekarang lebih lantang dan sedar
akan hak yang melindunginya sebagai pelajar. Mereka adakalanya berani mencabar kewibawaan
sekolah.  Oleh itu, kaedah-kaedah tradisional seperti dengan memarahi, merotan, menggantung dan
membuang sekolah sudah tidak sesuai lagi dengan kemelut disiplin sekarang. Sekolah perlu
mewujudkan iklim yang cukup selesa untuk para pelajar menimba ilmu sehingga tidak ada ruang
langsung pun untuk pelajar berasa tidak puas hati dan mendorongnya untuk memberontak. Percayalah,
masalah disiplin yang berlaku di kalangan pelajar sekarang banyak berpunca daripada masalah keluarga
serta kegagalan guru mempersembahkan yang terbaik untuk para pelanggannya iaitu para pelajar.

You might also like