Professional Documents
Culture Documents
PENGHARGAAN
Nama sekolah ini adalah di perkenankan dari nama Duli Yang Maha Mulia Almarhum
Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim, mengambil sempena jasa-jasa baginda
kepada rakyat negeri Johor dan minat baginda dalam perkembangan pelajaran
kebangsaan.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail ialah putera sulung Almarhum Sultan Ibrahim Ibni
Almarhum Sultan Abu Bakar. Baginda telah diputerakan oleh Seri Paduka Bondanya
Almarhum Tengku Maimunah binti Tengku Abdul Majid pada 28hb Oktober 1894 di
Istana Semayam Bukit Senyum. Baginda telah ditabalkan menjadi Sultan apabila Seri
Paduka ayahanda Almarhum Sultan Ibrahim mangkat pada 8 hb Mei 1959.
Setelah berusia 6 tahun baginda telah diserahkan belajar di sebuah Sekolah Melayu di
Johor Bahru dan menuntut ilmu dari seorang guru berbangsa Eropah. Pada 28hb April
1904 baginda diiringi oleh kedua Paduka Adindanya iaitu Almarhum Tunku Bendahara
Idris Abu Bakar dan Yang Amat Mulia Tunku Temenggong Ahmad berangkat ke United
Kingdom.
Pada 30hb Ogos 1920 baginda telah berkahwin dengan Ungku Aminah binti Ungku
Ahmad, saudara dua pupunya dan dianugerahkan 2 orang putera iaitu Yang Amat Mulia
Tunku Mahmud Iskandar dan Yang Amat Mulia Tunku Abdul Rahman serta seorang
puteri iaitu Yang Amat Mulia Tunku Maimunah. Dalam bulan April 1981, baginda telah
gering. Akhirnya baginda telah mangkat pada jam 6.12 petang di Hospital Besar Johor
Bahru dan dimakamkan di Bukit Mahmoodiah Johor Bahru pada 11hb Mei 1981.
ii) PERASMIAN SEKOLAH
Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Johor Bahru yang ditubuhkan pada
tahun 1960 telah dirasmikan pembukaannya oleh Almarhum Sultan Ismail Ibni
Almarhum Sultan Ibrahim (Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor pada masa itu)
pada hari Khamis, 30hb Mac 1967, bersamaan 18hb Zulhijjah 1386.
Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail yang ditubuhkan pada tahun 1960 telah
menunjukkan ‘sejarah menumpang yang aneh’. Pada awal penubuhannya pelajar-pelajar
terpaksa menumpang di beberapa buah sekolah lain di sekitar Johor Bahru.
Pada tahun 1960 sebuah kelas tingkatan 1 aliran Melayu telah dimulakan di Maktab
Sultan Abu Bakar (MSAB), kemudian murid-murid ini (lelaki) berpindah ke Sekolah
Menengah Dato Jaafar (SDJ) manakala murid-murid perempuan ke Sekolah Menengah
Perempuan Sultan Ibrahim (SIGS). Pada tahun 1961, di SDJ terdapat 3 buah kelas
Tingkatan 3, 7 buah kelas Tingkatan 2 dan 6 buah kelas Tingkatan 1. Dari jumlah itu,
terdapat sebuah kelas Tingkatan 2 dan 2 buah kelas Tingkatan 1 aliran Melayu yang
berpindah daripada Maktab Sultan Abu Bakar. Sehingga akhir tahun 1963 terdapat
seramai 330 orang murid lelaki dan perempuan aliran Melayu di sekolah ini. Murid
perempuan itu telah dipindahkan dari SIGS pada tahun 1963.
Pada bulan Mac 1964, barulah kelas-kelas aliran Melayu ini berpindah ke bangunannya
sendiri di Jalan Abdul Samad dan diberi nama Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan
Ismail (SSI). Sebelum ini murid-murid ini telah dikumpulkan untuk sementara waktu di
Sekolah Menengah Aminuddin Baki Johor Bahru. Sejak itu bermulalah pelajar aliran
Melayu dari kelas-kelas tingkatan 1 hingga tingkatan 5 di sekolah ini. Pengetua yang
pertama ialah En. Ali b Ismail.
SSI JB telah memulakan kelas-kelas Tingkatan 6 pada tahun 1969 yang bukan sahaja
menempatkan pelajar-pelajar dari daerah Johor Bahru, tetapi dari daerah-daerah lain di
negeri Johor. Pada tahun 1972 pula, sekolah ini telah bertukar menjadi Sekolah
Menengah Atas iaitu hanya mempunyai kelas-kelas dari tingkatan 4 hingga tingkatan 6
sahaja, tetapi pada tahun 1975, telah dikembalikan semula menjadi sekolah menengah
sepenuhnya iaitu mempunyai kelas-kelas dari tingkatan peralihan hingga tingkatan 6.
Pada tahun 1968 tenaga pengajar sekolah telah meningkat daripada 18 orang kepada 60
orang dan selepas 1974 bilangan guru semakin bertambah sehingga mencapai 100 orang
pada tahun 1983. Bilangan murid juga bertambah dengan pesat sejak sekolah ini
beroperasi di bangunannya sendiri. Kemudahan-kemudahan asas dipertingkatkan dari
semasa ke semasa.
Dari tahun 1964 hingga 1974 Lembaga Sekolah telah dipengerusikan oleh Y.B Dato’
Ismail Abu Bakar dan diikuti oleh Tuan Haji Saibon bin Mustafa hingga tahun 1983.
Setelah beliau meninggal dunia, tempat beliau telah digantikan oleh Tuan Hj. Bahauddin
bin Pauk. Persatuan Ibubapa dan Guru sekolah telah ditubuhkan dalam tahun 1974 dan
Yang Dipertuanya yang pertama ialah Encik Abdul Rahman b Ariffin.
Sekolah ini bukan sahaja terkenal dengan sejarahnya yang menumpang di bangunan
sekolah lain tetapi apabila sudah mempunyai bangunannya sendiri, sekolah ini telah
memberi khidmat kepada yang lain. Pada tahun 1970, Sekolah Menengah Tasek Utara
menumpang di sekolah ini dengan 812 orang murid dan 31 orang guru. Keadaan ini
berlaku sehinggalah pada tahun 1974 apabila Sekolah Menengah Tasek Utara berpindah
ke bangunannya sendiri. Sifat tolong-menolong ini berterusan apabila pada tahun 1985
Kolej Putri Tunku Ampuan Mariam Johor Bahru diambil alih oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia lalu diletakkan di bawah pentadbiran Sekolah Menengah Sultan Ismail. Lebih
istimewa lagi walaupun SMK Sultan Ismail hanya sekolah harian biasa tetapi sekolah ini
turut menampung murid-murid rancangan Felda yang datang dari daerah-daerah lain di
Johor Bahru. Lebih menarik lagi sejak 1971 sekolah ini telah menerima dan mendidik
murid-murid Yayasan Sabah sehingga 2002. Murid-murid ini diberi kemudahan tinggal
di Asrama Pusat Putera dan Asrama Pusat Puteri Johor Bahru.
Kelas Rancangan Khas Agama telah diadakan sejak tahun 1991, 2 buah kelas bagi tiap-
tiap tingkatan 1, 2 dan 3 yang pelajar-pelajarnya terdiri daripada pelajar perempuan
sahaja.
Pada tahun 1999, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail telah diiktiraf sebagai
Sekolah Kawalan. Kelas-kelasnya dari tingkatan 1 hingga tingkatan 6 sahaja.
Pada tahun 2007, SMK Sultan Ismail telah dilantik sebagai Sekolah Tonggak bagi
membantu peningkatan kecemerlangan akademik daerah Johor Bahru. Kini, Sekolah
Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Johor Bahru bukan sahaja terkenal di seluruh
negeri Johor tetapi juga di seluruh negara.