You are on page 1of 4

Najib perjelas gagasan Satu Malaysia

BERIKUT adalah sedutan transkrip sidang akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum
pertemuan dengan editor media tempatan di kediamannya di ibu negara, semalam.

- Konsep Satu Malaysia tidak boleh disalah ertikan oleh pihak-pihak tertentu umpama pembangkang kata
bahawa ia sama dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’.

Ia tak sama.

- Di bawah konsep Satu Malaysia ini bererti bahawa kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa
Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik
dalam negara kita.

- Ini bukan bererti kita mengenepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum bumiputera asalkan dasar itu
dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan bumiputera yang layak
mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.

- Biar kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama. Itu juga pada
saya maksud konsep Satu Malaysia.

SAYA telah mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang pertama pagi ini. Antara perkara yang saya telah
tekankan pada mesyuarat pagi ini, supaya barisan Jemaah Menteri yang baru dapat memenuhi harapan rakyat
yang begitu tinggi, di mana Jemaah Menteri perlu menepati apa yang diharapkan rakyat.

Saya menggariskan empat perkara. Integriti, kebolehan, kesetiaan dan kesungguhan. Kabinet perlu berteraskan
kepada Kabinet yang dekat di hati rakyat, mesra rakyat, sanggup turun padang menyingsing lengan dan
melakukan perkara yang boleh mengukuhkan lagi kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Saya telah nyatakan dalam persekitaran politik hari ini, rakyat semakin kritikal. Oleh itu, kita tak boleh anggap ini
sebagai perkara biasa tetapi mesti mempamerkan barisan kepimpinan yang sanggup melakukan perubahan dan
pembaharuan.

Sehubungan ini, saya telah menyatakan betapa pentingnya Jemaah Menteri untuk berurusan dengan semua
lapisan masyarakat. Kita tak boleh anggap kerajaan tahu segalanya. Kita perlu membuka pintu kepada dialog
dan perbincangan dengan pelbagai kumpulan supaya keputusan yang dibuat kerajaan nanti merupakan
keputusan yang benar-benar bersandarkan kepada kehendak rakyat.

Saya juga ingatkan ahli Kabinet supaya tidak dianggap sebagai kerajaan yang memihak kepada mana-mana
kumpulan istimewa khusus (special interest group) atau mana-mana badan korporat.

Walaupun amat penting untuk melaksanakan dasar-dasar yang mesra kepada sektor swasta tetapi
kesudahannya kita mesti ambil apa-apa keputusan bersandarkan kepentingan rakyat pada keseluruhan.
Saya juga telah menyebut tentang pencapaian yang diharapkan oleh rakyat bahawasanya rakyat tidak mahu
mendengar sesuatu yang kita janjikan atau sesuatu diumumkan. Rakyat mengharapkan pelaksanaan secepat
mungkin.

Oleh itu, pendekatan KPI akan dilaksanakan di mana pihak Khazanah telah ditetapkan sebagai badan untuk
membantu kerajaan menggubal KPI dalam tempoh sebulan. Saya telah berjumpa Ketua Eksekutifnya, Tan Sri
Azman Mokhtar untuk menempatkan bilangan tenaga yang mencukupi untuk melaksanakan penggubalan KPI ini
dalam tempoh tersebut.

Di samping itu, KPI ini juga akan melibatkan pembahagian tugas kepada timbalan menteri secara tersusun.
Setiap timbalan menteri akan diberi bidang tugas supaya timbalan-timbalan menteri dapat menyumbang kepada
tindakan dan pelaksanaan yang dilakukan kerajaan.

Semua menteri akan dinilai prestasi masing-masing dalam tempoh enam bulan. Saya telah tetapkan pada bulan
November nanti kita akan lakukan proses penilaian atas prestasi dan pencapaian setiap menteri dan
kementerian.

Ada juga pandangan bahawa sesetengah keputusan itu merupakan keputusan yang merentasi beberapa
kementerian yang tak boleh dikhususkan kepada satu kementerian sahaja.

Kita akan ambil kira perkara ini. Yakni kalau kita menentukan KPI, ia akan mengambil kira mana yang boleh kita
khususkan kepada sebuah kementerian dan mana yang perlu kita ambil kira peranan yang dimainkan
kementerian lain.

Dengan adanya sistem KPI ini, saya percaya prestasi kerajaan, pencapaian kerajaan, insya-Allah akan
bertambah baik dan berkesan lagi.

Saya juga mengingatkan, bahawa rakyat hari ini mengharapkan pendekatan yang berbeza. Dan kita tidak perlu
kepada pendekatan yang terlalu mementingkan luaran (ritual) ataupun kedudukan kita sebagai anggota
pentadbiran. Tetapi kita mesti sensitif dengan pandangan rakyat dalam apa juga yang kita lakukan.

Saya bagi contoh, kalau kita hendak promosi pelancongan misalnya Pulau Langkawi. Apabila kita buat papan
iklan, tak payahlah kita letakkan gambar Perdana Menteri dan menteri berkenaan sebagai sebahagian daripada
kandungan papan iklan tersebut.

Dan kalau ada hari-hari tertentu kita buat sepanduk, banting dan sebagainya, tak payahlah gambar menteri atau
Perdana Menteri ditonjolkan.

Kita nak tunjukkan yang kita tak penting kepada perkara seperti ini. Yang penting ialah untuk menunjukkan
bahawa kita sebuah kerajaan mesra rakyat dan pentingkan kepentingan rakyat lebih daripada kedudukan dan
jawatan yang ada pada kita.

SOALAN: Mengenai penyusunan agensi ada dijelaskan (dalam mesyuarat Kabinet)?


Saya sudah buat keputusan dan JPM akan keluarkan kenyataan. Tidak ada masalah apabila sesuatu
kementerian dibubarkan. Misalnya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD). Ini kerana
agensinya tetap tidak dibubarkan. Ia ditempatkan di bawah kementerian lain yang akan melaksanakan tugas
seperti biasa.

Seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), kita kembalikan agensi itu kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar
dan Wilayah. Pada masa dulu, agensi itu di kementerian tersebut juga. Ketika zaman Tun Ghafar Baba, Mara di
bawah kementerian berkenaan.

Dan, Menteri Luar Bandar sekarang adalah seorang Naib Presiden UMNO (Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal).
Takkan dia tak boleh kita harap, untuk laksanakan program Mara umpamanya. Jadi, saya tak nampak polemik
tentang pemansuhan kementerian ini sebagai sesuatu yang patut dijadikan isu. Ini sebenarnya usaha kita untuk
mewujudkan kerajaan yang lebih kecil dan efisien.

Ada disentuh mengenai Majlis Penasihat Ekonomi?

Ya, saya ada bayangkan. Tapi perincian termasuk mengenai pengerusinya akan saya umumkan kemudian.
Saya terangkan kenapa Majlis Penasihat Ekonomi ini diwujudkan. Saya akan pilih hari lain untuk terangkan.

Apa tindakan selanjutnya jika ada menteri yang berada di bawah tahap memuaskan apabila penilaian dilakukan
November ini?

Saya percaya menteri-menteri sedar bahawa masa depan kerajaan bergantung kepada pencapaian mereka
berdasarkan KPI. Mereka tahu bahawa mereka mesti ambil serius apa yang patut dilakukan.

Jadi, saya berkeyakinan mereka mampu melaksanakan tanggungjawab yang telah diberi. Penilaian itu bukanlah
satu kaedah bersifat pemantauan semata-mata tetapi satu cara untuk membantu menteri-menteri berkenaan jika
mereka hadapi hambatan yang kerana keputusan dibuat oleh kementerian yang lain umpamanya.

Jadi kita boleh gunakan masa penilaian itu untuk menyelesaikan kekangan dari segi pelaksanaan dan
pencapaian kementerian mereka.

Pihak mana akan melakukan penilaian berkenaan?

Penilaian itu akan dibuat oleh sebuah unit di bawah JPM yang akan menilainya bersama-sama ICU. Mereka
akan lihat pencapaiannya. Dan, apabila saya bincang dengan menteri berkenaan, menteri berkenaan akan
bentang juga apa yang mereka telah buat.

Sama-samalah kita bincang nanti dan kita tengok apa yang mereka lakukan dalam tempoh enam bulan.

Dahulu kerajaan juga ada sistem report card, tapi nampaknya ia tak berkesan?

KPI ini kita ada sistem. Kalau kita buat satu-satu keputusan, ia mesti didokong oleh sistem yang diwujudkan. Jadi
kita sudah wujudkan sistem. Ini bukan saja keputusan tapi disokong dengan sistem.
Sistem itu ialah, pertamanya Khazanah mainkan peranan. Saya sudah wujudkan tuntutan menteri berkenaan di
bawah JPM dan ICU akan main peranan.

Jadi kita ambil pendekatan bersistematik. Kalau kita hendak buat sesuatu ia mesti berasaskan sistematik. Jika
tidak, ia akan dilihat retorik. Ia mesti didokong dengan sistem yang bersesuaian.

Ini bukan seperti biasa tetapi sesuatu yang berbeza sebab saya sudah janjikan pembaharuan. Saya komited
kepada rakyat untuk bawa pembaharuan dan saya serius untuk bawa perubahan.

Boleh komen mengenai rasa kecewa masyarakat India mengenai bilangan dalam Kabinet?

Yang paling penting ialah apa yang kerajaan akan buat untuk komuniti India. Kita akan buat apa yang termampu
untuk komuniti India, ini bukan satu isu besar.

Boleh gambarkan suasana mesyuarat Kabinet yang pertama dipengerusikan Datuk Seri hari ini?

Saya rasa elok tanya pada menteri lain tentang apa yang mereka rasa (ketawa kecil). Pada saya ia berjalan baik.
Maknanya saya kata, saya punya kesimpulan berilah yang terbaik, sumbanglah yang terbaik untuk negara. Itu
mesej utama saya.

Selain itu, saya kata penting untuk mereka mendapatkan kepuasan kerja. Kita pun nak bina semangat kerjasama
di kalangan barisan Kabinet. Satu keluarga yang boleh sokong antara satu sama lain. Yang penting kita boleh
laksanakan dengan jaya.

You might also like