You are on page 1of 4

Himpunan Pengalaman

Kepelbagaian warisan budaya dan kaum di Malaysia paling ketara dilihat pada jenis-jenis
muzik dan tarian yang terdapat di sini. Tarian kaum Melayu, Orang Asli serta beberapa
suku kaum penduduk di Sabah dan Sarawak benar-benar eksotik dan menawan. Setelah
sekian lama kaum Cina, India dan Portugis menetap di Malaysia, tarian-tarian tradisi
negara asal mereka juga menjadi sebahagian daripada warisan dan budaya Malaysia.

Tarian

Mak Yong Melayu


Tarian Mak Yong yang berasal dari Patani di selatan Thailand dicipta untuk hiburan
kerabat DiRaja wanita, permaisuri serta puteri sewaktu ketiadaan kerabat diRaja lelaki.
Tarian ini menggabungkan drama romantis, serta tarian dan nyanyian tradisional dengan
gaya yang menawan, yang mengisahkan zaman kegemilangan kesultanan Melayu

Kuda Kepang
Tarian Kuda Kepang dibawa ke Negeri Johor oleh pendatang dari Jawa. Para penari
menggunakan kuda kepang untuk menggambarkan kisah kejayaan perjuangan suci Islam,
diiringi paluan gendang, gong dan angklung.

Zapin
Pengaruh Islam ke atas tarian tradisional Malaysia boleh dilihat dengan ketara dalam
tarian Zapin, sebuah tarian yang terkenal di negeri Johor. Tarian ini, yang diperkenalkan
oleh para mubaligh dari Timur Tengah, pada mulanya digunakan dalam amalan berzikir
yang bertujuan menyebarkan pengetahuan mengenai sejarah tamadun Islam.

Joget
Tarian yang paling terkenal di Malaysia ini adalah sebuah tarian yang meriah, dengan
rentak yang agak laju. Tarian ini, yang dipersembahkan oleh pasangan penari dengan
gerak-geri pantas yang disulami pelbagai usikan, berasal dari tarian tradisi Portugis yang
diperkenalkan di Melaka sewaktu era perdagangan rempah di situ.

Tarian Lilin
Sebuah tarian yang dipersembahkan oleh penari wanita sambil menatang lilin di dalam
piring kecil di atas telapak tangan mereka, dan memaparkan gerak-geri yang penuh
dengan kelembutan.

Silat
Salah satu tradisi Melayu paling tua yang juga merupakan sejenis seni mempertahankan
diri, Silat juga adalah suatu seni yang boleh dipersembahkan dalam bentuk tarian.
Dengan pergerakan badan yang penuh aksi serta bunga langkah, persembahan silat
sememangnya menarik dan mengasyikkan.

Tarian Singa
Tarian ini, yang lazimnya dipersembahkan ketika perayaan hari Tahun Baru Cina, adalah
merupakan persembahan yang penuh bertenaga dan menghiburkan. Menurut lagenda,
singa adalah satu-satunya haiwan yang boleh menghalang Nian – sejenis haiwan dongeng
yang selalu menyerang negara China dan mengorbankan manusia pada hari sebelum
Tahun Baru Cina. Tarian naga adalah sebuah tarian bersemangat yang sentiasa diiringi
paluan gendang tagu Cina, dan simbal, serta memerlukan keberanian dan penataan gerak
tarian yang tepat diantara penari-penarinya.

Tarian Naga
Naga adalah sejenis haiwan dongeng yang melambangkan kuasa luarbiasa, kebaikan,
kesuburan, kewaspadaan serta kehormatan dalam budaya Cina. Tarian Naga lazimnya
dipersembahkan ketika sambutan Tahun Baru Cina, dan dipercayai membawa tuah dan
kekayaan bagi tahun yang baru. Tarian ini selalunya memerlukan seramai 60 orang bagi
mempertunjukkan persembahan yang penuh kepakaran, keanggunan serta penataan gerak
tarian yang tepat.

India Bharata Natyam


Tarian klasik India ini bagaikan sebuah puisi dalam gerak tari. Tarian yang dramatik dan
bersemangat ini berdasarkan kisah epik India purba, dan memaparkan lebih dari 100
gerak tarian dan gaya badan. Memandangkan tarian ini memakan masa yang lama untuk
dikuasai, terdapat sesetengah penari kanak-kanak yang mula berlatih pada umur semuda
lima tahun.

Bhangra
Banghra memaparkan tarian serta muzik masyarakat Sikh. Pada mulanya Banghra adalah
sebuah tarian menyambut musim menuai, tetapi kini ianya memainkan peranan dalam
pelbagai sambutan kemasyarakatan termasuk majlis perkahwinan dan sambutan Tahun
Baru. Tarian ini lazimnya adalah berdasarkan tema-tema romantis, di mana nyanyian
serta tarian yang diiringi paluan dholo, iaitu sejenis gendang bermuka dua, menjadikan
tarian Banghra sangat menghiburkan.

Sabah & Sarawak

Ngajat
Ngajat adalah sejenis tarian pahlawan tradisional suku kaum Iban di Sarawak. Tarian ini
lazimnya dipersembahkan ketika perayaan Gawai Kenyalang. Pada masa dahulu,
pemburu kepala dari suku kaum ini, yang dikatakan antara yang paling bengis di
Sarawak, diraikan dengan perayaan Gawai Kenyalang. Pahlawan lelaki
mempertunjukkan pergerakan yang tangkas di sepanjang persembahan tarian ini, sambil
memakai topi tradisional yang panjang dan memegang sebuah perisai panjang yang
berukir.

Datun Julud
Tarian Kenyalang adalah sebuah tarian tradisional suku kaum Kenyah di Sarawak. Tarian
ini dicipta oleh seorang putera Kenyah bernama Nyik Selong bagi menggambarkan
kegembiraan serta kesyukuran. Pada masa dahulu tarian ini dipersembahkan sewaktu
perayaan kemasyarakatan bagi menyambut kepulangan para pahlawan dari berburu, atau
sewaktu perayaan tahunan yang menandakan tamatnya musim menuai. Tarian ini diiringi
bunyi alat muzik sape dan dipersembahkan oleh seorang penari wanita, menggunakan
kipas tangan anggun yang diperbuat daripada bulu burung kenyalang yang
melambangkan sayap burung suci tersebut.

Sumazau
Sumazau adalah sebuah tarian kaum Kadazan yang lazimnya dipersembahkan sewaktu
acara-acara keagamaan dan kemasyarakatan. Ia dipersembahkan sebagai tanda
kesyukuran atas hasil tuaian padi yang banyak, untuk menghindar roh jahat, dan untuk
mengubati penyakit. Penari lelaki dan perempuan mempersembahkan tarian yang
mengasyikkan ini dengan gerak-geri yang perlalan serta pergerakan yang
menngambarkan burung yang sedang terbang.

Tarian Buluh
Tarian Buluh, satu lagi tarian tradisional yang popular serta menghiburkan, menggunakan
sepasang buluh panjang yang dipegang mendatar pada paras buku lali. Kedua-dua buluh
tersebut diketuk antara satu sama lain dengan rentak yang pantas. Penari perlu tangkas
bergerak sambil melompat di antara kedua-dua batang buluh tersebut tanpa tersepit.

Orang Asli
Tarian Orang Asli Semenanjung Malaysia mempunyai kaitan rapat dengan kepercayaan
kerohanian mereka. Tarian ini lazimnya digunakan oleh pawang dalam upacara
menghubungi dunia roh. Tarian tersebut termasuklah tarian Genggulang kaum Mah Meri,
tarian Berjerom kaum Jah-Hut, serta Sewang oleh kaum Semai dan Temiar.

Portugis

Farapeira
Farapeira adalah sebuah tarian pantas yang menghiburkan, seringkali diiringi alat muzik
sepert gitar dan tamborin, dan dipersembahkan oleh pasangan penari yang memakai
pakaian tradisional Portugis.

Branyo
Tarian Branyo, yang lebih perlahan dan bersopan daripada tarian Farapeira, lebih
diminati warga Portugis yang sudah berumur. Penari lelaki yang berpakaian ala koboi
dan penari perempuan yang berpakaian baju kebaya tradisional dengan sarong batik,
menari dengan perlahan mengikut rentak gendang serta biola.

Muzik

Orkestra
Malaysia mempunyai dua orkestra tradisional; iaitu gamelan dan nobat.

Gamelan, yang berasal dari Indonesia, adalah merupakan orkestra tradisional yang
memainkan melodi menggunakan sekumpulan alat muzik termasuk gong serta alat muzik
bertali. Nobat pula adalah orkestra diRaja yang memainkan muzik istana yang lebih
formal menggunakan pelbagai alat muzik, termasuk serunai dan nafiri.

Alat Muzik

Rebana Ubi
Ketika zaman kerajaan Melayu lama, bunyi paluan rebana ubi yang besar digunakan
untuk menyampaikan pelbagai jenis pesanan; dari amaran mengenai serangan musuh,
hinggalah pengumuman majlis perkahwinan. Kini, rebana ubi menjadi salah sebuah alat
muzik yang digunakan dalam pelbagai persembahan acara kemasyarakatan.

Kompang
Kompang boleh dikatakan alat muzik tradisional yang paling popular di Malaysia, dan
digunakan di pelbagai majlis seperti Perarakan Hari Kemerdekaan, pelbagai majlis rasmi,
serta majlis perkahwinan. Kompang yang berbentuk seperti sebiji tamborin tanpa
kepingan besi disekelilingnya, selalunya dimainkan secara berkumpulan. Pelbagai corak
paluan dihasilkan dengan melapiskan pelbagai rentak paluan yang berbeza menjadi satu
gabungan ritma yang menarik.

Gambus
Gambus dibawa ke Malaysia oleh para pedagang dari Farsi serta Timur Tengah. Gambus
dimainkan dengan pelbagai gaya dalam muzik tradisional Melayu, terutama sekali
sebagai alat muzik utama dalam muzik Ghazal. Alat muzik ini, yang direka halus
menggunakan campuran berbagai jenis kayu, menghasilkan bunyi seakan-akan alat
muzik kecapi (harp).

Sape
Sape adalah sejenis gitar tradisional masyarakat Orang Ulu atau penduduk hulu sungai di
Sarawak. Alat muzik ini, yang dihias indah dengan pelbagai corak ukiran yang berwarna
warni, diperbuat daripada sebatang kayu yang ditebuk. Alat muzik ini, yang dahulunya
dimainkan seorang diri sebagai hiburan, kini telah menjadi sebuah alat muzik sosial.
Lazimnya, sape dimainkan mengikut tema yang berbeza bagi mengiringi tarian seperti
Ngajat dan Datun Julud.

You might also like