You are on page 1of 9

Pengenalan

Asia Tenggara yang terletak di antara China di sebelah timur dan India di sebelah barat
menjadikan kedudukannya strategik untuk bedagang. Antara pelabuhan perdagangan yang
penting di Asia Tenggara ialah Srivijaya, Perlak, Pasai, Melaka, Bantam, Cheribon, Makasar,
Brunei dan Pattani. Pelabuhan-pelabuhan ini menjalinkan hubungan dengan pelabuhan-
pelabuhan penting seperti Mocha, Hormuz, Surat, Goa, Colombo, Masulipatam, dan
Pondecherry di Lautan Hindi, dan Canton atau Amoy di Laut China Selatan.

Angin monsun menjadi faktor utama pertemuan para pedagang di Asia dari pelbagai
pelosok kawasan. Selain jalan laut, terdapat juga jalan darat dikenali sebagai Jalan Sutera yang
merentang dari wilayah Asia Barat ke Asia Tengah dan seterusnya ke China.

Asia Tenggara telah menjadi pelabuhan utama bagi pedagang Melayu, China, India dan
Arab sejak sebelum kedatangan Islam lagi. Apabila Islam telah berkembang di Arab, para
pedagang Islam keluar untuk berdagang dan berdakwah di Asia Tenggara.

Page
1. Teori Kedatangan Islam Di Asia Tenggara

Teori Islam datang dari Semenanjung Tanah Arab

Teori dari Semenanjung Arab dikemukakan oleh John Crawford dan disokong oleh Syed
Muhamad Naquib Al-Attas. Buktinya, aktiviti perdagangan menerusi catatan China yang
menyatakan orang Arab dan Parsi mempunyai petempatan di Canton pada 300M. Pedagang Arab
berdagang secara berterusan terutama setelah kemunculan Islam di Mekah. Sementara menuggu
perubahan angin monsun, mereka menetap dan mewujudkan perkampungan di Asia Tenggara.
Terdapat juga antara mereka yang mengahwini penduduk tempatan. Menurut catatan China,
terdapat sebuah perkampungan Islam bernama Ta Shih di Sumatera Utara pada 650 M. Syed
Muhama Naquib Al-Attas mengunakan bukti wujudnya persamaan dalam tulisan kesusasteraan
di Asia Tenggara dan Arab. Selain itu, itu, adat resam dan kebudayaan orang Melayu banyak
yang dipengaruhi oleh budaya Arab. Syed Naquib Al-Attas juga mengatakan bahawa
kebanyakan karya tempatan menceritakan bahawa pengislaman raja di Asia Tenggara dilakukan
oleh syeikh dari Semenanjung Tanah Arab.

Teori Islam datang dari China

Emanuel Gadinho Eredia dan S.Q. Fatimi mengemukakan teori kedua yang menyatakan bahawa
Islam tersebar ke Asia Tenggara menerusi China. Emanuel Gadinha Eredia memberikan alasan
bahawa Khan Fo atau Canton menjadi pusat perdagangan Arab sejak abad ke-9 M. Jalinan
hubungan antara peniaga China dan Arab yang erat membolehkan Islam berkembang di Negara
China. Seterusnya, peniaga China yang datang ke Asia Tenggara menyebarkan Islam kepada
masyarakat tempatan. Manakala, bukti yang dikemukakan oleh S.Q. Fatimi pula ialah berlaku
perpindahan beramai-ramai oleh pedagang Islam yang tinggal di China ke Asia Tenggara pada
sekitar 876 M. Bukti ini diperkukuhkan lagi dengan penemuan Batu Bersurat di Terengganu.
Selain itu, terdapat juga persamaan unsur seni bina di China dengan seni bina yang terdapat pada
masjid-masjid di Nusantara. Di Melaka, unsur seni bina China dapat dilihat pada bentuk
bumbung masjid yang kelihatan melentik seperti rumah ibadat China selain pengaruh warna dan
seni.

Page
Teori Islam datang dari India

Teori yang dikemukakan oleh Snouck Hurgronje, iaitu ahli sejarawan Belanda mengatakan
bahawa Islam berkembang ke Asia Tenggara menerusi India iaitu dari wilayah Gujerat dan
pantai Koromandel sejak abad ke-13 M. Beliau berpendapat hubungan perdagangan antara India
dan Asia Tenggara membolehkan pedagang India Islam menyebarkan Islam di rantau ini. Batu
nisan di perkuburan Malik Ibrahim di Gerisik, Jawa dan Malik Al-Salih di Pasai mempunyai ciri
buatan India. Oleh itu, wajarlah dikatakan Islam telah disebarkan ke Kepulauan Melayu oleh
pedagang India. Budaya di Asia Tenggara juga dipengaruhi oleh unsur kebudayaan Hindu
menunjukkan terdapat hubungan yang rapat antara kedua-dua Negara sejak dahulu lagi.

Kesimpulannya, para sejarawan bersetuju bahawa kedatangan Islam ke rantau ini dibawa oleh
pedagang Islam dari Arab, China dan India. Tambahan pula, berdakwah adalah dituntut oleh
Islam. Selain itu juga, usaha awal penyebaran Islam oleh pedagang hanya terhad di kawasan
pelabuhan dan di kalangan pedagang sehinggalah akhirnya berkembang sebagai agama yang
dianuti oleh masyarakat besar Asia Tenggara.

2. Penyebaran Islam di Asia Tenggara

Perdagangan

Islam disebarkan pada awalnya menerusi perdagangan di Asia Tenggara oleh pedagang dari
Arab, China dan India yang beragama Islam. Jalinan hubungan perdagangan dengan pelabuhan
utama di Asia Tenggara menyenangkan penyebaran agama Islam dilakukan. Pelabuhan ini
menjadi pusat kegiatan manusia dari pelbagai tempat serta masyarakat tempatan. Kepercayaan
dan amalan selalunya menjadi topik perbualan serta ikutan mereka yang berada di tempat ini.
Penduduk tempatan dan pedagang tertarik dengan Islam disebabkan oleh kejujuran dan
kemurniaan sikap serta tingkah laku pedagan dari Semenanjung Tanah Arab, China dan India.
Perkampungan pedagang Islam ini juga telah menjadi pusat perbincangan tentang agama Islam
di kalangan pedagang yang tinggal di situ. Selain berdakwah, pedagang dari Arab, China dan
India juga membawa ulama untuk menyebarkan Islam. Islam lebih cepat tersebar apabila

Page
pedagang mengamalkan sifat berhemah dan lemah-lembut semasa menyampaikan ajaran Islam.
Sifat mahmudah yang ada pada pedagang ini juga telah dapat menarik lebih ramai penduduk
tempatan memeluk Islam. Hal yang demikian menyebabkan ramai para pedagang Islam ini
mendapat jawatan syahbandar. Melalui jawatan tersebut Islam dapat tersebar ke seluruh Asia
Tenggara.

Perkahwinan

Selain itu, Islam juga tersebar menerusi perkahwinan. Sultan Melaka, Sultan Mansur Syah dan
Sultan Muzafar Syah telah mengahwinkan puteri-puteri mereka dengan raja Siak, Kampar,
Inderagiri di Sumatera Utara, raja Pahang, dan raja Kedah. Melalui perkahwinan ini, negeri-
negeri tersebut dapat diislamkan kemudiannya. Perkahwinan biasa pula berlaku antara pedagang
dengan penduduk tempatan. Dengan ini, Islam akan tersebar kepada keluarga orang yang
dikahwini dan seterusnya Islam akan tersebar pula kepada masyarakat sekeliling.

Pengislaman raja dan golongan bangsawan

Islam juga tersebar melalui peranan raja dan golongan bangsawan. Masyarakat Asia Tenggara
khususnya masyarakat Melayu, amat mentaati golongan pemerintah. Oleh sebab itu, golongan
pemerintah mempunyai pengaruh besar terhadap rakyat. Apabila golongan pemerintah memeluk
Islam, amalan ini diikuti oleh rakyatnya. Pasai telah menjadi sebuah kerajaan Islam yang kuat
melalui pemerintahnya yang memeluk Islam.

Kelahiran kerajaan Islam

Antara kerajaan awal Asia Tenggara termasuklah kerajaan Perlak, Samudera-Pasai, Melaka,
Acheh, Demak, Mataram, Sulu dan Mindanao. Kesemua kerajaan ini telah meluaskan Islam
menerusi penguasaan terhadap kawasan baru. Tun Perak yang berasal dari Melaka merupakan
tokoh yang memainkan penting dalam penyebaran Islam.Tun Perak telah berjaya menguasai
Aru, Rokan, Siak, Kampar, dan Inderagiri yang terletak di persisiran pantai Sumatera Utara.
Rakyat-rakyat daripada kawasan-kawasan yang dikuasai mendapat keistimewaan daripada
Melaka. Hal yang demikian telah mendorong mereka untuk memeluk Islam. Ulama-ulama telah
dihantar ke kawasan tersebut untuk mengajar mereka tentang agama Islam. Kerajaan Johor-Riau
yang merupakan warisan daripada Kesultanan Melayu Melaka berusaha mengembalikan

Page
kegemilangan kerajaan Melaka dan cuba untuk menawan Melaka daripda Portugis bagi
menghalang Melaka daripada menjadi pusat penyebaran agama Kristian. Usaha ini sedikit
sebanyak dapat menyumbang kepada penyebaran agama Islam. Setelah menguasai kerajaan
Majapahit, kerajaan Demak juga telah menyebarkan Islam ke seluruh Pulau Jawa. Hal ini telah
diikuti oleh kerajaan Pajang dan kerajaan Mataram untuk meluaskan Islam. Acheh menjadi
kuasa kuat di Asia Tenggara pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam.
Acheh telah menaungi beberapa negeri kecil di Sumatera Utara dan menakhluki negeri-negeri di
Tanah Melayu bagi menghalang penyebaran agama Kristian oleh kuasa barat. Acheh juga telah
merupakan sebuah pusat perdagangan yang penting di bahagian Utara Selat Melaka yang juga
digelar Serambi Makkah kerana kebanyakan orang Islam dari Asia Tenggara akan singgah di
Acheh dalam perjalanan ke Makkah untuk menunaikan haji. Pengislaman sultan Pattani berlaku
pada tahun 1457, iaitu pada abad ke-15. Namun begitu, Islam telah berkembang di Pattani sejak
abad ke-10 lagi hasil dakwah para pendakwah dan pedagang Islam Arab dan Parsi. Penyebaran
Islam sepenuhnya dilakukan di Pattani semasa pemerintahan Sultan Mudzaffar Syah. Di Brunei,
Islam telah wujud pada tahun 977 M mengikut catatan China. Islam hanya tersebar luas di
Brunei dan di pantai pulau Borneo pada abad ke-15 dan abad ke-16. Salah seorang pendakwah
yang telah menyebarkan Islam di wilayah ini ialah Syariff Ali Mufaqih Muqaddam atau Syariff
Berkat yang berasal daripada keturunan NabiMuhammad S.A.W. Dengan pengislaman Brunei,
wilayah di sekitarnya seperti Kepulauan Sulu dan juga Mindanao telah dapat diislamkan.
Namun, bukti kukuh tentang kedatangan Islam ke Champa adalah agak lewat. Bukti tersebut
ialah penemuan batu nisan yang bertarikh 1039 M dan sebuah prasasti bertarikh 1025 M yang
mencatatkan syarat pembayaran cukai dan hutang.

Peranan pusat kebudayaan

Pusat kebudayaan di Asia Tenggara telah wujud di Perak, Samudera-Pasai, Riau dan Acheh.
Pusat kebudayaan ini bertindak sebagai pusat keilmuan dan pusat penyebaran agama Islam. Di
pusat kebudayaan ini terdapat institusi pendidikan dan golongan cerdik pandai. Pada zaman
keagungan kerajaan Samudera-Pasai pula, bandar ini telah menjadi pusat penterjemahan di
Kepulauan Melayu. Banyak kitab Arab diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan Sultan
Mansur Syah yang memerintah Melaka pernah mengirimkan kitab al-Dur al-Manzum ke
Samudera-Pasai untuk diterjemahkan oleh ulama Pasai. Pada zaman kemuncak keangungan

Page
kerajaan Melayu Melaka, terdapat beberapa buah buku kesusasteraan yang dipengaruhi oleh
gaya tulisan Arab seperti Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat
Nabi Bercukur. Di Acheh, karya puisi seperti syair dapat menarik pembaca untuk menghayati
Islam seperti karya Bustanus Salatin. Para ulama juga telah menghasilkan karya tentang
pemikirang Islam seperti Hamzah al-Fansuri, Syeikh Nurudin al-Raniri, Syeikh Syamsudin al-
Sumaterani dan Abdul Rauf Singkel. Usaha-usaha begini telah dilakukan oleh kerajaan Johor-
Riau yang turut memainkan peranan sebagai pusat kebudayaan Islam yang penting pada abad ke-
18.

Peranan mubaligh

Syeikh Ismail dan Fakir Muhammad merupakan pendakwah terawal berdakwah di Asia
Tenggara. Syarif Amir Sayyid al-Syirazi dan Tajuddin al-Asfahani telah menyebarkan dakwah
Islamiah di Pasai. Di Melaka pula terdapat pendakwah seperti Syeikh Abdul Aziz, Maulana Abu
Bakar dan Maulana Yusuf. Mereka telah mendirikan masjid, istana dan rumah mereka sebagai
tempat untuk mempelajari ilmu pengetahuan Islam. Dengan adanya institusi pendidikan ini,
maka muncullah ulama tempatan seperti yang disebutkan, iaitu Hamzah al-Fansuri, Syamsudin
al-Sumaterani dan Abdul Rauf Singkel. Wali Songo menjadikan Demak sebagai pusat penggerak
dakwah Islamiah. Mereka telah mendirikan sebuah masjid, iaitu Masjid Agung Demak untuk
menjadi markas dakwah Islamiah.

Keistimewaan Islam

Kemurnian ajaran Islam yang mencakupi kesemua bidang kehidupan telah menarik orang ramai
menganuti agama Islam. Ini termasuklah konsep Tuhan Yang Maha Esa atau Tauhid, keadilan,
hak individu dan masyarakat, kehidupan yang harmoni, menyanjung akhlak mulia, dan
mengajurkan konsep kebahagiaan di dunia dan akhirat. Hal ini telah menyebabkan agama Islam
tersebar meluas di Asia Tenggara.

Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. merupakan agama yang menuntut manusia
berfikir secara rasional dan pemikiran ini berjaya diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat di
Asia Tenggara.

Page
3. Pengaruh Islam di Asia Tenggara

Pemerintahan dan Pentadbiran

Selepas kedatangan Islam, institusi kesultanan telah diperkenalkan dan ini diwarisi daripada
amalan pemerintah kerajaan Abbasiyah di Baghdad dan kerajaan Turki Uthmaniyah. Sistem
pentadbiran Islam meletakkan sultan sebagai ketua Negara, mufti sebagai penasihat sultan dalam
hal ehwal agama Islam dan pentadbiran Negara. Selain itu, terdapat juga pegawai dan petugas
seperti kadi, khatib, bilal, pemungut zakat, penyelia baitulmal, dan penjaga harta wakaf.

Islam dijadikan agama rasmi oleh kerajaan Islam di Asia Tenggara. Dalam sesebuah kerajaan
Islam, sultan merupakan khalifah Allah atau wakil Allah di muka bumi dan mereka haruslah
menunaikan amanah yang dikurniakan oleh Allah, iaitu memerintah dengan adil. Selain itu,
unsur-unsur Islam diterapkan pada nama Negara seperti Acheh Darus Salam. Nama raja juga
menggunakan nama Islam seperti Sultan Mansur Syah dan Sultan Mahmud Syah.

Bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negeri, pemimpin kerajaan Islam Asia Tenggara telah
memperkenalkan undang-undang syariah. Walaupun undang-undang ini tidak dapat dijalankan
sepenuhnya namun sedikit sebanyak perubahan dapat dilihat. Di Acheh, terdapat kanun yang
mempunyai cirri-ciri sebuah perlembagaan Islam yang dikenali sebagai Kanun Mahkota Alam.

Sultan menggunakan semangat Jihad untuk melindungi kesucian Islam daripada serangan
Portugis dan Belanda. Semangat Jihad ini diterapkan dalam diri setiap orang Islam melalui
penulisan ulama dalam kitab-kitab tertentu. Dalam Islam, jihad bukan sahaja merupakan usaha
menentang musuh malah merupakan usaha menentang kemiskinan dan mencapai suatu
kehidupan yang sempurna.

Sistem Pendidikan

Selepas kedatangan Islam, sikap terhadap kepentingan ilmu ditanamkan dalam jiwa kesemua
golongan masyarakat. Sikap mementingkan ilmu ini menjadi titik tolak kepada perkembangan
pendidikan dan kewujudan institusi pendidikan formal di Asia Tenggara seperti istana, pondok,
pesantren, madrasah dan surau.

Page
Bahasa dan Kesusasteraan

Kedatangan Islam telah meningkatkan mutu bahasa dan kesusasteraan Melayu. Pengaruh Islam
dalam bidang bahasa dapat dikenal pasti dalam aspek tulisan khususnya dengan kewujudan
tulisan jawi. Tulisan ini kemudiannya menjadi tulisan rasmi dalam pentadbiran kerajaan Islam
sehingga berupaya mengambil tempat tulisan Palava Dewanagari yang diperkenalkan pada
zaman Hindu-Buddha sebelum itu. Seterusnya bahasa Melayu telah berkembang dan menjadi
bahasa lingua-franca bagi kawasn kepulauan Melayu yang mampu bersaing dengan bahasa lain
di dunia. Bahasa Melayu juga telah meningkat tarafnya sehingga menjadi bahasa ilmu.
Penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja terhad dalam bidang ilmu pengetahuan tetapi
merangkumi bidang perdagangan.

Cara Hidup

Setelah Islam bertapak dengan kukuh unsur kepercayaan yang dipengaruhi Hindu-Buddha
semakin berunsur hilang. Dengan itu, lahirlah cara hidup yang berorientasikan Islam seperti cara
berpakaian. Perubahan juga dapat dilihat apabila Islam dijadikan sebagai ‘ad-din’ iaitu satu cara
hidup yang lengkap dan menyeluruh. Nilai-nilai murni dan akhlak mulia juga diamalkan oleh
orang Islam.

Kesenian

Seni seperti seni khat, seni bina, dan seni ukir telah meresap dalam kehidupan masyarakat Asia
Tenggara. Seni ini diaplikasikan di batu-batu nisan yang mengadungi ayat-ayat al-Quran dan
hukum. Seni-seni ini turut dilukis pada keris, peralatan rumah, tiang, dinding, perabot, tangga,
masjid, kubah, mimbar, mihrab dan menara azan. Seni ini berbentuk ayat-ayat al-Quran, hadis,
dan catatan tentang sejarah sesebuah pemerintahan tempatan.

Ekonomi

Institut ekonomi seperti baitulmal telah diperkenalkan di Acheh oleh Sultan Iskandar Muda
Mahkota Alam Syah. Baitulmal ini berfungsi sebagai perbendaharaan Negara dan hasilnya
diperoleh daripada zakat dan sedekah.

Page
Rumusan

Islam disebarkan di Asia Tenggara melalui pedagang Islam dari Arab, China dan India
yang datang untuk berdagang di samping berdakwah. Seterusnya, Islam dapat berkembang
dengan cepat menerusi peranan pemerintah dan kerajaan Islam. Pengaruh Islam terutama di
Brunei Darussalam dan Malaysia dapat dikesan dalam sistem pemerintahan seperti amalan
institusi kesultanan. Selain itu, cara hidup masyarakat Asia Tenggara juga dipengaruhi Islam
sepenuhnya dan nilai-nilai murni turut diamalkan dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.

Penyebaran secara menyeluruh di Asia Tenggara telah dilakukan secara aman damai
tanpa peperangan. Hal ini mengingatkan kita kepada seruan Nabi Muhammad S.A.W. agar
dakwah Islamiah dilakukan dengan bijaksana. Islam mudah berkembang di Asia Tenggara
disebabkan sikap terbuka dan tanpa prejudis masyarakat tempatan terhadap Islam.

Page

You might also like