You are on page 1of 11

Koma: Bagai Hidup Menanti Mati | (1/5)

July 26th 2009 | Posted by editor

Nota editor;

Terlebih dahulu, kami di pihak editorial MajalahSains.Com mengucapkan takziah kepada


keluarga Allahyarhamah Yasmin Ahmad, pengarah filem terkenal di Malaysia yang
meninggal dunia baru-baru ini. Kronologi kematian beliau adalah disebabkan koma
beberapa hari di hospital selepas terjatuh semasa membentangkan projek seni beliau di
Stesen TV3. Kami mengajak semua pengunjung MajalahSains.Com menyedekahkan Al-
Fatihah ke atas arwah Yasmin Ahmad.

Artikel menarik di bawah membicarakan tentang perihal koma dari perspektif sains dan
perubatan moden. Ia disumbangkan oleh seorang pelajar pascasiswazah dalam bidang
neurologi dari USM. Semoga bermanfaat!

Oleh: Samhani Ismail

KOMA adalah alam yang dianggap misteri kerana banyak pengalaman mereka yang pernah
koma menceritakan pelbagai peristiwa yang  berlaku semasa koma. Artikel ini
memperincikan punca-punca koma, cara-cara mengatasi dan kereaktifan neuron semasa
koma.

Antara kisah koma yang tersebar luas di internet adalah mimpi terakhir Ariel Sharon sebelum
koma. Sharon, Perdana Menteri Israel yang dikatakan terlibat secara langsung dengan
penyembelihan penduduk-penduduk Islam Palestin di khemah pelarian Shabra dan Syatila di
Lubnan pada, telah dibalas di dunia lagi.
Sebuah akhbar Israel yang melaporkan mengenai hari-hari terakhir beliau sebelum koma
mengatakan beliau diburu oleh mimpi-mimpi yang sangat mengerikan. Beliau menceritakan
kepada setiausaha peribadinya, bahawa beliau melihat dirinya dirinya diikat dan dirantai
dalam keadaan bogel lalu diheret  di atas sebuah kenderaan yang terbuka dan melalui lorong-
lorong di Gaza.

Seminggu terakhir sebelum dikomakan Allah, mimpi-mimpi yang lebih ngeri bertandang.
Mimpi ngeri di mana beliau dicampak ke dalam perigi yang dalam sering mengganggu
sehingga akhirnya beliau koma.

Wikipedia 27 Feb 2009 menyatakan, pada saat ini Sharon masih lagi berada dalam keadaan
koma dan keadaan beliau stabil. Kebolehan kognitif beliau seolah-olah sudah musnah akibat
strok dan peluang untuk sembuh sangat rendah sekali.

Itu adalah antara cerita-cerita pesakit koma. Ramai pesakit koma yang telah  sembuh
mendakwa, walaupun mereka tidak bergerak balas,  tetapi mereka berupaya mendengar
dengan jelas bicara ahli keluarga dan doktor serta jururawat di sekeliling. Begitu setelah jaga,
ada yang memberitahu roh mereka dibawa ke alam lain, melihat perkara-perkara aneh malah
merasainya seolah-olah ia benar-benar berlaku.

Menurut Dr Zamzuri Idris, Pakar Bedah Otak dari Jabatan Neurosains, Universiti
Sains Malaysia menyatakan koma adalah suatu keadaan di mana  pesakit tidak memberi
tindakbalas kepada persekitaran dan tiada komunikasi dengan dunia luar.  Pesakit kelihatan
seperti tidur, tetapi sebenarnya mereka telah melewati keadaan tidak sedarkan diri yang lebih
jauh daripada tidur.

“Untuk menguji tahap koma ini, doktor akan memberi sedikit ransangan untuk melihat
tindakbalasnya. Jika tiada sebarang respon, doktor akan memberi sedikit kesakitan kepada
pesakit. Ada pesakit yang jaga setelah dipanggil. Ada pesakit yang jaga sekejap, kemudian
kembali koma. Ada pesakit yang bertindakbalas setelah diberi sedikit kesakitan, malah
peringkat koma yang paling teruk adalah pesakit langsung tidak bertindakbalas walaupun
setelah diberi ransangan sakit.

Beliau yang telah merawat ramai pesakit dan merupakan penerima Best Service Award 2002,
Marquis Who’s Who in The World 2007, 2000 Outstanding Scientists 2008/2009
International Biographical Centre, Cambridge, England menambah, pakar-pakar perubatan
mengklasifikasi koma megikut Skala Koma Glasgow berdasarkan pergerakan mata, tangan
dan bunyi suara. Setiap pergerakan ini dicatat dan dijumlahkan bagi mengkategorikan pesakit
samada koma ringan, sederhana atau teruk.”

Mengikut klasifikasi perubatan, istilah pengsan, keadaan jaga tetapi tidak memberikan
tindakbalas (keadaan vegitatif) dan keadaan tidak sedarkan diri yang panjang selain tidur
adalah termasuk di dalam kategori koma.
Koma merupakan sebuah istilah umum. Pemeriksaan neurologi seringkali membahagikan
koma kepada empat peringkat iaitu peringkat jaga, keadaan tidak bertenaga, keadaan stupor
(tidak boleh berfikir atau mendengar) dan koma.

Koma adalah keadaan di mana kepekaan dan tindakbalas yang sangat kurang, tahap paling
teruk antara keadaan-keadaan tidak sedar yang lain seperti tidur, pengsan, lali, di mana
pesakit tidak memberi tindakbalas kepada rangsangan luar yang diberikan.
Koma: Bagai Hidup Menanti Mati | (2/5)
July 26th 2009 | Posted by editor

Oleh : Samhani Ismail

Punca – punca Koma

Mengikut Dr Zamzuri lagi, setiap hari di Malaysia, ada sahaja pesakit yang dimasukkan ke
hospital akibat koma. Koma adalah kesan kepada pelbagai sebab, termasuklah kecederaan
kepala, strok, penyakit metabolik seperti diabetes, masalah hati dan buah pinggang, sawan,
tumor otak dan jangkitan kuman ke dalam otak mahupun ke selaput luar otak.

Kemalangan jalan raya merupakan punca utama koma.  Akibat kecederaan otak, bahagian
yang mengawal fungsi jaga tidak dapat menjalankan tugasnya. Kategori utama koma adalah
mereka yang datang dengan trauma di kepala dan spina yang mengakibatkan otak lebam dan
bengkak. Trauma sebegini selalunya disertai dengan kecederaan tisu otak yang teruk dan
keretakan tempurung kepala. Kategori kedua pula  adalah akibat kerosakan pada pangkal otak
di mana pesakit sukar bernafas dan anak matanya mengecil disamping terdapat beberapa
tanda-tanda klinikal yang lain.

Bagi pesakit strok, mereka mempunyai salur darah yang tersumbat menyebabkan oksigen dan
gula tidak dapat dihantar ke otak. Keputusan bekalan ini menyebabkan otak menjadi
’kebuluran’ dan lama-kelamaan boleh mengakibatkan koma.

Namun, paras gula yang terlalu tinggi seperti pada pesakit diabetes juga boleh mengakibatkan
koma. Buah pinggang yang tidak dapat menapis turut menyumbang terjadinya koma. Buah
pinggang yang gagal menuras darah dalam badan akan menghantar darah ke seluruh organ
bersama-sama dengan toksik yang akhirnya berkumpul menjadi racun.

Bagi kanak-kanak dan orang tua, jangkitan bakteria pada selaput otak iaitu penyakit
Meningitis, boleh dirawat dengan memberi mereka antibiotik. Manakala Enkephalitis, iaitu
jangkitan virus ke dalam otak bagi orang dewasa boleh dirawat dengan menggunakan
antivirus. Namun jika kedua-duanya tidak dirawat, pesakit boleh mendapat koma.

Punca koma yang berbeza menghasilkan peringkat koma yang berbeza. Justeru, rawatan yang
berbeza harus diberikan kepada pesakit.

Diagnosis dan Rawatan

Menurut Dr Zamzuri, ” Koma adalah satu situasi kecemasan. Mereka dibawa samada oleh
ambulans ataupun ahli keluarga, bukannya perlu beratur di kaunter bersama-sama pesakit
luar. Mereka tidak sedarkan diri. Justeru, diagnosis dibuat dengan bertanyakan orang yang
menghantar mereka ke hospital. Samada kepalanya berdarah, anak matanya tidak bergerak
balas setelah disuluh dengan lampu atau ritma nafasnya bercelaru, semua itu memberi
jawapan kepada pakar perubatan untuk menetapkan rawatan terbaik buat mereka.

Adakalanya pembedahan perlu dilakukan segera bagi pesakit yang sudah tenat. Rawatan yang
lambat diberikan boleh membawa kepada kematian. Rawatan dan penjagaan yang rapi
terhadap pesakit ini boleh memberi mereka peluang untuk hidup kembali. Setelah pulih
daripada koma yang panjang, pesakit akan diberi rawatan pemuliharaan pula, seperti terapi
pertuturan dan terapi fizikal bagi memulihkan kembali keadaan mereka.

”Namun, menyedihkan jika ada di antara keluarga pesakit yang tidak membawa pesakit ke
hospital dengan segera bagi menerima rawatan. Membiarkan pesakit yang dianggap pengsan
biasa boleh mengakibatkn komplikasi yang lebih teruk. Pesakit boleh lumpuh selama-
lamanya, atau mati, atau terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan untuk bernafas
sehingga mereka benar-benar mati. Tindakan membiarkan pesakit sebegini tidak sepatutnya
berlaku,” beliau menambah.
Koma: Bagai Hidup Menanti Mati | (3/5)
July 27th 2009 | Posted by editor

Oleh : Samhani Ismail

RAS – Rahsia di sebalik Koma

Semasa kita dalam keadaan sedar,  sel-sel otak iaitu neuron adalah aktif. Ia menghantar signal
kepada jiran-jirannya dan wujud interaksi yang sangat banyak. Tetapi semasa koma, sedikit
sahaja aktiviti wujud di dalam otak pesakit, kerana sel saraf sedang sakit tetapi terpaksa terus
bekerja bagi menghidupkan tuannya.

Misteri koma terjawab dengan menyelongkar ke sebuah ’dinding’ yang memisahkan di antara
minda sedar dan bukan sedar, iaitu Sistem Pengaktifan Retikular (RAS).

Apa itu RAS ?

Hidup kita sentiasa didatangi oleh pelbagai imej-imej yang tertangkap oleh retina mata,
bauan yang hinggap di hidung, bunyi yang bergetar hingga menusuk ke gegendang telinga
dan pelbagai deria lain yang berselirat. Fikirkan apa akan jadi jika kita mengambil peduli
tentang semua ini? Nescaya otak haru-biru jadinya – sehelai rambut gugur mencecah bahu,
setiap jarum jam beredar, bilah-bilah kipas yang berputar, suara-suara percakapan orang-
orang di sekeliling kita, dan segalanya.

Semua perkara tersebut langsung tidak anda endahkan, sehinggalah tiba-tiba sahaja perhatian
anda terarah kepada suara ibu yang memanggil nama anda. Anda terus berpaling sebagai
tindakan refleks dan menjunjung kepatuhan seorag anak. Di sinilah RAS berfungsi.

Secara anatomi, RAS terdiri daripada sel-sel saraf yang bergumpal padat, mengunjur dari
tengah-tengah medula oblongata hingga ke otak tengah. Gumpalan padat ini menjulurkan
sehingga 200 billion sel-sel saraf yang terus menyeliputi hampir 70 peratus bahagian otak.
Para saintis percaya, RAS adalah pusat kesedaran dan motivasi kepada mamalia termasuk
manusia. Ia memastikan serebral korteks berada di dalam keadaan sedar dan jaga. Sebarang
penglihatan, rangsangan dan aktiviti otak boleh meransang RAS untuk mengekalkan
kejagaan dan menghasilkan reaksi.

Justeru, apabila maklumat sampai kepada RAS dan sudah melepasi saringan, RAS akan
menghantar maklumat tersebut untuk dikendalikan oleh bahagian-bahagian
bertanggungjawab samada talamus, korteks serebral ataupun korteks. Daripada sinilah sistem
motor, sistem autonomik badan akan bersama-sama meregulasi sistem kardiovaskular,
respiratori dan memberi respon motor kepada rangsangan dari luar.

Namun, malang tidak berbau, kecederaan yang teruk di kepala yang melibatkan batang otak,
sereral dan korteks akan menghimpit dan merosakkan RAS sehingga ia tidak boleh berfungsi
lagi, lalu berlakulah koma.

Apabila koma, kebanyakan fungsi badan sudah tidak berfungsi. Kajian histokimia dan
biokimia yang dijalankan oleh Richard  D. Chessick, Department of Medicine, University of
Chicago, (1953) menyatakan, ” Sedikit sahaja pengetahuan diperolehi tentang mekanisma
kimia fizik yang terlibat dalam koma. Secara histokimia, semasa keadaan koma, aktiviti
metabolik otak yang menggunakan glukosa dan oksigen berkurangan. Tenaga dan fosfat
didapati berkurang, dan prekursor seperti laktat dan keratin meningkat. Kesimpulannya,
aktviti fosforilasi biokimia berkurangan semasa pesakit sedang koma.”

Kesimpulannya, koma berlaku akibat kerosakan pada sistem reticular ini yang disebabkan
oleh kemalangan jalan raya, strok, penyakit metabolik dan sebagainya. Setakat ini para saintis
sedang giat mencari bukti-bukti yang menunjukkan aktiviti dan tindak balas neuron semasa
keadaan ini.
Koma: Bagai Hidup Menanti Mati | (4/5)
July 27th 2009 | Posted by editor

Oleh : Samhani Ismail

Koma Mati Otak

Banyak kemalangan ngeri mengakibatkan kecederaan teruk kepada mangsa. Otak menjadi
rosak dan mati serta tidak dapat dipulihkan lagi. Dalam keadaan ini, jantung pesakit masih
berfungsi sekiranya terus dinafaskan oleh mesin.

Ada keluarga yang tidak dapat menerima situasi ini. Melihat insan tersayang bagaikan hidup
menanti mati. Bukan sahaja ahli keluarga, jururawat juga dituntut untuk mempunyai sifat
sabar yang tinggi kerana menjaga badan yang mati tidak sama dengan menjaga badan yang
hidup. Juga tidak ekonomis menjaga mereka dan terus menyeksa jasad, seolah-olah memaksa
mereka hidup dengan terus menerus menyambung wayar-wayar berselirat.

Justeru, keadaan mati otak sebegini menimbulkan banyak perbahasan, bukan sahaja daripada
sudut perundangan, perubatan malah juga oleh ahli-ahli syarak di negara-negara Islam.
Adakah pesakit yang mati otak ini sudah dikira sebagai mati?

Semenjak sepuluh tahun lepas, di negara-negara membangun, pesakit-pesakit mati otak


diterima sebagai sebuah kematian. Mereka diresusitasi sebagai penderma organ selagi
terdapat permintaan. Namun, bagi keluarga pesakit, ia bukan mudah untuk menerima takdir
sebegini walaupun menjadi penderma organ adalah suatu perkara yang baik bagi pandangan
kebanyakan agama di dunia.

Pengesahan kematian sebenarnya tidak sukar seperti yang disangkakan. Apabila pesakit tidak
mempunyai denyutan jantung dan tidak bernafas lagi, maka beliau dianggap sudah meninggal
dunia (Jafri Malin Abdullah, 2006). Stateskop dan EEG adalah alat perubatan yang boleh
dipercaya untuk mengesahkannya.
Walaupun begitu, wujud beberapa ’kematian’ yang tidak di dalam bentuk tersebut; iaitu mati
otak yang menyebabkan koma berpanjangan.

Doktor akan mendiagnosis kriteria-kriteria mati otak yang terdapat pada pesakit. Beberapa
perkara penting yang diperhatikan sebelum sesuatu kes kematian otak ditentukan, adalah:

 Koma – Doktor akan melakukan pemeriksaan gerakan tindak balas spontan terhadap
ransangan yang menyakitkan atau tidak menyenangkan. Pesakit yang telah mati otak
tidak menunjukkan sebarang tindak  balas. Sekiranya pesakit menunjukkan gerakan,
pesakit tersebut tidak boleh diisytiharkan mati otak

 Apnea – Tiada pernafasan secara spontan dan pesakit hanya bernafas dengan bantuan
alat pernafasan. Jika alat pernafasan dicabut, pesakit tidak bernafas setelah sepuluh
minit.

 Tindak balas pangkal otak – Pangkal otak disahkan telah berfungsi berdasarkan
tindak-balas refleks seperti :

 Pupil mata tidak mengecil apabila disuluh dengan cahaya

 Tiada refleks kornea – tiada respon kerlipan mata pada kedua-dua belah mata apabila
permukaan kornea disentuh

 Ransangan terhadap saluran udara – Kateter dimasukkan ke dalam mulut merentasi


larinks dan trakea.   Pesakit yang telah mati otak tidak batuk atau lain-lain tindak
balas. (Mohd Ilham Ismail)

Dalam agama Islam, ulama-ulama feqah mengambil sikap berhati-hati dalam perkara-perkara
yang berkaitan dengan kematian. Mereka juga meletakkan hukum secara berhati-hati juga,
misalnya apa yang dikatakan oleh pengarang kitab Al-Mughni :

“Jika kematian seseorang menimbulkan kesamaran, hendaklah diambil kira tanda-tanda


kematian yang terdapat padanya seperti terkulai kaki, terpisah sendi tangan, condong hidung,
kendur kulit muka dan dua daun telinga kelihatan menurun ke bawah”

Para fuqaha juga membuat kesimpulan kematian dengan melihat kepada arah mata,
berdasarkan hadith-hadith Nabi Muhammad s.a.w :

Dari Ummu Salamah RA bhw Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya roh apabila diambil
maka matanya akan menurutinya (memandang ke atas)” (Sohih Muslim)

Dari Shidad “Kiranya kamu menghadiri orang yang mati dari kalangan kamu, tutupilah
matanya, kerana matanya mengikuti rohnya (terbuka dan melihat ke atas), serta bercakaplah
(di antara kamu) dengan perkara yang baik.(MusnadAhmad)

Berdasarkan hadith ini, mengenalpasti kematian melalui mata adalah suatu tanda yang amat
penting bagi menunjukkan samada roh telah berpisah dari jasad atau belum.
Sidang Majma’ Fiqh yang diadakan pada tahun 1968 di Amman, Jordan telah
membincangkan secara terperinci berhubung isu mati otak ini. Hasilnya, mereka
mengeluarkan fatwa seperti berikut :

” Sesungguhnya seseorang dianggap mati dari sudut syarak dan seluruh urusan kematian
boleh dilaksanakan ke atasnya sekiranya terdapat dua tanda;

 Jantung dan pernafasan terhenti dengan sempurna. Doktor telah mengesahkan ia  tiada
harapan untuk kembali berfungsi.

 Seluruh peranan otak terhenti secara sempurna. Doktor pakar telah membuat analisa
lengkap dan mengesahkan ia tiada harapan untuk kembali berfungsi.

Dalam keadaan ini, adalah harus untuk menanggalkan alat bantuan hayat yang digunakan
pesakit walaupun terdapat anggota tubuh yang masih berfungsi dengan bantuan alat tersebut.
Kesan fatwa ini, maka terbukalah ruang yang luas bagi proses pemindahan organ bagi
pesakit-pesakit mati otak lalu bolehlah dijalankan pemindahan di dalam keadaan organ yang
masih segar dan sel masih hidup.

Namun, jika otak sahaja yang mati tetapi jantung masih berfungsi dengan sendiri, Islam
memandang ini bukan sebagai kematian. Para ulama bersepakat bahawa pesakit masih hidup
dan rohnya kekal kerana denyutan jantungnya masih ada. Apatahlagi, menjaga nyawa
termasuk dalam objektif utama syarak; wajib menjaga nyawa dengan segala cara. Mati otak
sahaja tidak cukup untuk menghukumkan pesakit telah pun meninggal dunia, tetapi ia sedang
koma.

Ini berdasarkan beberapa kes sebelum ini di mana pesakit mati otak pulih kembali
sehinggalah ia benar-benar mati pada waktunya. Fadilah As-Syeikh Bakr bin Abdulllah Abu
Zaid menceritakan;

Sekumpulan doktor memutuskan bahawa seorang pesakit telah mati berikutan kematian
batang otak yang dialaminya. Mereka hampir-hampir  mengambil sebahagian daripada organ-
organ pesakit berkenaan, tetapi warisnya melarang doktor berbuat  demikian. Dengan takdir
Allah, beliau hidup balik selepas itu sehinggalah ke tarikh dia meninggal dunia dalam erti
kata yang sebenar.

Ada juga kes di mana terdapat bayi yang lahir tanpa otak, namun ia dapat hidup selama
sepuluh tahun dalam keadaan tersebut.

Kesimpulannya, mati itu pasti dan mempunyai tanda-tandanya. Namun terdapat beberapa kes
kematian yang samar yang mana perlu diselidiki dengan cermat oleh pakar-pakar perubatan
untuk mengesahkan samada ia hidup atau mati. Mati otak adalah sebahagian daripada punca
yang mengakibatkan koma, dan pesakit koma bukanlah mati. Mereka masih hidup dalam
keadaan yang tidak menentu, namun ada hak untuk terus hidup dan mendapat rawatan
sewajarnya.
Koma: Bagai Hidup Menanti Mati | (5/5)
July 27th 2009 | Posted by editor

Oleh : Samhani Ismail

Bagaimana Melayani Pesakit Koma

Bagi doktor yang merawat pesakit koma, soalan yang selalu muncul daripada ahli keluarga
pesakit adalah “ Adakah ia akan sedar kembali?”, “Adakah ia akan hidup?” dan “Adakah ia
tidak perlu bergantung kepada orang lain jika ia sedar nanti?”

Soalan-soalan sebegini amat sukar untuk dijawab. Ada pesakit yang sembuh selepas beberapa
hari, beberapa  minggu, beberapa tahun, malah ada yang koma dalam beberapa jam sahaja.
Namun, pakar-pakar perubatan tidak pernah berhenti berusaha untuk melihat pesakit tersebut
sembuh semula dan dapat kembali normal seperti sediakala.

Sepanjang menghadapi saat-saat genting begini, sokongan daripada keluarga dan kawan-
kawan sangat membantu. Pesakit sudah tidak berdaya dan mereka memerlukan rawatan
istimewa dan sokonganyang padu. Di sini adalah beberapa perkara yang boleh anda lakukan
jika berada di dalam situasi ini;

 Bercakap dengan pesakit dengan nada suara yang biasa. Anda tidak perlu
mengeraskan suara. Pesakit mungkin mendengar suara anda, walaupun mereka tidak
memberi respon. Bicarakan dengan mereka perkara-perkara biasa yang selalu ia lalui
sebelum itu. Tentang masa, tentang keluarga, dan kisah-kisah manis yang pernah
dikongsi bersama.

 Sentuh dan belai mereka. Sentuhan anda tidak akan menyakitkan  mereka. Anda boleh
membantu jururawat menggosok belakang badan pesakit sambil anda berbicara
dengannya. Sentuhan ini akan lebih meransang sarafnya untuk kembali aktif.
 Pasangkan muzik yang pesakit suka dengar dan mendamaikan, atau bacakan ayat-ayat
suci Al-Quran. Lantunan irama berupaya menggetarkan mindanya, dan mungkin
sangat membantu.

 Bawa bersama-sama anda gambar keluarga dan labelkan nama-nama pada gambar
tersebut. Apabila pesakit membuka mata, ia mungkin masih keliru, tetapi gambar ini
membantu ia mengingat kembali.

 Anda boleh meransang pesakit dengan menyemburkan wangian yang ia suka di bilik
rawatan.

Melakukan banyak rangsangan seperti di atas mungkin boleh membantu. Namun, jika terlalu
kerap, pesakit mungkin tidak dapat mengenalpasti dengan baik. Terlebih ransangan bleh
menyebabkan pesakit letih, dan mula bernafas dengan pantas. Jika ini berlaku, anda boleh
meninggalkan bilik pesakit dan biarkan ia berehat seketika.

You might also like