You are on page 1of 5

Huraikan ekonomi sara diri yang diamalkan oleh masyarakat tempatan

sebelum kedatangan Barat dan ekonomi komersial masyarakat tempatan


selepas kedatangan Barat.

Rangka jawapan:

Pendahuluan

 Makna ekonomi sara diri / komersial


 Sebelum kedatangan Barat, sistem sara diri diamalkan
 Selepas kedatangan Barat, sistem ekonomi komersial dan perdagangan
diadakan

Isi-isi penting

Sebelum kedatangan Barat:

1. Sistem ekonomi sara diri


a. Pertanian
b. Penternakan
c. Perikanan
d. Memungut hasil hutan

Selepas kedatangan Barat:

1. Pertanian komersial
a. Jenis tanaman yang ditanam
2. Perlombongan
a. Bijih timah
b. Antimoni dan emas
3. Perdagangan antarabangsa
a. Kegiatan eksport dan import
b. Pelabuhan Singapura

Penutup

 Rumusan daripada keseluruhan


 Sistem ekonomi tempatan dimajukan apabila kedatangan Barat
 Namun, wujud eksploitasi daripada Barat terhadap ekonomi tempatan
Jawapan penuh:

Masyarakat Melayu sebelum kedatangan Barat telah menjalankan


kegiatan ekonomi sara diri untuk menampung kehidupan mereka. Ekonomi sara
diri bermaksud hasil pengeluaran digunakan untuk memenuhi keperluan sendiri
sahaja. Sekiranya terdapat lebihan pengeluaran, hasil tersebut akan ditukarkan
dengan barang-barang keperluan lain. Sebahagian besar masyarakat Melayu
bergantung hidup melalui kegiatan pertanian, menternak binatang, menangkap
ikan, memungut hasil hutan dan berdagang secara kecil-kecilan.
Walaubagaimanapun, Barat telah membawa ekonomi komersial dan
perdagangan antarabangsa kepada masyarakat tempatan selepas kedatangan
mereka. Ekonomi komersial merujuk kepada pengeluaran secara besar-besaran
kerana modal yang besar. Oleh itu, pengeluaran secara besar-besaran telah
membolehkan kegiatan eksport dijalankan melalui perdagangan antarabangsa.

Dalam sistem ekonomi sara diri yang diamalkan oleh masyarakat


tempatan, kegiatan pertanian merupakan kegiatan ekonomi utama masyarakat
Melayu. Masyarakat Melayu menjalankan kegiatan menanam padi sawah dan
padi huma. Penanaman padi sawah dijalankan di kawasan delta sungai.
Penanaman padi sawah bergantung kepada sistem pengairan. Sungai akan
diempang untuk mengairi sawah-sawah padi. Negeri yang menjadi kawasan
penanaman padi sawah yang utama di Tanah Melayu ialah Kedah, Kelantan,
Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang. Manakala padi huma ditanam di kawasan
bukit yang tidak memerlukan banyak air. Penanaman padi huma dilakukan oleh
orang asli di kawasan pedalaman di Tanah Melayu.

Antara tanaman lain yang ditanam ialah ubi kayu, pisang, tebu, jagung,
keladi, keledek, kopi, tembakau dan sirih. Selain itu, masyarakat tempatan turut
menanam pokok buah-buahan seperti kelapa, durian, manggis dan sebagainya di
sekeliling rumah. Hasil tanaman tersebut biasanya untuk kegunaan sendiri dan
selebihnya untuk diberikan kepada jiran atau kaum keluarga mereka.
Masyarakat Melayu turut menternak binatang. Antara binatang ternakan
ialah ayam, itik, kambing, kerbau dan lembu. Binatang ternakan seperti kerbau
dan lembu digunakan untuk membajak sawah padi dan mengangkut barangan
keperluan. Masyarakat Melayu turut menjalankan kegiatan memburu binatang
liar di hutan untuk mendapatkan bekalan daging seperti rusa, kancil, pelanduk,
kijang, ayam hutan dan seladang.

Masyarakat Melayu juga menjalankan kegiatan menangkap ikan.


Kegiatan menangkap ikan dilakukan oleh masyarakat Melayu yang mendiami
kawasan pinggir pantai atau tepi sungai. Terdapat dua jenis kegiatan perikanan
oleh masyarakat Melayu, iaitu menangkap ikan laut dan menangkap ikan air
tawar seperti sungai, tasik dan paya. Nelayan yang menangkap ikan di laut
menggunakan peralatan seperti pukat, jela, kelong dan jaring. Manakala aktiviti
penangkapan ikan air tawar menggunakan pancing, kail, kubu, tombak dan
sebagainya. Hasil tangkapan ikan digunakan untuk memenuhi keperluan
keluarga. Sekiranya ada lebihan akan dijual atau ditukar dengan barangan lain.
Selain itu, hasil tangkapan yang lain akan diproses menjadi ikan kering,
keropok, belacan dan sebagainya. Hasil tangkapan ikan sangat sedikit kerana
menggunakan peralatan tradisional.

Masyarakat Melayu turut menjalankan kegiatan memungut hasil hutan.


Antara hasil hutan yang dikumpul ialah damar, rotan, buluh, ubat-ubatan herba
dan buah-buahan hutan. Hasil hutan tersebut akan dijual atau ditukar dengan
barangan keperluan lain seperti beras, garam, kain dan gula. Terdapat juga hasil
hutan yang digunakan untuk menghasilkan barangan kraftangan, iaitu rotan dan
buluh. Masyrakat Melayu juga menggunakan tumbuhan herba untuk
menyembuhkan penyakit.

Selepas kedatangan Barat ke Tanah Melayu, sistem ekonomi komersial


turut diperkenalkan. Pertanian komersial dijalankan di Negeri-Negeri Selat dan
Johor. Di Johor sistem kangcu diperkenalkan. Melalui sistem ini, orang Cina
dari Singapura diambil untuk mengerjakan tanaman gambir dan lada hitam.
Hasil gambir dan lada hitam dipasarkan ke luar negara melalui Singapura
dengan menggunakan tongkang. Hasil tanaman tradisional yang dikomersialkan
adalah seperti ubi kayu, tebu, gambir dan lada hitam. Tanaman-tanaman ini
diusahakan oleh orang Cina dan mendapat pasaran yang baik di Eropah.

Masyarakat tempatan menjalankan kegiatan perlombongan.


Perlombongan bijih timah pada awalnya dimonopoli oleh golongan pembesar.
Kawasan perlombongan terpenting ialah di Perak, Selangor dan Sungai Ujung.
Di negeri-negeri ini pembesar diberi surat tauliah untuk mengawal dan
memungut hasil cukai daripada penduduk tempatan. Bijih timah telah menjadi
barang perdagangan utama yang menarik minat pedagang-pedagang dari Arab,
India, China dan Mediterranean. Bijih timah juga mendapat pasaran yang baik
di Eropah. Permintaan yang tinggi ini adalah berikutan perkembangan revolusi
perindustrian. Perlombongan emas dan antimoni juga dilakukan oleh
masyarakat tempatan. Perlombongan emas dijalankan di Bau, Sarawak.
Perlombongan antimoni pula dijalankan di bahagian pertama Sarawak dengan
menggunakan tenaga buruh Dayak.

Masyarakat tempatan juga menjalankan kegiatan perdagangan


antarabangsa. Kegiatan perdagangan memainkan peranan penting dalam sistem
ekonomi masyarakat Melayu. Urusan perdagangan dikendalikan oleh golongan
pemerintah dan saudagar-saudagar yang terdiri daripada lapisan kecil dalam
masyarakat. Pedagang-pedagang Melayu juga amat terkenal dan mempunyai
hubungan perdagangan antarabangsa yang lama dengan negeri-negeri di Asia
Tenggara, China dan Timur Tengah. Hubungan perdagangan juga wujud antara
kawasan pantai dengan pedalaman. Sungai telah menjadi jalan perhubungan
penting daripada kawasan pedalaman ke kuala sungai. Di sepanjang sungai
dibina pondok cukai untuk membolehkan pembesar daerah memungut cukai ke
atas barang perdagangan. Namun, kegiatan perdagangan ini terhenti akibat
kekacauan politik pada pertengahan abad ke-19.

Kesimpulannya, masyarakat Melayu sememangnya menjalankan sistem


ekonomi sara diri sebelum kedatangan Barat. Oleh itu, boleh dikatakan
kedatangan Barat membawa kemajuan dalam ekonomi masyarakat tempatan.
Buktinya kedatangan Barat membawa kewujudan sistem ekonomi komersial
dan perdagangan antarabangsa. Namun, hal ini turut mewujudkan kuasa
eksploitasi atau monopoli daripada Barat terhadap ekonomi tempatan.

You might also like