You are on page 1of 3

HASIL daripada semangat perjuangan demi untuk nusa, bangsa dan tanah air, Tunku Abdul Rahman bukan

saja
dapat memerdekakan Tanah Melayu daripada penjajahan Barat sejak lebih 400 tahun, tetapi juga berjaya
membawa negara ke arah kestabilan politik, sosial serta pembangunan ekonomi.
Kebijaksanaan, keadilan dan ketelusan beliau itulah telah berjaya menjadikan Tanah Melayu dan akhirnya
Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur dan maju hingga ke hari ini.
Dasar-dasar yang diperkenalkan oleh beliau telah berjaya menyatupadukan kaum-kaum yang ada di negara ini
dan seterusnya menyatukan negeri-negeri Tanah Melayu yang terpisah di bawah satu pemerintahan iaitu
Malaysia.
Kejayaan Tunku membentuk Malaysia dari sebuah negara yang tercicir dan lemah angkara penjajahan Barat
kepada sebuah negara yang maju telah membuktikan kemampuan rakyat Malaysia mentadbir dan menguruskan
bangsa dan negaranya sendiri.
Ini telah memberi tanggapan positif kepada British yang sebelum ini enggan melepaskan Tanah Melayu (Malaysia)
dari cengkamannya kerana tidak yakin dengan keupayaan bangsa Malaysia.
Hasil kejayaan itulah Tunku layak digelar Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia.
Sehubungan dengan itu, sudah selayaknya jasa-jasa beliau perlu dikenang oleh setiap generasi sehingga ke akhir
zaman.

ERA pemerintahan Tun Razak sebagai Perdana Menteri (1970 hingga 1976) boleh dianggap sebagai titik
permulaan negara ke arah sebuah negara yang pesat membangun dari segi ekonomi, khususnya di kalangan
bumiputera.
Walaupun ketika beliau memimpin negara ini telah tercetusnya satu rusuhan berdarah yang melibatkan kaum
Melayu dan Cina pada 13 Mei 1969, tetapi atas ketegasan, kebijaksanaan dan kesabaran beliau, akhirnya
sengketa itu dapat diredakan.
Malahan beliau berjaya mengukuhkan kembali hubungan antara kaum di negara ini melalui pelbagai idea dan
gagasan serta dasar yang diperkenalkan.
Beliau menyedari punca utama berlakunya konflik tersebut adalah akibat rasa tidak puas hati di kalangan kaum
Melayu terhadap kaum lain yang lebih berjaya. Oleh sebab itu dasar-dasar yang diperkenalkan itu banyak
melibatkan usaha menyamaratakan kekayaan antara semua kaum di negara ini. Pelbagai lang- kah diambil untuk
membolehkan kaum Melayu maju dalam perniagaan.
Dasar Ekonomi Baru (DEB), pembentukan Barisan Nasional serta pengwujudan Rukun Negara adalah antara
beberapa langkah yang berjaya menjadikan seluruh rakyat di negara ini hidup aman makmur sehingga ke hari ini.
Malahan kaum Melayu terus maju dan menyamai taraf ekonomi kaum Cina dan India.
Tun Razak merupakan Perdana Menteri yang banyak membentuk negara ini ke arah sebuah negara yang maju
dalam segala bidang, khususnya dari segi ekonomi dan sosial. Hasil usaha dan kejayaan itulah beliau digelar Bapa
Pembangunan Malaysia.
Dasar-dasar yang diperkenalkan itu bukan saja diteruskan oleh para pemimpin lain selepasnya, malahan masih
diterima pakai sehingga ke hari ini.
TUN Hussein yang menjadi Perdana Menteri Malaysia ketiga mulai 1976 hingga 1981 telah dianggap sebagai
Orang Yang Boleh Dipercayai. Sebagai Perdana Menteri selepas Tun Razak, beliau banyak meneruskan agenda
dan dasar yang telah dirintis oleh Tun Razak khususnya berkaitan Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pelajaran
Kebangsaan.
Langkah-langkah yang telah diambil beliau lebih menjurus ke arah memastikan matlamat DEB dan DPK itu
mencapai kejayaan. Walau bagaimanapun, beliau tetap dianggap sebagai pemimpin yang banyak membawa
pembangunan kepada negara.
Tidak dinafikan, selama beliau menjadi pemimpin tertinggi kerajaan itu banyak krisis politik dalaman telah
berlaku seperti krisis politik di Kelantan namun beliau telah berjaya melaksanakan tugas beliau sebagai pemimpin
dengan tenang, adil dan bertanggungjawab.
Malahan beliau juga dianggap pemimpin yang berani membuat pembaharuan dan kejutan termasuk menamakan
Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai Timbalan beliau walaupun Dr. Mahathir pada masa itu dianggap masih
mentah dalam dunia poli- tik tanah air.
Salah satu usaha yang dianggap berjaya menjadikan negara lebih harmoni ialah memastikan hubungan pemimpin
dengan rakyat terjalin kukuh. Ini kerana beliau menganggap rakyat sebagai penentu kerajaan perlu diberi
perhatian yang sewajarnya. Oleh sebab itulah, kerajaan beliau pada masa itu dianggap Kerajaan Rakyat. Malahan
hubungan antara kaum juga terus terpupuk dan terjalin dengan lebih akrab.

JIKA Tun Abdul Razak dianggap sebagai Perdana Menteri yang membawa kaum Melayu dan bumiputera keluar
dari kemiskinan dan ketinggalan dengan kaum lain, Dr. Mahathir (1981 hingga sekarang) boleh dikatakan
membawa negara ke arah kemajuan di segala bidang.
Dr. Mahathir telah berjaya menjadikan Malaysia ke arah kemodenan dan kemajuan. Cita-cita beliau untuk melihat
Malaysia setaraf dengan negara maju dari segi pembangunan dan kehidupan rakyat.
Bapa Pemodenan Malaysia ini banyak membawa dasar-dasar yang merintis ke arah negara maju berdasarkan
Wawasan 2020, iaitu dasar untuk meletakkan Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020.
Dasar pandang ke Timur, dasar pembangunan negara, penswastaan dan lain-lain adalah antara dasar ke arah
matlkamat itu.
Bagi mencetuskan semangat bahawa rakyat Malaysia berkeupayaan menandingi bangsa-bangsa lain, melalui
slogan Malaysia Boleh! ternyata membawa satu semangat baru bagi seluruh rakyat dari pelbagai kaum untuk
memajukan diri.
Hasilnya, Malaysia kini bertukar dari sebuah negara yang bergantung kepada hasil pertanian menjadi sebuah
negara industri serta berteknologi.
Kereta buatan Malaysia - Proton, pembangunan Koridor Raya Multimedia, perkembangan industri berat dan lain-
lain adalah bukti kejayaan keberkesanan dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Keempat ini.
Malaysia juga kini boleh bermegah kerana banyaknya mercu tanda kejayaan pembangunan negara seperti
Menara Kembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Litar F1 di Sepang dan lain-lain. Semua
ini membuktikan bahawa Malaysia kini ke arah negara maju setanding dengan negara-negara maju lain. 
Begitu juga dari segi pencapaian individu rakyat seperti penaklukan puncak Everest, mengelilingi dunia secara
solo dengan perahu layar, menjejakkan kaki di Kutub Utara dan lain-lain bertolak dari dasar dan semangat yang
dicetuskan oleh Dr. Mahathir.
Pencapaian ekonomi negara juga dianggap antara yang terbaik di rantau ini dan dunia termasuk kejayaan beliau
mengatasi kegawatan ekonomi pada pertengahan 1997 hingga 1998 lalu. Kini Malaysia semakin pulih dan
pemulihan ekonomi negara adalah kerana kebijaksanaan dan ketegasan Dr. Mahathir.

You might also like