You are on page 1of 4

“Yang kurik kundi, yang 

merah itu saga,


Yang cantik itu budi, 
yang indah itu bahasa.”

KEINDAHAN pepatah Melayu lama ini jelas memberi gambaran bahawa salah satu
aspek penting dalam komunikasi ialah penggunaan bahasa yang baik, halus, dan
bersopan-santun. Komunikasi dalam budaya Melayu terkenal dengan cara pertuturan
yang lemah lembut, beradab sopan dan halus budi bicaranya. Seperti kata Usman
Awang dalam sajaknya yang bertajuk Melayu: 

Melayu itu orangnya bijaksana 


Nakalnya bersulam jenaka 
Budi bahasanya tidak terkira 
Kurang ajarnya tetap santun 
Jika menipu pun masih bersopan 
Bila mengampu bijak beralas tangan 

Namun sejak akhir-akhir ini akibat ledakan teknologi dalam era globalisasi yang
menyentuh pelbagai aspek kehidupan, ia telah mengubah cara berkomunikasi dalam
masyarakat kita. Semakin ramai sudah tidak mempedulikan aspek sopan santun dan
berbudi bahasa apabila berkomunikasi.

Sejajar dengan perkembangan teknologi moden dan media baru, kehidupan


masyarakat menjadi semakin pantas dan ringkas, seringkas ayat dalam sistem pesanan
ringkas (SMS) dan secepat kiriman mesej melalui telefon bimbit. 
Nilai-nilai murni juga sekali gus ditolak begitu saja dengan alasan takut ketinggalan
zaman. 

Tidak dinafikan perkembangan pesat teknologi dan pembangunan negara


menyebabkan masyarakat sudah tidak ada masa untuk berkomunikasi dengan
berhemah kerana masa mengubah senario kehidupan. Jika diperhatikan masyarakat
tidak kira golongan tua atau muda menghadapi masalah yang sama dalam
mempraktikkan konsep berbudi bahasa ketika berkomunikasi. 

Adakalanya kita mendengar dan melihat perlakuan remaja yang sungguh biadab dan
kurang sopan. 

Namun, golongan dewasa juga tidak terkecuali. Ada kalanya mereka lebih teruk dengan
mengeluarkan kata-kata kurang enak didengar dan ada kalanya cacian dan perkataan
lucah yang dihamburkan begitu saja di kawasan umum. Adakah ini harga yang perlu
dibayar untuk sebuah pembangunan? 

Bertepatan dengan ungkapan ‘first class infrastructure and third class mentality’ jelas
menggambarkan senario masyarakat kita masa kini. Kemajuan negara yang sedang
pesat membangun sudah tidak selari dengan peradaban dan pemikiran rakyat yang
masih di takuk lama. Semakin maju negara, semakin terhakis nilai murni dalam jiwa
masyarakat. Jika ditanya mengapa ini berlaku, masyarakat mempersalahkan
perkembangan pesat teknologi dan pembangunan negara yang tidak selari dengan
peradaban manusia. 

Memang tidak dapat dinafikan perlumbaan hidup masyarakat dalam era baru banyak
mengubah sikap manusia. Namun, hakikatnya apa pun alasan yang diberikan untuk
kurang berbahasa, sebenarnya aspek budi bahasa adalah sangat penting dalam
komunikasi seharian kerana ia adalah gambaran tentang peribadi kita apabila
berinteraksi dan bersosial. Tidak kira di mana kita berada, aspek budi bahasa dalam
komunikasi tidak boleh ditolak secara mentah dan dipandang remeh. 

Ironinya dalam masyarakat hari ini, kita sering berhadapan dengan individu yang suka
meninggikan suara apabila bercakap, tidak memikirkan perasaan orang lain dan
bercakap mengikut sedap mulut. Lebih buruk lagi jika mereka yang kurang berbahasa
ini berurusan dengan orang ramai yang bukan saja akan menimbulkan sikap tidak puas
hati, tetapi juga hilang rasa yakin terhadap organisasi mahupun jabatan yang
memberikan perkhidmatan. 

Menurut pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam, Dr
Mariah Muda, budi bahasa dan cara berkomunikasi yang baik adalah amalan turun
temurun yang diamalkan masyarakat Melayu. Ia dilihat sebagai cara menghormati
orang lain dalam setiap urusan hidup. 

Beliau memberitahu kehalusan budi bahasa dalam komunikasi sangat penting untuk
memastikan pihak kedua yang terbabit dalam proses komunikasi akan berada dalam
keadaan selesa. 

Menggunakan budi bahasa dalam berkomunikasi dapat memastikan tujuan komunikasi


sampai ke matlamatnya. Jika kita bercakap dengan baik dan berhemah, mesej akan
diterima dengan baik, sekali gus menjadikan proses komunikasi lebih berkesan. Apabila
ia berkesan kita mendapat maklum balas seperti yang diharapkan. 
Umpamanya kata Mariah, jika seorang pensyarah bercakap dengan berhemah kepada
pelajarnya, mesej yang akan disampaikan dapat diterima dengan jelas dan berkesan.
Kedua-dua pihak akan berpuas hati. 

“Sebaliknya jika proses komunikasi berlaku dalam keadaan kasar, menggunakan


bahasa kesat yang tidak enak didengar, pihak kedua yang terbabit dalam proses
komunikasi itu akan kurang selesa. Dalam kes pelajar dan pensyarah, kemungkinan
pelajar tidak memahami maksud sebenar dan menyebabkan maklumat tidak sampai
dan akhirnya interpretasi tentang sesuatu maksud akan terpesong dan tidak tepat. 

Keadaan ini juga akan memungkinkan pihak kedua menarik diri daripada proses
tersebut atau mesej ditolak mentah-mentah. Ini memberi kesan buruk kepada orang
yang memulakan proses komunikasi tadi. Akibatnya proses komunikasi menjadi tidak
berkesan dan menimbulkan konflik dalam diri si penerima mesej,” katanya. 

Mariah juga menyentuh mengenai budi bahasa dalam masyarakat kita dengan
mengatakan senario zaman sekarang memperlihatkan pelbagai golongan masyarakat
tidak kira tua atau muda mempunyai masalah berkomunikasi secara berhemah. 

Meskipun ramai menuding jari kepada segelintir generasi sekarang yang kurang
berbahasa dan bersikap kurang ajar, beliau menjelaskan orang dewasa juga tidak
terkecuali kerana ada golongan ini kurang bersopan apabila bercakap dan
berkomunikasi kerana mereka merasakan diri lebih tua dan perlu dihormati generasi
muda. 

Bagaimanapun, menyentuh aspek budi bahasa supaya tidak terabai dalam diri remaja
ketika berkomunikasi, beliau berkata semua pihak harus prihatin dalam hal ini.
Menurutnya, ibu bapa harus memainkan peranan penting sebagai role model kepada
anak mereka. Seperti kata pepatah, ‘bapa borek anak rintik’ atau ‘ke mana tumpahnya
kuah kalau tidak ke nasi’. 

Justeru, ejen sosialisasi yang amat penting datangnya dari rumah kerana komunikasi
yang baik bermula dari rumah. Bagaimana anak-anak mahu bercakap dengan lembut
dan bersopan jika ibu bapa sendiri tidak menunjukkan contoh baik dengan sentiasa
meninggikan suara di rumah, bercakap dengan perkataan kurang enak, memaki-hamun
dan berhadapan dengan konflik rumah tangga yang tidak berkesudahan. 

Ibu bapa, kata Mariah, tidak harus melepaskan beban belajar agama kepada guru
agama. Sebaliknya mereka sendiri harus menjadi guru agama dan guru dalam segala
hal untuk anak mereka. Pelajaran pertama anak bermula di rumah. Ajarlah anak
mempraktikkan konsep budi bahasa dari rumah. ‘Melentur buluh biar daripada
rebungnya’. 

Jika mereka sudah biasa mengamalkan nilai murni di rumah kemungkinan besar sifat
dan nilai murni ini akan dibawa apabila mereka ke sekolah atau berinteraksi dengan
umum. 

Mariah berkata, dalam hal berkaitan agama, budaya, dan cara hidup pelbagai kaum di
negara ini sangat mementingkan aspek budi bahasa. Masyarakat Melayu terkenal
dengan budaya luhur ini tidak seharusnya menggadaikan nilai murni ini atas nama
pembangunan. Justeru, katanya jika semua pihak kembali kepada agama dan budaya
masing-masing, aspek budi bahasa dalam komunikasi bukan satu masalah lagi. 

Sehubungan itu, kempen budi bahasa yang dijalankan kerajaan lima tahun lalu adalah
bukti kesungguhan untuk menghidupkan kembali suasana harmoni dalam
berkomunikasi untuk masyarakat Malaysia. Agenda lima tahun kerajaan bermula pada
2005 untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berbudi bahasa memang bertepatan
dengan senario masa kini apabila nilai murni di kalangan masyarakat semakin luntur. 
Namun, sejak kebelakangan ini kempen itu bagai dilupakan. Ia seolah-olah semakin
dingin dan masyarakat mula lupa mengamalkannya. Seharusnya kempen ini dijalankan
secara lebih proaktif dan tidak hanya berhenti sekerat jalan. 

Penulis ialah pensyarah UiTM Shah Alam

You might also like