You are on page 1of 3

Sejauh mana keberkesanan Lembaga Disiplin sekolah

Oleh Yusri Abdul Malek

KEJADIAN dua pelajar diracun di Seremban dan dua lagi pelajar


tingkatan enam di Johor ditetak baru-baru ini harus membuka mata
semua pihak terutama Kementerian Pelajaran dalam menangani masalah
disiplin pelajar.

Walaupun kedua-dua kes berkenaan dianggap terpencil berbanding jumlah


lebih tiga juta pelajar di negara ini, tetapi ia tetap serius kerana
membabitkan kecederaan parah yang boleh membawa maut.

Pelbagai pendekatan sudah dicuba dan diguna pakai di sekolah bagi


menangani masalah disiplin pelajar termasuk memberi kaunseling, namun
nampaknya usaha itu masih jauh daripada mencapai matlamat sedangkan
jumlah pelajar bermasalah semakin membesar.

Malah, langkah memansuhkan hukuman rotan sedikit sebanyak memberi


kesan negatif dalam mengawal disiplin pelajar di sekolah.

Tanpa rotan yang menjadi alat mendisiplinkan pelajar sekitar tahun


1960-an, 70-an dan 80-an, pelajar sudah tidak takut lagi kepada guru,
malah rasa hormat mereka juga terhakis.

Dalam menangani masalah disiplin pelajar, Kementerian Pelajaran


keluar dengan satu cadangan baru iaitu mulai tahun depan, guru besar
dan pengetua sekolah tidak lagi mempunyai kuasa penuh untuk
menentukan bentuk hukuman terhadap pelajar yang terbabit dalam
kesalahan disiplin.

Sebaliknya, sebarang hukuman akan diputuskan Lembaga Disiplin yang


antara lain dianggotai wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta
pegawai perhubungan sekolah.

Lembaga Disiplin yang dipengerusikan guru besar atau pengetua itu


akan membuat keputusan bersama untuk menentukan hukuman setimpal
terhadap pelajar berdasarkan peraturan yang akan digariskan.

Dengan peraturan itu, pengetua dan guru besar tiada lagi mempunyai
hak untuk menghukum pelajar mereka tanpa persetujuan Lembaga Disiplin
berkenaan.
Alasan yang diberikan Kementerian Pelajaran adalah mudah iaitu bagi
mengelak ibu bapa bertindak balas dengan menyaman guru dan sekolah
jika mereka tidak berpuas hati dengan hukuman dikenakan ke atas anak
mereka.

Setakat ini, tiada statistik dikeluarkan berhubung jumlah sekolah dan


guru yang disaman ibu bapa semata-mata atas kesalahan disiplin.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar dipetik sebagai berkata


kementerian sudah menghantar draf Peraturan Pendidikan (Disiplin
Murid) 2006 ke Pejabat Peguam Negara dengan jangkaan diwartakan tahun
ini sebelum dilaksanakan tahun depan.

Katanya, ketika ini hukuman terhadap kesalahan disiplin pelajar


ditentukan sepenuhnya guru besar atau pengetua dengan Lembaga
Disiplin hanya bertindak sebagai penasihat.

“Tindakan menghukum pelajar sekarang banyak bergantung kepada budi


bicara guru besar atau pengetua berikutan prosedur yang tidak jelas.

“Bagaimanapun, peraturan baru ini mempunyai prosedur lebih tersusun


dan jelas mengenai hukuman boleh dikenakan terhadap pelajar.

“Menerusi peraturan baru ini, kementerian dapat membuat penyelarasan


bagi menyeragamkan hukuman bersabit kesalahan disiplin pelajar,”
katanya.

Kewujudan Lembaga Disiplin berkenaan sudah pasti akan menyusahkan


lagi guru yang memang sudah dibebani dengan pelbagai tugas lain yang
bukan tanggungjawab hakiki mereka lagi iaitu mengajar.

Kalangan guru sudah pasti tidak akan mampu campur tangan jika berlaku
kes disiplin di depan mereka kerana ia perlu dibuktikan di hadapan
Lembaga Disiplin sebelum hukuman boleh dijalankan.

Adalah lebih baik guru buat tak tahu kerana jika ambil tahu pasti
akan menyusahkan diri mereka sendiri.

Malah, cadangan Kementerian Pelajaran supaya hanya Lembaga Disiplin


menetapkan hukuman terhadap kesalahan pelajar di sekolah berbanding
kuasa guru besar atau pengetua sebelum ini mungkin mendatangkan
masalah jika wakil ibu bapa yang dipilih gagal memberi kerjasama
sepenuhnya.
Ia berikutan ibu bapa menganggotai panel Lembaga Disiplin mungkin
tidak dapat memberi perhatian sepenuh masa pada lembaga kerana
terikat dengan tugas harian mereka.

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Prof Madya Dr


Abdul Rahman Daud dipetik sebagai berkata, mungkin akan berlaku
mesyuarat lembaga tidak dapat dihadiri pihak terbabit ketika mahu
membuat keputusan.

“Pada teorinya, cadangan kementerian baik tetapi pelaksanaannya


mungkin bermasalah. Kementerian seharusnya turut memikirkan cara
mengatasi masalah itu supaya semua pihak dapat melaksanakan
tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Natijahnya, masalah disiplin pelajar bukan isu politik, sebaliknya ia


perlu ditangani secara serius membabitkan kerjasama semua pihak.

Jika semua pihak serius, terutama ibu bapa, maka secara tidak
langsung masalah disiplin pelajar yang berlaku kini dapat
dikurangkan.

You might also like