You are on page 1of 2

Buang bayi luar nikah bukan penyelesai masalah

Mutakhir ini, kita sering didedahkan dengan tragedi pembuangan bayi di tempat pembuangan
sampah, semak dan kaki lima bangunan serta sesetengahnya ditemui mati. Bayi tidak berdosa itu
dibungkus dengan plastik atau kain lalu dibuang tanpa ada sedikit pun rasa belas ihsan dan sifat
kemanusiaan.

Pembuangan bayi itu dipercayai dilakukan insan yang tidak bertanggungjawab antaranya mungkin
hasil hubungan luar nikah. Al-Quran dan Sunnah sering memperingatkan nilai hidup setiap makhluk.
Kita dilarang mencabut nyawa janin termasuk haiwan kecuali atas ketentuan dibenarkan Allah. Tanpa
rasa belas kasihan ibu atau pasangan terbabit sanggup membuang bayi yang dikandung.

Manusia semakin hilang pertimbangan dan tidak lagi menggunakan kewarasan ketika bertindak.
Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan kenikmatan hasil hubungan haram dapat dirasai secara
berulang kali.

Allah berfirman dalam surah asy-Syura ayat 49-50 bermaksud: “Dia memberikan anak perempuan
kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki
atau menganugerahkan kedua-dua lelaki dan perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dia
juga menjadikan mandul kepada sesiapa yang dikehendaki. Sesungguhnya Dialah yang maha
Mengetahui lagi Maha Berkuasa.”

Anak anugerah Allah yang tidak ternilai kepada pasangan harus lahir daripada ikatan perkahwinan
kerana secara fitrah manusia berhajat kepada kurniaan itu.

Justeru, manusia mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga amanah Allah ini mencakupi
segala keperluan fizikal, mental dan material.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik,
mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila cukup umur dan mengajarnya al-Quran” (riwayat al-
Hakim dan ad-Dailamy).

Realitinya isu pembuangan dan pembunuhan bayi mengingatkan kita pada zaman jahiliah apabila
membunuh bayi perempuan yang dianggap memalukan keluarga.

Di manakah perikemanusiaan dan harga diri atau maruah masyarakat jika bayi tidak berdosa yang
sepatutnya dibelai dengan kasih sayang dibuang begitu saja. Sedangkan haiwan sayangkan anak,
inikan pula manusia yang perlu bertanggungjawab untuk memelihara zuriatnya.

Rasulullah bersabda maksudnya: “Setiap suami adalah pemimpin keluarganya. Ia akan diminta
bertanggungjawab dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah bagi anak dan suaminya
dia juga akan diminta untuk bertanggungjawab.” (riwayat Bukhari).

Statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mendapati 65 kes buang bayi dicatat pada 2000 dan meningkat
kepada 83 kes, tahun lalu. Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu 22 kes (2000) dan 24 kes
(2006). Daripada jumlah 83 kes itu, 79 membabitkan kes pembuangan bayi yang baru dilahirkan dan
empat kes pembuangan janin.

Hakikatnya, pembuangan dan pembunuhan anak pada masa jahiliah moden ini bukan kerana takut
miskin tetapi perbuatan keji untuk menutup malu selepas melakukan zina.
Pasangan yang dikaitkan dengan isu pembuangan bayi ini ialah mereka yang tertekan dengan
keterlanjuran sehingga melahirkan bayi di luar nikah. Kegawatan sosial adalah permasalahan bersama
dan memerlukan penyelesaian bersepadu, kolektif dan terancang. Strategi menanganinya
memerlukan pendekatan proaktif termasuk pendekatan aspek keagamaan adalah tunjang kerohanian
bagi individu Kefahaman yang tinggi dalam pegangan agama dan nilai kerohanian adalah asas
pembentukan sahsiah manusia.

Agama memainkan peranan penting untuk memandu ke arah tingkah laku sesuai dengan
pertimbangan dan rasional rutin hidup seharian.

Menurut Prof Dr Sidek Baba, pendidikan iman dan akhlak pada prinsipnya berasaskan dua faktor yang
saling berhubung iaitu qudwah atau teladan dan pengaruh persekitaran kerana antara naluri dan
kecenderungan utama anak dalam proses pembelajaran ialah keinginan untuk meniru, mencontohi
dan meneladani.

Justeru, setiap anak memerlukan contoh teladan, mentor dan qudwah supaya kebaikan dan
kehebatan contoh berkaitan dapat diikuti dan dihayati dalam kehidupannya.

Ibu bapa adalah model terawal dan utama dalam pembentukan iman dan akhlak anak. Bagi
membolehkan ibu bapa mendidik dengan sempurna, mereka perlu berupaya serta menjadi qudwah
terbaik. Mereka harus bijak mengawasi persekitaran kekeluargaan dan agar lahirnya situasi yang sihat
dan cemerlang ke arah membentuk keluarga harmoni.

Seluruh lapisan masyarakat harus bersatu padu dan mengaplikasikan pelbagai pendekatan dalam
menyelesai masalah gejala sosial ini. Setiap individu termasuk ibu bapa perlu peka dan memainkan
peranan, khususnya dalam memastikan anak tidak terjebak dengan gejala sosial yang merosakkan
masa depan mereka. Cabaran menangani gejala sosial terutama membabitkan kes pembuangan bayi
harus diberi perhatian serius. Tindakan segera perlu diambil supaya terus merebak menjadi penyakit
sosial sukar diubati.

Jika pada zaman jahiliah mereka membunuh antara lain kerana khuatir anak diperkosa atau berzina,
maka pada masa jahiliah moden anak dibunuh kerana ibunya sendiri diperkosa atau berzina.

Kepada dua golongan wanita ini, kembalilah kepada fitrah hidup manusia yang sebenar. Jika terlanjur
membuat dosa sehingga hamil tanpa ikatan perkahwinan menambahkan bilangan dosa dengan
menyeksa mental dan fizikal kepada bayi yang dilahirkan dengan membuangnya bagaikan sampah-
sarap. Sepatutnya sebagai warga yang hidup di dalam negara berdaulat dan pada era pasca-merdeka
amat tidak wajar sama sekali ada yang terbabit dalam kes seperti ini.

You might also like