You are on page 1of 2

PROGRAM MENUJU HARVARD 2020

Program Menuju Harvard 2020 ini telah diilhamkan oleh Persatuan Ibu Bapa Dan Guru
SK Seri Hartamas (PIBG SKSH) bertujuan untuk mengenal pasti murid-murid SK Seri
Hartamas (SKSH) yang mempunyai ciri-ciri kecemerlangan dan berkemungkinan
memenuhi kriteria pelajar yang diterima belajar di Universiti Harvard, universiti yang
terulung di Amerika Syarikat.

Program ini dilaksanakan dengan usahasama ahli jawatankuasa Harvard Club of


Malaysia yang terdiri daripada bekas pelajar Universiti Harvard. Melalui bantuan,
sokongan dan galakan daripada ahli Harvard Club of Malaysia sebagai “mentor”, adalah
diharapkan semoga menjelang tahun 2020, mungkin ada bekas pelajar SKSH yang
berjaya diterima untuk melanjutkan pelajaran di universiti yang penuh berprestij itu.
SKSH amat berbangga kerana telah dipilih sebagai sekolah perintis atau “pilot school”
untuk program ini.

Harvard University yang terletak di bandaraya Boston yang penuh bersejarah, telah
diasaskan pada tahun 1636. Universiti ini telah menghasilkan tujuh orang bekas Presiden
Amerika Syarikat, termasuk Franklin D. Roosevelt dan John F. Kennedy, dan seramai 43
orang pemenang anugerah “Nobel Prize” adalah graduan universiti ini. Harvard
mempunyai lebih kurang 20,000 orang pelajar setiap tahun di mana seramai 6,700 pelajar
adalah di peringkat ijazah. Universiti ini terdiri daripada 10 fakulti termasuk perubatan,
undang-undang dan ekonomi. Harvard mempunyai bajet perbelanjaan pengurusan
sebanyak US$2.5 bilion setiap tahun. Dalam tahun 2008, pendapatan universiti ini
mencecah US$3.5 bilion. Kos pengajian untuk seorang pelajar peringkat ijazah ialah
hampir US$50,000 setahun.

Setiap tahun, secara purata, hanya tiga orang warga Malaysia berjaya diterima untuk
belajar di peringkat ijazah daripada pengambilan 1,500 orang pelajar baru daripada serata
dunia. Ciri-ciri pelajar Harvard University bukan sahaja tertakluk kepada pencapaian
cemerlang di dalam bidang akademik, tetapi juga merangkumi penglibatan di dalam
aktiviti kokurikulum, mempunyai kebolehan untuk berfikir secara kreatif dan dinamik,
melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan mempunyai sifat kepimpinan. Objektif
pendidikan di Harvard ialah untuk menghasilkan individu yang cemerlang dan
mempunyai sahsiah diri yang seimbang dan mendahulukan pencapaian. Adalah menjadi
suatu kejayaan besar bagi mana-mana sekolah untuk melahirkan graduan Harvard
University dan inilah impian PIBG SKSH.

Program Menuju Harvard 2020 SKSH ini bertujuan untuk membentuk keperibadian
pelajar SKSH sebagai pelajar yang berpotensi untuk menjejakkan kaki ke Harvard. Setiap
tahun, beberapa pelajar tahun 6 akan dicalonkan berdasarkan kriteria yang ditetapkan
oleh Harvard Club of Malaysia sebagai calon pemenang Harvard Book Prize. Pemilihan
pemenang Harvard Book Prize untuk calon SKSH akan dibuat oleh Jawatankuasa
Pemilihan Harvard Club of Malaysia dan hadiah hanya akan diberikan sekiranya calon-
calon tersebut benar-benar menepati ciri-ciri dan memenuhi kriteria yang telah
ditetapkan.
Secara lazimnya, di Amerika Syarikat, Harvard Book Prize dianugerahkan kepada pelajar
sekolah menengah (“high school”) yang mempamirkan kecemerlangan di dalam bidang
akademik dan sahsiah diri yang terpuji, di samping pencapaian di dalam bidang
kokurikulum. Harvard Book Prize hanya dianugerahkan di 2,000 sekolah menengah di
seluruh dunia. SKSH sebenarnya melakarkan sejarah melalui pemilihannya oleh Harvard
Club of Malaysia sebagai sekolah perintis di dalam program ini.

Pemenang Harvard Book Prize SKSH akan memasuki kumpulan pelajar terpilih yang
akan dipantau setiap tahun melalui proses “mentoring” yang akan dikendalikan oleh
Harvard Club of Malaysia di mana sokongan, galakan dan nasihat serta tunjuk ajar akan
diberikan supaya pelajar-pelajar tersebut bersedia untuk menghadapi proses pemilihan
dan pengambilan pelajar oleh Harvard University kelak.

Diharapkan semoga pendedahan kepada budaya kecemerlangan yang dipraktikkan oleh


Harvard University akan dicontohi dan diteladani oleh pelajar-pelajar SKSH. Dengan
berkat usahasama PIBG, pihak sekolah, dan Harvard Club of Malaysia, semoga impian
PIBG SKSH untuk menghasilkan bakal pelajar Universiti Harvard di kalangan alumni
SKSH akan benar-benar menjadi kenyataan.

“Cita-cita tanpa usaha hanya menjadi angan-angan;


usaha tanpa cita-cita hanya tinggal kenangan;
tetapi usaha yang berlandaskan cita-cita besar kemungkinan menjadi kejayaan.’

You might also like