You are on page 1of 3

CONTOH KARANGAN

Peranan Ibu Bapa dalam Mengurangkan Gejala Sosial

Dalam meniti arus kemodenan ini, pelbagai penyakit sosial yang mampu
meranapkanperadaban bangsa dan negara melanda golongan remaja. Akhir-
akhir ini, berita mengenai golongan remaja yang terjebak dalam gejala sosial
kerap terpampang di dada akhbar. Isu ini menjadi suatu isu yang hangat
diperkatakan dan sering menjadi buah mulut orang ramai. Antara penyakit
sosial yang dimaksudkan ialah gejala vandalism, buli dan ponteng. Keutuhan
institusi keluarga begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga
institusi keluarga diibaratkan seperti batu bata dalam sesebuah bangunan.
Malah, institusi keluarga begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial
sehingga kempen Rumahku Syurgaku diadakan secara besar-besaran. Program
ini menekankan kepentingan rumah diibaratkan sebagai syurga untuk
memastikan keutuhan institusi keluarga. Oleh itu, ibu bapa perlulah menyahut
cabaran bagi menghalang golongan remaja daripada terjebak dalam gejala
sosial.

Sebenarnya, golongan ibu bapa wajarlah mencurahkan kasih sayang kepada


anak-anak mereka dan mengasuh anak-anak bagai menatang minyak yang
penuh. Ibu bapa perlu menganggap anak-anak sebagai kurniaan Tuhan yang
tidak ternilai dan mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan
kesabaran. Sikap sesetengah ibu bapa yang hanya sibuk mengejar harta
kekayaan perlulah dikikis sama sekali. Mereka tidak sedar bahawa nilai
kebendaan dan materialistik yang ada pada diri mereka akan menyebabkan
mereka terlalu sibuk dengan kerja mereka sehingga mengabaikan anak-anak
mereka. Contohnya, pada hujung minggu, ibu bapa perlulah meluangkan masa
mereka untuk melakukan aktiviti-aktiviti riadah bersama-sama anak-anak
mereka. Ibu bapa bolehlah membawa remaja makan angin di destinasi-
destinasi yang menarik di negara kita. Hadis ada menyatakan bahawa anak-
anak diibaratkan seperti kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya.
Sememangnya, ibu bapa perlu mampu mengimbangi kepentingan keluarga dan
kerjaya mereka kerana anak-anak mereka amat memerlukan kasih sayang
seorang ayah dan ibu. Golongan remaja perlulah dibekalkan dengan didikan
agama dan moral yang sempurna. Ibu bapa perlulah menekankan kepentingan
ajaran agama terhadap pembentukan mental remaja kerana didikan agama
dan moral dapat menjamin bahawa remaja akan dapat membezakan antara
perkara yang baik dengan yang buruk dan seterusnya mendorong remaja
mengawal tingkah laku mereka. Tanggapan sesentengah ibu bapa bahawa
tanggungjawab mereka tidak lebih daripada menyekolahkan dan menyediakan
makan minum anak-anak tidak benar sama sekali. Mereka juga harus
memastikan bahawa anak-anak mereka mendapat ajaran agama yang
sempurna. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah meluangkan masa untuk
membekalkan ajaran agama kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Didikan agama yang dibekalkan
kepada remaja dapat memastikan bahawa anak-anak mereka mempunyai
benteng diri yang kukuh untuk menolak ajakan rakan-rakan untuk melibatkan
diri dalam apa-apa tindakan yang mampu memburukkan imej diri dan
merosakkan nama baik sesebuah keluarga.

Bukan itu sahaja, pihak ibu bapa perlulah bertanggungjawab terhadap


kebajikan anakanak mereka dengan mengikuti perkembangan anak-anak
mereka di sekolah. Dari semasa ke semasa, ibu bapa perlu mengambil inisiatif
untuk menghubungi pihak sekolah untuk mengetahui masalah-masalah yang
dihadapi oleh anak-anak mereka. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah
menghadirkan diri dalam sebarang pertemuan antara ibu bapa dan guru.
Dengan ini, pihak sekolah, guru dan ibu bapa akan dapat bermuafakat dan
bekerjasama untuk membantu remaja yang bermasalah dengan mencari jalan
penyelesaian yang terbaik. Ibu bapa perlu memastikan bahawa nasihat yang
diberikan oleh mereka kepada anak-anak mereka tidaklah bagai mencurahkan
air ke daun keladi. Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Masalah remaja
perlu dikesan sebelum terlambat kerana mencegah itu lebih baik daripada
mengubati. Ibu bapa memainkan peranan untuk menjaga kepentingan anak-
anak mereka dengan meletakkan kepentingan anak-anak mereka melebihi
harta benda dan wang ringgit.

Bukan itu sahaja, ibu bapa haruslah menjadi teladan kepada anak-anak
mereka. Ibu bapa sememangnya perlu memastikan segala tingkah laku dan
pertuturan mereka kerana segala perlakuan mereka akan diperhatikan oleh
anak-anak mereka. Malah, segala tingkah laku ibu bapa akan ditiru oleh anak-
anak mereka. Contohnya, ibu bapa yang mempunyai tabiat buruk seperti
merokok perlulah bertaubat dan berhenti merokok kerana anak-anak mereka
berkemungkinan besar akan terpengaruh dan seterusnya merokok. Ibu bapa
perlulah mengatasi apa-apa kelemahan yang ada pada diri mereka agar
perbuatan mereka tidak akan menyebabkan anak-anak mereka terdedah
kepada amalan yang kurang sihat. Ibu bapa tidak harus bersikap seperti ketam
menyuruh anaknya berjalan betul. Dengan ini, golongan remaja tidak akan
terpengaruh dengan tabiat buruk ibu bapa mereka dan seterusnya tidak akan
melakukan gejala sosial yang mampu menghancurkan masa depan mereka.
Kesimpulannya, gejala sosial yang menjadi duri dalam daging perlu dihapuskan
dari akar umbinya kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Ibu
bapa perlulah mengambil langkah-langkah yang drastik dan berkesan bagi
memastikan golongan remaja tidak akan menjangkiti sebarang penyakit sosial
kerana remajalah yang akan mencorakkan negara pada masa hadapan. Mereka
harus dibimbing agar akan menjadi modal insan yang berintegriti dan
berwawasan. Secara tidak langsung, impian negara untuk melahirkan golongan
yang berminda kelas pertama akan dapat direalisasikan.

You might also like