You are on page 1of 8

Kedudukan Sahabat Sebagai Generasi Hadis Yang Pertama

Muhammad Hanief Awang Yahaya

Petikan dari www.darulkautsar.net

 
Sahabat Rasulullah s.a.w. merupakan generasi yang paling mulia kerana mereka menerima pendidikan
secara langsung daripada Rasulullah s.a.w. di samping terdidik dalam suasana wahyu. Melalui mereka
sunnah Rasulullah s.a.w. terpelihara dan dapat sampai kepada generasi kemudian. Allah s.w.t. telah
memilih satu generasi yang paling mulia untuk mendampingi dan menemani RasulNya. Demi memastikan
Islam tetap tersebar ke seluruh alam, mereka sangup mengorbankan jiwa dan harta mereka.
 
Dalam menentukan siapakah sahabah, para ulama telah memberi beberapa definisi. Al-Imam al-Bukhari
menyatakan: Sesiapa dari kalangan orang-orang Islam yang mendampingi Rasulullah s.a.w. atau melihat
baginda maka dia adalah sahabat. (Sahih al-Bukhari hal 697) Hafiz Ibn Hajar mendefinisikan sahabat
sebagai sesiapa yang menemui Rasulullah s.a.w. dalam keadaan beriman dengan baginda dan meninggal
dunia sebagai Islam. Berdasarkan kepada definisi ini, walaupun seseorang yang bertemu Rasulullah dalam
keadaan masih kafir kemudian memeluk Islam tetapi tidak sempat bertemu baginda, tidak dikira seorang
sahabat.
 
Baligh tidak menjadi syarat kemestian dalam menentukan seseorang sahabat atau tidak. Sekiranya syarat
baligh dikenakan pasti sebilangan besar sahabat tidak boleh dianggap sahabat kerana mereka hanya baligh
setelah kewafatan baginda. Antara mereka ialah Abdullah bin al-Zubair, al-Hasan dan al-Husain.
 
Menurut Ibn Kathir, beberapa imam seperti al-Bukhari, Abu Zur`ah, Ibn Abd al-Barr, Ibn Mandah, Ibn al-
Athir dan Abu Musa al-Madini menegaskan semata-mata bertemu Rasulullah s.a.w. sudah memadai dalam
menentukan seseorang itu sebagai sahabat. (Dirasat fi al-Jarh wa al-Ta`dil, hal 171)
 

Kedudukan sahabat yang utama


 
Rasulullah s.a.w. menerangkan di dalam hadis-hadis tentang keutamaan sahabat-sahabat baginda.

،‫ ثم الذين يلونهم‬،‫ (خير الناس قرني‬:‫ عن النبي صلى هللا عليه وسلم قال‬،‫عن عبد هللا رضي هللا عنه‬
.R‫ثم الذين يلونهم‬
 
Daripada Abdullah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sebaik-baik manusia ialah kurunku, kemudian yang
mengikuti mereka dan kemudian yang mengikuti mereka.
 
‫ فلو أن‬،‫ ال تسبوا أصحابي‬:‫ قال النبي صلى هللا عليه وسلم‬:‫عن أبي سعيد الخدري رضي هللا عنه قال‬
.‫ ما بلغ مد أحدهم وال نصيفه‬،‫أحدكم أنفق مثل أحد ذهبا‬
 
Daripada Abu Sa`id al-Khudri bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Janganlah anda memaki sahabat-
sahabatku, jika seseorang dari kalangan kamu membelanjakan emas sebesar bukit Uhud pasti tidak akan
menyamai sebanyak satu cupak mereka malah separuh cupak mereka.
 

Tingkatan generasi sahabat


 
Pengelasan generasi sahabat yang paling diakui ialah yang dibuat oleh al-Hakim. Beliau telah mengelaskan
generasi sahabat kepada 12 tingkatan.
 
1) Sahabat yang awal memeluk Islam di Mekah seperti Khulafa Rasyidin.
2) Sahabat yang memeluk Islam sebelum berlaku pemesyuaratan penduduk-penduduk Mekah di
Dar al-Nadwah.
3) Sahabat yang berhijrah ke Habsyah.
4) Sahabat yang terlibat dengan perjanjian Aqabah yang pertama.
5) Sahabat yang terlibat dengan perjanjian Aqabah yang kedua dan kebanyakan mereka adalah
golongan Ansar.
6) Muhajirin awal yang menemui Rasulullah s.a.w. di Quba sebelum baginda tiba di Madinah.
7) Ahli Badar.
8) Sahabat yang berhijrah selepas peperangan Badar dan sebelum perjanjian Hudaibiyah.
9) Sahabat yang terlibat dengan baiah Ridwan di Hudaibiyah.
10) Sahabat yang berhijrah antara peristiwa Hudaibiyah dan sebelum pembukaan Mekah.
11) Sahabat yang memeluk Islam ketika pembukaan Mekah.
12) Kanak-kanak yang sempat melihat Rasulullah s.a.w.i pembukaan Mekah, Haji Wida` dan lain-
lain.
 
Ahli Sunnah juga sepakat mengatakan para sahabat kesemuanya adalah adil berdasarkan kepada ta`dil
Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. sendiri. Satu penilaian yang tidak dapat ditandingi dan dipertikaikan oleh
sesiapapun.
 

Kepentingan mengenali sahabat


 
Menjadi kewajipan kepada pelajar-pelajar hadis untuk membezakan antara sahabat dan tabi`in kerana ia
mengelakkannya dari tersilap dalam menentukan kedudukan hadis. Pelajar yang dapat mengenali sahabat
tidak akan melakukan kesilapan dalam menentukan hadis mawsul dan hadis mursal. Dalam hal ini, al-
Hakim menyebutkan: Sesiapa yang memahami dengan mendalam tentang sahabat adalah seorang hafiz
yang sempurna hafalan kerana saya pernah melihat sekumpulan dari kalangan guru-guru kita meriwayatkan
hadis mursal daripada tabi`i daripada Rasulullah s.a.w. dengan menyangkanya seorang sahabat.
Adakalanya mereka meriwayatkan hadis musnad (hadis yang bersambung sanadnya) daripada sahabat yang
disangkakan sebagai seorang tabi`i. (`Ulum al-Hadith, Asiluha wa Mu`asiruha, 99)
 

Bagaimana sahabat dapat ditentukan


 
Seseorang perawi itu dapat ditentukan sebagai sahabat dengan melihat kepada salah satu tanda-tanda
berikut.
 
1) Dengan riwayat yang mencapai taraf tawatur iaitu ramai yang mengakui tentang seseorang
adalah sahabat dan menukilkannya generasi demi generasi sehingga mustahil mereka berpakat
untuk berdusta. Contohnya seperti persahabatan Khulafa al-Rasyidin dan sahabat-sahabat yang
telah dijanjikan syurga. Ini seperti pernyataan al-Qur’an tentang persahabatan Abu Bakar di dalam
surah al-Tawbah: 40. Ahli tafsir sepakat mengatakan yang dimaksudkan dengan sahib itu ialah
Abu Bakar.
 
2) Dengan riwayat yang mencapai taraf masyhur iaitu persaksian yang rendah sedikit daripada
tawatur iaitu nama sahabat itu disebutkan di dalam hadis yang mashur seperti Dhimam bin
Tha`labah, `Ukasyah bin Mihsan, Salmah bin al-Akwa` dan lain-lain.
 
3) Apabila seorang sahabat menyatakan bahawa seseorang itu adalah sahabat seperti Hamamah
bin Abi Hamamah al-Dusi yang meninggal dunia kerana sakit perut di Isfahan pada zaman Umar
bin al-Khattab. Abu Musa al-`Asy`ari tampil memberi saksi bahawa beliau pernah mendengar
daripada RAsulullah s.a.w.
 
4) Pengakuan sahabat sendiri bahawa dia adalah sahabat. Bagaimanapun disyaratkan orang yang
mendakwa sebagai sahabat itu mestilah seorang yang terkenal dengan dengan keadilan dan
dakwaannya itu mestilah berlaku sebelum berlalu seratus tahun dari kewafatan Rasulullah s.a.w.
Jika dakwaan dibuat selepas seratus tahun kewafatan baginda, dakwaan itu tidak diterima seperti
yang didakwa oleh Abi Dunya al-Asyajj, Maklabah bin Malkan dan Waratan al-Hindi. Ulama
hadis sepakat mengatakan mereka berbohong.
5) Pernyataan sebahagian tabi`in yang thiqah bahawa perawi itu adalah sahabat. Ini berdasarkan
kepada pendapat yang menerima tazkiyah (persaksian baik) dari seorang individu dan inilah
pendapat yang rajih. (lihat Tadrib al-Rawi, 424, `Ulum al-Hadith, Asiluha wa Mu`asiruha, 100-
101)
 

Keadilan sahabat
 
Menjadi ijmak di kalangan ulama bahawa kesemua sahabat adalah adil. Keadilan bermaksud perawi adalah
seorang muslim, baligh, waras, bersih daripada sebab-sebab kefasiqan dan perkara-perkara yang
menjejaskan harga diri. Definisi ini menunjukkan adil itu lawan kepada fasiq. Iaitu jika seseorang itu fasiq
maka keadilannya tidak ada lagi. Keadilan sahabat membawa makna mereka tetap lurus dalam berpegang
dengan agama, menjunjung perintah Allah, menjauhi laranganNya dan tidak sengaja berdusta atas nama
Rasulullah s.a.w. Keadilan sahabat tidaklah bermaksud mereka itu terpelihara daripada melakukan maksiat,
lupa dan tersilap. Dr Mahmud Tahhan menjelaskan keadilan sahabat itu bermaksud menjauhkan diri dari
sengaja berdusta dan menyeleweng dalam periwayatan dengan melakukan dosa yang menyebabkan
periwayatan mereka tidak diterima. Kesan dan natijah keadilan mereka ialah semua riwayat mereka
diterima tanpa perlu bersusah payah mengkaji tentang keadilan mereka. Berkenaan sahabat yang terlibat
dalam fitnah pertelingkahan sesama mereka, itu dikira sebagai ijtihad yang mendapat ganjaran pahala
sebagai baik sangka kepada mereka. Merekalah yang memikul amanah syariat dan mereka sebaik-baik
kurun. (lihat Taysir Mustalah al-Hadith, hal. 199)
 

Sahabat yang paling utama


 
Secara mutlak, sahabat yang paling utama ialah Abu Bakar dan kemudian Umar. Kenyataan ini
berdasarkan kepada ijmak Ahli Sunnah wal Jamaah. Dinukilkan juga dari Imam al-Syafie tentang ijmak
para sahabat dan Tabi`in. Bagaimanapun Syiah tidak bersetuju dalam hal ini kerana mereka berpendapat
Ali adalah sahabat yang paling mulia dan menjadi aqidah mereka semua sahabat telah murtad selepas
kewafatan Rasulullah s.a.w. kecuali beberapa orang sahaja. Oleh itu tiada yang lain yang tinggal melainkan
Ali dengan itu mereka mengatakan Ali yang lebih mulia.
 
Sahabat yang paling akhir meninggal dunia ialah Abu Tufail `Amir bin Wathilah al-Laythi. Beliau
meninggal dunia di Mekah pada tahun 100H. tetapi ada pendapat mengatakan lebih dari itu. Sementara
yang paling akhir meninggal dunia sebelum beliau ialah Anas bin Malik yang meninggal dunia pada tahun
93H di Basrah.
 

Metode sahabat dalam periwayatan hadis


 
Kesungguhan sahabat dalam meriwayatkan hadis ini dapat disaksikan denagn melihat kepada ketekunan
mereka dalam mendengar hadis daripada Rasulullah s.a.w. Mereka benar-benar menginsafi bahawa ajaran-
ajaran Rasulullah s.a.w. juga merupakan panduan hidup seperti al-Qur’an. Kita dapati mereka sentiasa
mengintai peluang untuk sama-sama menyertai majlis-majlis baginda. Dalam masa yang sama al-Qur’an
memberi ancaman yang keras kepada sesiapa yang berpaling dari Rasulullah s.a.w. sahabat seperti Abu
Hurairah dan ahli suffah sentiasa mendampingi baginda sehingga makan dan minum mereka bersama
baginda. Imam al-Bukhari menukilkan dalam Sahihnya:
 

‫ار َكانَ يَ ْش َغلُهُ ْم ْال َع َم ُل‬


ِ ‫ص‬ َ ‫اق َوإِ َّن إِ ْخ َوانَنَا ِم ْن اأْل َ ْن‬Rِ ‫ق بِاأْل َ ْس َو‬
ُ ‫ص ْف‬ ِ َ‫ ِم ْن ْال ُمه‬R‫إِ َّن إِ ْخ َوانَنَا‬
َّ ‫اج ِرينَ َكانَ يَ ْش َغلُهُ ْم ال‬
‫ض ُر َما اَل‬ ْ َ‫صلَّى هَّللا ُ َعلَ ْي ِه َو َسلَّ َم بِ ِشبَع ب‬
ُ ْ‫طنِ ِه َويَح‬ َ ِ ‫فِي أَ ْم َوالِ ِه ْم َوإِ َّن أَبَا هُ َر ْي َرةَ َكانَ يَ ْلزَ ُم َرسُو َل هَّللا‬
ِ
َ‫ضرُونَ َويَحْ فَظُ َما اَل يَحْ فَظُون‬
ُ ْ‫يَح‬

 
Abu Hurairah menceritakan bahawa saudara-saudara kami dari kalangan Muhajirin sibuk dengan jual
beli di pasar sementara saudara-saudara Ansar pula sibuk bekerja mengusahakan harta mereka.
Sesungguhnya Abu Hurairah sentiasa mendampingi Rasulullah s.a.w. dengan sepenuh perutnya, dia
menyertai majlis yang tidak disertai mereka dan menghafal apa yang tidak dihafal oleh mereka. (Sahih al-
Bukhari, Kitab al-`Ilm: Bab Hifz al-`Ilm, no: 117)
 
Para sahabat juga sentiasa memastikan hadis Rasulullah s.a.w. dengan bertanya siapa dari kalangan mereka
menyertai majlis baginda. Jabir bin Samurah berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Dua
belas orang tonggak dari Quraish tidak akan digugat oleh permusuhan orang yang memusuhi mereka. Kata
Jabir kemudian saya berpaling tiba-tiba saya dapati Umar al-Khattab dan bapa saya lalu mereka mengakui
hadis itu sebagaimana yang saya dengar. (al-Muhadith al-Fasil, 494)
 
Setelah mereka mendengar dan memastikan hadis, mereka akan menghafalnya dan menyampaikan kepada
sahabat-sahabat yang lain. Hal ini diberi penekanan yang tegas oleh Rasulullah s.a.w. bersabda:
 

‫ سيبلغون الحديث عني فمن عقل شيئا فليحدث به ومن قال علي‬R‫عليكم بالقرآن وسترجعون إلى أقوام‬
.‫ما لم أقل فليتبوأ بيتا أو مقعده من جهنم‬
 
Hendaklah kamu berpegang dengan al-Qur’an, nanti kamu akan kembali kepada kaum-kaum yang akan
menyampaikan hadis daripadaku, oleh itu sesiapa yang memahami sesuatu hendaklah dia
menyampaikannya, sesiapa yang dusta di atas aku maka hendaklah dia menyediakan rumah atau tempat
tinggalnya di dalam neraka jahannam. ( riwayat al-Tabarani dalam al-Mu`jam al-Kabir)
 
Oleh kerana itu kita dapati mereka sangat sedikit meriwayatkan hadis dan merasa sangat berat kerana
walaupun telah menghafalnya kerana takut tersilap yang boleh membawa kepada berdusta sedangkan ada
hadis menyatakan:
 
."‫ "كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع‬R:‫ قال رسول هللا صلى هللا عليه وسلم‬:‫عن أبي هريرة؛ قال‬
 
Cukup bagi seseorang itu sebagai pendusta dengan menceritakan apa sahaja yang dia dengar. (Riwayat
Muslim)
 
Demi untuk menjaga hadis dan menyampaikan dengan sebaik-baiknya mereka sentiasa bermuzakarah dan
berbincang sesama mereka dan perkara ini diberi penekanan yang penting. Sayyidina Ali berkata:
Hendaklah anda saling menziarahi dan banyak menyebutkan hadis, sesungguhnya jika anda tidak berbuat
demikian ia akan hilang. Abdullah bin Mas`ud berkata: Bermuzakarahlah (berbincang) tentang hadis,
kerana hadis itu hidup dengan muzakarah. Abu Said al-Khudri berkata: Hendaklah anda bermuzakarah
tentang hadis kerana hadis itu sebahagiannya akan membangkitkan sebahagian yang lain. (Ma`rifah `Ulum
al-Hadith, 140-141)
 
Para sahabat sangat berhati-hati dalam meriwayatkan hadis. Mereka hanya mengambil daripada orang yang
teliti dan kuat ingatan. Ini disebabkan kesilapan yang sering dilakukan oleh perawi yang tidak kemas. Ibn
`Adi menyebutkan di dalam muqaddimah kitabnya al-Kamil beberapa orang sahabat yang memperkatakan
kedudukan para perawi antara mereka ialah `Umar, `Ali, Ibn Abbas, Abdullah bin Salam, Ubadah bin al-
Samit, `Aishah dan Anas. Mereka semua mendustakan setiap orang yang tidak benar dalam ucapannya.
Justeru itu para sahabat sangat ketat dan bersikap keras terhadap orang yang meriwayatkan hadis kepada
mereka. Al-Bara’ bin `Azib menceritakan tentang sikap mereka: "Bukan semua hadis kami dengar daripada
Rasulullah s.a.w. Sahabat-sahabat kamilah yang menceritakan kepada kami kerana kami sibuk menjaga
unta. Para sahabat Rasulullah s.a.w. akan mendapatkan hadis yang tidak sempat mereka didengari dari
Rasulullah s.a.w. melalui teman-teman mereka, dan orang yang paling kuat menghafal dari kalangan
mereka. Dan para sahabat amat keras dan ketat terhadap orang yang mereka dengari."
 
Al-Hakim menyebutkan jika Ali terlepas dari mendengar hadis daripada Rasulullah s.a.w., beliau meminta
perawi yang menyampaikan hadis kepadanya supaya bersumpah. (Ma`rifah `Ulum al-Hadith hal 15). Ini
bukanlah bermaksud sahaabt-sahabat menuduh orang lain berdusta bahkan ini adalah ketelitian mereka dan
penyiasatan mereka terhadap para perawi. Mereka amat bimbang jika berlaku kesilapan ketika hadis-hadis
dinukilkan.
 
Ada juga di kalangan sahabat yang mencatat dan menulis hadis-hadis.
 
Sesetengah pihak mendakwa hadis tidak pernah ditulis pada awal sejarah Islam tetapi ditulis kemudiannya
selepas beberapa abad. Dakwaan ini tidak benar kerana ada beberapa orang sahabat telah menulis dan
mencatat hadis-hadis pada zaman Rasulullah s.a.w. lagi. Abu Hurairah berkata:
 
،‫ إال ما كان من عبد هللا بن عمرو‬،‫ما من أصحاب النبي صلى هللا عليه وسلم أحد أكثر حديثا عنه مني‬
‫فإنه كان يكتب وال أكتب‬
 
Tidak ada sahabat Rasulullah s.a.w. yang lebih banyak meriwayatkan hadis dari saya kecuali Abdullah bin
`Amr, kerana beliau mencatat (hadis-hadis) tetapi saya tidak.
 
‫ كنت أكتب كل شىء أسمعه من رسول هّللا صلى هّللا عليه وسلم أريد‬:‫عن عبد هّللا بن عمرو قال‬
‫ أتكتب كل شىء تسمعه ورسول هّللا صلى هّللا عليه وسلم بَ َش ٌر يتكلم في‬:‫ قريش وقالوا‬R‫ فنهتني‬،‫حفظه‬
‫ فأومأ باصبعه‬،‫ فذكرت ذلك لرسول هّللا صلى هّللا عليه وسلم‬،‫ فأمسكت عن الكتاب‬R،‫الغضب والرضا‬
."‫ق‬ٌّ ‫ نفسي بيده ما يخرج منه إال ح‬R‫ "اكتب فوالذي‬:‫إلى فيه فقال‬
 
Daripada Abdullah bin `Amr, katanya: Saya sering mencatat setiap yang saya dengar daripada Rasulullah
s.a.w. Tiba-tiba kaum Quraish melarangku dan berkata: Adakah kamu menulis setiap yang kamu dengari
sedangkan Rasulullah s.a.w itu manusia, bercakap dalam keadaan marah dan senang? Lalu saya pun
berhenti dari menulis. Saya menyebutkan hal ini kepada baginda lalu baginda mengisyaratkan dengan
jarinya ke mulutnya dan bersabda: "Tuliskanlah! Demi diriku yang berada di TanganNya, tidak keluar
darinya kecuali kebenaran".
 
Berikut ini beberapa sahifah atau catatan yang diusahakan oleh para sahabat:
 
al-Sahifah al-Sadiqah iaitu catatan hadis yang diusahakan oleh `Abdullah bin `Amr bin al-`As. Beliau
pernah menceritakan tentang hal dirinya: Saya telah menghafaz daripada Rasulullah s.a.w. seribu mithal".
Beliau amat berbangga dengan catatannya itu. Al-Darimi menyebutkan dalam sunannya bahawa Abdullah
bin `Amar berkata: Tidak ada yang menyenangkan diriku di dunia ini melainkan al-Sadiqah dan al-Wahat.
Al-Wahat ialah tanah yang diwakafkan oleh bapanya di Taif dan beliau menjaganya. ( Sunan al-Darimi,
jil.1 hal. 127).  Sahifah ini kemudiannya diwariskan oleh cucu beliau iaitu `Amar bin Syu`aib. Imam
Ahmad di dalam al-Musnad pada musnad `Abdullah bin `Amr telah mengeluarkan sebahagian besar hadis
dari sahifah ini, melalui hadis `Amar bin Syu`aib daripada ayahnya daripada datuknya.
 
Sahifah `Ali bin Abi Talib, catatan yang ringkas merangkumi masalah aql iaitu kadar diyat dan hukum-
hukum membebaskan tawanan. Al-Bukhari menyebutkan di dalam sahihnya daripada Abu Juhaifah
berkata: Saya bertanya kepada Ali: Adakah di sisi kamu ada kitab? Beliau menjawab: Tidak ada melainkan
kitab Allah atau pemahaman yang diberikan kepada lelaki muslim atau apa-apa yang ada dalam sahifah ini.
Saya bertanya lagi: Apa yang ada dalam sahifah ini? Beliau menjawab: Aql, pembebasan tawanan dan
tidak boleh orang Islam dibunuh kerana orang kafir. (Sahih al-Bukhari, no: 111, hal. 47)
 
Sahifah Sa`d bin `Ubadah, al-Tirmizi menyebutkan di dalam sunannya daripada Ibn Sa`d bin `Ubadah
bahawa kami telah mendapati di dalam kitab Sa`d bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w. memutuskan
hukum berdasarkan sumpah dan saksi. (Sunan al-Tirmizi, no: 1358)
 
Sahabat-sahabat seperti `Umar dan anaknya `Abdullah menggesa orang-orang supaya mencatat ilmu dan
tentunya ilmu yang paling mulia ilmu hadis. ( Sunan al-Darimi, jil.1 hal. 127)
 
Bagi menjamin kualiti hafalan, para sahabat meminimunkan periwayatan hadis daripada Rasulullah. Jika
diriwayat dengan terlalu banyak akan berlaku kesilapan dalam menerima atau menyampaikan hadis.
 

Para sahabat bertaburan di pelosok negara untuk menyampaikan hadis


 
Di kalangan sahabat ada yang menetap di Kufah seperti `Ali dan Ibn Mas`ud, di Madinah seperti `Umar,
Ibn `Umar dan Zaid bin Thabit, di Basrah Abu Musa al-`Asy`ari, di Syam Mu`az bin Jabal dan Mu`awiyah
bin Abu Sufyan, di Mekah Ibn `Abbas dan di Mesir `Abdullah bin `Amar bin al-`As. Dari Bandar-bandar,
inilah tersebar hadis-hadis Rasulullah s.a.w. (Ibn al-Qayyim, I`lam al-Muwaqqi`in, jld. 1 hal. 61)

Sumber: http://www.darulkautsar.net/article.php?ArticleID=37

You might also like