You are on page 1of 2

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, yang saya hormati para panel hakim, para

pencadang sekalian, dan para hadirin yang saya muliakan. Assalamualaikum dan selamat
sejahtera.

Pada hari ini, kita akan memahami tajuk perbahasan kali ini iaitu ‘Penggunaan Internet
Lebih Banyak Memberi Kebaikan daripada Keburukan’. Saya sebagai pembangkang
amat tidak bersetuju dengan penyataan tajuk tersebut. Bagi saya ia lebih membawa
keburukan daripada kebaikan.

Para hadirin sekalian,

Sebelum saya meneruskan hujah saya, izinkan saya menerangkan apakah yang kita faham
dengan Internet. Internet boleh kita fahami sebagai satu sistem maklumat global melalui
telekomunikasi yang semakin canggih kini. Segala bentuk maklumat dapat kita perolehi
daripada penggunaan Internet ini. Tetapi ternyata ia membawa lebih keburukan daripada
kebaikan.

Yang pertama sekali ialah ia menyemai sikap buruk individu. Maklumat tanpa sekatan di
dalam Internet ini memberi peluang kepada pelajar Internet dan sesiapa sahaja untuk
mengetahui apa yang berlaku dan terkandung di dalam Internet. Lebih malang lagi
apabila bahan yang diperolehi mampu merosakkan akhlak. Contohnya, melalui Internet
ini, orang ramai suka mengetahui sesuatu yang dilarang seperti melayari laman web
tentang seks dan cara hidup orang asing yang tidak sesuai dengan budaya kita. Malah
mereka cuba meniru aksi dan tingkah laku tidak baik sebegini. Hal ini memberi kesan
yang tidak baik dan boleh merosakkan cara hidup kita yang bersopan-santun dan
bertatasusila.

Hujah saya yang kedua ialah bagi kanak-kanak sekolah, Internet membolehkan mereka
bermain permainan yang terkini. Selain membuang masa, mereka juga membazirkan
wang. Mereka lupa pada pelajaran akibat terlalu leka dengan permainan yang menjadi
minat mereka. Masa mereka banyak dihabiskan di depan komputer dan hal ini boleh
menyebabkan hubungan mereka dengan ibu bapa dan keluarga menjadi renggang. Hal ini
bukan sahaja berlaku pada kanak-kanak sekolah tetapi bagi pelajar-pelajar pusat
pengajian tinggi. Keseronokan dan tumpuan pada aktiviti Internet Relay Chatting (IRC)
yang berlebihan menyebabkan mereka leka pada Internet dan tidak memberikan tumpuan
yang sebaiknya pada pelajaran. Ada antara mereka berbual kosong atau sekadar
memulakan perkenalan yang akhirnya tidak mendatangkan faedah tetapi menyebabkan
mereka menanggung bil penggunaan Internet yang tinggi.

Hujah saya yang ketiga, ialah hubungan sosial di dalam masyarakat yang semakin rapuh
akibat terlalu memberi tumpuan kepada penggunaan Internet. Pada mereka yang dapat
melayari Internet di rumah, mereka akan jarang keluar bergaul dengan orang lain dan
masyarakat kerana terlalu asyik melayari Internet sehingga kegiatan masyarakat pun tidak
diambil perhatian. Malah, di pusat-pusat Internet, kegiatan tidak baik boleh wujud akibat
penggunaan Internet. Contohnya, kewujudan kegiatan perjudian melalui Internet. Hal ini
tidak dinafikan apabila terdapat aktiviti penjudian yang meliputi banyak tempat dan
kemungkinan juga berlaku pengaduhan apabila aktiviti berjudi dan bertaruh dijalankan.

Keadaan kesihatan juga kurang diambil perhatian. Selalunya pengguna Internet


meluangkan masa yang lama untuk melayari Internet. Adakalanya sampai lewat malam
dan tidak kurang pula hingga awal pagi. Hal ini menyebabkan mereka kurang tidur dan
rehat. Akibatnya, kesihatan mereka tidak terjejas malah penggunaan Internet yang
berterusan tanpa rehat juga boleh menyebabkan mata menjadi letih dan memberi kesan
sampingan.

Antara keburukan lain akibat penggunaan Internet ialah kemungkinan berlaku


penyebaran maklumat-maklumat palsu tentang sesebuah negara yang dilakukan oleh
pihak tertentu dengan tujuan untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan. Keselamatan sebuah
negara boleh menjadi porak-peranda apabila ada antara masyarakat dunia yang mungkin
mempercayai maklumat-maklumat palsu yang mereka perolehi melalui Internet dan yang
paling ditakuti sekali ialah penyalahgunaan Internet untuk mengelirukan orang ramai di
dalam bidang agama. Terdapat berbagai-bagai maklumat tentang agama yang dapat kita
perolehi melalui Internet. Ada yang diiktiraf oleh kerajaan dan pihak berkuasa agama dan
tidak kurang pula didatangi oleh individu atau kumpulan yang menyebarkan maklumat
palsu tentang agama kepada orang lain.

Akhirnya sebelum saya mengundur diri, saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa
Internet lebih banyak membawa keburukan kepada orang ramai. Penggunaannya perlu
dipantau sentiasa. Bak kata pepatah ‘Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan
buruk padahnya’.

Sekian sahaja, terima kasih.

You might also like