You are on page 1of 12

Kajian Kes Mengenai Kemunduran Dan Masalah Lembam Di Kalangan Murid

Tahun 3 Arif

1. Pengenalan

Bagi menjalankan tugas yang diberi saya telah memilih 2 orang murid sebagai sampel
yang akan saya kupas pada kajian kes kali ini. Saya mengenali murid ini semasa
memasuki semasa kali pertama saya memasuki kelas 3 Arif. Di mana pada ketika itu
saya ditugaskan untuk mengajar kelas 3 Arif bagi subjek Pendidikan Islam. Semasa
sesi suai kenal diantara murid dan guru dijalankan dua orang murid ini tidak banyak
bercakap. Kemudian bila kertas kerja diberi, dua orang murid ini mengalami masalah
dalam memahami arahan yang diberi oleh guru. Selain itu, mereka berdua juga juga
gagal menulis nama penuh mereka dengan betul dan cantik. Mereka berdua
merupakan murid pemulihan dan murid yang lemah dari tahun tiga.

Bagi mengetahui kemahiran dua orang murid ini, satu ujian telah dijalankan bagi
mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh mereka berdua. Ujian diagnostik yang
dijalankan menunjukkan beberapa kelemahan yang dihadapi oleh mereka berdua. Di
antara kelemahan yang paling ketara adalah dari segi tulisan. Mereka berdua
menghadapi masalah dalam menulis perkataan-perkataan dan mengambil masa yang
lama untuk menulis dan tulisan mereka berdua juga terlalu buruk dan amat tidak
berpadanan dengan usia mereka.

Selain itu, masalah lain yang dihadapi dua orang murid ini ialah dari segi
mengenali huruf-huruf. Mereka berdua mengambil masa yang lama untuk mengenal
huruf yang ditunjukkan oleh guru. Di mana Ujian Diagnostik Lisan telah dijalankan, dua
orang murid ini menghadapi masalah dalam mengenal setiap huruf yang di tunjukkan
oleh guru. Terdapat banyak huruf seperti “ba”, “ta”, “jim”, “ha”, “cha”, “kho”, “dal”, “dzal”,
“ro”, “zai”, “sin”, “syin”, “sod”, “dhod”, “tho”, “zho”, “ain”, “ghain”, “fa”, “pa”, “qaf”, “wau”,
“va”, “sa” dan “nya”, yang tidak dapat dibezakan oleh mereka. Murid-murid ini
menghadapi masalah dalam mengingat setiap perkataan yang di pamerkan secara
rawak. Keyakinan diri dua orang murid ini juga agak rendah. Setiap kali guru
memberikan latihan yang melibatkan murid ke hadapan, mereka berdua ini selalu akan
mengambil masa yang agak lama untuk menyelesaikan soalan serta tidak yakin dengan
jawapan yang diberi. Pada pemikiran mereka, setiap jawapan yang diberi adalah salah.

Disebabkan dua orang murid ini menghadapi masalah dalam mengenal huruf
serta dalam mengeja, mereka berdua juga banyak menghadapi masalah dalam
mengikuti pembelajaran di dalam kelas lain. Mengikut temubual saya bersama guru
mata pelajaran lain, dua orang murid ini menghadapi banyak masalah dan sering
tertinggal di dalam pembelajaran. Guru-guru lain terpaksa memberi perhatian yang
lebih kepada mereka berdua agar tidak ketinggalan di dalam pembelajaran.

2. Analisis Masalah

Nadila dan Zakiah merupakan murid tahun 3 Arif. Telah memasuki kelas pemulihan
khas sejak dari tahun 2 lagi. Jika dilihat dari segi fizikal dua orang murid ini, perwatakan
mereka sama sama seperti murid-murid yang lain. Cuma yang membezakannya adalah
dari segi pelajaran dan tingkah laku mereka yang agak aktif. Aktif dimaksudkan disini
adalah dua orang murid ini sering menganggu murid-murid lain dan tidak melakukan
kerja yang diberi semasa di dalam kelas. Jadi guru-guru yang mengajar mereka akan
memberi perhatian kepada dua orang murid ini agar mereka tidak menganggu murid
lain sepanjang proses P&P.

Mereka ini diketegorikan sebagai murid yang lemah dalam mengenal huruf,
membatang suku kata dan mengeja perkataan atau juga dikenali dengan murid yang
lembam. Ini berdasarkan teori yang dikeluarkan oleh Burt (1950) yang menyifatkan
murid lembam sebagai murid yang pada pertengahan alam persekolahannya tidak
berkebolehan untuk mengikuti pelajaran dalam kelas satu peringkat lebih rendah
daripada kelas yang sesuai dengan umurnya.
Mengikut Kirk (1972), kemunduran pada umumnya merupakan label yang
diberikan kepada kes murid yang pencapaian akademiknya jauh lebih rendah daripada
kebolehan semula jadinya. Jelas kita lihat mereka berdua ketinggalan dari segi
akademik berbanding rakan sebaya mereka yang lain. Menurut kajian ahli-ahli psikologi
Galton (1865), Giddard (1890), Newman (1937) dan Shieldo (1962) telah membuktikan
bahawa setiap individu mempunyai kecerdasan dan kebolehan intelek yang berbeza
dengan rakan sebayanya.

Berdasarkan pemerhatian saya, bila dua orang murid ini memasuki kelas saya
mereka berdua menjadi pendiam dan kurang berkomunikasi dan mengambil bahagian
di dalam aktiviti yang dijalankan. Mereka berdua menjadi pendiam bila diajukan soalan
kerana mereka tidak mempunyai keyakinan diri untuk menjawab soalan yang diberikan.
Menurut Dr Koh Boh Boon (1980), keyakinan diri yang rendah menyebabkan murid
kurang aktif dan kurang minat untuk menyertai kegiatan pelajaran dalam bilik darjah.

Sebagai guru Pendidikan Islam yang mengajar murid ini, saya merasakan dua
orang murid ini boleh mengenal huruf dan membaca suku kata serta perkataan jika
mereka berdua diberikan perhatian yang sepenuhnya dan sesi P&P yang menarik minat
mereka. Dari pemerhatian yang saya lihat bila mereka berdua di dalam kelas arus
perdana mereka berdua menjadi pasif dan lebih banyak mendiamkan diri. Ini
disebabkan aktiviti P&P yang dijalankan oleh guru tersebut lebih menumpukan dan
khusus kepada murid yang agak bijak dan boleh memahami dengan cepat isi pelajaran.
Selain itu, tiada aktiviti yang boleh menarik minat murid-murid yang lemah ini untuk
belajar sama. Oleh kerana itu, mereka berdua ketinggalan dalam pelajaran.

Bila mereka berdua berada di dalam kelas pemulihan, keadaannya amat


berbeza. Mereka ini lebih bergerak aktif kerana mereka boleh menjawab soalan yang
diberi dengan lebih aktif berbanding di dalam kelas arus perdana. Ini kerana aktiviti
pembelajaran di dalam kelas pemulihan amat berbeza berbanding di dalam kelas arus
perdana. Dengan pengajaran secara berkumpulan, setiap pembelajaran di bahagikan
kepada tiga bahagian iaitu pengajaran, permainan dan pengukuhan. Oleh itu, tumpuan
boleh banyak di berikan kepada setiap murid di dalam kelas dan murid tidak malu dan
tidak pasif untuk menjawab soalan yang diberikan oleh guru.

3. Faktor Yang Menyebabkan Kemunduran dan Masalah Lembam

Jika dilihat kepada keadaan mereka berdua ini, bimbingan untuk membaca hanya
diberikan semasa berada di sekolah sahaja. Tiada bimbingan diberikan kepada mereka
berdua semasa di rumah. Kemungkinan kesibukan ibu bapa dan tidak mengambil tahu
perihal anak-anak menyebabkan mereka berdua tidak berminat langsung untuk belajar
di rumah. Guru hanya dapat membimbing mereka berdua semasa berada di sekolah.
Ibu bapa atau keluarga mereka berdua haruslah memainkan peranan mereka
sepanjang berada di sekolah.

Taraf kehidupan keluarga juga memberikan kesan yang mendalam kepada diri
dua orang murid ini. Taraf kehidupan biasanya rendah dan tidak terdapat cukup
makanan yang berkhasiat yang tidak bagus untuk perkembangan minda. Rumah yang
sesak mengakibatkan satu lagi kekurangan atau penderitaan yang serius. Terdapat
kurangnya perhubungan antara ibu bapa dan anak-anak yang menyebabkan ibu bapa
kurang memberikan galakan dan rangsangan serta kasih sayang kepada anak-anak
mereka. Keadaan ini juga akan menimbulkan lagi masalah, misalnya masalah
gangguan masa tidur, rehat dan keletihan yang akan memberi kesan kepada kesihatan
tubuh badan seterusnya pencapaian akademik mereka. Jelas di sini keperluan asas
manusia dari yang rendah sehinggalah keperluan peringkat tertinggi seperti yang
terdapat dalam Keperluan Herarki Maslow akan memberikan kesan terhadap
perkembangan individu jika tidak sempurna atau gagal dipenuhi. Ini juga berlaku ke
atas Nadila dan Zakiah di mana ibu dan bapanya sibuk bekerja bagi meningkatkan taraf
hidup mereka.
Kemunduran umum pada dasarnya adalah akibat kelemahan intelek atau
lembam (otak lembap), walau bagaimanapun ia tidak semestinya benar kerana ramai
juga murid yang mundur tetapi tidak lembam. Kemunduran mereka mungkin bukan
disebabkan kerencatan intelek tatapi keadaan persekitarannya atau faktor-faktor
ekstrinsik seperti kaedah mengajar yang tidak berkesan, sikap mental dan emosi yang
tidak sesuai terhadap guru dan pelajaran, penyakit dan keadaaan fizikal yang lemah.

Walaupun kemunduran pada asasnya menunjukkan satu keadaan intelektual


tetapi pada hakikatnya ia menunjukkan satu ciri atau sifat psikologi yang timbul dari
personaliti hasil gabungan sifat yang diwarisi dan pengaruh persekitaran dalam proses
perkembangan yang akhirnya mempengaruhi personaliti individu. Daripada kes Nadila
dan Zakiah ini, faktor persekitarannya mungkin antara penyebab kepada terjadinya
mereka berdua lambat untuk menerima isi pelajaran yang diajar. Faktor persekitaran
seperti ibu bapa dan keluarga mereka yang kurang mengambil berat mengenai
pelajaran mereka berdua menjadikan mereka berdua sering ketinggalan dalam
pelajaran.

Murid-murid yang mundur biasanya tidak memperolehi perkembangan mental


sebagaimana sepatutnya disebabkan persekitaran yang tidak mengalakkan mereka
melalui proses-proses pekembangan pemikiran. Menurut Piaget perkembangan kognitif
kanak-kanak akan melalui satu siri urutan yang berperingkat-peringkat iaitu peringkat
deria motor (0-2 tahun), peringkat praoperasi (2-7 tahun), peringkat operasi konkrit (7-
11 tahun) dan peringkat operasi formal (11 tahun ke atas).

Ibu bapa murid mundur juga seringkali jarang memberi peluang anak mereka
membuat keputusan dan tidak mendedahkan mereka dengan situasi yang membantu
perkembangan pemikiran. Jika murid-murid ini tidak dapat berfikir dan mentafsir
sesuatu mengikut peringkat umur yang sepatutnya mereka bolehlah dikatakan murid
mundur. Schonnel (1949) berpendapat bahawa 65% hingga 80% murid-murid mundur
adalah lembap dan selebihnya mempunyai kesukaran dalam pelajaran kerana tidak
dapat menyesuaikan diri dari segi sosial dan emosi. Kelembapan ini tentulah
menghadkan murid ini memperolehi kandungan ilmu pengetahuan dan pencapaian
dalam pelajaran.

4. Kaedah Mengatasi Kemunduran dan Masalah Lembam

Setelah melihat kes kemunduran pelajar dari perspektif psikologi, termasuk setiap
aspek perkembangan fizikal, mental, emosi dan juga intelektual, sekali lagi persekitaran
murid-murid ini baik di sekolah ataupun di rumah harus diberi perhatian yang
secukupnya kerana terdapat interaksi antara perkembangan dan persekitarannya.
Walau apa jua kaedah yang hendak digunakan adalah untuk membantu murid-murid
ini dengan membuat penyesuaian yang cukup dengan permintaan situasinya, dengan
tidak melupakan batasan yang dikenakan oleh keadaan dan kebolehan semulajadinya.
Kaedah untuk mengatasi masalah kemunduran ini akan dijelaskan.

Seperti yang diberitahu, dua orang murid ini masih tidak mengenali sesetengah
huruf dan terpaksa dibantu oleh guru. Oleh itu pelbagai cara boleh digunakan dalam
mengajar supaya mereka tidak perlu untuk memikir kembali huruf-huruf tadi. Teknik
seperti kad imbasan merupakan satu teknik pembelajaran yang bagus. Ini kerana murid
mudah untuk memahami sesuatu perkara. Kad imbasan yang mempunyai gambar
adalah satu perkara yang mudah untuk murid mengingat. Dan teknik ini boleh
dipelbagaikan dengan menjadikan satu permainan yang lebih menarik minat murid.

Sebahagian daripada murid-murid yang lembab atau mundur ini, sebahagian


daripada mereka bukan lemah disebabkan oleh fizikal atau mental tetapi disebabkan
kurangnya dalam mengulangkaji pelajaran, tidak memberi tumpuan semasa sesi
pengajaran dan faktor-faktor persekitaran yang lain. Beberapa cara boleh digunakan
oleh guru dalam mengajar dan membantu anak murid yang lemah seperti Nadila dan
Zakiah dalam mengajarnya membaca dan mengingat huruf atau abjad.

Pelbagai kaedah asas yang boleh perkenalkan kepada murid ialah melalui
kaedah fonik yang memberi fokus kepada cara mempelajari perkataan yang belum
dikenali dengan bunyi bahasa. Contohnya seperti huruf ’mim’ disebut apabila memakan
sesuatu makanan yang sedap iaitu ’emm’. Apabila murid sudah menguasai kemahiran
mengenal huruf, kemudian guru akan memperkenalkan nama huruf dan bentuk huruf.
Bunyi-bunyi huruf dicantumkan sehingga terbentuknya perkataan yang sempurna.
Kaedah ini telah saya gunakan kepada Nadila dan Zakiah dan menampakkan
keberkesanannya. Cuma ada beberapa abjad yang murid ini menghadapi masalah
dalam mengingat dan menyebut.

Oleh kerana masalah membaca merupakan sebab utama yang menyebabkan


wujudnya masalah pembelajaran di kalangan murid, ibu bapa perlulah berusaha
menggalakkan si anak membaca dari kecil lagi. Kanak-kanak berbeza antara satu sama
lain dari segi kesedaran membaca. Ada yang lambat dan ada yang cepat. Ini ada kaitan
dengan interaksi baka dan pengaruh psikososial seperti galakan yang diterimanya,
peluang-peluang serta sumber-sumber bacaan yang terdapat di rumah serta motivasi si
anak itu sendiri untuk membaca. Minat membaca juga dipengaruhi oleh orang
sekelilingnya.

Beberapa kaedah telah difikirkan untuk membantu murid ini dalam mengatasi
masalah yang dihadapinya. Diantaranya ialah :-

4.1 Kaedah Pengajaran

Pengajaran yang menarik boleh menarik minat murid untuk memberikan tumpuan serta
sepenuh perhatian ketika sesi P&P berjalan. Di dalam kelas saya, saya mengamalkan
tiga cara dalam pengajaran iaitu :-

4.1.1 Kaedah Kumpulan

Kaedah ini bererti murid belajar dan membuat kerja dalam kumpulan. Kebiasaannya,
kumpulan ini diwujudkan berdasarkan kebolehan atau pun perbezaan minat.
Dalam kelas saya sememangnya mudah mengajar secara kumpulan berbanding
individu kerana murid mempunyai daerah kelemahan yang sama. Oleh yang demikian,
bahan yang hendak dihasilkan juga mudah.

Dengan adanya kaedah ini akan dapat membantu kelancaran komunikasi


sesama murid, saling bekerjasama dalam menyiapkan sesuatu tugasan yang diberi dan
berkongsi idea.

4.1.2 Kaedah Individu

Kaedah ini menekankan tumpuan guru hanya kepada seorang murid sahaja.
Kebiasaannya, murid dalam kategori ini lebih mudah diurus kerana guru tidak
mengalami gangguan ‘banyak mulut’ daripada murid semasa mengajar.

Guru akan lebih mudah fokus kepada objektif pembelajaran murid dan murid
berasakan mendapat lebih perhatian daripada guru.

Kebiasaannya kaedah individu ini dijalankan di luar bilik darjah. Di mana saya
akan mengambil Nabila dan Zakiah secara individu untuk berjumpa saya pada setiap
awal pagi dan sekurang-kurang tempoh masanya ialah 10minit – 15 minit. Murid akan
diberi latihan bagi mengukuhkan ingatan murid ini mengenai pengajaran yang
dijalankan sebelum ini. Cara ini amat berkesan sekali.

4.1.3 Kaedah Rakan Sebaya

Apabila mengajar dalam kelas yang mempunyai tiga kelompok murid pemulihan dalam
kuantiti yang banyak, saya akan menggunakan kaedah ini.

Kebiasannya, murid-murid yang dilihat matang dan lebih cerdik daripada rakan
yang lain akan dibimbing dan dilatih untuk membantu melicinkan pengajaran dan
pembelajaran saya pada hari berkenaan. Cara ini juga memberi keyakinan kepada diri
murid.

4.2 Permainan Dalam Pengajaran

Saya akan memasukkan elemen permainan yang memerlukan murid untuk bergerak
bebas. Ini secara tidak langsung akan menimbulkan minat murid untuk lebih memahami
apa yang akan diajar. Menurut L. Vygotsky (1976) berpendapat fungsi main adalah
membina semula realiti tanpa pengaruh situasi atau halangan, dan menggerakkan
perkembangan intelek secara tidak langsung. Alan Chamberlain (1986) juga ada
menyatakan “...games can be used at all levels in language syllabus and with all types
of pupils from primary school children to adults...”. ini jelas menunjukkan permainan
dalam pengajaran dapat membantu murid untuk memahami apa yang diajar oleh guru.

4.3 Motivasi, Nasihat dan Kata-kata Pujian

Sebagai seorang guru yang mengajar mereka berdua ini, saya sering akan memberikan
nasihat kepada mereka supaya kerap membaca buku dan menyiapkan latihan atau
kerja rumah yang diberikan oleh guru. Selain itu, saya akan memberi motivasi kepada
dua orang murid ini agar mereka sentiasa menanamkan sifat ingin belajar dalam
dirinya. Cara ini juga berkesan bagi memotivasikan diri mereka berdua. Seperti yang
diungkapkan oleh Woolfolk (1990), dimana motivasi didefinisikan sebagai satu kuasa
dalaman yang membangkitkan, mengarah dan mengawal minat dan tingkah laku
manusia.

Kata penghargaan dan pujian akan meransang murid untuk melakukan yang
terbaik dalam sesi pengajaran. Kata-kata seperti, “bagus”, “teruskan usaha”, “cuba lagi”,
“baik” dan banyak lagi dapat membangkitkan semangat murid dalam pembelajarannya.
4.4 Sistem Token

Satu teknik behaviorisme yang biasa digunakan ialah token ekonomi atau pemberian
hadiah. Ini merupakan satu prosedur yang teratur di mana token atau hadiah diberikan
sebagai peneguhan untuk tingkah laku yang bersesuaian. Token ini adalah dalam
bentuk benda seperti duit syiling plastik, markah, atau apa sahaja benda yang boleh
ditunaikan atau ditebus (cashed in) dengan barang-barang bernilai atau kemudahan-
kemudahan tertentu (privileges). Sistem ini dijalankan di dalam kelas pemulihan bagi
tujuan menarik minat pelajar untuk menumpukan perhatian dalam pelajaran selain
untuk mendisiplinkan pelajar.

5. Kesimpulan

Berdasarkan kepada kajian yang dijalankan, murid yang dikaji iaitu Nadila dan Zakiah
bukan seorang murid yang tidak boleh di bentuk, tetapi mereka ini memerlukan sedikit
perhatian untuk dipulihkan. Perhatian dalam konteks ini bukan sahaja di kelas dan
sekolah tetapi juga melibatkan Ibu bapa di rumah. Perhatian yang diberikan sekurang-
kurangnya akan membantu mereka berdua dalam menguasai kemahiran dalam
membaca dan tidak lagi ketinggalan di dalam pembelajaran yang dibawa di dalam
kelas. Guru juga tidak seharusnya putus asa dalam membantu pelajar dalam
memperbaiki kelemahan yang terdapat di dalam diri dua orang murid ini.

Jika dilihat dari permulaan saya mengenali mereka berdua, banyak kelemahan
yang dihadapi seperti tidak boleh membatang suku kata serta menghadapi masalah
dalam mengeja perkataan yang diberi oleh guru. Selain itu murid juga kerap kali tidak
hadir ke sekolah. Tetapi setelah beberapa langkah diperkenalkan seperti sistem token
ekonomi dipamerkan, ianya menarik dan merubah sikap pelajar ini yang kerap tidak
hadir ke sekolah. Selain itu, dua orang murid ini menunjukkan kesungguhan dalam
setiap pembelajaran yang diberikan oleh guru. Murid juga mula mengenal dan boleh
membunyikan suku kata yang melibatkan terbuka dan tertutup.
Dalam membantu memulihkan murid ini, bukan hanya terletak pada guru
pemulihan sahaja, tetapi ianya harus melibatkan pelbagai pihak seperti guru-guru lain
serta ahli keluarga murid ini seperti abang atau kakak yang boleh membantu mereka
dalam menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh guru serta perhatian yang
diberikan oleh ibu bapa kepada murid-murid ini. Walaupun mereka berdua tergolong
dalam golongan murid yang lemah dalam pembelajaran, murid ini tidak harus
dipinggirkan dan sepatutnya menerima pelajaran sama seperti murid-murid lain.
Bibliografi

Shahbuddin Hashim, Mahani Razali, Ramlah Jantan (2003). Psikologi Pendidikan.


Kuala Lumpur; PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd.

Siti Hawa Munji, Ma’aruf Redzuan (1993). Penghantar Psikologi. Kuala Lumpur;
Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Suradi Salim (1996), Bimbingan dan Kaunseling. Kuala Lumpur; Utusan Publications &
Distrubutors Sdn. Bhd.

Kamarudin Hj. Husin (1993). Pedagogi 3. Penggunaan Psikologi dalam Bilik Darjah.
Petaling Jaya. Longman Malaysia.

Khadijah Rohani, Mahani Razali, Ramlah Jantan (2005). Psikologi Pendidikan. Kuala
Lumpur; UNITEM Sdn. Bhd.

Azman Bin Kanil. (2000). ”Keberkesanan Kaedah Kuliah dalam Pengajaran dan
Pembelajaran.” Sabah: Jabatan Ilmu Pendidikan, Maktab Perguruan Keningau.

You might also like