You are on page 1of 3

PETA MINDA

Peta minda adalah satu kaedah mengingat dan mencatat nota yang berkesan kepada
pelajar. Dalam kaedah peta minda hanya fakta-fakta penting sahaja yang dimasukkan ke
dalam peta minda.

Petua membuat peta minda:


1. Pada bahagian tengah lukis tajuk dengan huruf besar.
2. Bahagikan kepada cabang-cabang yang merupakan fakta utama (maksimum tujuh
cabang)
3. Bahagikan cabang kepada cabang kecil - fakta terperinci
4. Setiap cabang utama menggunakan satu ayat contoh KAEDAH,JENIS
5. Semua fakta di dalam huruf BESAR
6. Jangan fikir dimana hendak letakkan cabang / fakta

Penggunaan peta minda membolehkan kita menggunakan kedua-dua bahagian otak. Diatas
cabang juga anda digalakkan menggunakan grafik untuk menarik perhatian semasa
membaca.

Sila rujuk mana-mana laman web tentang kaedah membuat peta minda

KEPENTINGAN PENGGUNAAN PETA MINDA

PELBAGAI penyelidikan telah dibuat untuk membentuk dan menyusun strategi


pembelajaran yang lebih berkesan terhadap pelajar-pelajar. Pembelajaran secara hafalan
memerlukan daya ingatan yang kuat, tetapi ianya tidak dapat membentuk insan yang kritis
dan kreatif malah ianya tidak sesuai di zaman yang serba maju ini.

Sebagai seorang insan, Allah telah mengurniakan kepada kita pancaindera yang mempunyai
pelbagai fungsi. Pancaindera ini amat peka serta amat responsif terhadap apa-apa
rangsangan yang berkaitan dengannya.

Mata adalah merupakan salah satu pancaindera yang amat penting bagi seseorang insan.
Sebagai contoh, mata yang berfungsi untuk penglihatan akan merangsangkan tindakan
seseorang itu apabila ianya melihat sesuatu yang dapat memberi sesuatu makna kepada
dirinya.

Seorang kanak-kanak yang masih kecil dan belum mengenal huruf dapat memahami
sesuatu keadaan melalui penglihatan dan pemerhatian. Objek yang dilihat melalui mata
akan menghasilkan sesuatu mesej melalui interpretasi yang dibuat di bahagian otak.

Mesej yang dihasilkan akan menjadi mudah dan jelas sekiranya kita dapat merangsangkan
pancaindera yang ada pada seseorang individu itu dengan cepat.

Oleh itu dalam proses pembelajaran seseorang itu perlulah menyusun strategi agar segala
isi pelajaran yang diperolehi dapat diproses oleh otak dengan lebih mudah. Beberapa
elemen yang dapat merangsangkan fungsi otak dan memudahkan pemahaman kita adalah
seperti berikut:-
Teks. Teks yang ringkas dan mudah difahami serta saiznya yang tidak begitu kecil dapat
mengelakkan mata berasa letih serta seterusnya mengelakkan diri seseorang itu berasa
bosan untuk membacanya.

Grafik. Bahan grafik seperti garisan anak panah, segi empat dan bulatan dapat digunakan
untuk membentuk jaringan bagi memudahkan pemahaman bagi satu-satu topik.

Gambar. Gambar-gambar yang dilukis bagi melambangkan sesuatu isi pada teks dapat
menjelaskan lagi pemahaman serta mengukuhkan daya ingatan dengan cara mencerdaskan
daya gambaran mental yang ada pada setiap individu.

Dalam hal ini penggunaan peta minda dan pengurusan grafik adalah sesuai ke arah
memudahkan pembacaan serta memudahkan otak membuat analisis untuk menghasilkan
sesuatu yang bermakna. Dalam melakar peta minda atau pengurusan grafik, beberapa
langkah perlu dibuat agar ianya dilakukan secara sistematik:-

Memahami isi petikan. Sekiranya sesuatu lakaran peta minda itu hendak dilakukan
berdasarkan daripada bahan bacaan, maka bahan bacaan itu perlulah dibaca dan difahami
secara keseluruhan terlebih dahulu.

Mengenalpasti isi dan huraian yang berkaitan. Ianya dapat dilakukan dengan cara
menggaris isi-isi serta huraian-huraian yang dianggap ada kaitan dan relevan dengan topik
bahan bacaan tersebut.

Melakar simbol. Idea yang utama akan bermula pada satu titik permulaan dan ianya
disimbolkan dengan satu bulatan. Dari sinilah idea ini akan berkembang. Pelbagai cara
dapat dilakukan untuk perkembangan idea ini. Pada saya melalui pengalaman yang telah
saya alami ketika memberi kursus kepada pelajar-pelajar untuk peringkat pelajar-pelajar
sekolah rendah dan menengah rendah, pemetaan minda ini lebih sesuai dibuat dalam
bentuk pengurusan grafik dan jaringan klasifikasi. Oleh itu penggunaan beberapa simbol
berserta dengan warna-warna tertentu dapat digunakan sebagai satu teknik memetakan
minda kita ke arah memudahkan pemahaman.

Melukis gambar. Gambar merupakan salah satu media yang dapat memberi rangsangan
yang begitu cepat daripada teks. Gambar juga dapat memberi pelbagai interpretasi yang
dapat mencetuskan pemikiran yang lebih kritis dan kreatif.

Proses membuat peta minda dapat memberi faedah yang bukan sahaja dapat dilihat pada
zahirnya tetapi juga sesuatu yang tersirat di sebaliknya:-

Latihan dalam pasukan. Peta minda dapat dilakukan melalui satu pasukan. Ini dapat
menggalakkan pelajar-pelajar belajar secara kaloboratif dan koperatif.

Pencetusan idea. Lakaran yang dibuat yang merangkumi teks, grafik dan gambar dapat
mempergiatkan lagi kreativiti seseorang individu ke arah pencetusan idea.

Perkembangan potensi. Lakaran grafik dan gambar dapat memperkembangkan potensi


kemahiran motor yang ada pada pelajar-pelajar.
Kemahiran menganalisis. Setiap fakta yang dibaca terlebih dahulu perlu di analisis dan
kemudian menyusunkannya untuk membentuk satu lakaran. Latihan ini seumpama ini
adalah amat diperlukan ke arah pembentukan sikap yang analitikal.

Penganalisisan data melalui pemetaan minda ini adalah merupakan salah satu ciri-ciri
aktiviti yang terdapat dalam pembelajaran sekolah bestari. Oleh itu guru seharusnya
memahirkan diri serta berusaha memperkenalkan aktiviti ini kepada pelajar-pelajarnya
mulai sekarang.

Mengikut seorang penulis Dilip Mukerjea (1996) dalam bukunya bertajuk "Superbrain",
melalui pemetaan minda seseorang itu dapat... "learn MORE, remember MORE, use LESS
paper, invest LESS effort..." yang membawa maksud penggunaan peta minda dapat
memperolehi ilmu pengetahuan yang lebih banyak, mempertingkatkan daya ingatan tanpa
merugikan terlalu banyak kertas serta tenaga.

Beberapa contoh peta minda yang terbaik dalam menyusun isi-isi penting dan berguna
untuk menjawab soalan-soalan yang keluar dalam peperiksaan dalaman atau berpusat dan
peringkat Kebangsaan. Selepas ini kita akan menunjukkan beberapa peta minda yang
mempunyai ciri-ciri yang terbaik.

You might also like