You are on page 1of 8

http://manshuberry.blogspot.com/2009/07/prinsip-prinsip-dalam-pengajaran-bahasa.

html

Monday, July 27, 2009


PRiNSiP-PRiNSiP DaLaM PeNGaJaRaN BaHaSa

1.0 PENDAHULUAN

Tajuk perbincangan ini aalah mengenai prinsip-prinsip yang harus dipegang oleh seorang guru dalam
pengajaran khasnya pengajaran bahasa. Guru bahasa perlu mempunyai prinsip mengenai bagaimana
cara bahasa itu diajarkan atau dipelajari. Dengan berpegang pada prinsip itu maka ia boleh
menghasilkan sesuatu bentuk pengajaran yang baik dan berkesan.

Di samping itu juga guru itu boleh menentukan sejauh mana prinsip-prinsip itu boleh menyelesaikan
masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Prinsip-
prinsip terbentuk dari dua jenis teori yang bertentangan iaitu teori behaviorisme dan teori
mentalisme. Sesuatu teori itu menentukan apakah prinsip yang harus dipegang dalam pengajaran.

Menurut Kamus Dewan (1984: 1056), prinsip ialah asas atau dasar yang menjadi pokok sesuatu
pemikiran, kajian, tindakan sesuatu teori. Jadi sesuatu teori itu menentukan apakah prinsip yang
harus dipegang dalam pengajaran.

Berhubung dengan prinsip-prinsip pengajaran bahasa ia adalah hasil dari dapatan teori-teori
pemerolehan bahasa yang pernah disebutkan sebelum ini yang mana akan dibincangkan dari
beberapa sudut. Selain itu terdapat juga prinsip-prinsip umum supaya pengajaran guru itu lebih
menunjukkan keberkesanan.

2.0 PRINSIP-PRINSIP YANG BERFALSAFAH ALIRAN BEHAVIORISME

Teori behaviorisme beranggapan bahawa bahasa diperolehi melalui proses pengulangan Bahasa
dikuasai melalui rangsangan dan gerak balas. Golongan ini mementingkan pengukuhan dalam
pembelajaran yang dapat ditimbulkan melalui ganjaran. Dalam konteks pengajaran dan
pembelajaran bahasa, teori ini menegaskan latihan dan latih tubi pola. Teori ini juga menekankan
kemahiran lisan dalam pengajaran.

Prinsip-prinsip pengajaran bahasa dari golongan ini adalah dari pandangan dan pendapat ahli-ahli
psikologi dan linguistic Aliran Behaviorisme. Golongan ini beranggapan bahawa; Pertama, bahasa
yang diutamakan ialah bahasa lisan manakala bahasa tulisan merupakan bahasa kedua penting. Ahli-
ahli Behaviorisme menegaskan bahawa pengajaran bahasa metsilah didahulukan bahasa lisan.

Ini kemudian diikuti dengan bahasa tulisan yang dianggap perkara penting yang kedua dalam
pengajaran dan pembelajaran. Ini bermakna guru-guru mestilah berusaha untuk membolehkan
murid-murid bertutur dalam bahasa itu dahulu dan kemudian baharulah kepada pengajaran
membaca dan menulis. Ini hanya dapat dilakukan setelah murid-murid dapat menguasai system
bahasa dan struktur bahasa.

Kedua, bahasa adalah satu tabiat. Prinsip ini sesuai diterapkan dalam proses pembelajaran kedua.
Untuk membentuk biasaan ini latihan dan latih tubi serta perbualan bahasa juga diutamakan. Guru
perlu menyusun pelajaran dengan baik dan pengajaran dimulakan daripada pola-pola yang senang
kepada yang lebih susah.

Ketiga, pengukuhan adalah satu syarat penting di dalam pembelajaran disebabkan ia merupakan satu
alat untuk menentukan pembentukan tingkah laku yang dikehendaki. Dalam situasi pembelajaran
bahasa pengukuh-pengukuhnya adalah pujian, keistemewaan, pengiktirafan, maklum balas, galakan
dan sebagainya. Mengikut prinsip ini sesuatu gerak balas yang betul perlu diteguh oleh guru dengan
cara memberikan pengukuhan seperti yang disebutkan di atas.

Keempat, latihan pembelajaran adalah latihan yang dikukuhkan. Ia merupakan latihan ulangan satu-
satu gerak balas dengan satu-satu rangsangan. Latihan dan latih tubi hendaklah dilakukan dalam
keadaan yang bermakna. Ini adalah untuk mengelakkan pelajaran tersebut dari berasa bosan.

Peneguhan boleh dilanjutkan oleh guru melalui penggunaan bahan-bahan makmal bahasa.

Dalam hal ini, satu model pembelajaran telah dikemukakan oleh Behaviorisme iaitu :
Latihan yang dikukuhkan ---> pembelajaran ---> perubahan tingkah laku.

Kelima, model-model bahasa yang terbaik haruslah diutamakan. Dalam konteks pembelajaran ahasa
di sekolah-sekolah, bahasa guru menjadi model yang diikuti oleh pelajar-pelajar. Jika model-model ini
menggunakan bahasa yang sama atau mirip-mirip sama dengan bahasa matlamat, maka ini akan
menguntungkan pelajar-pelajar itu.

Dan keenam, mewujudkan operasi rangsangan dan tindak balas dalam proses pembelajaran. Bahasa
adalah hasil operasi rangsangan dan tindak balas. Pembelajaran bahasa akan lebih berkesan jika
kedua-dua unsure ini dapat diwujudkan. Selain bertujuan menghasilkan satu pembentukan tingkah
baru yang berkesan, ia juga boleh bertindak sebagai daya penggerak dan meningkatkan minat serta
motivasi.
Ada beberapa cara yang boleh dilakukan oleh guru untuk mempelbagaikan situasi rangsangan.
Pertama adalah dengan cara mempelbagaikan tingkah laku. Kedua adalah dengan cara
mempelbagaikan pengalihan saluran deria, ketiga dengan cara mempelbagaikan pola interaksi guru
da murid dan keempat dengan cara mempelbagaikan pendekatan, kaedah, teknik, strategi dan alat-
alat bantu mengajar.

Berdasarkan teori ini terdapat satu pendekatan yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan
pembelajaran bahasa iaitu melalui pendekatan induktif. Pendekatan induktif ialah memulakan
sesuatu pengajaran itu dengan memberikan contoh-contoh terlebih dahulu dan kemudian baharulah
diterangkan. Pendekatan induktif menggunakan model: Contoh ???? Generalisasi

3.0 PRINSIP-PRINSIP YANG BERFALSAFAHKAN ALIRAN MENTALISME

Teori mentalisme menganggap pemerolehan bahasa merupakan satu proses mental. Menurut
golongan ini lagi, seseorang itu mempunyai kecekapan (competence), iaitu rumus-rumus yang ada
dalam stok mental, dan prestasi (performance) yang merupakan aspek penggunaan bahasa oleh
penutur berdasarkan kecekapan. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, aspek pemikiran,
pengetahuan dan makna diberikan penekanan.

Dalam bidang linguistic aliran kod-kognitif tidak ada mencadangkan sebarang kaedah atau prinsip
pengajaran bahasa yang tertentu. Walau bagaimanapun kita boleh membuat andaian beberapa
prinsip pembelajaran yang dapat diwujudkan melalui pendapat dan pandangan mereka terhaap
pemerolehan bahasa. Prinsip-prinsip itu adalah seperti berikut:

Pertama, pembelajaran bahasa merupakan satu proses mental. Melalui proses ini, pembelajaran
bahasa dianggap sebagai satu proses pemikiran dan pemikiran ini dilahirkan melalui pertuturan.
Kedua, semua kanak-kanak dapat mempelajari bahasa kerana mereka telah dilahirkan dengan
kebolehan semula jadi untuk berbuat demikian. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa guru
harus menyedari bahawa kebolehan semula jadi untuk berbahasa yang ada pada kanak-kanak itu
membolehkan mereka menganalisis pertuturan yang mereka dengar. Guru perlu menggunakan
pengetahuan bahasa murid-murid dalam masa merancang dan menentukan bahan-bahan
pengajaran yang akan diajar nanti.

Ketiga, kadar perkembangan bahasa adalah sama bagi kanak-kanak pada peringkat kematangan yang
sama dalam keadaan yang normal. Prinsp ini mempercayai bahawa kematangan yang sama di
kalangan kanak-kanak akan mempunyai cirri-ciri pembelajaran bahasa yang sama. Justeru itu, guru
hendaklah berhati-hati membuat pemilihan terhadap bahan-bahan yang hendak disampaikan.

Keempat, penyampaian makna lebih diutamakan daripada struktur bahasa dalam sesuatu huraian
bahasa. Prinsip ini menekankan kebolehan untuk menggunakan struktur-struktur bahasa yang betul
dari segi tatabahasa dan makna bagi membolehkan kanak-kanak itu berkomunikasi dalam
masyarakat bahasa itu. Guru harus menggunakan aktiviti-aktiviti bahasa yang bermakna dan
berkesan untuk membolehkan kanak-kanak menguasai struktur-struktur bahasa yang terdapat di
dalam system bahasanya dengan baik.

Seterusnya kelima, tulisan dan bacaan adalah diutamakan dalam proses pembelajaran. Dalam
pengajaran dan pembelajaran bahasa, kajian-kajian bahasa biasanya dilakukan berasaskan bahasa
tulisan. Latihan-latihan tulisan yang diberi termasklah latihan terjemahan bahan daripada bahasa
sasaran ke bahasa ibunda atau sebaliknya.

Manakala keenam adalah kajian-kajian bahasa disampaikan secara deduktif dan tatabahasa
disampaikan secara formal. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran,
Kajian-kajian bahasa dihuraikan melalui pendekatan deduktif. Ini bermakna, penyampaian pelajaran
itu dimulakan dengan pengajaran terus mengenai rumus-rumus ata konsep-konsep tatabahasa dan
kemudian baharulah diberi contoh-contoh. Dalam hal mengajarkan tatabahasa kepada pelajar-
pelajar biasanya dilakukan secara formal. Pendekatan deduktif menggunakan model: Generalisasi ???
Contoh

4.0 PRINSIP-PRINSIP YANG BERFALSAFAHKAN ALIRAN


INTERAKSIONALISME

Teori ini memandang pembelajaran bahasa adalah sebagai alat interaksi dan ia merupakan satu
proses yang melibatkan mental dan linguistic. Teori ini menekankan pentingnya proses pembentukan
hipotesis mengenai undang-undang bahasa dalam sesuatu pembelajaran itu. Teori ini juga
menyarankan supaya guru-guru memberi banyak latihan kepada pelajar-pelajar. Prinsip-prinsip yang
dicetuskan daripada pandangan-pandangan ahli-ahli bahasa Interaksionalisme adalah seperti berikut:

Pertama, penyampaian makna adalah lebih diutamakan dalam komunikasi bahasa. Dalam pengajaran
dan pembelajaran bahasa, sama ada pembelajaran bahasa pertama dan kedua, penyampaian makna
adalah penting. Pembelajaran bahasa bukan hanya mempelajari struktur itu tetapi apa yang lebih
penting ialah belajar untuk interaksi.

Kedua, pembelajaran bahasa merupakan proses mental dan linguistik. Dalam pengajaran dan
pembelajaran bahasa, bahasa yang dituturkan dan makna yang dimaksudkan adalah
Berhubung rapat. Interaksionalis mementingkan kedua-dua unsure iaitu makna dan struktur bahasa.

Dan ketiga, pengajaran dan pembelajaran bahasa memerlukan penumpuan terhadap tugas-tugas
atau aktiviti-aktiviti yang bermakna. Jika guru itu dapat menyampaikan pengajaran dalam bentuk
aktiviti-aktiviti yang bermakna maka murid-murid berkemampuan untuk menggunakan bahasa itu
dengan lancar dan fasih.

5.0 PRINSIP-PRINSIP YANG BERFALSAFAHKAN ALIRAN FUNGSIONALIS

Ahli-ahli bahasa yang menganut fahaman ini bukan sahaja mengkaji bahasa dari segi strukturnya
malah mereka juga memberi perhatian yang serius terhadap fungsi bahasa itu. Ini bermakna mereka
menegaskan bahasa sebagai alat untuk berkomunikasi . Berikut diperturunkan beberapa prinsip
pengajaran bahasa daripada pandangan dan pendapat ahli-ahli Fungsionalis.

Pertama, system tatabahasa dan fungsi bahasa adalah dua perkara yang diutamakan. Sesuatu
pengajaran itu haruslah memberi pengetahuan kepada murid-murid tentang sistem tatabahasa atau
prinsp-prinsip struktur bahasa yang dipelajari itu.

Bahasa mempunyai fungsi misalnya untuk menyatakan perasaan dan mendeskripsi sesuatu objek.
Dalam hal ini, bahasa yang digunakan untuk mendeskripsi sesuatu objek haruslah terdiri daripada
ujaran-ujaran yang baik.

Kedua, variasi-variasi bahasa dapat mempertingkatkan tahap kemahiran berbahasa pelajar-pelajar.


Bahasa adalah berkembang. Dari itu, wujudlah beberapa variasi dalam penggunaannya.
Dan ketiga, bahasa, adalah alat untuk berhubung. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa,
murid-murid harus dapat menentukan fungsi-fungsi komunikatif pada bentuk-bentuk bahasa yang
mereka kuasai.

6.0 PRINSIP-PRINSIP UMUM

Prinsip pertama adalah bahasa yang digunakan mestilah bahasa standard yang diterima oleh
masyarakat dan penutur jati. Bahasa yang baik, betul dan tepat hendaklah digunakan oleh guru-guru
bahasa sewaktu menyampaikan pengajaran mereka. Ia juga boleh diterima oleh masyarakat dan
penutur jati bahasa itu. Bahasa itu juga mestilah standard. Selain itu, perkataan dan ayat mestilah
mempunyai urutan yang baik dan tidak janggal kepada pendengar atau penutur jati bahasa itu.

Prinsip kedua adalah pengajaran bahasa haruslah berdasarkan pendekatan lisan. Pengajaran lisan
penting dalam pengajaran bahasa kerana ia bersesuaian dengan proses semula jadi kanak-kanak.
Mengikut Awang Mohammad Amin (Kamarudin, 2001:56) mengatakan dalam proses penguasaan
pertama, seorang anak memperoleh kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur adalah daripada
orang-orang yang hamper dengan kehidupannya seperti ibu bapa dan kaum keluarga atau
penjaganya.
Perkara kedua penting ialah kerana lisan adalah lebih senang dikuasai daripada perkara-perkara lain
yang dipelajari. Selain itu, kemahiran lisan adalah punca kepada segala kemahiran yang lain. Ini
bermakna kemahiran mendengar dan bertuutur adalah asas kepada kemahiran menulis dan
membaca.

Prinsip ketiga adalah bahan-bahan pengajaran hendaklah dipilih, disusun, dikawal dan
dipertingkatkan.

(a) Pemilihan bahan-bahan pengajaran


Pemilihan bahan-bahan pengajaran adalah proses mencari bahan-bahan yang dihasilkan iaitu yang
sesuai untuk pengajaran bahasa. Pemilihan dipengaruhi oleh tujuan dan guna serta tingkat
pencapaian pelajar-pelajar itu.

(b) Penyusunan bahan-bahan pengajaran


Bahan-bahan pengajaran harus disusun supaya perkembangannya maju iaitu secara beransur-ansur
dengan tertib dari peringkat awal hingga peringkat akhir. Susunan bahan-bahan pengajaran dapat
mengelakkan pengajaran berlaku secara kucar-kacir.

(c) Kawalan bahan-bahan pengajaran


Ini adalah bertujuan supaya bahan-bahan pelajaran bahasa dapat disampaikan secara
berseimbangan. Ini bermakna guru harus dapat mengawal masa dan bahan-bahan yang hendak
disampaikan sesuai dengan satu-satu waktu mengajar yang ditentukan.

(d) Pemeringkatan bahan-bahan pengajaran


Bahan-ahan pengajaran yang hendak disampaikan itu seharusnya dirancangkan terleih dahulu kerana
dari segi belakang keluarga, pengalaman, kecenderungan dan kebolehan pelajar-pelajar adalah
berbeza. Selain daripada pemilihan dan susunan yang dilakukan, bahan-bahan itu juga perlu
diperingkat-peringkatkan mengikut kesesuaian.

Prinsip keempat adalah penguasaan kemahiran bahasa haruslah mengikut susunan iaitu mendengar,
bertutur, mambaca dan menulis. Mengikut prinsip ini, mendengar dan bertutur perlu diajar terlebih
dahulu dan kemudian baharulah membaca dan menulis. Oleh itu sebutan guru itu hendaklah jelas
dan terang yang mana ia menjadi contoh yang baik bagi murid-murid. Sebutan yang betul akan
terbawa kepada bacaan yang mengikut cirri-ciri prosodinya dan seterusnya bahan bacaan ini akan
dirakamkan ke dalam bentuk tulisan. Prinsip ini menekankan bahawa tiap-tiap satu kemahiran itu
harus dilakukan mengikut susunan, iaitu satu kemahiran disusuli dengan kemahiran yang satu lagi.

Prinsip kelima adalah aktiviti-aktiviti pengajaran-pengajaran yang menarik dan bermakna hendaklah
diadakan. Aktiviti-aktiviti yang menarik dan bermakna adalah penting dalam proses pengajaran dan
pembelajaran sebagai menarik minat murid-murid untuk menumpukan separuh perhatian
pengajaran guru itu. Jadi guru mestilah aktif dan Menggunakan alat-alat Bantu mengajar yang sesuai
supaya murid-murid tidak berasa bosan. Manakala kesesuaian pemilihan bahan-bahan pengajaran,
pengendalian yang terancang penggunaan kaedah dan teknik yang selaras, kesesuaian aktiviti serta
interaksi guru dan murid yang baik akan mewujudkan satu suasana yang baik dan menarik.

Prinsip keenam adalah mengadakan rancangan pelajaran yang kemas dan teratur. Kewajipan guru
adalah menyusun rancangan pelajaran dengan baik untuk digunakan dalam jangka masa setahun.
Rancangan pelajaran itu mesti disusun dengan teliti dan hati-hati.

Prinsip ketujuh adalah mengadakan suasana belajar yang baik dan berkesan. Guru harus boleh
mewujudkan satu suasana yang baik. Pengajaran dan pembelajaran akan berjalan dengan licin dan
hasilnya juga akan berkesan.

Manakala prinsip kelapan merupakan penilaian pengajaran yang diberikan. Seseorang guru yang
dedikasi dan cekap harus dapat menilai pekerjaannya sendiri supaya dia menyedari adakah
pekerjaannya itu benar-benar mengikut dasar-dasar pengajaran yang baik. Jika sekiranya terdapat
beberapa kekurangan dalam pengajarannya itu maka dia harus segera membetulkannya. Guru yang
baik akan sentiasa berusaha mengatasi kekurangan-kekurangan sendiri dengan menyediakan
kelengkapan-kelengkapan yang lebih bermutu.

7.0 PENUTUP

Sebagai kesmpulannya, terdapat empat prinsip pengajaran yang mengikut falsafah masing-masing.
Pertama prinsip yang berfalsafahkan aliran Behaviorisme iaitu mengutamakan bahasa lisan dalam
pengajaran. Manakala aliran Mentalisme menganggap pembelajaran bahasa adalah satu proses
pemikiran. Aliran Interaksionalisme pula mempunyai prinsip yang mana penyampaian makna amat
penting dalam sesuatu komunikasi bahasa dan seterusnya aliran Fungsionalisme menekankan system
tatabahasa dan fungsi adalah dua perkara yang diutamakan.

Seseorang guru itu tidak patut berpegang sama ada pada prinsip-prinsip Behaviorisme atau prinsip-
prinsip Mentalisme. Ini adalah kerana cara pembelajaran seseorang pelajar dengan pelajar yang lain
adalah tidak sama. Kedua-duanya boleh saja digabungkan dalam pengajaran seseorang guru itu
kerana seperti yang pernah dijelaskan sebelum ini kedua-dua teori tersebut adalah saling
melengkapi. Prinsip-prinsip dari golongan tersebut hanya sebagai jalan keluar bagi guru tersebut
dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi tidak kira dalam pengajarannya atau dalam
pembelajaran pelajarnya. Dengan berbekalkan pengalaman yang sedia ada dari guru itu dan
menerapkan prinsip-prinsip yang tersebut di atas maka pengajaran yang disampaikan akan lebih
efisen dan akan lebih terjamin mutunya.
Rujukan:
Abd Aziz Abd Talib, (2000), Pedagogi Bahasa Melayu, Kuala Lumpur: Utusan Publications &
Distributors Sdn. Bhd.
Ab. Rahman Ab. Rashid, Yap Kim Fatt & Ab. Rahim Selamat, (1997), Pengajian Melayu I, Petaling
Jaya : Longman Malaysia Sdn. Bhd.
Kamarudin Hj. Husin, (1998), KBSM dan Model-model Pengajaran Bahasa, Selangor : Kumpulan
Budiman Sdn. Bhd.
______________, (1998), Pedagogi Bahasa, Petaling Bahasa, Petaling Jaya : Longman Malaysia Sdn.
Bhd.
_____________, (2001), Pedagogi Bahasa Perkaedahan, Selangor : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

iLLuSTRiaTe BY ೊ۩ೊ sHu_MaNsHu ೊ۩ೊ iN THe MoMeNT oF 8:22 AM    

MeMoRieS PEDAGOGI BAHASA MELAYU BMP3013

You might also like