You are on page 1of 1

Soalan 2

       Bidang sukan merupakan salah satu bidang yang penting di negara kita. Hal ini demikian
kerana, aktiviti sukan mendatangkan faedah yang banyak kepada masyarakat dan negara
kita. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab dalam bidang sukan perlulah memainkan
peranan yang berkesan dengan kerjasama semua pihak seperti ibu bapa. Sekiranya ibu bapa
memberikan galakan dan sokongan moral, sudah pasti matlamat untuk memajukan bidang
sukan di negara kita akan tercapai iaitu, di  mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Dengan
cara itu, nama negara kita akan dikenali dan digeruni di peringkat antarabangsa melalui
kejayaan atlet negara dalam bidang sukan.

       Antara peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa adalah dengan memberikan galakan
dengan cara membeli peralatan sukan untuk anak-anak mereka. Sekiranya anak-anak
memiliki peralatan sukan yang lengkap dan sesuai sudah pastilah mereka lebih bersemangat
untuk bersukan. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah membelikan anak-anak mereka
pakaian, kasut dan alat-alat yang berkaitan dengan permainan yang diceburi oleh anak-anak
mereka seperti raket badminton, squash dan tenis. Oleh hal yang demikian, minat anak-anak
dapat dikembangkan sekiranya peralatan yang sesuai dimiliki oleh mereka. Seterusnya,
mereka diharapkan dapat melakar kemenangan dan seterusnya mengharumkan nama
sekolah, daerah, negeri dan negara.

       Ibu bapa juga perlu menggalakkan anak-anak untuk menceburkan diri dalam bidang
sukan dengan aktif. Ibu bapa boleh menasihati anak-anak supaya memperuntukkan masa
mereka dalam aktiviti kokurikulum seperti sukan dan permainan. Hal ini demikian kerana,
aktiviti sukan akan menyihatkan dan mencergaskan badan. Di samping itu, anak-anak yang
berbakat dan berminat dalam sukan dan permainan tertentu bolehlah melibatkan diri dengan
lebih aktif untuk mencipta kejayaan yang cemerlang. Bakat dan minat tersebut perlulah
dipupuk dari bangku sekolah lagi untuk dikembangkan agar dapat mengharumkan nama
negara di persada dunia.

       Selain itu, ibu bapa hendaklah memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-
anak mereka ke tempat latihan atau permainan tersebut dijalankan. Dengan cara itu, anak-
anak mereka lebih bersemangat untuk bergiat aktif dalam bidang sukan tersebut. Mereka
juga boleh menemani anak-anak dan menyaksikan anak-anak mereka berlatih atau
bertanding dalam sesuatu acara sukan atau permainan. Sudah tentulah perkara ini akan
memberikan kesan yang lebih mendalam kepada anak-anak dalam usaha untuk mencapai
kejayaan dalam sesuatu permainan iaitu, tinggi gunung, tinggi lagi harapan kami. Seterusnya,
mereka akan berasa lebih yakin untuk mencipta kemenangan pada peringkat yang lebih
tinggi lagi.

       Ibu bapa perlulah membelikan anak-anak mereka majalah sukan yang diminati oleh
mereka. Hal ini demikian kerana, anak-anak akan lebih berminat untuk menceburkan diri
dalam bidang sukan dengan serius. Mereka juga akan mendapat maklumat atau
perkembangan terkini dalam bidang sukan menerusi majalah-majalah sukan tersebut. Selain
itu, kejayaan ahli-ahli sukan antarabangsa yang dipaparkan dalam majalah sukan tersebut
akan menjadi idola dan pencetus semangat serta motivasi kepada anak-anak untuk menjadi
ahli sukan yang berjaya.

       Secara keseluruhannya, peranan ibu bapa tidak boleh dikesampingkan dalam usaha
untuk menggalakkan anak-anak bersukan. Oleh itu, ibu bapa perlulah diberikan kesedaran
supaya memainkan peranan yang sepatutnya dalam usaha untuk melahirkan lebih banyak
ahli sukan di negara kita. Ibu bapa tidak seharusnya mementingkan aspek kecemerlangan
akademik semata-mata dan mengetepikan kepentingan sukan kepada anak-anak mereka.
Kita mahu agar kecemerlangan akademik dan kecemerlangan sukan bergerak seiring
sekiranya mahu negara kita maju dalam bidang sukan. Perkara ini akan menjadi realiti jika
pepatah, "genggam bara api biar sampai jadi arang" sentiasa menjadi amalan dalam diri
setiap orang yang ingin akan kejayaan.

You might also like