You are on page 1of 2

26 Februari, 2010 11:24 AM

Pendidikan Untuk 1Malaysia


Oleh Nurul Halawati Azhari

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Menurut statistik yang dikeluarkan Unesco tahun lalu,
Malaysia berada pada kedudukan ke-11 dalam senarai 137 buah negara yang memperuntuk
perbelanjaan paling tinggi kepada sektor pendidikan.

Secara purata, peruntukan kepada sektor pendidikan di Malaysia bagi dekad ini ialah sekitar 25.2
peratus daripada keseluruhan bajet negara, menjadikan sektor pendidikan antara penerima
peruntukan terbanyak daripada kerajaan.

Dengan peruntukan yang besar sedemikian, sistem pendidikan di negara ini melalui proses
transformasi dan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Tidak lain tujuannya ialah untuk menjamin kualiti pendidikan di samping melahirkan masyarakat
yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan daripada segala-galanya.

Sebagai prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan, nilai pendidikan turut
dijadikan sebagai satu daripada teras di dalam gagasan 1Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa proses pendidikan tidak hanya
berlaku di dalam kelas sahaja. Sebaliknya, proses itu ialah proses seumur hidup yang dilakukan di
dalam dan luar bilik darjah.

Ia akan membentuk rakyat Malaysia yang berupaya berfikir dan bertindak tanpa terlalu
mementingkan diri sendiri, malah lebih mementingkan masyarakat setempat mereka.

Selain itu, nilai pendidikan ditekankan kerana kekuatan dan ketahanan sesebuah negara
berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan
ketenteraan.

MEMUPUK MASYARAKAT BERILMU

Dalam usaha melahirkan masyarakat yang berilmu, bukan pendidikan secara formal sahaja yang
perlu ditekankan. Sebaliknya pemupukan budaya membaca juga antara teras kepada masyarakat
berilmu pengetahuan.

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), menerusi Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2005,
menyatakan bahawa jumlah buku yang dibaca setiap individu rakyat Malaysia untuk tempoh 10
tahun, meningkat dua buah buku setahun berbanding dua buku secara purata pada tahun 1996.

Sungguhpun menunjukkan peningkatan, namun ia masih sangat minimum untuk sebuah negara
yang mempunyai penduduk seramai 28 juta. Semua orang perlu sedar bahawa budaya membaca
berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka.

Menyokong usaha ini, langkah pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan kerjasama
PNM meletakkan bahan-bahan bacaan umum di dalam setiap gerabaknya untuk perkhidmatan
keretapi antara bandar ialah usaha yang wajar dipuji.

PELUANG UNTUK SEMUA

Selain itu, usaha pemupukan 1Malaysia di bidang pendidikan sangat wajar bermula dari zaman
persekolahan kerana kanak-kanak belajar bersosial di sekolah.

Justeru itu kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran sekolah rendah juga hendaklah
menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk 1Malaysia dan memberi
ruang mereka berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam
ucapannya pada majlis Pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) baru-baru ini berkata
pengwujudan sekolah SBT sebagai sekolah model di negara ini bukanlah untuk meminggirkan
sekolah-sekolah yang lain.

Tetapi kerajaan akan melaksanakan program yang dirangka khusus untuk mengekal dan
melonjakkan pencapaian sekolah SBT di samping menekankan tangungjawab sosial sekolah-
sekolah ini bagi membimbing sekolah lain meningkatkan prestasi masing-masing menerusi
pelaksanaan program bimbingan.

Selain pendidikan, nilai meritokrasi juga ialah satu daripada nilai yang ditekankan dalam
1Malaysia. Mungkin ramai yang mengaitkannya dengan pendidikan sahaja terutama tentang
kemasukan ke institusi pengajian tinggi.

Pada tahun 2002, sistem meritokrasi dilaksanakan buat pertama kalinya bagi menggantikan
sistem kuota yang menetapkan sebanyak 55 peratus pelajar Bumiputera dan 45 peratus untuk
(pelajar) bukan Bumiputera bagi kemasukan di IPTA.

Sistem yang memberi peluang kepada semua pihak mendapat hak pendidikan ini sebenarnya
mahu membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu, masyarakat yang tidak hanya terus-
menerus memikirkan tentang kepentingan kaum masing-masing tanpa mempedulikan kepentingan
negara atau kepentingan bersama.

Benar jika semua pihak berfikiran untuk menambah ilmu, nilai ini amat berguna kerana setiap
individu tidak dinafikan hak mereka untuk mendapat pendidikan yang sempurna.

BUKAN HANYA DALAM PENDIDIKAN

Bagaimanapun, nilai meritokrasi bukan hanya ditekankan dalam bidang pendidikan. Tetapi maksud
sebenar nilai meritokrasi dalam 1Malaysia yang dihasratkan Perdana Menteri, ialah satu hala tuju
yang perlu diamalkan di dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan
memenuhi kriteria, berpeluang untuk memacu pembangunan negara.

Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik atau ketinggalan seperti
masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman, estet-estet dan perkampungan baru. Oleh itu,
menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu golongan ini.

Lebih jelas lagi, meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria yang
ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria itu, berhak dipilih.

Dalam pelaksanaannya, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan


memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang.

Sebagai contoh dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilikan syarikat untuk ditawarkan kontrak
dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria yang
ditetapkan.

Ini termasuk dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya
yang wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang
bersaing membuktikan potensi kecemerlangan masing-masing serta memberi tawaran terbaik
merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan.

Tujuannya ialah untuk membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran


globalisasi/liberalisasi.

Kerana itu, semua pihak tidak seharusnya merasakan diri mereka tercicir kerana setiap
warganegara mempunyai hak dan tanggungjawab masing-masing seperti yang termaktub di
dalam Perlembagaan Persekutuan.

-- BERNAMA

You might also like