You are on page 1of 2

Karangan Bencana Alam....

Punca-punca dan usaha-usaha mengatasinya


Bencana alam turut berlaku di negara ini. Banjir, ribut, kemarau dan kebakaran
hutan merupakan antara bencana alam tersebut.
Nyatakan punca-punca dan usaha-usaha menangani masalah ini.

Bencana alam merujuk kejadian alam yang mampu memusnahkan negara dan penduduknya.
Negara kita memang sering dilanda banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan kerana pelbagai
faktor yang mendorong keadaan ini mudah berlaku terutama ketiak bumi dikatakan sedang
mengalami perubahan cuaca yang drastik dalam tempoh yang terdekat ini. Sesungguhnya, ada
banyak faktor yang mendorong keadaan ini dan ada banyak langkah yang boleh diambil untuk
membendungnya daripada terus berlaku.

Kejadian bencana alam sering dikaitkan dengan kemusnahan alam sekitar terutama
kemusnahan hutan belantara negara. Keadaan ini wujud kerana hutan dianggap menjadi
pelindung atau penahan berlakunya kejadian banjir dan kemarau kerana keupayaannya untuk
menakung air dan menyalirkan air dengan baik. Kemusnahan hutan menyebabkan muka bumi
menjadi kosong dan mendorong mudahnya berlaku semua bencana alam ini. Oleh itu,
kemusnahan hutan perlulah dipantau dengan lebih teliti oleh pihak kerajaan.

Malahan, keghairahan negara untuk membangun dengan pesat turut mendorong berlakunya
bencana alam ini. Pembukaan kawasan bandar baru, industri dan kawasan perumahan telah
menyebabkan sistem ekologi yang asal tidak mampu untuk menghalang sebarang kejadian
bencana alam daripada tidak berlaku. Manusia menganggap kemodenan mampu menghalang
bencana alam berlaku lantas terus menerus menjalankan projek pembangunan tanpa
mempunyai rasa takut atau bimbang berlakunya bencana alam di kawasan projek mereka.
Justeru, pembangunan yang pesat memang penting tetapi perlulah dikawal atau dilakukan
dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan sistem ekologi secara drastik.

Tambahan pula, sikap kita dalam menguruskan sumber asli terutama penyelenggaran sungai
dan pembalakan hutan yang tidak praktikal. Naluri manusia yang sering mengutamakan
keuntungan kewangan daripada berfikir secara rasional perkara yang bakal berlaku pada masa
depan telah mengundang padah. Semua sumber alam negara akan terus dieksploitasi kerana
manusia memang menganggap diri mereka lebih baik dan bijak daripada alam. Jadi, bencana
alam akan terus berlaku kerana kegagalan manusia untuk menguruskan sumber alamnya
dengan baik.

Sudah pasti langkah yang paling penting dilakukan ialah kerajaan mengetatkan peraturan
berkaitan dengan alam sekitar dengan lebih baik. Hukuman yang berat harus dikenakan kepada
pesalah-pesalah alam sekitar supaya perkara ini menjadi pengajaran kepada orang lain.
Kerajaan harus menjalankan satu usaha pemeriksaan yang holistik tanpa mengecualikan
sesiapa jua dalam pemeriksaan ini. Jika kerajaan tegas dalam hal ini, sudah pasti masalah ini
mampu diselesaikan dengan mudah.
Malahan, kempen kesedaran terutama kepada generasi muda harus dilaksanakan. Kempen
yang dijalankan itu haruslah sesuai dengan minat dan diri remaja kerana merekalah yang bakal
menghuni negara ini serta mampu menyelesaikan masalah ini. Kempen yang dijalankan secara
terancang mampu menghasilkan satu generasi masyarakat yang menghargai alamnya lebih
baik daripada generasi terdahulu. Jelaslah, kempen yang berkesan mampu menangani isu ini
dengan lebih baik.

Kesimpulannya, bencana alam akan terus berlaku di negara kita. Sikap masyarakat yang
sambil lewa kerana menganggap alam bukan tanggungjawab mereka telah menyebabkan
masalah ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan. Mungkin kita semua lupa bahawa setiap
kali bencana alam melanda negara ini setiap kali itulah ada nyawa manusia yang melayang.
Agaknya kita menilai nyawa manusia sama seperti alam? 

You might also like