You are on page 1of 4

LAPORAN BINA INSAN GURU SEMESTER DUA PROGRAM IJAZAH SARJANA

MUDA PERGURUAN AMBILAN JANUARI 2010

Pada 17 Julai yang lalu, satu program Bina Insan Guru (BIG) telah diadakan
selama satu hari. Program BIG pada semester ini memerlukan para pelatih untuk
mengendalikan satu program motivasi untuk pelajar sekolah rendah. Maka, kami para
pelatih daripada unit Hantu telah memilih Sekolah Kebangsaan Songsang sebagai
lokasi bagi menjalani program BIG pada kali ini. Sekolah tersebut terletak kira-kira 40
kilometer daripada institut dan memakan masa selama 350 minit untuk sampai ke sana
dengan menaiki bas. Sekolah itu mempunyai bilangan murid yang sedikit jika
dibandingkan dengan jumlah murid di sekolah lain.

Pada hari kejadian, kami telah menunggu di garaj bas seawal jam 5 pagi.
Setelah memeriksa segala alatan yang perlu dibawa, bas pun bertolak pada pukul 5.20
pagi. Hampir pukul lapan pagi, kami tiba ke destinasi yang dituju. Setelah menyediakan
segala peralatan dan tempat, maka program dimulakan. Program tersebut melibatkan
murid tahun 6, 5, 4, dan 3. Kami telah berpecah kepada dua kumpulan bagi
mengendalikan program. Murid tahun enam menjalani aktiviti di dalam dewan manakala
selebihnya di perpustakaan.

Saya telah ditugaskan dalam kumpulan yang mengendalikan aktiviti untuk tahun
enam. Aktiviti pertama yang dijalankan ialah ‘ice breaking’ iaitu pembahagian murid
kepada beberapa kumpulan. Setelah dipecahkan kepada beberapa kumpulan, aktiviti
seterusnya dijalankan. Setiap kumpulan dikehendaki mencipta serta melukis logo
kumpulan, nama kumpulan serta motto kumpulan di atas sehelai kertas mahjong yang
telah disediakan. Setiap kumpulan diberi masa selama setengah jam untuk menyiapkan
tugasan yang diberi. Setiap kumpulan mendapat bimbingan daripada kami selaku
fasilitator program tersebut. Setelah selesai menyiapkan tugasan, murid akan
membentangkan hasil kerja kumpulan masing-masing di hadapan. Mereka
menceritakan serba sedikit mengenai hasil kerja yang telah dilakukan.
Tamat aktiviti tersebut, murid telah bergerak ke kantin untuk mengisi perut
setelah tibanya waktu rehat. 20 minit kemudian, aktiviti seterusnya iaitu ceramah
motivasi diteruskan. Ceramah tersebut telah disampaikan oleh saudara Taufik dan
Hidayah. Ceramah tersebut berkisarkan langkah persediaan serta tips-tips dalam
menghadapi peperiksaan yang bakal tiba. Murid-murid telah member tumpuan
sepenuhnya sepanjang ceramah disampaikan. Mereka kelihatan bersungguh-sungguh
dan bersemangat untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan UPSR tidak lama lagi.

Aktiviti seterusnya merupakan latihan dalam kumpulan. Untuk aktiviti ini, satu
permainan telah dijalankan iaitu ‘Kotak Beracun’. Murid-murid telah bergerak ke
belakang dewan dan duduk dalam satu bulatan. Mereka telah diberikan sebiji bola lalu
bola itu diberikan kepada rakan yang sebelah sambil diiringi muzik. Apabila muzik
berhenti, murid yang memegang bola akan melakukan satu perbuatan berdasarkan
nombor yang dipilih. Murid-murid kelihatan begitu gembira melibatkan diri dalam
permainan itu.

Hampir jam satu tengah hari, aktiviti ditamatkan. Sedikit persediaan serta
persiapan dijalankan untuk majlis penutupan. Majlis tersebut berlangsung di dewan.
Majlis tersebut dimulakan dengan ucapan daripada wakil pelatih, iaitu saudara Bukhari.
Setelah itu, pensyarah pengiring iaitu Encik Mustafa Kamal diikuti guru besar sekolah.
Majlis berakhir dengan penyampaian hadiah dan cenderamata daripada pihak institut
kepada sekolah dan sebaliknya. Guru besar mengucapkan jutaan terima kasih dan
berharap program sebegitu dapat diteruskan pada masa hadapan.

Sepanjang program ini dijalankan pelbagai perkara telah saya pelajari dan
perolehi. Bukan mudah bagi seseorang untuk menjayakan satu program dengan lancar
dan baik. Kejayaan tersebut memerlukan kerjasama serta komitmen daripada semua
pihak yang terlibat. Selain itu, saya menyedari bahawa bukan mudah bagi seorang guru
untuk mengawal segala gerak laku murid sama ada semasa pengajaran mahupun
semasa program lain dijalankan. Guru tidak boleh memaksa murid untuk mentaati
segala perintahnya sebaliknya guru haruslah mempunyai pengetahuan serta kemahiran
dalam pengawalan kelas yang baik.
Sesungguhnya program BIG untuk kali kedua ini telah mendatangkan pelbagai
manfaat serta kebaikan kepada diri saya serta rakan pelatih yang lain. Pengalaman
yang diperolehi amat berguna bagi kami dalam menghadapi pelbagai dugaan serta
cabaran di masa hadapan. Diharapkan program ini akan terus dilaksanakan serta
terdapat penambahbaikan daripada segala aspek untuk masa akan datang.

Disediakan oleh,                                                                24 Syawal 1917

............................................

(nama pelatih)

Pelatih PPISMP Unit HANTU,

Institut Pendidikan Guru Kampus Seri Begawan. 


LAMPIRAN

You might also like