You are on page 1of 2

1 APRIL - FFKL: KUNCI KEHEBATAN SONGKET

WARNA sering dianggap elemen penting dalam penataan gaya kerana warna yang
sesuai dengan personaliti menyumbang ke arah keserasian penampilan empunya diri.

Lazim dilihat penampilan warna sama dari atas ke bawah kelihatan keliru dan memenatkan mungkin kerana susunan corak
pada pakaian atau tas tangan menimbulkan sesuatu yang kontras pada pembawa.

Sehubungan itu, walaupun penampilan adalah sedondon dari hujung rambut hingga hujung kaki, warna dan motif pada
pakaian, sepatu atau tas tangan tidak wajar dipandang remeh kerana kesinambungan ketiga-tiga elemen berkenaan
meletakkan anda pada tahap unggul dan menjadi ikutan.

Hal yang sama turut diberi penekanan dalam dunia pembuatan fabrik tenun khususnya songket kerana kombinasi warna dan
motif mencetus gaya terkini atau sebaliknya, penampilan menjadi jelik.

Eksekutif Pemasaran Bibah Songket, Sabrena Shamsul Baharin, berkata warna menjadi elemen utama dalam menentukan
keindahan fabrik tenun dan songket selain motif yang perlu diselaraskan dengan warna pilihan.

“Gandingan warna dan motif meletakkan fabrik tenun pada tahap gah kerana motif dalam tenunan songket variasi sifatnya.
Ada motif tradisional dan ada juga motif moden.

“Justeru, jika menggabungkan warna terang dengan motif tradisional, tentu mata yang melihat tampak janggal. Begitu juga
jika memilih menghasilkan motif moden dengan menata warna bumi, dikhuatiri fabrik berkenaan tidak menyerlah,” katanya
ketika ditemui di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, baru-baru ini.

Sabrena berkata, fabrik tenun adalah satu bahan yang sangat unik dan perlu dikekalkan kehadirannya di sisi masyarakat
kerana fabrik berkenaan bukan setakat unik pada pandangan mata, tetapi proses pembuatannya juga lebih daripada itu
kerana ia dihasilkan oleh percaturan akal dan kreativiti manusia.

Justeru, katanya Fiesta Fesyen Kuala Lumpur (FFKL) anjuran Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) yang mengangkat martabat
songket melalui peragaan fesyen sangat wajar diperteguhkan dan dijadikan acara tahunan memandangkan objektifnya
untuk melestarikan fabrik tenun berkenaan.

Beliau menganggap langkah BHSB memartabatkan songket melalui FFKL sangat terpuji kerana songket adalah satu-satunya
fabrik tenun yang dihasilkan melalui teknik menyongket.

“Keunikan fabrik tenun ini, sebahagiannya terletak pada cara ia dihasilkan. Walaupun kita menghasilkan motif dan warna
moden, cara penyediaan tetap perlu dilakukan dalam kaedah tradisional kerana teknik menenun yang diaplikasikan terhadap
benang sehingga siap sehelai kain,” katanya.

Bibah Songket yang diambil sempena nama ibunya, Habibah Zikri, terkenal dengan reka corak yang unik dan tersendiri.
Sementelahan pula, pengalaman Habibah lebih 30 tahun dalam bidang rekaan tekstil membolehkan Bibah Songket menjadi
antara pengusaha fabrik tenun terkenal kerana motifnya yang cantik dan menampilkan kelainan.
“Saya yakin FFKL akan dianggap pelopor dalam usaha memperkenalkan status songket ke arena antarabangsa. Tidak mudah
untuk kita menembusi pasaran antarabangsa, tetapi dengan adanya acara seperti ini, tidak mustahil agenda peragaan fesyen
menjadi jambatan kepada songket untuk memperluaskan penguasaan dalam bidang fabrik di arena global,” katanya.

Sabrena berkata, fabrik tenun dan songket boleh dipelbagaikan hasilnya bergantung kepada kreativiti pembuat. Begitupun,
jika ingin dijadikan busana, pereka harus peka terhadap potongan busana yang ingin dijahit. Biar ia nampak sesuai dengan
persekitaran busana itu digayakan.

“Antara warna, motif dan fesyen busana, masing-masing memainkan peranan tersendiri. Dalam hal ini, motif dan warna
menyokong keanggunan potongan busana yang dihasilkan.

“Ringkasnya, keserasian perlu ada dalam kerja membabitkan perincian songket. Seunik namanya, buatannya juga unik dan
tersendiri,” katanya.

Selain penenun, FFKL turut diperhebatkan oleh 10 pereka fesyen iaitu Hatta Dolmat, Rizman Ruzaini, Hazwani Othman,
Shegar, Calvin Thoo, Amir Luqman, Aidawati Saidin, Nazreen Idris, Nik Erwan Roseli dan Zery Zamry.

Setiap pereka menyediakan lima busana dengan perincian songket dan akan diperagakan pada acara berkenaan yang
berlangsung di pusat beli-belah One Utama, Bandar Utama pada 6 dan 7 April ini.

Penenun lain yang turut mengadakan kerjasama dengan BHSB bagi menjayakan FFKL antaranya Manang Songket, Bibah
Songket, Sri Gamelan Songket, Zaidah Songket, Atikah Songket TTDI, Terengganu Songket dan Nur Atikah Songket serta
bagi memastikan rekaan yang dihasilkan menepati kehendak penganjur, setiap hasil lakaran pereka akan diselia pensyarah
Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang juga penasihat gaya, Faizal Hamid.

Penaja bagi FFKL, antara lain ialah Secrets, Euro Moda, R&R Craft, Fruitale dan Leesa Formula.

Selain pertunjukan fesyen, orang ramai juga boleh membeli aneka fabrik tenun termasuk songket yang akan dijual
pengusaha pada dua hari itu di pusat beli-belah One Utama, sama ada untuk digayakan pada Aidilfitri yang bakal disambuut
lima bulan saja lagi atau untuk menghadiri acara istimewa.

You might also like