You are on page 1of 2

Pendidikan Seks 

Di Sekolah
Posted on March 1, 2008. Filed under: Berita dan Rencana | Tags: pendidikan seks |

.
Berita Harian; 21 Dec 2005 
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar 

PUTRAJAYA: Murid prasekolah seawal usia empat hingga enam tahun adalah antara lima
kumpulan sasaran yang akan diberi pendedahan mengenai pendidikan seks yang dijangka
dilaksanakan mulai awal tahun depan. 

Empat lagi kumpulan membabitkan pelajar berusia tujuh hingga sembilan tahun yang
dikategorikan sebagai Tahap 2, awal remaja 10 hingga 12 tahun (Tahap 3), remaja 13 hingga 18
tahun (Tahap 4) dan 19 tahun ke atas meliputi mahasiswa, ibu bapa serta warga emas (Tahap 5). 

Perkara itu terkandung dalam draf akhir Garis Panduan Pendidikan Seksualiti Kebangsaan yang
akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet minggu pertama bulan depan. 

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar), berkata garis panduan itu juga
mengandungi enam teras meliputi perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan
kekeluargaan, kemahiran diri, kesihatan dan tingkah laku seksual serta masyarakat dan budaya. 

Beliau berkata, garis panduan itu disediakan kementeriannya serta Kementerian Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat, yang turut menubuhkan jawatankuasa pelaksana untuk
merangka program itu pada semua peringkat umur. 

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menjadi sekretariat bagi
semua program untuk mendidik orang ramai mengenai seksualiti berasaskan garis panduan itu,”
katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Jawatankuasa
Pendidikan Seksualiti Kebangsaan di kementeriannya di sini, semalam. 

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat
Abdul Jalil. 

Hishammuddin berkata, mesyuarat Jemaah Menteri juga akan menentukan bentuk program
pendidikan seksualiti yang sesuai dijalankan kementerian atau agensi masing-masing seperti
menerusi ceramah, video, rancangan televisyen. 

“Bagi Kementerian Pelajaran, pendidikan seksualiti tidak akan dijadikan satu mata pelajaran
khusus tetapi pengisiannya dimasukkan dalam subjek lain seperti Sains, Biologi, Pendidikan
Islam dan Moral, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. 
“Selepas lima tahun, Kementerian Pelajaran akan memperbaharui kurikulum, mempertingkat
kemudahan di sekolah dan mengemaskini latihan guru, barulah kita akan memikirkan untuk
menjadikan pendidikan seksualiti sebagai subjek khas. 

“Ketika ini, Kementerian Pelajaran perlu mengambil kira penekanan lain kepada guru dan
pelajar seperti aspek integrasi nasional, pengenalan subjek bahasa Mandarin dan Tamil,
kokurikulum dan sukan, keselamatan jalan raya serta menggalakkan budaya membaca,”
katanya. 

Sementara itu, Shahrizat berkata, garis panduan itu sangat penting untuk menyediakan asas
kepada golongan muda mengenai perhubungan lelaki dan wanita, perubahan bentuk badan,
emosi, sistem reproduktif, hubungan seks, kehamilan, cegah hamil, pengguguran dan penyakit
kelamin. 

Katanya, remaja perlu dimaklumkan mengenai punca berlaku perubahan bentuk badan
perempuan, tekanan emosi, HIV/Aids, hak dan tanggungjawab diri, pengurusan kemarahan dan
undang-undang yang berkaitan seks serta institusi keluarga. 

Beliau berkata, program di bawah garis panduan itu diharap dapat mengurangkan gejala
sumbang mahram, seks luar nikah, rogol dan jenayah terhadap kanak-kanak serta wanita. 

Dalam ringkasan garis panduan yang diedarkan kepada media semalam, antara topik yang akan
disampaikan di bawah teras kesihatan dan tingkah laku seksual ialah melancap, fantasi seksual,
perkongsian tingkah laku seksual, ketidakfungsian seksual dan respon seksual.

Pendapat aku? Aku rasa pendedahan pendidikan seks untuk


kanak-kanak ni penting walaupun kelihatan agak agresif
dan terlalu awal tapi jika dilihat dari kes-kes yang sering
berlaku di mana ramai kanak-kanak manjadi mangsa nafsu
buas ahli keluarga sendiri dan orang-orang dewasa lain
perlu lebih dipandang serius. Kebanyakan kanak-kanak
yang menjadi mangsa ni tidak mengerti bahawa perlakuan
yang dilakukan ke atas mereka adalah satu kesalahan dan
jenayah.

You might also like