You are on page 1of 4

Tuesday, February 9, 2010

Buli Di Tempat Kerja, Kesan Buruk Bagi Produktiviti?

Oleh Zulkiple Ibrahim

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Kejadian buli di sekolah, sama ada melibatkan pelajar
lelaki atau perempuan, sudah acap kali dilaporkan media. Umum juga kerap diberitahu tentang
tindakan dispilin yang diambil terhadap pelajar dalam kes buli, termasuk dibuang sekolah.

Bagaimana pula dengan kejadian buli di tempat kerja?

Berikut ialah satu situasi yang diceritakan seorang petugas pentadbiran di sebuah syarikat
swasta, Azman Bahar (bukan nama sebenar) yang berusia lewat dua puluhan.

"Saya selalu dibebankan dengan kerja-kerja rumit dan berat oleh pegawai atasan saya. Walaupun
ada rakan lain di pejabat lain yang mempunyai tanggungjawab sama, sayalah yang selalu
dijadikan 'mangsa'.

"Saya jarang dapat pulang tepat selepas tamat waktu kerja seperti petugas lain iaitu pukul 6
petang. Biasanya saya hanya boleh balik kira-kira 8 malam. Bila sudah siap sesuatu kerja,
dengan sengaja saya dilongokkan fail-fail lain walaupun ada orang lain yang semasa itu tiada
tugasan," katanya kepada penulis.

Azman juga mengadu beliau sukar mendapat kebenaran cuti. "Bila saya tunjuk sijil cuti sakit
pun, banyak soalan yang ditanya seolah-olah saya buat-buat sakit", kata beliau lagi.

Kenapa tidak bekerja di syarikat lain saja atau laporkan kepada majikan? Penulis melontarkan
soalan ini kepada graduan perakaunan sebuah IPTA itu.

"Pernah saya laporkan kepada majikan tetapi saya diberitahu itu sebahagian daripada cara hidup
kerja. Kalau kerja di tempat lain pun, tidak tentu perkara sebegini tidak akan berulang," kata
Azman.

TIDAK KENAL TEMPAT


Buli di tempat kerja tidak mengenal tempat.
Bagi Norlina Samad (juga bukan nama sebenar), beliau selalu dibuli oleh rakan setugas yang
lebih senior bila mula-mula bertugas dulu.

"Buli di tempat kerja bukanlah satu rahsia lagi. Petugas yang baru biasanya akan disuruh
menjalankan tugas yang lebih berat bila mula-mula bertugas. Alasannya ialah petugas junior
mesti belajar, tetapi sebenarnya 'buli' yang berselindung di sebalik tugasan," kata beliau.

Bagi pensyarah serta juga aktivis sosial Abdul Rashid Ismail, buli di tempat kerja tidak dapat
dielak.
"Buli ialah satu penyakit sosial dan ia boleh berlaku dimana-mana sahaja".

APA ITU 'BULI' DI TEMPAT KERJA?

Menurut Abdul Rashid, tiada definisi tentang buli secara 'universal'.


Kata beliau, masyarakat memahami tabiat buli di tempat kerja sebagai satu 'tindakan berulang
yang tidak munasabah ditujukan kepada pekerja yang menyebabkan kemudaratan kepada
kesihatan atau keselamatan'.

"Terdapat beberapa jenis buli. Antaranya kata-kata pedas atau kesat, tindakan meminggirkan
pekerja, menyuruh pekerja berbuat kerja yang tidak bersangkut-paut dengan bidang tugas serta
gangguan psikologi.

"Tindakan buli yang lain ialah memberikan tugas yang memang tidak boleh dilaksanakan,
sengaja menukar jadual kerja tanpa sebab selain untuk menyusahkan petugas dan sengaja
menyembunyikan maklumat bagi menghalang atau menyusahkan petugas melaksanakan
tugasan," kata beliau.

Katanya tiada undang-undang yang spesifik bagi melindungi mangsa buli di tempat kerja,
melainkan jika ada kekerasan fizikal serta ancaman berlaku barulah boleh digunakan kanun
jenayah.

JANTINA SERTA KETURUNAN

Menurut Abdul Rashid, ada beberapa kes buli disebabkan jantina serta keturunan dan juga
personaliti.

"Mangsa buli akan mengalami stres. Begitu juga bagi saksi yang melihat insiden buli, mereka
akan mengalami ketakutan serta gangguan emosi," kata beliau.

Menurut Abdul Rashid, bagi yang melakukan buli mereka mungkin berasa seronok
melakukannya dan tiada rasa penyesalan akan timbul. Malangnya mangsa buli mungkin akan
melakukan perkara sedemikian sebagai 'membalas dendam' terhadap orang lain pula.

Buli juga tidak mengenal jantina.

"Buli tidak terhad hanya pada kaum lelaki, wanita juga ada kebolehan membuli. Biasanya lelaki
hanya akan membuli lelaki juga tetapi ada insiden wanita membuli kaum sejenis dan juga lelaki,"
kata beliau.

TIDAK BAIK BAGI PRODUKTIVITI

Pakar psikologi Dr Anne Ng berkata buli akan membuat mangsa mengalami masalah kesihatan
berpunca daripada stres dan ketegangan.
"Terdapat beberapa indikasi klinikal yang dialami mangsa buli antaranya seperti keresahan, naik
berat badan (tanpa makan berlebihan), sakit kepala, sakit belakang, rasa mual, ulser di mulut,
insomnia (tidak boleh tidur), mimpi buruk, radang kulit, diarhea serta iritasi perut, tekanan darah
tinggi, murung, serta kurang keyakinan diri," kata beliau.

Dr Ng menjelaskan bahawa buli di tempat kerja bukan sahaja berkenaan masalah kerja tetapi
boleh juga dalam bentuk kata-kata kurang manis menyentuh hal peribadi seperti keluarga, gaya
hidup, bentuk dan berat badan, pakaian serta penampilan.

Buli juga meliputi diskriminasi terhadap kurang keupayaan atau masalah perubatan, kata beliau.

Buli di tempat kerja akan mengakibatkan penurunan produktiviti.

"Mangsa akan sakit dan akan kerap mengambil cuti sakit. Ataupun mangsa akan kerap
mengambil cuti untuk mengelak daripada dibuli dan ini secara langsung akan merendahkan
produktiviti kerja beliau serta juga organisasi pada keseluruhannya," kata Dr Ng.

BAGAIMANA HINDARI BULI?

Jadi bagaimana hendak mengelak diri daripada dibuli?

Bagi Dr Ng, senjata utama ialah hanya dengan 'membuat tidak tahu atau tidak kisah'.

"Pembuli akan merasa seronok apabila mangsa memberi respons. Mereka akan cuba sedaya
upaya untuk membuat mangsa tidak selesa. Senjata utama ialah hanya membuat tidak kisah dan
ini akan melemahkan semangat si pembuli.

"Bila pembuli mula mengusik anda, reaksi anda yang tidak ambil kisah akan membuatkan dia
berasa hampa dan lambat laun dia akan menghentikan perbuatannya", kata Dr Ng.

Satu lagi cara ialah dengan mewujudkan satu perwatakan yang anda bukannya seorang yang
senang dibuli. Pembuli di ofis biasanya hanya akan mencari mangsa daripada mereka yang
dianggap lemah serta tidak berupaya melawan balik.

"Bina satu tanggapan yang anda bukannya senang dipermain. Tampilkan personaliti penuh
berkeyakinan kerana biasanya si pembuli memerhatikan penampilan seseorang dan akan berfikir
dua kali sebelum bertindak terhadap individu yang dilihat mempunyai keyakinan tinggi," kata
beliau.

Bagaimana dengan pembuli tegar?

Kata Dr Ng, ada juga pembuli tegar yang tidak peduli dengan penampilan atau sikap tidak kisah
mangsa.

"Cari beberapa rakan ofis yang pernah jadi mangsa bulinya dan bersemukalah dengan si
pembuli. Kalau ini tidak memberikan hasil, anda terpaksa laporkan kepada majikan.
Sudah tentu masalah anda akan didengar kerana tabiat buli akan menurunkan produktiviti di
tempat kerja".

http://rsyadhussin.blogspot.com/2010/02/buli-di-tempat-kerja-kesan-buruk-bagi.html

You might also like