You are on page 1of 1

Kesan-kesan Kenaikan Harga Minyak

Dewasa ini, isu kenaikan harga minyak begitu hangat diperkatakan dalam
media massa. Baru-baru ini, kerajaan terpaksa menaikkan harga minyak iaitu
sebanyak 78 sen seliter. Ini tidak dapat dielakkan kesan daripada kenaikan harga
minyak di pasaran dunia. Fenomena ini bukan sahaja berlaku di negara kita, malahan
ia turut berlaku di negara-negara lain. Selain itu, pelbagai tunjuk perasaan telah
berlaku sebagai tanda protes dengan kenaikan harga minyak ini.

Kenaikan harga minyak telah memberikam impak yang besar kepada


masyarakat di negara kita. Harga barangan telah melambung tinggi atas alasan
kenaikan harga minyak. Justeru itu, masyarakat menjadi tertekan terutamanya yang
tinggal di kota-kota besar. Maka, untuk golongan yang berpendapatan kecil, ia seolah-
olah kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

Bukan itu sahaja, ada sesetengah golongan peniaga yang tidak beretika yang
telah mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan dengan sesuka hati
dengan kenaikan harga minyak ini. Malah, fenomena ini menjadi amat berleluasa
akibat kekurangan pemantauan daripada pihak berkuasa. Akhirnya, rakyat menjadi
mangsa dan golongan peniaga pula memperolehi laba yang berlipat ganda.

Kesan kenaikan harga minyak yang lain ialah peningkatan dalam kos
perkhidmatan. Para pengusaha telah memberi seribu macam alasan sehingga harga
tambang bas meningkat sekali ganda dan ini pastinya menekan para pengguna. Para
pengusaha telah menggunakan alasan kos penyelenggaraan telah meningkat termasuk
kos alat ganti akibat kenaikan harga minyak untuk menaikkan kos perkhidmatan.
Maka, masyarakat terpaksa menerimanya kerana mereka tiada pilihan lain
memandangkan itulah pengangkutan untuk anak-anak mereka pergi ke sekolah.

Selain itu, terdapat juga sesetengah golongan yang turut bertindak


“menangguk di air yang keruh”. Mereka menaikkan harga barangan seperti pakaian,
alat tulis, buku dan pelbagai lagi. Golongan ini telah memberi alasan yang kos
pengangkutan dan penghantaran telah meningkat dengan mendadak. Maka, apa yang
pasti ialah setiap sudut yang melibatkan perniagaan telah meningkat dari segi harga
barangan yang diniagakan.

Di samping itu, yuran pembelajaran anak-anak turut mengalami nasib yang


sama. Pengusaha pusat-pusat tuisyen dan kolej swasta turut tidak ketinggalan dalam
menaikkan yuran bulanan mereka dengan alasan kos pemberian kertas telah
meningkat. Mereka turut mendakwa yang mereka terpaksa membayar gaji yang tinggi
kepada pengajar.

Sebagai intiha, dapat disimpulkan bahawa kenaikan harga minyak telah


memberikan kesan kepada masyarakat. Oleh itu, mereka terpaksa bijak berbelanja dan
berhemah dalam apa jua yang dilakukan. Hal ini penting supaya mereka dapat
mengimbangi senario yang melanda negara buat waktu ini. Justeru itu, kerajaan
mestilah bijak dalam memainkan peranan supaya rakyat tidak terus tertindas agar
keharmonian yang dinikmati ini tidak terjejas gara-gara rasa tidak puas hati dalam
kalangan mereka.

You might also like