You are on page 1of 9

Latar Belakang Kajian

Proses menulis karangan merupakan kemahiran yang paling sukar untuk dikuasai (Nik
Safiah Karim, 2004; Abdul Shukor Shaari, 2001) berbanding dengan kemahiran-kemahiran
bahasa yang lain dan banyak orang tidak mahir menulis (Ahmad Khair Mohd. Nor, 2005).
Kemahiran mengarang juga dikatakan kemahiran tertinggi dalam peringkat kemahiran
bahasa dan paling sinonim dengan mata pelajaran Bahasa Melayu (Nawi Ismail, 2002).
Oleh yang demikian, proses menulis memerlukan aktiviti pemikiran iaitu pemikiran sebelum
menulis karangan, semasa menulis karangan, dan proses pemikiran yang dialami selepas
karangan dihasilkan (Suppiah Nachiappan, 2006). Ismail Ahmad (2004) menegaskan
bahawa penulisan adalah aktiviti kognitif yang dilakukan oleh orang yang berilmu serta
menekankan penyebaran ilmu. Untuk menguasai tujuan tersebut, pengajaran bahasa
memerlukan masa dan peluang yang sesuai bagi menjadikan murid penulis terbaik. Dalam
penghasilan penulisan karangan, murid-murid mengalami dua proses iaitu proses dalaman
dan proses luaran (Siti Zaleha M. Hashim, 2005). Justeru, proses pengajaran dan
pembelajaran kemahiran menulis seharusnya dilaksanakan dengan berkesan (Roselan
Baki, 2003).

Penguasaan kemahiran menulis bukan hanya bergantung kepada bakat semata-mata malah
dipengaruhi juga oleh pengajaran menulis yang bersistem dan berkesan (Yahya Othman,
2005; Ahmad Khair Mohd. Nor, 2005). Oleh itu, dalam pengajaran kemahiran menulis,
penguasaan peringkat asas adalah dimulakan dengan menulis huruf, perkataan, ayat dan
akhirnya sebuah wacana yang dapat difahami apabila dibaca (Yahya Othman, 2005). Dalam
penghasilan sesebuah penulisan, pengarang juga perlu menyampaikan idea secara jelas,
tepat, dan berkesan. Pemilihan kata perlu disesuaikan dengan tujuan karangan sama ada
untuk tujuan perbahasan, memujuk, memberi pendapat, atau untuk bercerita.
Perkembangan isi dan huraian juga dibuat dalam bentuk perenggan yang mencirikan
kesatuan sesebuah karangan. Oleh itu, murid perlu mendapat pendedahan dan mengetahui
teknik menulis yang baik semasa di bangku sekolah. Penguasaan kemahiran menulis juga
dapat membantu memantapkan penggunaan bahasa yang mengandungi nilai estetika
seperti yang terdapat dalam penulisan karangan fakta, naratif, sajak, pantun dan
sebagainya. Namun, kegagalan dalam menguasai kemahiran menulis mengakibatkan
pelajar sukar hendak menyatakan mesej dalam bentuk tulisan.

Haron (1990) dalam Yap Kim Fatt (1991) berpendapat bahawa penulisan melibatkan
kemahiran menyampaikan maklumat, idea, perasaan, dan pandangan yang terdapat dalam
pemikiran penulis melalui bahasa dan bukan sekadar menyusun atau menggubah
perkataan, frasa dan ayat. Kemahiran mengarang mampu dikuasai oleh sesiapa sahaja
sekiranya terdapat pengubahsuaian kurikulum dan juga penyediaan bahan pengajaran yang
sesuai (Faridah Serajul Haq dan rakan-rakan, 2001). Proses pengajaran dan pembelajaran
kemahiran menulis juga perlu diberi perhatian bagi menjamin kecemerlangan pencapaian
penulisan dalam kalangan murid. Dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran, guru
seharusnya memiliki pengetahuan kandungan, pengatahuan am, kemahiran pedagogi dan
sikap yang menggalakkan pembelajaran agar pengajaran mereka berkesan (Syed Lutfi
Syed Hamzah, 1994).
Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia Semakan (2003), menegaskan bahawa tumpuan dalam
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia (BM) ialah supaya murid dapat
menggunakan BM secara berkesan dalam kehidupan harian, bidang pekerjaan dan sebagai
bahasa ilmu untuk pembelajaran seumur hidup. Selain itu, dalam pengajaran bahasa
khususnya penulisan, guru juga perlu mempertimbangkan pelbagai gaya pembelajaran,
minat dan kecerdasan yang berbeza antara satu sama lain dalam kalangan murid dengan
menggunakan strategi berpusatkan murid.

Kementerian Pelajaran berusaha untuk menerapkan kemahiran berfikir dalam kalangan


pelajar dengan memberi penekanan kepada proses kognitif dalam isi pelajaran dan
pengetahuan. Proses kognitif seperti yang terkandung dalam kurikulum dikembangkan
melalui isi kandungan yang dipelbagaikan dari segi pendekatan, strategi berfikir serta
mempunyai kualiti intelek yang tinggi. Dalam konteks pelaksanaan Kurikulum Bersepadu
Sekolah Menengah (KBSM), guru harus melakukan penerapan nilai murni, dan penggunaan
bahan yang merentas pelbagai disiplin dalam proses pengajaran (Roselan Baki, 2003).
Teknik pengajaran guru juga mestilah sesuai dengan kebolehan murid dengan mengambil
kira penggunaan kaedah pembelajaran berasaskan kajian masa depan, kecerdasan
pelbagai dan konsep konstruktivisme untuk meningkatkan minat murid terhadap pelajaran.
Penggunaan pendekatan pembelajaran koperatif merupakan satu daripada ciri
pembelajaran konstruktivisme yang membolehkan murid memiliki lebih kemahiran sosial.
Pembelajaran secara konstruktivisme juga membolehkan murid memperoleh beberapa
kemahiran seperti lebih berfikir, lebih memahami, lebih mengingati, berkeyakinan,
berinteraksi dan menyeronokkan (Pusat Perkembangan Kurikulum 2001).
Kaedah pengajaran yang digunakan dalam kelas menjadi salah satu faktor yang
membuatkan murid menjadi pasif dan kurang berinteraksi sesama rakan dalam melakukan
tugasan. Oleh itu, salah satu teknik yang dapat membantu guru dan murid dalam
melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran ialah menggunakan Kaedah
Pembelajaran Koperatif (KPK). KPK merujuk kepada kaedah pengajaran yang memerlukan
murid yang terdiri daripada pelbagai kebolehan bekerjasama dalam kumpulan kecil untuk
mencapai satu matlamat yang sama (Slavin, 1982).

Sasaran utama adalah tahap pembelajaran yang maksimum bukan sahaja untuk diri sendiri,
tetapi juga untuk rakan-rakan yang lain. Lima unsur asas dalam pembelajaran koperatif iaitu
saling bergantung antara satu sama lain secara positif, saling berinteraksi secara
bersemuka, akauntabiliti individu atas pembelajaran diri sendiri, kemahiran koperatif, dan
pemprosesan kumpulan. Pembelajaran koperatif menjadi popular pada tahun 1980-an
kerana positifnya terhadap pencapaian iaitu yakin diri, kedinamikan pergaulan antara
individu dan motivasi diri (Mahzan Arshad, 2003). Strategi ini juga menegaskan bahawa
murid seharusnya tidak dibezakan dengan warna kulit, keturunan, agama, jantina mahupun
mental masing-masing (Kamaruddin Tahir, 2005). Semangat kerjasama, tolong menolong
dan bertindak sebagai satu pasukan perlu dibajai dalam diri murid agar menjadikan murid
lebih faham, yakin dan seronok untuk belajar (Johnson & Johnson, 1989).
Prinsip-prinsip Pembelajaran Koperatif
Terdapat 5 elemen yang perlu dipegang dalam KPK (Johnson dan Johnson, 1994).
Antaranya ialah ahli-ahli saling bergantung secara positif. Setiap ahli kumpulan mesti sedar
bahawa mereka mempunyai kaitan dengan orang lain dan usaha untuk melakukan sesuatu
tidak akan berjaya jika usaha tidak dilakukan bersama. Setiap ahli kumpulan harus sedar
mereka saling bergantung dalam melaksanakan beban tugas. Dalam hal ini, ahli-ahli
kumpulan sedar mereka tenggelam bersama-sama. Sehubungan itu, interaksi bersemuka
merupakan salah satu elemen yang terdapat dalam KPK. Dalam elemen ini, setiap ahli perlu
berkomunikasi secara bersemuka, membuat kerja bersama dan menunjukkan kesungguhan
untuk berkongsi maklumat dan berbincang dalam melaksanakan dan menyempurnakan
tugasan dan mencapai matlamat kumpulan.

Rasa tanggungjawab untuk menyiapkan tugasan antara ahli kumpulan juga terkandung
dalam elemen KPK. Setiap kumpulan bertanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri dan
mesti mempunyai kesedaran untuk bekerjasama dan meyumbang tenaga untuk
melaksanakan sesuatu tugasan dengan sempurna. Setiap orang dalam kumpulan harus
belajar dan terlibat secara aktif untuk membantu kumpulannya berjaya (Jacobs, 1995).
Selain itu, kemahiran sosial perlu diberi penekanan yang berfungsi secara berkesan dalam
kumpulan. Kemahiran sosial penting kerana tanpa kemahiran sosial, ahli kumpulan akan
menghadapi kesukaran dalam melaksanakan aktiviti kumpulan. Antara kemahiran sosial
yang harus ditekankan kepada ahli kumpulan ialah aspek kepimpinan, saling percaya,
kemahiran komunikasi, membuat keputusan dan sebagainya. Prinsip yang terakhir ialah
pemprosesan kumpulan. Tugasan perlu dilakukan secara muafakat dan keputusan yang
dibuat adalah hasil persetujuan bersama. Setiap ahli harus saling bantu-membantu,
membuat keputusan bersama dan berusaha membuat pembaikan dalam tugasan. Dalam
hal ini, guru dan murid harus berupaya membuat refleksi sejauhmana P&P telah berjaya
(Kagan, 1994).

Implikasi Pembelajaran Koperatif terhadap Kemahiran Menulis


Kajian-kajian yang dilakukan telah menunjukkan keberkesanan pembelajaran koperatif dari
segi pencapaian akademik di samping meningkatkan proses sosialilasi murid. Melalui
kaedah pembelajaran koperatif ini, murid berpeluang meneguhkan domain kognitif dan
domain efektif.

Berdasarkan domain afektif, Sharon & Slavin (1989) dalam Zakaria Kassim (2003)
menyatakan pembelajaran koperatif meninggalkan pelbagai kesan yang dapat dikenal pasti
seperti lebih bekerjasama, saling meningkatkan harga diri dan menyayangi sekolah. Kajian
yang dijalankan menunjukkan murid yang belajar secara koperatif lebih bekerjasama dan
saling bergantungan antara satu sama lain berbanding kaedah pembelajaran secara
individu.

Setelah dapat bekerjasama dalam kumpulan mereka juga akan saling menerima dan
bertukar-tukar idea antara satu sama lain. Perhubungan dengan individu akan mewujudkan
persahabatan tanpa mengira kaum dan kedudukan. Seterusnya pelajar berasakan diri
mereka diterima dan dihargai oleh rakan-rakan. Harga kendiri mereka akan meningkat dan
secara tidak langsung mereka akan lebih menyanyangi sekolah dan berminat untuk belajar.

Sehubungan itu, Johnson and Johnson (1994) dalam Mahzan Arshad (2003) menjelaskan
bahawa belajar secara berkoperatif memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat dalam
aktiviti sosial dalam bilik darjah dengan aktif. Kumpulan pembelajaran berkoperatif boleh
terdiri daripada tiga orang atau lebih dalam satu-satu kumpulan. Ahli-ahli dalam kumpulan
perlu bekerjasama untuk mencapai objektif pembelajaran. Secara tidak langsung, mereka
perlu menguatkan nada suara supaya didengari dan difahami oleh ahli kumpulan lain.
Teguran sesama ahli perlu dilakukan dengan sewajarnya agar dinamik kumpulan tidak
hancur dan gerak kerja berjalan lancar.

Zakaria Kassim (2003) bersetuju bahawa kaedah pembelajaran koperatif dapat


mengendalikan pelajar melaksanakan tugas-tugas secara bersemuka. Kaedah
pembelajaran koperatif juga mendorong pelajar berinteraksi dan berkomunikasi dengan
rakan sebaya secara harmoni. Dengan cara demikian, kaedah pembelajaran koperatif
memupuk nilai-nilai murni seperti kejujuran, bekerjasama, saling menghormati,
bertanggungjawab, bertolak-ansur berperikemanusiaan, sanggup berkorban sepakat dan
berinisiatif. Pelaksanaan tugas secara berkoperatif dapat menumpukan pelakuan dan
keyakinan diri murid.
Berdasarkan domain kognitif pula, kajian oleh beberapa tokoh pengkaji (Deuttsh, 1949;
Thomas, 1957; Hulten dan De Vries, 1976; Madden dan slavin, 1983; Robert E. Slavin,
Terjemahan Nurulita, D.Zubaedi, 2008) menunjukkan pembelajaran koperatif boleh
meningkatkan pencapaian dan kemahiran kognitif pelajar. Pembelajaran koperatif yang
menggunakan kerjasama dalam kumpulan kecil yang terdiri daripada pelajar dari pelbagai
kebolehan membolehkan pelajar bekerjasama untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan
bagi menghasilkan pembelajaran secara maksimum. Dalam hal ini, kerjasama dalam
kumpulan sangat diperlukan supaya setiap individu dapat mencapai apa yang dihasratkan
dan dapat memperoleh manfaat bersama (Kagan, 1994).

Sehubungan itu, semua kaedah belajar bersama menekankan tanggungjawab setiap ahli
dalam kumpulan dengan tidak mengambil kira pencapaian akademik. Apabila yang cerdas
berada dalam kumpulan yang kurang cerdas, namun ia akan memberi faedah kepada
golongan yang berbeza dalam satu kumpulan (Robert E. Slavin, 2008).

Jika dijalankan dengan sempurna, setiap pelajar mempunyai tanggungjawab untuk


menguasai sesuatu subtopik serta berpeluang berkongsi pengetahuannya dengan ahli
kumpulan yang lain. Untuk tujuan ini, pelajar perlu betul-betul memahami subtopik itu, bukan
sekadar menghafal sesuatu topik. Ini mengakibatkan pemprosesan pada aras yang lebih
tinggi, yang meningkatkan daya ingatan dan seterusnya membolehkan mereka
menunjukkan pencapaian yang lebih baik.

Justeru, kumpulan murid yang diajar dengan pendekatan pembelajaran koperatif mencatat
pencapaian yang lebih tinggi berbanding dengan kumpulan murid yang diajar melalui
kaedah tradisional (Cheah dan Poon, 1998). Dengan menggunakan kaedah kumpulan kecil,
pelajar-pelajar dapat berkongsi kekuatan dan membaiki kelemahan masing-masing. Selain
itu, kemahiran interpersonal dapat dibentuk selain daripada belajar menyelesaikan masalah
bersama-sama. Melalui penempatan ke dalam kumpulan dan memberi tugasan kepada
mereka menyebabkan mereka perlu bekerjasama, saling bergantung antara satu sama lain.
Tanggungjawab menyelesaikan tugasan merupakan kaedah yang amat baik untuk memberi
peluang kepada pelajar memenuhi keperluan sosial mereka. Permuafakatan ini akan
membantu dan menggalakkan pembelajaran yang aktif.

KPK boleh menjadi satu asas yang kukuh untuk membina peribadi insan mulia, menanam
nilai-nilai positif hidup bermasyarakat selain membantu perkembangan emosi dan mental
pelajar (Robert E. Slavin, 2008). Perkembangan koperatif tidak hanya berperanan
meningkatkan prestasi akademik sahaja, malah harus dilihat dalam aspek yang lebih luas
iaitu pembentukan sahsiah generasi akan datang.

Sehubungan dengan itu, beliau bersutuju bahawa KPK juga mendorong pelajar
meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran. Murid lebih cenderung dan
berminat belajar sambil bertukar-tukar pendapat atau berinteraksi dengan rakan. Ini jelas
menunjukkan bahawa kaedah pembelajaran koperatif menyumbang kepada peningkatan
pelajar jika dibandingkan dengan kaedah pembelajaran secara tradisonal.

Rumusan
Berdasarkan tinjauan dan kajian yang dijalankan, jelaslah bahawa strategi pengajaran dan
pembelajaran secara koperatif mendatangkan kesan yang positif sewaktu sesi pengajaran
dan pembelajaran dalam kelas rawatan. Sikap dan perlakuan mereka didapati mengalami
perubahan menerusi pembelajaran koperatif. Mereka melibatkan diri secara aktif dalam
segala aktiviti yang dirancang oleh guru kerana mempunyai tanggungjawab untuk
menaikkan imej kumpulan masing-masing. Semangat perpaduan, kerjasama dan saling
bantu membantu amat penting memandangkan kaedah pembelajaran yang menekankan
persaingan. Oleh itu, pengkaji berpendapat bahawa pembelajaran koperatif juga sesuai
digunakan dalam apa jua mata pelajaran yang hendak diajarkan kepada pelajar.

Implikasi Terhadap Guru


Dalam pembelajaran koperatif, guru berperanan sebagai ’supervisor’ untuk menggalakkan
aktiviti pembelajaran. Guru juga perlu memberi bantuan kepada setiap kumpulan yang
memerlukan bantuan, menjelaskan atau menerangkan perkara yang menjadi kekeliruan
setiap murid. Selain itu, guru perlu menunujukkan hubungan yang mesra dan bermakna
kepada setiap kumpulan dan membantu menghubungkan apa yang telah dipelajari dalam
konteks yang lebih luas berkaitan mata pelaran yang diajarkan. Hal ini bermakna dalam
pembelajaran koperatif, guru perlu merancang dan menyusun proses pengajaran dan
pembelajaran dengan lebih teliti. Dengan cara ini guru dapat mempelbagaikan corak
interaksi (murid dengan guru dan sebaliknya) dalam proses pengajara dan pembelajaran
dalam bilik darjah.
Rumusan Kajian
Sebagai rumusannya, dapatan kajian ini membuktikan keberkesanan KPK dalam
meningkatkan prestasi penulisan karangan fakta dan karangan naratif murid tingkatan dua
bukan Melayu. Murid-murid berpencapaian sederhana dijadikan sampel kajian ini. Walau
bagaimanapun, teknik Putaran Giliran dan Meja Bulat mempunyai kekuatan dan kelemahan
dalam penulisan karangan. Kekuatannya teknik ini dapat memotivasikan serta dapat
memberikan keseronokkan kepada murid pada masa pengajaran dan pembelajaran
berjalan. Keseluruhan aktiviti membolehkan mereka bergerak, dan mengaktifkan bilik darjah
serta dapat menceriakan suasana pengajaran dan pembelajaran.

Aktiviti ini juga melatih murid untuk mendengar arahan dengan teliti dan seterusnya
melaksanakan arahan dengan cepat dan tepat, sekali gus dapat menyemaikan sikap
tanggungjawab antara ahli kumpulan. Dalam KPK ini, murid yang cerdas dapat membantu
murid yang lemah sama ada secara langsung atau idak langsung. Perkongsian maklumat ini
dapat membantu mereka menghasilkan karangan yang lebih baik.

Bagi murid yang kurang mampu dalam kemahiran berfikir, teknik Putaran Giliran dapat
meningkatkan keupayaan mereka dalam penulisan karangan. Mereka dapat memberikan
pendapat dan mendengar komen daripada kumpulan yang lain. Namun demikian, guru pelu
sentiasa membimbing murid untuk mendapatkan hasil pembelajaran yang lebih positif.

Teknik ini juga dapat memdorong murid untuk matang dalam berfikir kerana proses
pemerolehan maklumat yang relevan, penyaringan maklumat dan penghasilan maklumat
dalam bentuk lisan dan tulisan yang memerlukan penjanaan fikiran. Sekiranya aktiviti ini
berterusan, murid dapat berfikir dengan matang yang boleh membantu penghasilan
penulisan karangan yang baik. Keberanian dalam mengemukakan pendapat dan kebolehan
mengawal emosi merupakan aspek yang penting bagi melahirkan murid yang berwibawa,
dan berfikiran positif. Sikap ini akan dapat memupuk sikap rasional dalam diri mereka.

Walau bagaimanapun, penggunaan teknik ini juga ada kelemahannya. Dalam proses
pengajaran karangan, teknik Putaran Giliran boleh menyebabkan kelas menjadi bising.
Keadaan ini beleh mengganggu pembelajaran sekiranya tidak dikawal dengan baik oleh
guru. Justeru,guru perlu mentadbir kelas dengan baik dan mengatur serta memastikan
pembelajaran berlaku setiap masa.

Dari segi masa, proses pembelajaran menggunakan teknik ini memerlukan masa yang lebih
panjang, terutamanya bagi aktiviti pengumpulan dan penyaringan maklumat. Penyaringan
maklumat memerlukan ketelitian agar hasil yang diperoleh tepat dan relevan. Perbincangan
dapatan kajian ini selaras dengan kajian Masitah Zainuddin (2005), dalam kajiannya tentang
keberkesanan teknik pembelajaran koperatif dalam penulisan karangan BM pelajar tingkatan
dua. Kaedah yang digunakan adalah kaedah eksperimen yang memakan masa selama
hampir sebulan. Sampel kajian terdiri daripada 30 orang pelajar sekolah menengah, di
daerah Kangar, Perlis. Hasil kajian mendapati bahawa pembelajaran koperatif berjaya
meningkatkan penulisan dalam karangan setelah sesi rawatan dijalankan. Pelajar didapati
bekerjasama, tolong menolong dan bertindak sebagai satu pasukan yang mantap tanpa
mengira perbezaan yang wujud sesama mereka. Pembelajaran koperatif juga boleh
membina kemahiran menulis yang berkualiti tinggi di samping mengatasi masalah
kesantunan mengembang, menghurai, menjana supaya lebih mantap dan bernas.

Cadangan Kajian
Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa penggunaan KPK dalam proses pengajaran dan
pembelajaran memberikan kesan positif dalam meningkatkan pencapaian murid khususnya
dalam penulisan karangan fakta dan karangan naratif.

Dapatan ini diharap dapat membuka minda para pendidik, khasnya guru bahasa Malaysia
untuk membuat refleksi tentang kaedah pengajaran yang mereka amalkan dalam bilik
darjah. Guru-guru hendaklah berusaha untuk menggunakan KPK dalam pengajaran
karangan dengan memperbanyakkan aktiviti kumpulan belajar bersama supaya murid dapat
berbincang dan berkongsi masalah dalam penulisan karangan. Sewaktu teknik ini
dilaksanakan, guru berpeluang untuk memantau penggunaan bahasa murid, sama ada
dalam lisan mahupun tulisan.Guru juga perlu sentiasa membaiki kesilapan bahasa murid
dalam semua aspek. Semakan yang teliti terhadap penulisan murid perlu diadakan dari
semasa ke semasa agar mempertingkatkan lagi penguasaan kemahiran menulis dalam
kalangan murid.lisan karangan yang me

Hasil karangan sebahagian murid yang kurang memuaskan adalah berpunca daripada jarak
jarak masa yang terlalu lama antara aktiviti prapenulisan dengan penulisan karangan.
Teknik Putaran Giliran dan Meja Bulat telah mampu menyediakan minda murid untuk
menulis karangan. Namun demikian, kesediaan terganggu oleh sebab had masa yang
ditetapkan. Oleh itu, dicadangkan agar masa untuk pengajaran dan pembelajaran penulisan
karangan yang menggunakan teknik ini dipanjangkan sehingga murid selesai menulis
karangan. Waktu satu jam biasanya diperuntukkan untuk pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Malaysia tidak sesuai untuk pengajaran kemahiran menulis karangan menggunakan
teknik pembelajaran koperatif. Ini adalah disebabkan penulisan karangan merupakan satu
pakej PKP yang tidak boleh diasing-asingkan. Aliran idea terhenti dan mewujudkan
keinginan yang berlainan pada masa murid menulis. Walau bagaimanapun, dicadangkan
agar percubaan lain dibuat pada masa akan datang, iaitu masa untuk aktiviti yang
menggunakan kedua-dua teknik ini dalam prapenulisan diteruskan hingga terhasilnya
karangan tanpa terikat dengan waktu satu jam yang ditetapkan. Hal ini bertujuan untuk
memastikan sama ada pencapaian murid boleh berubah dengan cara ini ataupun tidak.

Cadangan Kajian Lanjutan


Kepada pengkaji-pengkaji pula, dapat disimpulkan bahawa sebagai sebuah kajian kecil
mempunyai kelemahan yang tersendiri. Justeru, beberapa peruntukan cadangan
dikemukakan. Antara cadangannya ialah pengkaji perlu menggunakan jumlah sampel yang
mewakili sekolah berpencapaian baik untuk melihat sejahmana keberkesanan KPK terhadap
murid cemerlang. Selain itu, pengkaji perlu menggunakan masa kajian yang lebih lama
supaya lebih banyak masa dapat diberikan untuk proses rawatan dengan menggunakan
KPK. Kepelbagaian jenis karangan juga perlu diuji dan diajar dengan KPK supaya dapat
ditentukan sama ada kaeadah ini sesuai dilaksanakan dalam semua jenis pengajaran
karangan.

Kesimpulan
Kajian ini telah berusaha untuk melihat sejauhmana keberkesanan KPK dalam penulisan
Bahasa Malaysia. KPK merupakan teknik yang bukan sahaja boleh dilaksanakan dalam
pengajaran dan pembelajaran penulisan karangan, malah dalam semua bentuk
pembelajaran. Kajian-kajian yang terdahulu telah berjaya membuktikan KPK dari segi
keberkesannya untuk meningkatkan pencapaian akademik murid di samping meningkatkan
motivasi, kerjasama, tanggungjawab pelajar dalam pembelajaran. Sehubungan itu, untuk
melihat keberkesanan KPK ini, banyak perkara yang perlu diberikan perhatian khususnya
komitmen yang tinggi daripada pihak guru agar penggunaan teknik ini dapat memberikan
hasil yang optimum.
Abd. Aziz Abd. Talib (2000). Pedagogi bahasa Melayu: Prinsip, kaedah dan teknik.
Kuala Lumpur: Utusan Publication&Distributors Sdn. Bhd.

Ahmad Zaini Yaacob (2000). Keberkesanan pembelajaran koperatif dalam


meningkatkan penulisan bahasa Melayu di kalangan pelajar tingkatan 4 luar
bandar. Kertas Projek Sarjana Pendidikan yang Tidak Diterbitkan Fakulti
Pendidikan, Universiti Malaya.

Pendekatan yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran matematik


pada masa kini adalah berpusatkan guru dan latih tubi secara individu. Namun
begitu, tidak semua pelajar dapat mengikuti pendekatan tersebut dengan baik.
Ini adalah disebabkan terdapat di kalangan pelajar yang mempunyai tahap
pengetahuan dan kemahiran yang berbeza-beza diantara satu sama lain. Maka
adalah malang bagi pelajar lemah untuk bersaing dengan pelajar bijak dalam
satu masa dan dalam satu kelas yang sama bagi mempelajari sesuatu topik
matematik.

Terdapat beberapa bentuk strategi pembelajaran kumpulan koperatif


dicadangkan. Antaranya ialah Student Team-Achievement Division ( STAD ),
Teams-Games-Tournament ( TGT ) , Teams Assisted Individualization ( TAI )
dan Jigsaw II.

Disini pengkaji akan memilih untuk menggunakan strategi pembelajaran Student


Team-Achievement Division ( STAD ). Kajian mendapati pendekatan koperatif
berkesan dalam meningkatkan pencapaian akademik pelajar, meningkatkan
kemahiran penyelesaian masalah, memperbaiki suasana pembelajaran dan
meningkatkan hubungan sosial antara pelajar.

2.1 Konsep Pembelajaran Koperatif

Secara umumnya pembelajaran koperatif merupakan satu strategi pengajaran


dan pembelajaran yang menggunakan kumpulan-kumpulan kecil pelajar bagi
memberi peluang pelajar berinteraksi sesama mereka di dalam proses
pembelajaran. Slavin (1990) berpendapat rasional disebalik pembelajaran
koperatif adalah pelajar akan bersedia membantu rakan sekumpulan sekiranya
mereka ingin kumpulan mereka berjaya. Selain daripada itu, rakan sebaya
dikatakan berupaya menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh pelajar
semasa menerangkan konsep yang sukar.

Menurut Johnson & Johnson (1990), untuk mencapai matlamat pembelajaran


iaitu menghargai matematik, menaakul secara matematik, menanamkan rasa
yakin terhadap kebolehan sendiri dalam matematik dan membolehkan
penyelesaian masalah matematik, guru harus beralih daripada kaedah
tradisional kepada penggunaan bahan pembelajaran individu berasaskan
pendekatan koperatif.

Slavin (1995) pula menegaskan pendekatan pembelajaran koperatif merupakan


pendekatan yang berstruktur dan sistematik yang boleh digunakan dalam
sebarang peringkat persekolahan dan sesuai untuk pengajaran sebarang mata
pelajaran.

Meriam Ismail (1997) telah mengkaji kesan strategi Team-Games-Tournament,


salah satu strategi dalam pembelajaran koperatif ke atas sikap pelajar terhadap
matematik di sebuah sekolah di negeri Sarawak. Kajian quasi-experimental ini
mengukur sikap pelajar terhadap matematik sebelum dan selepas pendedahan
terhadap pembelajaran koperatif.
Walaupun tiada perbezaan yang signifikan bagi sikap diperolehi tetapi kajian
menunjukkan terdapat peningkatan dalam pencapaian matematik dan kehadiran
pelajar ke kelas. Pengkaji menganggap kedua-dua ini boleh dijadikan penunjuk
tentang sikap pelajar terhadap penggunaan strategi Team-Games-Tournament
dalam pengajaran matematik.

2.2 Teknik-Teknik Pembelajaran Koperatif

Para sarjana telah memperkenalkan pelbagai teknik untuk mengendalikan


pembelajaran koperatif yang menggunakan pendekatan dan penekanan yang
berbeza-beza. Diantara teknik-teknik yang kerap disenaraikan di dalam literatur
ialah Belajar Bersama (Learning Together ) oleh Johnson dan rakan-rakan di
University of Minnesota, Pembelajaran Pasukan Pelajar ( Student Team
Learning) oleh Slavin dan rakan-rakan di Johns Hopkins University, Jigsaw oleh
Aronson dan rakan-rakan di University of Texas, Penyiasatan Kumpulan ( Group
Investigation ) oleh Sharan dan rakan-rakan di Tel Aviv University.

Pembelajaran koperatif merupakan pembelajaran kumpulan kecil yang


diperkenalkan dengan meluas sebagai suatu strategi pengajaran yang dapat
meningkatkan pembelajaran dan sosialisasi (Cohen, 1994).

Pembelajaran koperatif merupakan satu strategi pengajaran di mana pelajarnya


bekerja secara koperatif dalam sesuatu kumpulan kecil yang heterogenus
(Johnson & Johnson, 1991); Lyman & Foyle, 2000).

Menurut Slavin (1995), pembelajaran koperatif membabitkan pelajar bekerja


bersama untuk menyelesaikan masalah secara berkongsi. Beliau menyatakan
dalam fokus ini pembelajaran koperatif membantu pelajar untuk
mengembangkan perasaan “satu kumpulan” dalam memperkenalkan keperluan
saling membantu dan saling menyokong situasi pembelajaran.

Pada masa pelajar bekerja bersama-sama, mereka belajar untuk saling memberi
dan menerima bantuan, berkongsi idea, mendengar penjelasan pelajar yang lain
dan mencari cara baru bagi menyelesaikan masalah matematik bersama.

2.3 RINGKASAN

Kesimpulannya, telah banyak kajian kes dijalankan oleh para pengkaji dan
kajian tersebut menunjukkan wujudnya kesan yang positif terhadap pelajar dari
segi sikap, minat, keseronokan dalam mempelajari mata pelajaran matematik
dengan lebih mendalam dan peningkatan pencapaian dalam kemahiran
penyelesaian masalah dan aktiviti metakognitif.

You might also like