You are on page 1of 6

Peranan Program Kokurikulum Universiti dalam Pembangunan Pelajar Holistik.

Terdapat banyak peranan yang boleh diterapkan dalam diri pelajar melalui
kokurikulum yang dilaksanakan di universiti. Antara peranan kokurikulum dalam diri pelajar
adalah menerapkan ciri-ciri pemimpin di dalam diri seorang pelajar, menguasai kemahiran
komunikasi, kemahiran sosial, disiplin, kemahiran bekerja dalam kumpulan, pelajar
bermotivasi dan sebagainya. Kemahiran-kemhiran ini diperolehi oleh pelajar melalui
penglibatan mereka dalam kegiatan kokurikulum. Antara peranan kokurikulum yang boleh
diterapkan dalam diri pelajar adalah:

a) Kepimpinan

Penglibatan pelajar secara aktif dalam kokurikulum akan dapat membina daya
kepimpinan seorang pelajar. Melalui kokurikulum juga akan dapat memberi latihan awal
kepada pelajar untuk menjadi seorang pemimpin dalam satu organisasi yang disertai. Pelajar
dilatih untuk menguruskan persatuan, kelab kegiatan sosial, sukan mahupun badan
beruniform dalam organisasi yang mereka sertai..

Deborah Hopen (2002 mendapati ciri-ciri kepimpinan dapat diterapkan kepada pelajar
melalui aktiviti luar yang disertai. Melalui aktiviti luar ini pelajar diajar cara berorganisasi,
bekerja secara berpasukan dan memupuk kemahiran komunikasi dikalangan pelajar. Pelajar
juga akan dapat menguasai kemahiran menghurai, mengamalkan dan mengawal tingkah laku,
kemahiran memahami masalah dan membantu mencari penyelesaian, kemahiran mendengar,
memberi perhatian, memberi penjelasan refleksi, konfrontasi, mentafsir, memberi maklumat,
membuat rumusan dan hubungan manusia (Omar Din 1999).

Pelajar perlu memiliki kepimpinan yang baik supaya dapat memimpin sesebuah
organisasi dengan baik apabila berada di alam pekerjaan nanti. Kemahiran kepimpinan
penting kerana pelajar bakal berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat dan golongan
dalam struktur kepimpinan kelak. Menurut Gary Yuck (2001) proses kepimpinan terbentuk
apabila seorang ketua mampu untuk mengemudi kumpulan atau orang yang dipimpin dengan
baik.

Dalam konteks kokurikulum, kemahiran kepimpinan merupakan aspek yang


diterapkan apabila melibatkan aktiviti gerak kerja luar yang memerlukan seorang pemimpin
dalam kalangan pelajar untuk menjadi ketua bagi menjamin aktiviti yang dijalankan
berlangsung dengan jayanya. Helen M. Gunter (2001) berpendapat bahawa melalui
penglibatan dalam aktiviti kokurikulum, seseorang individu mampu untuk memimpin kerana
telah berornisasi dan mempunyai matlamat terbentuk untuk dicapai. Kemahiran kepimpinan
boleh dikembangkan dari dalam diri pelajar melalui penglibatan mereka dalam aktivitit
kokurikulum.

b) Bekerja dalam kumpulan

Apabila pelajar mengikuti kegiatan kokurikulum, pelajar akan terdedah kepada


aktiviti bekerja dalam kumpulan. Melalui aktiviti dalam kumpulan ini mereka akan dapat
menghasilkan satu produk yang lebih berkualiti. Menurut Azizah Abdul Razak (2002)
semangat kerja berpasukan diperolehi melalui penglibatan pelajar dalam aktiviti
kokurikulum.

Sifat saling membantu dalam kumpulan merupakan kemahiran yang paling dikuasai
oleh pelajar setelah mengikuti kokurikulum. Bass (1999) menyatakan bahawa kemahiran
yang diperlukan dalam pembelajaran bagi mencapai kejayaan bekerja dalam pasukan ialah
seseorang itu mestilah sentiasa tolong-menolong diantara satu sama lain dalam memahirkan
bidang tugas yang diberikan serta sentiasa berupaya memberi dan menerima kritikan yang
membina. Kemahiran ini juga dapat membantu semua ahli dalam kumpulan bekerjasama
untuk berusaha mencapai kejayaan dengan lebih mudah.

Bekerja dalam kumpulan amat penting kerana dapat memudahkan kerja melalui
pembahagian tugas-tugas yang kompleks menjadi mudah jika diusahakan dalam kumpulan.
Tugasan juga akan dapat disiapkan dengan lebih cepat berbanding tugasan secara individu.
Satu ikatan jalinan persahabatan akan dapat diwujudkan dikalangan pelajar melalui pergaulan
sosial. Menurut Syarifah Mariam Syed Akil (2007) pula bahawa melalui aktiviti
kokurikulum, pelajar daripada pelbagai lapisan bangsa dan agama bersatu dan membantu
antara satu sama lain dalam menjalani waktu kokurikulum secara bersama. Melalui aktiviti
berkumpulan ini pelajar akan belajar menanganai masalah bekerja, kemahiran membuat
penyelidikan, menganalisis dan membuat perancangan yang tepat dan membuka minda
pelajar kepada kemahiran pengurusan masa.
c) Kemahiran Komunikasi

Kemahiran komunikasi adalah kemahiran yang amat penting kepada pelajar.


Kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan kemahiran komunikasi membantu pelajar untuk
bersaing dengan lebih baik apabila menceburi bidang pekerjaan kelak. Peter Maguire dan
Carolyn Pitceathy (2002) dalam kajian mereka mengemukakan pendapat bahawa kemahiran
komunikasi hanya boleh diperolehi apabila individu terbabit melalui sendiri pengalaman
dengan cuba berinteraksi dengan masyarakat sekeliling dalam menyampaikan sesuatu mesej.
Oleh itu, kokurikulum merupakan landasan yang sesuai untuk membina kemahiran
komunikasi mereka.

Kajian yang dilakukan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada tahun
2005 mendapati dua belas kriteria yang disenaraikan oleh 115 majikan dalam satu tinjauan
pengangguran yang dijalankan oleh MTEN, salah satu kriteria teratas yang disenaraikan oleh
pihak majikan ialah kemahiran komunikasi yang baik manakala pencapaian akademik di
tahap yang kelapan. Justeru, para graduan perlu melengkapkan diri dengan kehendak pasaran
semasa iaitu mempunyai komunikasi yang baik (Marlina et.al 2005).

Menurut Musalmah (2005) pula, mengatakan komunikasi adalah penghidupan dan


untuk hidup dengan berkesan seseorang itu perlu memiliki kemahiran komunikasi. Sekiranya
kemahiran komunikasi itu dapat dikuasai dan dipraktikan akan membantu kecemerlangan dan
potensi tertinggi diri.

Secara keseluruhannya, kemahiran komunikasi merupakan aspek penting dalam


ketrampilan pelajar. Kegiatan kokurikulum akan membantu pelajar membina komunikasi
daripada segi kemahiran bahasa seperti perbincangan lisan, pengucapan awam. Shamsaadal
Sholeh Saad(2004), Mohamad Ismail Ismail Mohamad Yunus(2004) dan Hishamuddin Mohd
(2003) menyatakan, pelajar pusat pengajian tinggi perlu terlibat dalam aktiviti kokurikulum
untuk membina kemahiran komunikasi. Maka dengan itu dapatlah dinyatakan bahawa
kegiatan kokurikulum di university dapat membina kemahiran komunikasi dikalangan
pelajar. Penguasaan kemahiran komunikasi ini dapat membantu pelajar semasa di alam
pekerjaan nanti.
d) Pelajar yang bermotivasi

Motivasi ialah kemahuan dalam diri seseorang individu untuk melakukan sesuatu bagi
mencapai matlamat. Menurut Sternberg (2001), motivasi bererti dorongan atau keperluan
yang memimpin kepada sesuatu tindakan. Motivasi juga melibatkan sesuatu proses yang
memberikan kuasa dan arahan yang mengerakkan tingkah laku seseorang.

Melalui aktiviti kokurikulum juga dapat melahirkan pelajar yang bermotivasi.


Menurut Ishak Othman & Mohd Sofian Omar Fauzee (2002) berpendapat melalui kegiatan
sukan dapat meningkatkan motivasi dalaman dan luaran pelajar. Antara faktor motivasi yang
terdapat dalam sukan ialah proses latihan kepuasan kendiri dan hidup, hubungan personal dan
pencapaian prestasi yang merupakan antara penentu imej kendiri positif dan seterusnya
melahirkan pemikiran positif serta menjamin pencapaian sesuatu matlamat. Peranan motivasi
ini juga boleh dipraktikan dalam pelbagai aktiviti sama ada dalam pembelajaran dan
sebagainya. Secara tidak langsung ia akan dapat menghasilkan pelajar yang sentiasa
berfikiran positif, bersemangat, tidak mudah putus asa dan sebagainya.

e) Ketahanan mental dan fizikal

Penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum juga dapat membentuk ketahanan


fizikal dan mental pelajar. Menurut Nur Aishah Abdullah dan Mohd Sufian Omar Fauzee
(2002) menyatakan menerusi senaman iaitu aktiviti utama dalam sukan seseorang dapat
mengurangkan berat badan, mengatasi penyakit kronik, menguatkan otot tulang dan sendi
tulang, membantu fungsi sistem badan seperti sistem pernafasan, penghadaman, perkumuhan
dan sistem saraf. Tidak dapat dinafikan melalui aktiviti kokurikulum pelajar akan dapat
membina badan yang sihat dan cergas. Badan yang sihat dan cergas ini pula akan dapat
menghasilkan otak yang cerdas. Selain daripada itu, ia juga dapat menghasilkan mahasiswa
yang sering menitikberatkan kesihatan diri dalam kehidupan mereka seharian.

Ketahanan mental juga boleh diterapkan melalui kegiatan kokurikulum. Melalui


senaman pelajar akan dapt melepaskan ketegangan emosi, meningkatkan penghargaan
kendiri, mengubah mood, mengurangkan kebimbangan dan kemurungan, meningkatkan
keyakinan diri serta dapat mengurangkan tekanan.
f) Berdisiplin.

Semasa mengikuti kegiatan kokurikulum pelajar akan diberikan pendedahan dan


penekanan mengenai disiplin. Disiplin amat penting dalam diri seorang pelajar bagi
menjayakan sesuatu organisasi dan program. Melalui kegiatan kokurikulum seperti kelab dan
persatuan, sukan dan unit beruniform dapat membantu pelajar menerapkan nilai disiplin
dalam diri mereka dan menjadi amaln dalam kehidupan seharian mereka sehingga mereka di
alam pekerjaan nanti. Disiplin amat penting untuk memastikan mereka menjadi insan yang
berjaya pada masa akan datang.

g) Kreatif dan inovatif

Penglibatan pelajar di universiti dapat memupuk pemikiran kreatif dan inovatif di


kalangan mahasiswa. Pada zaman global ini pelajar perlu bersaing untuk menikmati kejayaan
yang cemerlang dalam bidang yang mereka ceburi. Bagi menyediakan pelajar yang boleh
bersaing ini pelajar perlu berfikiran kreatif dan kritis. Melalui kegiatan kokurikulum, pelajar
berpeluang melakukan pelbagai aktiviti dan menyertai pelbagai program yang membolehkan
mereka merekacipta dan sebagainya. Ini secara tidak langsung dapat menerapkan budaya
keusahawanan dikalangan pelajar. Ia bagi menyediakan pelajar agar tidak mengharapkan
pekerjaan makan gaji sahaja tetapi mempunyai kemahiran keusahawanan apabila tamat
pengajian kelak. Kemahiran tambahan ini akan membantu meningkatkan nilai
kebolehpasaran pelajar kepada majikan kelak.
RUJUKAN

Ahmad Bin Esa, Prof. Madya Dr. Jailani Bin Mohd. Yunus dan Prof. Madya Dr. Noraini
Binti Kaprawi, “Penerapan Kemahiran Kepimpinan Menerusi Kokurikulum di Politeknik”
Fakulti Pendidikan Teknikal Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn, Jurnal Pendidikan
(2005)

Ahmad Esa, Jailani Mohd Yunus, dan Noraini Kaprawi , ‘Peranan Kokurikulum dalam
Pembangunan Kemahiran Generik” Jurnal Sains Sosial KUiTTHO (2004)

Ahmad Bin Esa, Prof. Madya Dr. Jailani Bin Mohd. Yunus dan Prof. Madya Dr. Noraini
Binti Kaprawi, “Persepsi Pensyarah terhadap Penerapan Kemahiran Komunikasi Menerusi
Kokurikulum di Politeknik”. Jurnal Pendidikan (2005)

Deborah Hopen, Guiding Corporate Behaviour : A Leadership Obligation, Not a Choice


(2002)

Marlina, Sufian Rashid dan Hassan Ahmad, Inovasi Dalam Pedagogi: Kurikulum dan
Pendidikan Malalysia (2005)

Maznah Ibrahim, Penglibatan Pelajar Melayu dalam Aktiviti Kerja Kumpulan: Cabaran
Menghadapi Era Globalisasi, Prosiding Simposium Melayu Malaysia, Universiti Kebangsaan
Malalysia (2002)

Mohd Sofian Omar Fauzee, Psikologi Sukan: Konsep dan Latihan dalam Pengajaran Sukan,
Utusan Publication and Distributor, Kuala Lumpur (2002)

Musalmah, “Penerapan Kemahiran Komunikasi dalam Pembentangan Tugasan” UTHM


(2005)

Wan Abd Aziz Wan Akib Mohd Akib, “Kokurikulum Mendokong kea rah Penerapan
Globalisasi Pendidikan”, Prosiding Konvensyen Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia,
Skudai. (1999)

You might also like