You are on page 1of 5

PANDUAN MENANAM POKOK PISANG.

Pokok pisang adalah sesuai ditanam di negara kita dan hasilnya amat menguntungkan jika
betul cara penjagaannya dan pisang juga berbuah tidak mengikut musim.

Berikut merupakan kriteria-kriteria yang perlu diambil kira semasa peringkat menanam
pisang:

1.Iklim dan tanah:

Keadaan panas dan lembap adalah paling sesuai untuk tanaman pisang.  Ia boleh ditanam di atas
jenis tanah yang dalam, ringan serta rata.  Secara umumnya, suhu optimum antara 25oC-30oC
sesuai untuk tanaman pisang.  Suhu yang rendah akan memberi kesan yang negatif kepada
pertumbuhan batang, daun dan melewatkan kematangan pokok.  Jangan tanam di atas tanah yang
bertakung air.

Tanah bertekstur lempung berpasir dan keadaan tanah adalah peroi sesuai untuk pisang. 
Keadaan permukaan tanah yang sesuai hingga beralun iaitu kecerunan kurang 12%.  Pisang tidak
sesuai ditanam di tanah yang mempunyai halangan terhadap pertumbuhan akar seperti tanah
padat, lapisan batu, paras air tinggi, gambut dan lapisan asid.

Untuk pertumbuhan yang baik, pokok pisang sangat memerlukan cahaya yang terbuka.  Jika
terdapat naungan, pertumbuhan batang palsu akan berlarutan dan pokok bertambah tinggi. 
Tempoh kematangan juga akan berlarutan dari keadaan biasa.

Suhu yang terlalu tinggi serta pendedahan cahaya yang berpanjangan akan mengakibatkan
kelecuran pada buah.  Tiupan angin turut mempengaruhi pertumbuhan pokok.  Angin yang kuat
boleh merosakkan daun dan mematahkan pucuk serta merendahkan mutu hasil buah. 
Penanaman pisang tidak digalakkan di kawasan yang terdedah kepada tiupan angin melebihi 15
km/jam.
2.Bahan tanaman:

Ada tiga jenis sulur untuk digunakan sebagai bahan tanaman:-

Sulur Dara -    Akar akar sudah terbentuk


Sulur Pedang -    Tegap, subur dan baik untuk dijadikan benih.
Sulur Payung -    Umbi kecil dan lebar, akar dan batang lemah.

3.Sistem Penanaman:

 Tanaman Tunggal
Diusahakan untuk pengeluaran secara komersil dan bekalan berpanjangan.  Jarak
tanaman ialah 2.5 m x 2.5 m dengan kepadatan 1,600 pokok sehektar.  Pada jarak 3 m x 3
m kepadatan mencapai 1,100 pokok sehektar.
 
 Tanaman Selingan
Pisang ditanam bersama tanaman kekal, seperti getah, kelapa sawit, koko dan durian
sebagai tanaman selingan sebelum pengeluaran hasil daripada tanaman utama.  Sebaris
pisang dengan jarak 3 m x 3 m dengan kepadatan 700-900 pokok sehektar dapat ditanam
antara barisan kelapa sawit atau pokok getah dan juga pokok buah-buahan yang
bersesuaian.

4. Cara penanaman:

Gali lubang sebesar 45 cm x 45 cm x 60 cm (1.5 x 1.5 x 2 kaki).  Gaul tanah lapis atas dengan
11-14 kg. baja organan dan 125 gm baja fostat.  Jarak tanaman ialah antara 3 m x 3 m hingga 3.6
m x 3.6 m.

5.Pembajaan:
Pembajaan dilakukan secara ditabur sekeliling pokok atau dimasukkan ke dalam parit yang digali
sedalam 5 cm.  Pembajaan menggunakan sistem poket juga biasa digunakan.  Poket atau lubang
sedalam 15 cm digali sejauh dalam lingkungan semeter daripada pangkal rumpun atau pokok
pisang.

Dalam sistem tanaman pisang secara tunggal, adalah disyorkan pisang ditanam dengan kaedah
sistem tanaman berbatang tunggal atau single stem kerana sistem ini sesuai bagi pekebun pisang
yang mementingkan berat tandan dan kualiti buah khususnya untuk eksport.  Dalam sistem
berbatang tunggal ini, hanya pokok induk dibiar tumbuh dari mula hingga peringkat berbuah
(satu generasi sahaja).  Anak-anak sulur yang tumbuh dibuang semuanya bermula pada 3-4 bulan
selepas menanam dan diulangi membuangnya setiap 6-8 minggu sekali sehingga permulaan
musim menuai.  Apabila 60% keluasan kawasan telah dituai, pemangkasan menyeluruh
dilakukan untuk memilih satu anak sulur sahaja pada setiap rumpun untuk dijadikan ratun dan
yang selebihnya dibuang.  Pemilihan pokok ratun ini adalah berdasarkan kepada ketinggian sulur
(70-100 cm) dan yang didapati tumbuh di umbisi utama.

Sementara itu sistem yang sesuai bagi tanaman selingan adalah seperti dihuraikan dalam
pemangkasan sulur atau dengan mengguna kaedah sistem berbatang dua.  Sistem ini bermaksud
pada setiap masa serumpun pisang mempunyai dua batang pokok iaitu pokok yang akan berbuah
dan anak sulur. Dalam sistem ini sulur yang dipilih adalah ketika pokok induk mula
mengeluarkan bunga iaitu 8 bulan selepas ditanam bagi pisang berangan dan 6-7 bulan bagi
pisang mas.

6.Pengurusan Air:

Pokok pisang memerlukan air sebanyak 8-12 liter sehari.  Biasanya pisang tidak dibekalkan
dengan pengairan tetapi ia mendapat bekalan air dari simpanan dalam tanah atau dari air hujan. 
Pemasangan sistem pengairan untuk tanaman pisang melibatkan kos yang tinggi.  Sistem
pengairan boleh dilaksanakan sekiranya permintaan pasaran pisang yang banyak dan pulangan
yang boleh menguntungkan.
7.Pemangkasan Sulur:

Aktiviti membuang sulur yang tidak dikehendaki dengan tujuan menjarakkan penuaian hasil
dalam satu-satu rumpun serta memastikan hasil dan mutu buah tidak terjejas akibat persaingan
dalam permakanan.  Pemangkasan peringkat awal dilakukan dengan memilih dan membiarkan
satu pokok induk dan satu sulur, di peringkat pokok berumur 3 bulan bagi pisang emas dan 4
bulan bagi pisang berangan.  Seterusnya sulur-sulur lain dipangkas secara berjadual iaitu 3-4
minggu sekali dan dipilih serta dikekalkan satu lagi sulur pada umur 8 bulan bagi pisang emas
dan 9 bulan bagi pisangan berangan.  Cara pemangkasan yang mudah ialah menggunakan pisau
tajam untuk memotong sulur pada aras tanah.

8.Cantasan Pelepah:

Pelepah tua dan berpenyakit perlu dicantas dengan menggunakan pisau tajam dari peringkat awal
penanaman.  Pelepah tersebut perlu dikumpulkan di suatu lokasi yang ditentukan diantara
barisan tanaman pisang.

9.Menyokong Pokok:

Pokok yang condong perlu ditongkat dengan kayu atau buluh untuk menahan pokok pisang
daripada tumbang atau patah tengkok kerana batang tidak dapat menampung buah yang berat.

10.Pembungkusan Tandan Pisang:


Langkah awal untuk mengawal mutu buah pisang ialah dengan membungkus tandan pisang. 
Pembungkusan dapat mengelak gigitan serangga pada buah, geseran dengan daun atau kayu
penyokong.  Juga dapat mengelak buah dari calar atau lebam semasa penuaian, pengumpulan
dan seterusnya pengangkutan ke rumah pembungkusan.

Sebelum pembungkusan, jantung perlu dipotong terlebih dahulu.  Tandan buah dibungkus
dengan menyarung sehingga melepasi sisir utama dan diikat kemas.  Pada penghujung tandan
dibiarkan sarung plastik berlebihan menutupi kesemua sisir pisang. Penandaan perlu dibuat
selepas pembungkusan supaya tarikh penuaian dapat ditentukan semasa penebangan.

11.Kutipan Hasil:

Pisang akan berjantung dalam masa 7-10 bulan selepas ditanam.  Pisang Mas biasanya
mengambil masa enam hingga tujuh bulan untuk berjantung dan buah boleh dikutip lapan
minggu kemudian.  Pisang Berangan pula berjantung anggaran sembilan bulan selepas menanam
dan buah boleh dikutip dalam masa 11-12 minggu kemudian.  Bagi mengelakkan buah tercedera,
tebang pokok pisang kira-kira 0.5 meter dari tandan buah.  Potong sedikit-sedikit, sementara
sebelah tangan   lagi memegang tandan pisang agar buah tidak terhempas di tanah.

You might also like