You are on page 1of 17

SUMBANGAN HADITH NABAWI DALAM PEMANTAPAN PENGURUSAN

PEMBANGUNAN MODAL INSAN: KAJIAN TERHADAP FIQH HADITH


“ISLAM, IMAN DAN IHSAN” DALAM MODEL LATIHAN ESQ WAY 165

Dr. Adnan Mohamed Yusoff


Dr. Mohd Fauzi Mohd Amin
Fakulti Pengajian Quran Dan Sunnah
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

ABSTRAK

Program latihan pemantapan modal insan merupakan satu elemen penting pengurusan
sumber manusia di sesebuah organisasi, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.
Berbagai modul yang sehingga kini masih didominasi oleh para pakar profesional dari
barat dilaksanakan oleh para trainer, motivator atau fasilitator dari dalam mahupun luar
negara menerusi program-program latihan, bagi memartabatkan nilai integriti,
memperkasakan semangat kerjasama berpasukan, meningkatkan penghayatan terhadap
visi, misi dan objektif organisasi serta memupuk ciri-ciri kepimpinan dan berbagai nilai
positif lain dalam diri setiap warga kerja di hampir semua organisasi di negara kita.
Walau bagaimanapun, jatidiri masyarakat negara ini yang masih kuat berpegang dengan
prinsip serta ajaran Islam dan adat ketimuran menyaksikan suatu anjakan dalam
pelaksanaan modul-modul terbabit dalam konteks pegangan dan kebudayaan berlaku
secara konsisten di tangan para trainer, motivator atau fasilitator yang mempunyai input
pengetahuan Islam yang baik. Situasi ini disokong oleh keyakinan bahawa Islam adalah
sebuah agama yang komprehensif, progresif dan sentiasa mendorong umatnya supaya
sentiasa berada di depan, memimpin umat manusia bukan sahaja untuk mencapai
kegemilangan hidup di dunia bahkan juga kecemerlangan di akhirat. Hasil penelitian dan
pengamalan yang berterusan dalam dunia perlatihan sumber manusia, sebuah model yang
berinspirasikan prinsip serta falsafah yang tersirat di sebalik ajaran Islam diperkenalkan
oleh Dr. Ary Ginanjar. Model yang diberi nama ESQ Way 165 ini diaplikasikan dalam
berbagai siri latihan oleh para trainer dan fasilitator ESQ Leadership Training Center di
berbagai peringkat. Modul latihan ini banyak menerapkan kefahaman serta penghayatan
terhadap teks Quran dan Sunnah sebagai asas memahami langkah-langkah pemantapan
nilai-nilai murni dalam diri setiap modal insan. Kajian ini akan memberikan fokus
terhadap fiqh hadis “Islam, Iman dan Ihsan” yang menjadi asas pembinaan modul ini. Ia
merupakan sebuah kajian perpustakaan yang berasaskan penelitian terhadap huraian yang
diberikan kepada hadis ini dalam Model ESQ Way 165 dan huraian para ulama muktabar
menerusi hasil karya mereka mengenai hadis ini. Objektif utama kajian ini adalah untuk
menilai kesesuaian fiqh sunnah bagi hadis “Islam, Iman dan Ihsan” dalam modul latihan
ESQ Way 165 ini. Antara hasil kajian yang dijangkakan ialah pengasas model ini telah
melakukan suatu usaha yang patut diberi rangsangan kerana berjaya membawa fiqh
sunnah yang telah dikemukakan oleh para ilmuan terdahulu dalam konteks pemantapan
modal insan semasa sesuai dengan isu dan situasi yang dihadapi oleh dunia pengurusan
sumber manusia di abad modern.
Latar belakang hadis “Islam, Iman dan Ihsan”

Hadis Islam, Iman dan Ihsan merupakan sebuah hadis sahih yang amat masyhur dalam
kurikulum pengajian Islam dalam kalangan masyarakat Islam seluruhnya. Sama ada
dalam bentuk pengajian formal atau tidak, hadis ini menjadi antara sukatan utama para
ulama dan pendidik dalam memberikan kefahaman mengenai agama Islam. Secara
ringkasnya hadis ini dikeluarkan oleh para muhaddithin muktabar dalam kitab-kitab hadis
penting mereka termasuk al-Bukhari, Muslim, al-Nasa’iyy, Ibn Majah, Ahmad, Ibn
Hibban, Ibn Khuzaymah dan al-Tayalisiyy. Kewujudan hadis ini dalam dua kitab sahih
tertinggi dalam turath Islam yang diperakui kesasihan hadis-hadis di dalamnya oleh para
ulama Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah, mengeluarkan hadis ini dari pertikaian mengenai
kesahihanya dari sudut riwayat. Para ulama yang membahaskan hadis ini akan lebih
memberikan fokus kepada aspek dirayah atau fiqh hadis yang tersirat di dalamnya.

Secara umumnya, hadis ini diriwayatkan dari beberapa orang sahabat terkenal,
iaitu Umar bin al-Khattab, Abu Hurayrah, Abu Zar al-Ghifariyy dan Ibn Abbas dari
Rasulullah s.a.w. Kesemua riwayat sepakat dalam menjelaskan hal ehwal berkaitan
Islam, Iman, Ihsan, tanda-tanda kiamat dan identiti lelaki yang datang bertanyakan hal-
hal ini kepada Rasulullah s.a.w. Terdapat sedikit perbezaan pada susunan soalan serta
susun kata dalam dialog yang berlaku antara lelaki tersebut dan Rasulullah s.a.w. Walau
bagaimanapun, perbezaan ini tidaklah menjejaskan maksud keseluruhan hadis tersebut.
Perbezaan ini jika dilihat secara keseluruhan, sangat konsisten memberikan gambaran
yang saling melengkapi antara satu sama lain dan membantu para ulama memberikan
huraian serta penerangan yang jelas mengenai peristiwa yang berlaku serta maksud
sebenar serta pengajaran di sebalik jawapan-jawapan yang diberikan oleh Rasulullah
s.a.w. terhadap soalan-soalan yang dikemukakan oleh lelaki tersebut.

Sebagai gambaran dinukilkan secara umum ringkasan hadis ini seperti yang dapat
difahami dari riwayat-riwayat yang dinyatakan di atas.

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w. bersama


para sahabat dalam suatu majlis, mereka didatangi oleh seorang lelaki yang
tidak dikenali oleh seorangpun dari kalangan mereka. Setelah memberi salam
dan mendapat keizinan, beliau menghampiri Rasulullah s.a.w. lalu bertanya
mengenai Islam. Rasulullah s.a.w. menjawab: Islam ialah bahawasanya engkau
menyaksikan tiada tuhan melainkan Allah serta baginda adalah pesuruhNya,
mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan
menunaikan haji jika berkemampuan. Kemudian beliau bertanya mengenai Iman.
Rasulullah s.a.w. menjawab: Iman ialah bahawasanya engkau beriman kepada
Allah S.W.T. para malaikatNya, kitab-kitabNya, para rasulNya, hari
pembalasanNya serta qada dan qadarNya sama ada yang baik mahupun buruk..
Seterusnya beliau bertanya tentang Ihsan. Rasulullah s.a.w. menjawab: Ihsan
adalah bahawasanya engkau menyembah Allah S.W.T. seolah-olah engkau
melihatNya, jika tidak mampu maka hendaklah engkau yakini bahawasanya Dia
melihatmu. Beliau bertanya lagi: Wahai Rasulullah, beritahulah kepadaku
bilakah akan berlaku kiamat. Rasulullah s.a.w. menjawab: Tidaklah orang yang

2
ditanya itu lebih arif dari yang bertanya, akan tetapi aku boleh menceritakan
kepadamu tentang tanda-tandanya. Apabila engkau melihat wanita-wanita
melahirkan tuan mereka, maka itu adalah sebahagian dari tanda-tandanya.
Apabila engkau melihat kaum yang suatu ketika dulu susah dan ketinggalan, tidak
berpakaian dan berkasut menguasai dunia, maka itu adalah sebahagian dari
tanda-tandanya. Apabila engkau melihat kaum yang suatu ketika dahulu adalah
para penternak binatang berlumba-lumba membina bangunan tinggi, maka itu
adalah sebahagian dari tanda-tandanya. Lalu Rasulullah s.a.w. membacakan
sepotong ayat mengenai lima perkara yang tidak diketahui kecuali oleh Allah
S.W.T. bermaksud: “Sesungguhnya di sisi Allahlah ilmu bila berlakunya kiamat,
dan Dialah yang menurunkan hujan, Dialah yang mengetahui apa yang ada
dalam rahim-rahim. Tidak seorangpun mengetahui apa yang akan diusahakan
pada esok hari dan tidak seorangpun yang mengetahui di bumi manakah ia akan
mati. Sesungguhnya Allahlah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Luas
PengetahuanNya.” Setelah itu, lelaki itu pergi meninggalkan majlis Rasulullah
s.a.w., lalu baginda meminta supaya para sahabat membawa lelaki itu supaya
kembali, akan tetapi mereka tidak menemuinya lagi. Rasulullah s.a.w. bersabda
kepada para sahabat bahawa lelaki tadi sebenarnya ialah Jibril a.s. yang datang
untuk mengajarkan kepada mereka hal ehwal agama mereka.

Seperti yang telah dinyatakan, terdapat beberapa perbezaan dalam riwayat-


riwayat hadis ini yang memberikan gambaran yang jika digabungkan akan memberikan
kefahaman lebih jelas tentang maksud serta pengajaran yang tersirat di dalamnya. Antara
lain seperti dalam catatan berikut:
i. Bahawa wajah lelaki dalam hadis itu sungguh tampan dan keadaannya
pula sangat kemas dan tertib, serta tiada kesan menunjukkan bahawa ia
menempuhi suatu perjalanan yang jauh.
ii. Bahawa ketika duduk di sisi Rasulullah s.a.w., lelaki berkenaan duduk
dalam keadaan lututnya bersentuhan dengan lutut baginda dan
tangannya diletakkan di atas dua paha baginda.
iii. Bahawa Rasulullah s.a.w. dalam majlis tersebut duduk di atas suatu
tempat yang disediakan oleh para sahabat untuk baginda supaya orang
yang tidak mengenali baginda dapat membezakan antara baginda
dengan para sahabat lain.
iv. Bahawa setiap kali selesai Rasulullah s.a.w. mejawab soalannya, lelaki
itu berkata: Benar.
v. Bahawa para sahabat hairan dengan keadaan lelaki tersebut yang
bertanya kepada Rasulullah s.a.w., tetapi dalam masa yang sama
mengiyakan jawapan baginda seolah-olah beliau telah mengetahui
jawapan kepada soala-soalan tersebut.
vi. Bahawa terdapat perbezaan yang ketara pada tertib soalan mengenai
Islam dan Iman. Sesetengah riwayat mendahulukan pertanyaan
mengenai Islam manakala riwayat lain pula sebaliknya. Manakala
perbezaan pada tertib Ihsan agak kurang kerana kebanyakan riwayat
konsisten meletakkannya pada tertib terakhir selepas Islam dan Iman.

3
vii. Bahawa salah seorang sahabat yang meriwayatkan hadis ini, Umar bin
al-Khattab berada dalam keadaan kehairanan selama tiga hari mengenai
identiti lelaki dalam hadis, sehingga diberitahu oleh Rasulullah s.a.w.

Perbezaan-perbezaan yang disebutkan di atas jika diteliti dari disiplin ilmu fiqh
hadis, sebenarnya bukanlah suatu percanggahan seperti yang boleh dieksploitasi oleh
sesetengah pihak seperti para anti hadis, sebaliknya perbezaan-perbezaan ini sebenarnya
saling melengkapi antara satu sama lain dalam membantu kita memahami, menghayati,
seterusnya mengaplikasikan hadis ini dalam kehidupan harian.

Fiqh hadis “Islam, Iman dan Ihsan” dalam warisan nabawi

Setelah merujuk kepada kitab-kitab turath yang menghuraikan hadis ini, secara umunya
dapat dirigkaskan fokus huraian mereka seperti yang kebanyakannya dihimpun oleh Ibn
Hajar al-Asqalaniyy dan dipetik daripadanya pula oleh para ulama selepas beliau, adalah
perbahasan seperti berikut:
i. Huraian mengenai hubungkait Islam, Iman dan Ihsan. Ketiga-tiga istilah
ini merupakan kata kunci bagi hadis ini. Sebahagian besar huraian para
ulama adalah tertumpu kepada ketiga-tiga istilah ini dari sudut istilah dan
makna sebenar seperti yang dapat difahami dari lafaz hadis. Penditilan
diberikan mengenai pecahan yang terdapat dalam jawapan yang diberikan
oleh Rasulullah s.a.w. dalam ketiga-tiga istilah ini, terutamanya mengenai
Islam dan Iman yang terkandung di dalamnya rukun-rukun yang dipelajari
oleh setiap muslim. Perbezaan pandangan ulama fiqah dan kalam juga
disebut bagi memberikan pandangan yang lebih tepat berdasarkan nas dari
riwayat hadis. Misalnya maksud ibadat, makna iman, masalah melihat
Allah S.W.T. serta maksud dan makam Ihsan berdasarkan hadis.1
ii. Kedudukan hadis sebagai Umm al-Sunnah. Para ulama menerangkan
bahawa hadis ini boleh dianggap sebagai Umm kepada sunnah secara
keseluruhannya, sebagaimana surah al-Fatihah dianggap sebagai Umm
kepada al-Kitab. Ini adalah kerana pengajaran yang tersirat di dalam hadis
ini merangkumi keseluruhan ajaran Islam yang diterangkan dalam hadis-
hadis lain sebagaimana kedudukan surah al-Fatihah yang merangkumi
asas kepada seluruh ajaran yang terkandung di dalam Quran.2
iii. Perbezaan lafaz hadis antara riwayat-riwayat oleh para rawi hadis. Seperti
yang dinyatakan sebelum ini, perbezaan pada lafaz hadis yang menjadi
asas panduan kepada para ulama untuk memberikan kefahaman serta
pengajaran menyeluruh dari hadis ini turut mendapat fokus dalam kitab-
kitab fiqh al-Sunnah. Perbezaan lafaz dalam memberikan gambaran
mengenai latar belakang peristiwa, keadaan serta sifat lelaki yang
menghadiri majlis Rasulullah s.a.w., struktur serta lafaz soalan beliau,
jawapan baginda Rasulullah s.a.w. dihuraikan dengan jelas. Bagaimana
Umar yang meriwayatkan hadis ini mengetahui bahawa tiada seorangpun

1
Al-Asqalaniyy, Ahmad bin Aliyy Ibn Hajar. 1379H. Fath al-Bariyy bi Sharh Sahih al-Bukhariyy. Tah.
c
Abd al-Baqiyy, Muhammad Fu’ad & al-Khatib, Muhibb al-Din. Beirut: Dar al-Macrifah. Jld. 1. hlm. 80.
2
Ibid.

4
dari kalangan sahabat dalam majlis itu yang mengenali identiti lelaki
tersebut. Begitu juga perbezaan yang janggal juga diterangkan supaya
tidak mengelirukan para pembaca, misalnya penjelasan terhadap riwayat
yang menyebut bahawa lelaki tersebut dengan rupa sahabat terkenal
Dehyah al-Kalbiyy sedangkan semua riwayat sepakat menyebut bahawa
tiada seorangpun dari kalangan sahabat dalam majlis tersebut mengenali
beliau.3
iv. Keadaan Jibril ketika dalam hadis. Antaranya penditilan mengenai
keadaan Jibril ketika datang, iaitu dengan berjalan kaki, dalam keadaan
pakaian yang bersih dan putih, rambut dan janggutnya yang hitam, bau
yang wangi, dan sebagainya. Begitu juga dijelaskan bahawa, sebelum
memulakan pertanyaannya, Jibril terlebih dahulu memulakan
percakapannya dengan salam dan memohon izin untuk memasuki majlis
dan berada dalam keadaan paling hampir dengan Rasulullah s.a.w.
Dihuraikan juga perbezaan pandangan mengenai sama ada Jibril
meletakkan tangannya di atas paha Rasulullah s.a.w. atau di atas pahanya
sendiri dan pendapat yang rajih dalam pesoalan ini adalah yang pertama
berdasarkan riwayat dari Ibn Umar dan Abu cAmir al-Asyariyy.4
v. Ketakjuban para sahabat terhadap sikap Jibril. Para sahabat takjub dengan
sikap lelaki dalam hadis yang bertanya tetapi seakan-akan sudah
mengetahui jawapannya. Al-Qurtubiyy menjelaskan bahawa perkara ini
berlaku kerana ketika itu wahyu sedang diturunkan dan ajaran Islam masih
belum sempurna. Segala-galanya hanya datang dari Rasulullah s.a.w.
Tiada siapapun yang lebih mengetahui tentang asas-asas Islam dari
Rasulullah s.a.w. sehingga mampu memberikan pengesahan terhadap apa
yang disampaikan oleh baginda, berbeza dengan lelaki dalam hadis ini.
Apatah lagi lelaki ini tidak pernah dilihat bersama Rasulullah s.a.w.5
vi. Perbezaan pandangan dalam menentukan maksud alamat kiamat,
terutamanya mengenai ungkapan “hamba perempuan melahirkan
tuannya”. Terdapat perselisihan pandangan ulama dalam menghuraikan
ungkapan ini, sehingga ada yang menyebut tujuh pendapat. Antaranya
ialah keluasan jajahan takluk umat Islam, orang Ajam melahirkan orang
Arab, hamba-hamba melahirkan raja-raja, penderhakaan anak-anak kepada
ibu dan lain-lain.6
vii. Hikmah di sebalik tingkah laku lelaki yang agak pelik seperti melangkah
masuk hingga sampai ke sisi Rasulullah s.a.w., sedangkan majlis tersebut
telah dipenuhi oleh para sahabat yang datang lebih awal darinya, begitu
juga dengan tingkah beliau yang meletakkan tangannya di atas paha
Rasulullah s.a.w. adalah supaya ia lebih tidak dikenali oleh para hadirin
dengan menyangkakannya adalah dari kalangan Arab Badwi.7 Hikmah
pada susunan jawapan mengenai iman yang dimulakan dengan keimanan

3
Ibid.
4
Ibid.
5
Ibid.
6
Ibid.
7
Ibid.

5
kepada Allah S.W.T. dan konsistensinya dengan ayat 285 dari surah al-
Baqarah adalah bagi menerangkan mengenai rahmat Allah S.W.T. yang
diturunkan daripadaNya oleh para malaikat menerusi kitab-kitab kepada
para nabi. Al-Imam al-Qurtubiyy juga menyebut bahawa hikmah di
sebalik soalan-soalan ini adalah bagi menjelaskan kepada umum antara
soalan yang perlu ditanya dengan yang tidak sepatutnya ditanya. Selain
itu, soal jawab ini juga menjadi pemutus kata bahawa tidak ada sesiapapun
yang mampu menjawab persoalan-persoalan berkaitan waktu kiamat
kerana ia menjadi rahsia Allah S.W.T. yang tidak diperturunkan kepada
sesiapapun.8
viii. Pengajaran yang boleh dipetik dari hadis. Antaranya: pendapat al-Imam
al-Qurtubiyy yang menyebut bahawa berdasarkan hadis ini, adalah
digalakkan supaya para ulama atau pemimpin mengambil tempat khusus
yang tinggi dan boleh dilihat ketika memberikan penerangan atau
bimbingan kepada audiensnya.9 Dalam konteks gaya duduk lelaki dalam
hadis ini yang meletakkan kedua tangannya di atas dua paha Rasulullah
s.a.w., dapat dipelajari bahawa seorang alim harus bersabar di atas tingkah
laku para pelajar, walaupun tindakan mereka kadang kala agak pelik atau
mendatangkan ketidakselesaan.10 Mengenai pertanyaan Jibril soalan-
soalan yang telah diketahui jawapannya, para ulama mengambil
pengajaran bahawa harus bagi seorang alim bertanyakan soalan kepada
seorang alim lain untuk tujuan pengajaran. Al-Imam al-Nawawi menyebut
antara pengajaran yang boleh diambil dari hadis ialah seseorang alim
sepatutnya berterus terang jika tidak mengetahui jawapan terhadap soalan
yang dikemukakan kepadanya. Hal ini sekali-kali tidak menjatuhkan
kedudukannya sebagai seorang alim, sebaliknya ia akan meningkatkan
lagi sifat warak pada dirinya.11

Penerapan fiqh “Islam, Iman dan Ihsan”dalam Model ESQ Way 165

Model ESQ Way 165 telah diperkenalkan oleh Dr. Ary Ginanjar Agustian, seorang
Instruktur dan pakar dalam bidang pembangunan sumber manusia, juga penulis buku
‘best seller’ terkenal “The Islamic Guide to Developing ESQ – Emotional Spiritual
Quotient”.12 Konsep ini pada mulanya diperkenalkan di Indonesia, seterusnya
dikembangkan di Malaysia, negara-negara rantau ASEAN dan ke seluruh dunia
menerusi ESQ Leadership Centre. Model ESQ Way 165 mudah difahami dan

8
Ibid.
9
Ibid.
10
Ibid.
11
Ibid.
12
Ary Ginanjar Agustian dilahirkan pada 24 Mac 1965 di Bandung, Jawa Barat. Beliau merupakan
Presiden Direktur PT Arga Bangun Bangsa dan Pendiri ESQ Leadership Center, pusat penyelenggara
training ESQ. Pernah menjadi pengajar tetap di Politeknik Universitas Udayana, Jimbaran, Bali selama
lima tahun. Kuliah di Universitas Udayana, Bali dan di Tafe College, Adelaide, South Australia juga STP
Bandung. Menerima penghargaan sebagai Agents of Change 2005 versi koran Republika, dan di tahun
2004 ia dinobatkan sebagai salah satu The Most Powerful People and Ideas in Business 2004 oleh majalah
SWA. Lihat: http://id.wikipedia.org/wiki/Ary_Ginanjar_Agustian

6
diaplikasikan di dalam organisasi, kerana ianya merupakan terjemahan dari amalan
seharian. Modul ini selari dengan konsep “Islam is the way of life”. Modul ini telah di
aplikasikan dengan jayanya di beberapa buah organisasi swasta seperti Petronas, Sime
Darby, PUSPAKOM, United Engineering Malaysia (UEM) dan Kumpulan Karangkraf.13

Model ini merangkumi konsep 1 (satu) Hati (Value) yang Ihsan pada kesedaran
Fitrah, 6 (enam) prinsip moral berdasarkan Rukun Iman dan 5 (lima) langkah menuju
kejayaan berdasarkan Rukun Islam.14 Model ini bukan sahaja bersesuaian dengan
individu muslim, malahan sesiapa sahaja, kerana konsepnya yang universal. Gambarajah
Model ESQ Way 165 adalah seperti di Lampiran A. Berikut adalah ulasan lanjut
berhubung Model ESQ Way 165.

PERTAMA : 1 (satu) hati yang Ihsan

Penjernihan Emosi atau Zero Mind Process (ZMP) ialah merupakan peringkat pertama
dalam Model ESQ. Saranan dan aplikasi ZMP adalah dengan mengenali diri sendiri
atau muhasabah melalui tiga perkara seperti berikut :

a) Mengenali 7 faktor yang dapat membelenggu suara hati (God Spot / Fitrah).
Contohnya ketika sebuah masalah/peluang dihadapan mata, segeralah mengenali diri kita
terlebih dahulu. Jangan tergesa-gesa mengeluarkan respon. Amati secara cermat diri kita :

 Prasangka Negatif : Apakah kita sering berprasangka negatif kepada orang lain
? Jika Ya, maka ubahlah sikap. Gantikan dengan prasangka yang baik.
 Prinsip hidup : Apakah kita terpengaruh oleh prinsip-prinsip yang ada di
persekitaran kita ? Hati-hati, kadang kala prinsip tersebut menyesatkan. Hanya
prinsip yang berpedoman kepada Allah SWT sajalah yang patut dipegang.
 Pengalaman : Periksalah fikiran kita, apakah masih ada pengalaman-pengalaman
yang mempengaruhi pandangan kita. Lupakanlah, mulailah dengan “zero mind”
(kembali fitrah)
 Kepentingan dan Prioriti : Dalam pengambilan keputusan, apakah kita
terpengaruh oleh ‘vested interest’ kita ? Dengarlah suara hati, berfikirlah dengan
mempertimbangkan berbagai aspek. Bijaksanalah. Tentukan prioriti dan
sesuaikan dengan visi kita.
 Sudut Pandang : Jika melihat sesuatu permasalahan, lihatlah dari seluruh sudut
pandang. Jangan hanya dari satu sisi sahaja.
 Pembanding : Jangan membandingkan sesuatu hal dari sudut pandangan kita
sahaja, sebaliknya cuba keluar dari persesi diri kita. Lihatlah diri kita dari luar.
 Literatur (Pembacaan) : Apabila membaca buku atau sebarang penulisan ilmiah,
ambillah sudut positifnya. Cuba bandingkan dengan suara hati kita. Jika sesuai,
maka itulah yang disebut anggukan universal – kebenaran akan ketetapan Allah.

13
Mohd Afendi bin Ya @ Zakaria, Merealisasikan Budaya Kerja Kelas Pertama Di Dalam Perkhidmatan
Awam Menerusi Pelaksanaan Konsep ESQ Way 165. http://myfendi.esq2u.com/?p=608
14
Lihat: Ary Ginanjar Agustian. T.th. Rahsia Kejayaan Membangunkan Kecerdasan Emosi dan Spiritual
The ESQ Way 165. Ter. Mohd Nurul Imran Bin Koyube, Ahmad Yani Abd Manaf & Sh. Noorul Huda S.
Hasan. Petaling Jaya: ESQ Leadership Center. Hlm. Pengenalan.

7
Latihlah suara hati yang mendorong kita berfikir jernih, lakukanlah dengan ‘repetitive
magic power’ – zikir Asmaul husna (99 thinking hats) dan ucapkan Subhanallah, sambil
mengingat kesucian sifat Allah.

b) Lihatlah kecerdasan Spiritual yang telah anda miliki dengan mengenali dan
menggunakannya. Mulailah dari hal yang kecil, dari kebiasaan sehari-hari. Contohnya
ialah :

 Anda sedang menghadapi satu ujian dan rasa tidak sabar, ada suara hati yang
lantas terdetik “Bersabarlah !” Itu adalah suara hati Yang Maha Penyabar, As-
Sabuur (Maha penyabar).
 Anda merasa malas untuk belajar lagi kerana telah merasakan telah mencukupi
dengan ilmu yang dimiliki”, suara hati lantas berdetik “Aku Perlu Cerdik dan
Bijaksana” Itu adalah suara Yang Maha Pandai, Ar Rasyiid (Maha Pandai).

c) Lakukan Istigfar setiap hari dengan memeriksa kesalahan diri.

Berdoalah dengan khusyuk. Ketika mengambil wuduk, disaat membersihkan wajah,


basuhlah mata dan wajah dari pandangan-pandangan hina kemunafikan. Ketika
membasuh tangan dan kaki, bersihkan diri dari dosa yang dilakukan oleh tangan dan kaki
kita.

KEDUA : 6 (enam) Prinsip Moral berdasarkan Rukun Iman

a) Prinsip Satu – Star Principle. Prinsip ini memberi penekanan kepada


penghayatan Rukun Iman yang pertama iaitu Percaya Kepada Allah. Kita mestilah
bekerja kerana Allah, bukan kerana manusia dan jangan berprinsip kepada yang lain
selain Allah. Lakukan segala sesuatu sebaik-baiknya kerana Allah, dan ingatlah selalu
Allah Yang Maha Tinggi. Berpedomanlah selalu pada sifat-sifat Allah. Bangun
kepercayaan dari dalam diri, jangan kerana penampilan fizikal, tetapi iman kitalah yang
akan memancarkan karisma diri kita.

b) Prinsip Dua – Angel principle. Rukun Iman kedua iaitu Percaya Kepada
Malaikat bukan sahaja dipelajari untuk pengetahuan malahan dapat dijadikan panduan
kepada kita bagi meningkatkan integriti dan akauntabiliti. Apabila bekerja kerjakanlah
sesuatu dengan tulus, ikhlas dan jujur seperti malaikat. Malaikat memiliki Integriti yang
sangat tinggi, yang boleh kita ambil pengajaran dan teladaninya.

c) Prinsip Tiga – Leadership Principle. Percaya Kepada Rasul. Sifat-sifat positif


yang dimiliki oleh para Nabi dan Rasul sewajarnya di teladani dan diaplikasikan di dalam
kerjaya. Setiap orang dilahirkan sebagai pemimpin, sekurang-kurangnya untuk
memimpin diri sendiri. Sesiapa yang berjaya memimpin dirinya, insyallah
berkemampuan untuk memimpin orang lain. Jadilah pemimpin kerana pengaruh anda,
bukan kerana hak anda. Dengarkanlah selalu suara hati, pimpinlah hati mereka bukan
kepala mereka. Jadikanlah Rasulullah sebagai suri teladan.

8
d) Prinsip Empat – Learning Principle. Percaya kepada Kitab. Kitab adalah
undang-undang dasar yang dijadikan pedoman atau pengajaran kepada manusia.
Membudayakan baca Al-Quran dan Hadis serta memahami dan mengamalkannya.
Apabila menghadapi kekeliruan untuk mengambil keputusan, carilah petunjuk dalam Al-
Quran dan Hadis. Masyarakat yang berilmu akan melahirkan warga Jauhari yang mampu
berfikir dan bertindak secara high thinking and high doing. Konsep life long learning
adalah selari dengan prinsip keempat ini.

e) Prinsip Lima – Vision principle. Milikilah tujuan dan misi jangka pendek dan
jangka panjang. Tentukan prioriti atau keutamaan. Buat perancangan kerja dan sasaran
kerja. Sentiasa membuat penilaian kerja yang dilakukan. Laksanakan kerja dengan penuh
komitmen. Inilah intipati atau hikmah sebenarnya Rukun Islam Kelima, percaya kepada
Hari Kiamat.

f) Prinsip Enam – Well Organizad Principle. Rukun Iman ke enam iaitu percaya
kepada Qadak dan Qadar (ketentuan dan ketetapan Allah), secara simboliknya
menekankan berkenaan pentingnya keteraturan dan sistem. Tentukan rencana dan tujuan
secara jelas. Wujudkan mekanisma atau sistem pengawasan bagi mengawal kualiti dan
produktiviti. Pelaksanaan dengan sangat disiplin dan sistematik.

KETIGA : 5 (lima) langkah sukses berdasarkan Rukun Islam

a) Langkah Satu – Mission Statement. Sejarah telah membuktikan setiap Individu


atau organisasi yang berjaya perlu mempunyai visi dan misi yang jelas. Penetapan visi
dan misi individu dan organiasi adalah terjemahan kepada Rukun Islam Pertama iaitu
mengucap dua kalimah syahadah. Ikrar kalimah syahadat diucapkan paling sedikit
sembilan kali dalam sehari semalam yang terdapat dalam “tahiyyat awal dan akhir”
dalam solat lima waktu. Ucapan “Asyahu an Laa Ilaaha Illallah” atau “Aku bersaksi
tiada Tuhan selain Allah” yang diucap kan berulang-ulang menjadi doktrin maha dahsyat
yang akan mengisi serta menghidupkan kalbu setiap jiwa. Ia akan mewujudkan
Repetative Magic Power yang merupakan satu energi dan pengasahan komitmen melalui
pembangunan memori alam bawah sedar.

b) Langkah Dua – Character Building. Pembinaan karakter melalui penghayatan


solat yang sempurna, iaitu Rukun Islam Kedua. Solat merupakan satu kaedah releksasi
yang sangat penting bagi menjaga kondisi emosi dan fikiran. Solat merupakan kekuatan
afirmasi atau penegasan kembali yang dapat membantu seseorang untuk lebih menyelaras
nilai-nilai keimanan dan realiti kehidupan. Menurut Stephen R. Covey, afirmasi atau
penegasan memiliki lima dasar iaitu peribadi, positif, masa kini, visual, dan emosi. Solat
juga melahirkan kecerdasan emosi dan spiritual yang merangkumi konsistensi
(istiqamah), kerendahan hari (tawadhu), berusaha dan berserah (tawakal), ketulusan
(keikhlasan), totalitas (kaffah), keseimbangan (tawazun), integriti dan penyempurnaan
(ihsan). Kesemua ini dinamakan Akhlakul Karimah.

c) Langkah Tiga – Self Controling. Menghayati pelaksanaan rukun Islam ketiga


berpuasa di bulan Ramadhan. Puasa adalah suatu kaedah latihan untuk pengendalian diri.

9
Puasa bertujuan untuk meraih kemerdekaan sejati dan pembebasan dari belenggu yang
tidak terkendali. Puasa yang baik akan memelihara aset kita yang paling berharga iaitu
suara hati Ilahiah (spritual capital).

d) Langkah Empat – Strategic Colaboration. Penghayatan Rukun Islam ke empat


iaitu menunaikan zakat. Zakat adalah langkah nyata untuk mengeluarkan potensi spiritual
(fitrah) menjadi sebuah langkah konkrit bertujuan membangun sebuah sinergi yang kuat
iaitu berlandaskan sikap empati, kepercayaan, sikap kooperatif, keterbukaan serta
kreadibiliti.

e) Langkah Lima – Total Action. Haji adalah suatu transformasi prinsip dan
langkah secara total (thawaf), konsisten dan persisteni perjuangan (sa’i), evalusi dan
visualisasi serta mengenal jati diri spritual ketika wukuf. Haji juga merupakan suatu
pelatihan sinergi dalam skala yang tinggi, dan haji adalah persiapan fizikal serta mental
dalam menghadapi berbagai tentangan masa depan (lontar jumrah).15

Pertikaian Dalam Penerapan Fiqh Hadis “Islam, Iman dan Ihsan” Dalam ESQ
Model

Secara zahirnya mungkin ada yang berpendapat bahawa berdasarkan hadis ini Rasullullah
s.a.w. mengajarkan kita supaya mengikut tertib yang betul dalam mengamalkan agama
iaitu seseorang itu perlu bermula dari Islam, Iman dan barulah Ihsan, dan bukan
sebaliknya. Manakala pendekatan dalam Model ESQ Way pula menyalahi atau
menyongsang dari maksud hadis kerana meletakkan Ihsan sebagai matlamat pertama.
Sedangkan seseorang tidak mungkin mencapai maqam Ihsan selama mana beliau tidak
mengukuhkan prinsip-prinsip Islam dan Iman terlebih dahulu.

Sebenarnya pendapat seperti ini  berhajat  kepada penelitian semula, kerana dari
sudut logiknya tertib bermaksud melakukan sesuatu perkara mengikut urutan dan tidak
boleh melakukan perkara yang lain kecuali setelah selesai perkara sebelumnya. Dalam
konteks ini, adalah tidak munasabah jika dikatakan bahawa seorang muslim perlu terlebih
dahulu selesai mengucap dua kalimah syahadah dan menunaikan tuntutan-tuntutan
berkaitan syahadah, kemudian barulah menunaikan solat, kemudian berpuasa di bulan
Ramadan, kemudian menunaikan zakat dan kemudian mengerjakan haji. Setelah selesai
dengan sempurna segala perkara berkaitan rukun-rukun Islam di atas barulah beriman
dengan Allah, kemudian malaikat, kemudian kitab, kemudian rasul, kemudian hari
akhirat dan seterusnya qada’ dan qadar. Atas pemahaman ini juga bermakna setelah
selesai setiap perkara dalam rukun Islam dan Iman dengan sempurna dan segala tuntutan
berkaitan dengan setiap rukun tersebut barulah dimulakan pula usaha untuk mendapatkan
Ihsan. Pastinya tidak siapapun yang mempelajari fiqh hadis ini akan berfahaman seperti
ini. Apatah lagi dalam hadis ini sendiri Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa lelaki
dalam hadis ini sebenarnya adalah Jibril a.s. yang datang untuk mengajarkan umat Islam
tentang agama mereka (‫ﱠﺎس ِدﻳﻨَـ ُﻬ ْﻢ‬ ‫ﱢ‬ ِ ِ
َ ‫ﻳﻞ َﺟﺎءَ ﻳـُ َﻌﻠ ُﻢ اﻟﻨ‬
ُ ‫) َﻫ َﺬا ﺟ ْﱪ‬. Ibn Rajab dalam huraiannya

15
Lihat: Mohd Afendi bin Ya @ Zakaria, Merealisasikan Budaya Kerja Kelas Pertama Di Dalam
Perkhidmatan Awam Menerusi Pelaksanaan Konsep ESQ Way 165. http://myfendi.esq2u.com/?p=608

10
menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. sendiri menyimpulkan bahawa kesemua perkara
yang ditanyakan oleh Jibril itu adalah sebahagian dari al-din.16 Dengan kata lain Islam,
Iman dan Ihsan itu merupakan komponen al-din yang saling melengkapi antara satu sama
lain dan tidak boleh dipisah-pisahkan, malah perlu dibangunkan secara komprehensif
oleh setiap muslim. Selain itu, hadis ini turut diriwayatkan dengan berbagai riwayat sahih
lain yang membuktikan bahawa bukan tertib tersebut yang dimaksudkan oleh Rasulullah
s.a.w. Ibn Hajar ketika mengulas perkara ini dalam syarahnya menulis bahawa uslub
hadis tidak menunjukkan keperluan tertib (‫ﺴﻴَﺎق ﺗَـ ْﺮﺗِﻴﺐ‬
‫) َوﻟَْﻴﺲ ِﰲ اﻟ ﱢ‬. Apatah lagi ada riwayat
َ
dari Matar al-Rawwaq yang bermula dengan Islam kemudian Ihsan barulah Iman.17 Jika
tertib menjadi maksud penting dari hadis ini, pasti para rawi akan cukup teliti
memastikan riwayat mereka memelihara tertib yang dimaksudkan oleh baginda
Rasulullah s.a.w. sedangkan pemerhatian terhadap riwayat-riwayat yang disebutkan jelas
tidak memelihara aspek ini.
 
Dari pemerhatian ke atas respon terhadap Model ESQ Way ini, ada juga segelintir
yang menganggap penerapan hadis Islam, Iman dan Ihsan ini sebagai sebuah pentafsiran
bebas terhadap Sunnah. Pandangan ini sebenarnya agak tersasar dari perbahasan ilmiah,
kerana seperti yang ditegaskan oleh para ulama sebelum ini, hadis ini merupakan sebuah
kerangka besar yang merangkumi ajaran Islam secara keseluruhan atau manhaj hayah
yang menjadi panduan kepada setiap muslim dalam menuju kejayaan di dunia dan
akhirat. Selain itu, usaha supaya umat Islam menghayati prinsip serta amalan Islam yang
mereka imani dan amali setiap hari dalam realiti kehidupan mereka, telah diperjelaskan
oleh para ulama silam. Ini adalah selaras dengan Firman Allah S.W.T. yang menyebut
solat sebagai contoh amal ibadah yang mampu membentuk sahsiah seorang muslim yang
berintegriti dan tidak terpalit dengan kejahatan dan kemunkaran. Firman tersebut
berbunyi:

18
.‫ﺼ َﻼةَ ﺗَـْﻨـ َﻬﻰ َﻋ ِﻦ اﻟْ َﻔ ْﺤ َﺸ ِﺎء َواﻟْ ُﻤْﻨ َﻜ ِﺮ‬ ‫َوأَﻗِ ِﻢ اﻟ ﱠ‬
‫ﺼ َﻼةَ إِ ﱠن اﻟ ﱠ‬
Maksudnya: Dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari sebarang
bentuk kejahatan dan kemunkaran.

Al-Imam al-Ghazali menerusi kitabnya Ihya’ Ulum al-Din merupakan salah


seorang tokoh terkenal yang menghuraikan dengan terperinci setiap gerak kerja dalam
amal ibadah utama umat Islam serta hubungkaitnya dengan aktiviti kehidupan harian,
supaya dengan itu setiap muslim akan menjadi seorang baik budi pekerti, elok
perhubungannya dengan sesama manusia, jujur dan amanah dalam menunaikan tanggung
jawab yang diamanahkan seterusnya menjadi insan kamil yang diredai Allah S.W.T.
Pendekatan al-Ghazali ini turut diikuti oleh para ulama reformis lain menerusi hasil karya
masing-masing. Justeru, usaha untuk membina kejayaan atau transformasi kehidupan
dengan beraspirasikan amalan, konsep malah nas dari Quran dan Sunnah merupakan
16
Lihat: al-Hanbali, Ibn Rajab. 1422H. Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhariyy. Tah. Abu Mu’adh, Tariq
bin Awad. Al-Dammam: Dar Ibn al-Jawziyy. Jld. 1. hlm. 107.
17
Lihat: Ibn Hajar. Fath al-Bari bi Sharh Sahih al-Bukhariyy. Jld 1. hlm 80.
18
Al-Ankabut 29:45.

11
suatu kewajiban dan kebijaksanaan yang perlu disokong dan disanjung selaras dengan
tuntutan Quran dan Sunnah itu sendiri.

Dalam sebuah hadis yang masyhur Rasulullah s.a.w. bersabda:

‫ وﻟﻦ ﻳﺘﻔﺮﻗﺎ ﺣﱴ ﻳﺮدا ﻋﻠﻲ‬،‫ ﻛﺘﺎب اﷲ وﺳﻨﱵ‬: ‫إﱐ ﻗﺪ ﺗﺮﻛﺖ ﻓﻴﻜﻢ ﺷﻴﺌﲔ ﻟﻦ ﺗﻀﻠﻮا ﺑﻌﺪﳘﺎ‬
19
.‫اﳊﻮض‬
Maksudnya: Sesungguhnya aku telah tinggalkan dua perkara yang sekali-kali
kamu tidak akan tersesat selepas mengikutinya; Kitab Allah dan Sunnahku dan kedua-
duanya tidak akan terpisah sehinggalah ketika melewatiku di al-Haud.

Dalam menghuraikan hadis ini, al-Imam al-Bajiyy memberikan kupasan menarik


yang perlu dihayati oleh setiap muslim dalam fiqh hadis ini. Beliau menjelaskan bahawa
sabda Rasulullah s.a.w “berpegang dengan Quran dan Sunnah” merupakan satu dorongan
supaya mempelajari kedua-duanya, berpegang teguh dengan kedua-duanya serta
mengikuti segala kandungan yang terdapat dalam kedua-duanya. Sekiranya sesuatu
perkara itu tiada dijelaskan dalam Quran dan Sunnah, maka hendaklah ia dikembalikan
kepada asas yang dijelaskan dalam kedua-duanya dan mengambil iktibar daripadanya.
Berkaitan perkara ini, al-Imam Malik memberikan huraian yang boleh disimpulkan
bahawa mengambil apa yang jelas dalam Quran dan Sunnah adalah wajib, manakala bagi
perkara yang tidak dijelaskan dalam keduanya, maka hendaklah seseorang alim
melakukan ijtihad menggunakan akal dan kias berasaskan apa yang telah dijelaskan
dalam kedua-duanya. Manakala orang jahil yang bertindak tidak mengikut landasan ini,
bermakna ia telah terkeluar dari landasan ilmu dan tuntutan baginda Rasulullah s.a.w.
yang akan menyebabkan ia tersasar dari kebenaran.20

Pandangan ini jelas menunjukkan bahawa tanggung jawab masyarakat muslim


terutama para pemimpin dan cendekiawan mereka dalam menyelesaikan masalah serta
membangunkan setiap bidang kepakaran yang memberi manfaat kepada ummah dan
pembangunan negara adalah dengan menjadikan Quran dan Sunnah sebagai aspirasi
mereka. Ini selaras dengan firman Allah S.W.T.:

‫ُوﱄ ْاﻷ َْﻣ ِﺮ ِﻣْﻨ ُﻜ ْﻢ ﻓَِﺈ ْن ﺗَـﻨَ َﺎز ْﻋﺘُ ْﻢ ِﰲ َﺷ ْﻲ ٍء ﻓَـ ُﺮﱡدوﻩُ إِ َﱃ‬
ِ ‫ﻮل َوأ‬ َ ‫َﻃﻴﻌُﻮا اﻟﱠﺮ ُﺳ‬ ِ ‫َﻃﻴﻌﻮا اﻟﻠﱠﻪ وأ‬ ِ
َ َ ُ ‫ﻳﻦ آَ َﻣﻨُﻮا أ‬
ِ‫ﱠ‬
َ ‫ﻳَﺎ أَﻳـﱡ َﻬﺎ اﻟﺬ‬
ِ ِ
.ً‫َﺣ َﺴ ُﻦ ﺗَﺄْ ِوﻳﻼ‬ َ ‫ﻮل إِ ْن ُﻛْﻨﺘُ ْﻢ ﺗُـ ْﺆِﻣﻨُﻮ َن ﺑِﺎﻟﻠﱠ ِﻪ َواﻟْﻴَـ ْﻮم ْاﻵَ ِﺧ ِﺮ َذﻟ‬
ِ ‫اﻟﻠﱠ ِﻪ واﻟﱠﺮﺳ‬
21
ْ ‫ﻚ َﺧْﻴـٌﺮ َوأ‬ ُ َ

19
Al-Hakim, Muhammad bin cAbd Allāh al-Naysābūriyy. 1411H/1990. al-Mustadrak calā al-sahihayn.
Beirut: Dār al-Kutub al-cIlmiyyah. Jld 1 hlm 307.
20
Lihat: al-Bajiyy, Sulayman bin Khalaf. 1999/1420H. al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’. Tah. cAta,
Muhammad cAbd al-Qadir. Beirut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah. Jld 4. hlm. 278.
21
Al-Nisa’ 4:59.

12
Maksudnya: Wahai orang beriman patuhilah Allah dan RasulNya; dan orang yang
diberi tanggung jawab dari kalangan kamu. Sekiranya kamu berselisih pendapat pada
sesuatu perkara maka kembalikanlah ia kepada Allah dan RasulNya, sekiranya kamu
benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian itu lebih baik dan
lebih elok kesudahannya.

Sayyid Qutb dalam tafsirannya terhadap ayat ini antara lain menegaskan bahawa
dalam isu dan permasalahan yang timbul berikutan perkembangan keperluan serta
kondisi semasa sesuatu masyarakat yang membawa kepada perbezaan pandangan dan
pemahaman, tetapi tidak ada nas jelas mengenainya juga, Islam tidak membiarkan
perkara itu tanpa sebarang panduan sehingga menyebabkan masyarakat hilang arah atau
panduan. Sebaliknya, satu kaedah asas diperkenalkan dan panduan berijtihad
dikemukakan agar keputusan yang dibuat serta tindakan yang diambil dalam perkara-
perkara tersebut selaras dengan kehendak Islam. Ia adalah dengan mengembalikan
perkara tersebut kepada nas-nas yang terkandung di dalamnya petunjuk mengenai
keputusan atau jalan penyelesaian secara tidak langsung. Sekiranya nas seperti ini juga
tidak didapati maka hendaklah dirujuk kepada kaedah-kaedah umum yang tersirat dalam
hukum Allah dan syariatNya. Perkara ini bukanlah suatu kebebasan, kecelaruan, atau
kejahilan seperti yang cuba dipertikaikan oleh sestengah pihak, kerana dalam agama ini
terdapat prinsip-prinsip yang membentuk kerangka asas sebagai panduan kehidupan yang
komprehensif merangkumi semua aspek, dan sebarang tindakan untuk keluar dari
kerangka ini akan dapat dikesan oleh setiap individu muslim yang beriltizam dengan
prinsip-prinsip ini.22

Kesimpulan

Dari perbincangan ini dapatlah disimpulkan bahawa Model ESQ Way 165 merupakan
suatu usaha keras pengasasnya untuk mengislamisasikan ilmu perlatihan modal insan
menggunakan prinsip-prinsip, serta amalan-amalan yang menjadi asas pegangan serta
rutin harian setiap individu muslim. Malah jika diteliti model ini secara menyeluruh,
tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pengasasnya berjaya mengadunkan nas-nas dari
Quran dan Sunnah mengikut pengkajiannya berkaitan pengurusan sumber manusia
dengan kajian modern dalam bidang ini, sehingga berjaya membina sebuah model yang
unik dan lebih mantap dari apa yang dikemukakan oleh sarjana barat. Ini adalah kerana
kajian oleh sarjana barat hanya terbatas kepada nilai-nilai duniawi dan tetap terbatas
dalam kerangka kemanusiaan tanpa menembusi hakikat pengabdian diri kepada Ilahi.
Hanya dengan merujuk kepada petunjuk serta hidayah yang digariskan oleh Quran dan
Sunnah, kesempurnaan sejati pada nilai yang dihasratkan dalam sumber manusia dapat
dicapai secara hakiki. Penelitian terhadap fiqh hadis Islam, Iman dan Ihsan ini dari turath
para ulama sehingga menjadi sumber inspirasi terhadap pembinaan model ini bersesuaian
dengan kedudukan hadis ini sebagai Umm al-Sunnah seperti yang telah dihuraikan oleh
para ulama terdahulu.

Model ESQ Way 165 merupakan sebuah kesinambungan dari usaha para ulama
terdahulu yang berjaya mengemukakan huraian atau penjelasan ke arah penghayatan
22
Lihat: Qutb, Sayyid. 1398H/1978. Fi zilal al-qur’an. Beirut: Dar al-Shuruq. Jld. 3. hlm 162-163.

13
prinsip serta amal ibadah yang menjadi amalan Umat Islam supaya dapat diterjemahkan
dalam realiti kehidupan harian. Dengan cara itu, sahsiah masyarakat Islam menjadi lebih
baik, hubungan silaturrahim menjadi semakin erat dan kesannya dapat dilihat dalam
keharmonian hidup serta kerukunan umat. Menerusi Model ESQ Way 165 para muslim
bukan sahaja dibentuk untuk menjadi warga yang baik dan harmonis semata-mata, akan
tetapi masyarakat dibimbing secara berterusan untuk membentuk visi dan misi ke arah
membina kecemerlangan dalam organisasi tempat mereka menabur bakti, dalam keluarga
tempat mereka membina generasi, malah dalam konteks yang lebih besar, dalam ummah
mereka agar sebuah tamadun yang penuh gemilang tertegak kembali, menaungi segenap
pelusuk dunia dengan rahmat dan barakah daripadaNya.

Kejayaan membina sebuah model dalam memantapkan pengurusan sumber


manusia dengan beraspirasikan fiqh hadis Islam, Iman dan Ihsan ini, merupakan suatu
usaha yang patut disanjung dan diperluaskan kepada hadis-hadis lain merangkumi
pelbagai aspek kehidupan yang menjadi sebahagian dari agenda kritikal Umat Islam hari
ini untuk kembali meraih kedudukan mereka sebagai khayr ummah, terutama dalam
aspek ekonomi, politik, sosial, ketenteraan, kesihatan dan sebagainya. Umum mengetahui
bahawa Quran dan Sunnah adalah manhaj hayah yang syumul dan realistik. Justeru,
ummah amat mengalu-alukan usaha inovatif para cendekiawan muslim untuk
mengemukakan hasil kajian serta penemuan mereka berasaskan Quran dan Sunnah
sebagai solusi kepada isu masyarakat dan kesucian Islam.

Rujukan

Al-Quran.

Ary Ginanjar Agustian. T.th. Rahsia Kejayaan Membangunkan Kecerdasan Emosi dan
Spiritual The ESQ Way 165. Ter. Mohd Nurul Imran Bin Koyube, Ahmad Yani Abd
Manaf & Sh. Noorul Huda S. Hasan. Petaling Jaya: ESQ Leadership Center.

Al-Asqalaniyy, Ahmad bin Aliyy Ibn Hajar. 1379H. Fath al-Bariyy bi Sharh Sahih al-
Bukhariyy. Tah. cAbd al-Baqiyy, Muhammad Fu’ad & al-Khatib, Muhibb al-Din. Beirut:
Dar al-Macrifah.

al-Bajiyy, Sulayman bin Khalaf. 1999/1420H. al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’. Tah. cAta,
Muhammad cAbd al-Qadir. Beirut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah.

Al-Hakim, Muhammad bin cAbd Allāh al-Naysābūriyy. 1411H/1990. al-Mustadrak calā


al-sahihayn. Beirut: Dār al-Kutub al-cIlmiyyah.

al-Hanbali, Ibn Rajab. 1422H. Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhariyy. Tah. Abu Mu’adh,
Tariq bin Awad. Al-Dammam: Dar Ibn al-Jawziyy.

Mohd Afendi bin Ya @ Zakaria. T.th. Merealisasikan Budaya Kerja Kelas Pertama Di
Dalam Perkhidmatan Awam Menerusi Pelaksanaan Konsep ESQ Way 165.
http://myfendi.esq2u.com/?p=608

14
Qutb, Sayyid. 1398H/1978. Fi zilal al-qur’an. Beirut: Dar al-Shuruq.

http://id.wikipedia.org/wiki/Ary_Ginanjar_Agustian

http://esq.com.my/v1/module/esq-model/

15
LAMPIRAN A

THE ESQ MODEL


1 Value
Developing self awareness by discovering core values that are already embedded in one’s heart.
The SEVEN Core Values are: Trustworthiness, Responsibility, Visionary, Discipline,
Teamwork, Fair, & Care. The modules are:

 Outer Journey – Self realization through understanding one’s existence through cosmic
awareness.
 Inner Journey – self realization through understanding one’s ultimate values.
 Zero Mind Process – eliminating the shackles that cover one’s core values.

16
6 Principles
How to internalize core values in order to hold on to them. The modules are:

 Star Principle – spiritual commitments; a principle that will develop strong confidents,
high integrity and wisdom in oneself.
 Angel Principle – creates a personality with high loyalty and sincere contributions.
 Leadership Principle – creating a leader that holds on to excellence, accountability,
honesty and caring.
 Learning Principle – developing a mindset of continuous improvement.
 Vision Principle – developing a mindset of always having three visions in life; Long
Term, Mid Term & Short Term.

Well-Organized Principle – the notion of always being sincere in whatever position and result
one’s has achieved.
5 Actions
How to sustain and apply the principles and core values. The modules are:

 Mission Statement – having a mission statement is to highlight the importance of having


a strong mission so as to become one’s believe that can drive him towards the highest
level of achievements.
 Character Building – it is an internalization process of values until it become a character
in one’s life.
 Self-Controlling – identifying and eliminating the negativities that can prohibit a person
to achieve a mission.
 Strategic Collaboration – synergy.
 Total Action – persistence and consistence to pursue one’s objectives.

Sumber: http://esq.com.my/v1/module/esq-model/

17

You might also like