You are on page 1of 12

PRABACAAN

Prabacaan ialah tahap penyediaan murid-murid untuk membaca di mana guru


perlulah menyediakan pengalaman bahasa , iaitu mengenal dan mengecam huruf.
Murid perlu didedahkan dengan aktiviti yang boleh mendorong murid-murid dalam
mempertingkatkan ketajaman penglihatan dan pendengaran. Ia perlu bagi
membentuk kelaziman membaca seperti membaca dari kiri ke kanan dan dari atas
ke bawah.

Membaca memerlukan satu tingkat berfikir yang tinggi dan komunikasi mesej
atau makna atau sebutan makna. Membaca merupakan proses kognitif iaitu berfikir
melalui bahan bercetak. Proses menguasai bacaan melibatkan tahap penguasaan
yang berbeza-beza. Pada setiap aras penguasaan mencerminkan tahap
penguasaan pembacaan bagi individu tersebut. Pada setiap penguasaan bacaan ini
terdapat beberapa kaedah yang boleh diaplikasikan oleh pembaca. Setiap tahap
boleh disimpulkan seperti berikut:

Kaedah Abjad (Tahap prabacaan). Kaedah ini juga dikenali sebagai kaedah
huruf atau kaedah mengeja dan merupakan kaedah tradisional yang digunakan oleh
guru untuk mengajar bacaan. Murid-murid dikehendaki mengenali nama, bentuk dan
mengecam huruf abjad. Murid diperkenalkan dengan nama semua huruf yang
terdapat dalam sistem ejaan semasa. Mereka perlu menghafal nama semua huruf
yang diperkenalkan itu. Menurut Abdul Aziz Abdul Talib (2000), biasanya, huruf
besar diperkenalkan terlebih dahulu sebelum huruf kecil diajarkan. Menurut Raminah
Haji Sabran dan Rahim Syam (1985) pula, kedua-dua bentuk huruf kecil dan huruf
besar didedahkan serentak. Setelah murid menghafal semua nama huruf,
pengajaran difokuskan pula pada nama dan bunyi huruf vokal a, e, i, o, dan u.

Setelah murid menghafal nama semua huruf dan mengenal huruf vokal serta
bunyinya, pelajaran diteruskan dengan pembentukan suku kata secara berturutan.
Murid dilatih tubi membaca suku kata itu. Daripada suku kata itu dibentuk perkataan
seperti baba, baca, bola, buku, dada, dan cucu. Latih tubi mengeja perkataan
diadakan. Lazimnya pengejaan dilakukan dengan menyebut nama huruf pada
sesuatu suku kata diikuti dengan penyebutan suku kata itu. Misalnya untuk
perkataan “buku”, mula-mula disebut nama huruf bi dan yu diikuti penyebutan bunyi
suku kata “bu”; kemudian disebut nama huruf ke dan yu dikuti penyebutan bunyi
suku kata “ku”, dan akhir disebut perkataan “buku”. Penekanan terhadap nama
abjad dan bunyi suku kata sesuai dengan sistem ejaan bahasa Melayu. Kecuali
bentuk dwihuruf (digraf) seperti konsonan ng dan diftong ai, umumnya satu huruf
dalam bahasa Melayu melambangkan satu bunyi sahaja.

Setiap perkataan pula mesti terdiri daripada sekurang-kurangnya satu suku


kata. Suku kata itu terhasil dengan menggabungkan satu atau lebih daripada satu
konsonan dengan satu vokal atau diftong. Dengan perkataan lain, struktur suku kata
bahasa Melayu bersifat tetap dan mudah dikenal pasti. Hal ini memudahkan murid
mengingat dan menyebut suku kata. Apabila murid menguasai suku kata, mereka
dapat membentuk perkataan. Seterusnya, murid dapat membentuk apa-apa sahaja
perkataan baharu dengan suku kata itu walaupun mereka tidak memahami makna
perkataan itu. Rumusannya, kaedah ini menyediakan murid asas yang kukuh untuk
membaca.

Selain itu juga, kaedah ini mudah dikendalikan dan tidak memerlukan alat
bantu belajar yang banyak. Berbekalkan pengalaman belajar membaca dengan
menggunakan kaedah ini dan dengan menggunakan sumber yang minimum seperti
buku, ditokok dengan kesungguhan dan kesabaran, sesiapa sahaja dapat
mengajarkan bacaan kepada mana-mana kumpulan sasar dengan menggunakan
kaedah ini. Guru sekolah rendah dapat melaksanakan kaedah ini berpandukan buku
dan dengan menggunakan carta abjad, carta suku kata dan kad perkataan.

Kaedah Fonik (Tahap bacaan mekanis). Kaedah ini lebih menekankan


amalan membuat latih tubi tentang penyebutan bunyi huruf, suku kata, frasa, ayat-
ayat dan kurang memberi tumpuan kepada nama huruf. Kanak-kanak dilatih
menyebut huruf secara terasing dan kemudiannya menggabungkan dengan bunyi-
bunyi huruf lain untuk membentuk suku kata dan perkataan. Contoh lambang ‘b’
bukannya ‘bi’ tetapi disebut ‘beh’, ‘a’ disebut ‘ah’ dan begitulah seterusnya. Kaedah
fonik ini sesuai diajar kepada kanak-kanak kerana Bahasa Melayu terdiri daripada
suku kata yang hampir tetap bunyinya. Amalan ini akan membolehkan mereka yang
baru belajar membaca melakukan latihan sebutan perkataan-perkataan baru.
Menurut Sofiah Hamid (1985: 1), selepas murid-murid mempelajari sejumlah
perbendaharaan kata, mereka akan membandingkan unsur-unsur yang sama dalam
perkataan-perkataan tersebut, dan kemudiannya membuat satu kesimpulan umum
mengenai bunyi-bunyi yang terdapat dalam perkataan-perkataan yang telah
dipelajari. Contohnya, selepas murid-murid diajarkan perkataan-perkataan yang
dimulakan dengan bunyi yang sama seperti mana, mama, makan, baju, bapa,
bawa, mereka diajar melihat dan mengenal bahawa perkataan-perkataan itu
bermula dengan huruf dan suku kata yang sama tetapi memberi makna yang
berbeza-beza.

Kaedah Seluruhan Perkataan (Tahap bacaan dan kefahaman). Kaedah ini


juga dikenali dengan ‘kaedah perkataan’, ‘kaedah rangkai kata’, dan ‘kaedah ayat’.
Kaedah ini lebih menumpukan kepada menyebut keseluruhan perkataan dengan
bantuan gambar untuk merujuk kepada menyebut keseluruhan perkataan dengan
bantuan gambar untuk merujuk benda yang dipamerkan itu. Kanak-kanak dilatih
untuk melakukan dua kemahiran di dalam satu masa, iaitu menyebutkan
keseluruhan perkataan dan melakukan pengesanan terhadap rangsangan berbentuk
gambar. Berbantukan gambar yang dilabelkan berhampiran dengan perkataan
tersebut, kanak-kanak boleh menyebut perkataan untuk mewakili maksud yang
terdapat di dalam gambar tersebut.

Kaedah Frasa. Seperti kaedah perkataan, kaedah ini pun mementingkan


unsur-unsur yang bermakna semasa permulaan pengajaran membaca. Kaedah ini
berasaskan andaian bahawa frasa merupakan unit yang lebih besar daripada
perkataan, dan dengan ini lebih menarik minat murid-murid daripada perkataan.
Frasa-frasa yang bermakna boleh dibentuk dengan dua atau tiga perkataan yang
mudah, contohnya:

 Ini meja
 Ini kerusi
 Itu buku
 Itu bola

Frasa-frasa ini kemudiannya dipanjangkan untuk membentuk ayat-yat mudah,


misalnya:
 Ini meja saya
 Ini kerusi guru
 Itu buku saya
 Itu bola Ahmad

Semasa mengajar, guru akan memilih frasa-frasa yang sesuai agar terdapat
peningkatan dalam proses pengajaran, daripada yang senang kepada yang susah.
Dengan cara ini juga perkataan-perkataan yang baru dapat diperkenalkan.

Kaedah Kalimat. Menurut kaedah ini, murid-murid terlebih dahulu


diperkenalkan kepada kalimat-kalimat atau ayat-ayat yang pendek dan bermakna.
Guru akan menulis dan membaca satu kalimat daripada pertuturan beberapa kali.
Kemudian murid-murid disuruh mengulangi membaca kalimat tersebut. Sesudah itu
perhatian murid-murid ditarik kepada perkataan-perkataan yang membentuk kalimat
itu. Perkataan-perkataan yang dipelajari kemudian disisipkan ke dalam kalimat-
kalimat baru. Selepas itu barulah unsur-unsur suku kata dan huruf dalam perkataan
diperkenalkan. Pengetahuan mengenai unsur-unsur kemudiannya digunakan untuk
membentuk kemampuan mengenal perkataan baru secara tepat dan berdikari.

Kaedah Gabungan yang dicadangkan.Kaedah gabungan untuk mengajar


membaca bahasa Melayu kepada murid-murid peringkat awal (prabacaan) yang
dicadangkan di sini berasaskan hal-hal berikut:

a) Sistem ejaan bahasa Melayu adalah mengikut abjad dan fonemik – ertinya
ada hubungan yang rapat di antara simbol/huruf dan bunyinya.
b) Suku kata perkataan-perkataan Melayu adalah jelas (jika dibandingkan
dengan bahasa-bahasa lain – dengan bahasa Inggeris misalnya).
c) Ciri-ciri yang baik daripada ‘kaedah fonik’ dan ‘kaedah pandang dan sebut’
boleh digabungkan.
d) Murid-murid Melayu yang baru melangkah masuk ke Darjah 1 rata-rata telah
pun mempunyai perbendaharaan bahasa Melayu yang mencukupi untuk terus
belajar membaca.
Kaedah yang dicadangkan ini menegaskan yang kita boleh menggabungkan terus
‘kaedah fonik’ dan ‘kaedah pandang dan sebut’ dalam satu pelajaran membaca,
pada peringkat awal. Kita tidak perlu menunggu murid-murid mengetahui semua
nama huruf, bunyi huruf dan suku kata sebelum mereka disuruh membaca
perkataan-perkataan atau ayat. Malahan kita tidak begitu perlu memperkenalkan
dan mengajar abjad dan bunyi huruf dari a, b, c… sampai z secara tertib biasa.
Kaedah gabungan ini mencadangkan biar murid-murid diperkenalkan kepada
bunyi beberapa huruf vokal dan konsonan, dan kemudian terus membunyikan suku
kata dan perkataan-perkataan yang bermakna, dalam satu dua pelajaran. Dengan
cara begini dalam dua, tiga pelajaran saja mereka akan terus dapat membaca
beberapa perkataan dan ayat, dan merasa bangga yang mereka boleh membaca
serta faham akan yang dibaca. Untuk menjelaskan kaedah ini secara konkrit,
terdapat beberapa contoh:

a) Mulakan dengan perkenalkan bunyi dua atau tiga huruf vokal:


a o u dengan menggunakan kad imbasan (flash card). Buat latihan
membunyikan huruf ini beberapa kali, selang-seli.
b) Kemudian perkenalkan pula bunyi dua atau tiga huruf konsonan, misalnya:
d k m dengan menggunakan kad imbasan, dan buat latih-tubi beberapa kali
supaya semua murid dapat melafazkan bunyi tiap-tiap lambang itu dengan
jelas.
c) Gabungan bunyi tiap-tiap huruf konsonan dengan huruf vokal supaya menjadi
suku kata:
da di du
ka ki k u
sa si su
Seterusnya bentukkan beberapa perkataan yang bermakna, misalnya:
ba ba baba
bu bu bubu
da da dada
ku ku kuku
Ulangkan ini beberapa kali, kemudian gabungkan dua perkataan menjadi ayat
dan latihan murid-murid membacanya:
baba bubu
dada kuku
d) Perkenalkan gabungan lain:
a ku aku
a da ada
i ni ini
bu ku buku
Seluruh murid-murid membaca ayat-ayat berikut daripada beberapa
perkataan di atas:
aku ada buku
ini buku aku
e) Perkenalkan gabungan bunyi lain pula seterusnya.
i bu ibu
bu di budi
u da uda
budi ibu
Suruh murid membaca ayat-ayat yang menggunakan berbagai-bagai
perkataan yang dicipta:
ibu buku
baba uda bubu
buku uda
Begitulah beberapa contoh kaedah gabungan yang boleh diajar di dalam tiga,
empat hari, sejam sehari. Dalam seminggu sahaja murid-murid boleh
mengenal huruf-huruf a, e, i, o : b, d, k dan membaca suku kata, perkataan-
perkataan dan ayat yang dibentuk daripadanya.

Kesediaan Membaca.Kesediaan membaca bermaksud kemampuan seseorang


untuk menerima pengajaran dari segi mental, emosi dan fizikal. Secara luas,
kesediaan membaca melibatkan sebarang aktiviti sebelum sesuatu peringkat
bacaan dimulakan, sama ada di peringkat mendirikan asas, mengukuhkan asas
mahupun peringkat-peringkat lain yang lebih tinggi. Secara khusus, iaitu untuk
kanak-kanak yang belum didedahkan dengan sebarang aktiviti bacaan, kesediaan
membaca merangkumi kebolehan fizikal, emosi dan mentalnya untuk menerima
pengajaran bacaan asas. Dari segi fizikal kemampuan kanak-kanak dapat dilihat dari
sudut keupayaan alat-alat sebutannya menghasilkan bunyi-bunyi yang akan
diajarkan, keupayaan matanya mengecam bentuk, dan keupayaan pendengarannya
mengecam bunyi-bunyi.

Dari segi emosi, kemampuan kanak-kanak dapat dilihat dari segi mintanya
terhadap bahan-bahan bacaan (seperti bermain dengan bahan bacaan, membelek-
belek bahan bacaan, melihat bahan bacaan, dan berminat melihat orang di
sekitarnya membaca) dan minatnya untuk mendengar bacaan, khususnya yang
berupa cerita. Dari segi mental, kemampuan kanak-kanak dapat dilihat dari segi
keupayaannya mengingat apa-apa yang diberitahu dan kebolehannya menyatakan
semula apa-apa yang telah diketahuinya.

Dari segi umur, ada kanak-kanak bersedia membaca seawal umur empat tahun
dan ada pula kanak-kanak yang hanya bersedia membaca setelah berumur enam
tahun. Selain faktor fizikal, emosi dan mental, factor persekitaran amat
mempengaruhi kesediaan kanak-kanak membaca. Sebagai contoh, kanak-kanak
yang terdedah dengan pelbagai jenis bahan bacaan sejak lahir, sentiasa melihat
orang di sekeliling membaca dan ada pula orang yang membacakan buku cerita
untuknya akan lebih cepat bersedia membaca berbanding dengan kanak-kanak
sebaya yang tidak mendapat peluang yang sama.

Syed Abu Bakar (1994) menyatakan bahawa peringkat kesediaan membaca


sangat penting. Menurutnya, “Jika tahap ini tidak dapat dicapai terlebih dahulu,
usaha untuk mengajarkan kemahiran membaca bukan sahaja sia-sia, malah boleh
menimbulkan kesan yang amat buruk kepada kanak-kanak, ibubapa dan guru.”
Beliau berpendapat, konsep kesediaan membaca ini samalah dengan keadaan
semula jadi yang dialami oleh kanak-kanak dalam perkembangan otot-otot tubuh
mereka. Umpamanya sebelum mereka boleh berjalan, mereka perlu meniarap,
merangkak dan berdiri terlebih dahulu. Kebolehan menggerakkan otot-otot tertentu
mengikut urutan sebelum berjalan dapat dianggap sebagai pecahan kemahiran
berjalan.

Keadaan yang sama berlaku untuk kemahiran membaca, Cuma bentuknya


berbeza. Berdasarkan pandangan Syed Abu Bakar ini dapat kita rumusan
perbandingan perkembangan kanak-kanak dengan peringkat-peringkat bacaan
seperti yang di bawah.
 Meniarap (aktiviti kesediaan membaca)
 merangkak ( aktiviti mendirikan kemahiran asas membaca)
 berdiri (aktiviti pengukuhan kemahiran asas membaca )
 berjalan ( mahir membaca peringkat rendah)
 berlari ( mahir membaca peringkat tinggi)

Aktiviti Kesediaan Membaca

Syed Abu Bakar (1994) mengkategorikan aktiviti kesediaan membaca kepada


dua, iaitu peringkat prabacaan dan peringkat bacaan. Peringkat prabacaan meliputi
kemahiran pengamatan pendengaran, kemahiran pengamatan penglihatan, aktiviti
koordinasi psikomotor, latihan menajamkan daya ingatan dan latihan bahasa
pertuturan. Peringkat bacaan meliputi kemahiran mengenal abjad hingga membaca
ayat. Menurut Ismail Zakaria, Salmah Othman dan Elly Chong (1992) pula, tahap
prabacaan merupakan satu tempoh menyediakan murid untuk membaca. Dengan
kata lain, makna istilah tahap prabacaan dan kesediaan membaca adalah sama.

Pada tahap ini murid didedahkan kepada aktiviti-aktiviti yang mendorong


mereka mempertingkatkan ketajaman penglihatan dan pendengaran. Penekanan
juga perlu diberi kepada pengalaman yang membolehkan murid membentuk
kelaziman membaca dari kiri ke kanan dan dari atas ke bawah : Untuk mencapai
tujuan ini, aktiviti-aktiviti yang terdapat dalam Buku Sumber Bahasa Malaysia Tahun
1 (1983) dapat dimanfaatkan oleh para guru. Tiga kategori aktiviti disediakan, iaitu
pengamatan penglihatan, pengamatan pendengaran, dan pergerakan tangan dan
mata.
AKTIVITI PENGAMATAN PENGLIHATAN
Aktiviti Pengamatan Penglihatan 1
Menghimpun gambar benda maujud yang sama jenis, warna dan saiz.
Bahan:
Pelbagai gambar kereta, baju, lain-lain.
Aktiviti Murid:
Murid melaksanakan gambar yang telah dicampuradukkan oleh guru. Aktiviti ini
dilaksanakan secara individu, kelas dan kumpulan.

Aktiviti Pengamatan Penglihatan 2


Menggunting dan menampal berbagai-bagai gambar mengikut tajuk di papan
kenyataan atau di buku skrap kelas.
Bahan:
Gambar benda hidup, benda bukan hidup, benda yang boleh dimakan, benda yang
tidak boleh dimakan, pakaian, dan alat tulis-menulis.
Aktiviti Guru/Murid:
1. Guru berbincang dengan murid tentang benda hidup dan benda bukan hidup.
2. Murid menyebut “benda hidup” atau “benda bukan hidup” sebagai respons
terhadap kad benda yang diimbaskan oleh guru.
3. Guru member murid kad gambar dan murid melekatkan kad itu di papan
kenyataan mengikut tajuknya seperti benda hidup, pakaian, alat tulis-menulis dan
lain-lain.
4. Murid menggunting gambar dan menampalkannya dalam buku skrap mengikut
tajuk tertentu.

AKTIVITI PENGAMATAN PENDENGARAN


Aktiviti Pengamatan Pendengaran 1
Mengetuk benda satu persatu untuk mendapatkan pelbagai bunyi dan mengecam
perbezaan bunyinya.
Bahan:
Paku, tin, batang kayu, meja, tempurung, batu.
Aktiviti Guru/Murid:
1. Guru memperkenalkan benda-benda yang menghasilkan bunyi seperti tin, paku,
tempurung, batang kayu, meja dan batu.
2. Guru mengetuk benda itu satu persatu beberapa kali dan murid mendengarnya.
3. Guru mengetuk dua benda yang berlainan. Murid menyatakan sama ada bunyi
benda itu sama atau tidak.
4. Murid menyanyi lagu “Mari Bergembira” dengan meniru nyanyian daripada pita
rakaman atau nyanyian atau nyanyian guru sendiri.

Aktiviti Pengamatan Pendengaran 2


Mendengar rakaman dan menyatakan bunyi-bunyi alam seperti bunyi air mengalir,
air menitik, angin kencang, angin menderu, petir, hujan lebat, dan ombak.
Bahan:
Pita rakaman yang mengandungi bunyi air mengalir, air menitik, angin kencang,
angin menderu, petir, hujan lebat, dan ombak. Beberapa gambar carta yang dapat
disesuaikan dengan bunyi-bunyi yang diperdengarkan.
Aktiviti Guru/Murid:
1. Guru memperdengarkan bunyi-bunyi daripada pita rakaman.
2. Rakaman bunyi-bunyi itu diperdengarkan sekali lagi dan murid menyatakan jenis
bunyi itu.
3. Murid-murid lain memilih gambar yang sesuai dengan bunyi yang dinyatakan.

AKTIVITI PERGERAKAN TANGAN DAN MATA


Aktiviti pergerakan Tangan dan Mata 1
Membentuk benda daripada plastisin, tanah liat atau bubur kertas dan lain-lain.
Bahan:
Plastisin, tanah liat, dan bubur kertas.
Aktiviti Guru/Murid:
1. Buat satu atau dua benda daripada bahan yang diberi sebagai contoh.
2. Berikan bahan kepada murid dan minta mereka membentuk benda atau model
yang disukainya.
3. Minta murid menceritakan hasil kerja mereka.

Aktiviti Pergerakan Tangan dan Mata 2


Melakar bentuk yang sesuai dari kiri ke kanan, dari kanan ke kiri dan dari atas ke
bawah untuk membolehkan membentuk huruf.
Bahan:
Lembaran kerja, benda maujud (dulang berpasir, model pokok, model tiang bendera,
bola, manik, cawan, air), kertas pendua yang mengandungi perjalanan atau arah
yang dibuat dengan garisan putus-putus.
Aktiviti Murid:
1. Menggolekkan bola di atas dulang berpasir dengan jari dari kiri ke kanan dan
sebagainya.
2. Murid memegang cawan plastik yang penuh dengan air dengan tangan kanan dan
menggerak-gerakkan tangan kanan mereka ke kiri ke kanan dan sebaliknya. Teknik
memegang cawan dipelbagaikan.
3. Murid melakar garis pada dulang pasir dari model pokok ke tiang bendera.
BIBLIOGRAFI
Internet
 http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/
 http://bakalguru.com
 http://literasibahasakami.blogspot.com/2009/07/melaksanakan-aktiviti-
prabacaan.html

You might also like