You are on page 1of 2

Karangan Contoh ( Rencana Akhbar )

Unsur tahyul dan imaginasi begitu banyak dipaparkan dalam drama, telefilem, dan filem. Hal
tersebut akan membantutkan perkembangan minda masyarakat.

Tulis suatu rencana tentang hal tersebut.

Unsur-Unsur Tahyul Membantutkan Perkembangan Pemikiran Masyarakat .

Oleh : Abdul Jalil bin Ibrahim

Semakin pesat sains dan teknologi, semakin meluaslah kegunaannya dalam kehidupan
kita sehari-hari. Begitulah halnya dalam dunia perfileman. Pelbagai bentuk kesan khas yang
menakjubkan digunakan untuk mempelbagaikan teknik penggambaran dan menentukan sesuatu
filem itu mendapat sambutan hangat daripada masyarakat. Sehubungan dengan itu juga,
pelbagai unsur mistik, imaginasi, dan tahyul dipaparkan dalam sesuatu filem atau drama.
Unsur-unsur tersebut diterapkan dengan begitu teliti hingga tampaknya seoah-olah suatu
realiti dengan bantuan peralatan yang serba canggih. Unsur-unsur imaginasi dan tahyul ini
sudah menjadi darah daging dan sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran masyarakat. Baik
dalam kalangan kanak-kanak mahupun dalam kalangan orang dewasa. Saya berpendapat
bahawa kesan negatifnya adalah ketara. Cerita-cerita fiksyen sains seperti Star Wars dan Star
Trek dipaparkan sebagai cerita yang banyak berunsurkan imaginasi kehidupan pada zaman yang
akan datang. Tujuan utamanya adalah untuk hiburan semata-mata dan menguji daya fikir
manusia.
Walau bagaimanapun, terdapat juga cerita-cerita imaginasi yang pada dasarnya untuk
hiburan, namun dapat juga menimbulkan kesan sampingan yang memudaratkan pemikiran.
Contohnya, dalam filem Superman, watak utama ditampilkan sebagai manusia yang mempunyai
kuasa yang luar biasa. Selain gagah perkasa, “Superman” ditampilkan sebagai orang yang
berupaya terbang. Dalam filem Spiderman pula, watak utama ditampilkan sebagai orang yang
berupaya memanjat bangunan atau melompat dari satu bangunan ke satu bangunan yang lain.
Ramai kanak-kanak yang telah meniru gaya “Superman” dan “Spiderman” ini. Sebagai akibatnya
meeka terkorban apabila mencuba terbang, terjun, atau melompat dari bangunan tinggi,
khususnya mereka yang tinggal di pangsapuri.
Banyak juga terdapat cerita yang memaparkan kisah seseorang yang memperoleh kuasa
yang luar biasa dengan memiliki sesuatu benda. Cerita begini banyak ditonjolkan dalam
kalangan masyarakat Cina. Bagi sesetengah masyarakat Cina, unsur mistik itu memang benar-
benar wujud dan berkuasa. Sebagai akibatnya, kita sering terdengar atau terbaca akan berita
tentang mereka yang ditipu membeli batu kerikil yang disangka geliga yang berkuasa.
Bagi masyarakat Melayu pula, terdapat cerita-cerita yang kaya dengan unsur kekebalan
diri dan kehebatan seni silat yang keterlaluan. Ciri ini banyak digambarkan dalam cerita purba
khususnya yang dibawa masuk dari Indonesia. Ciri-ciri ini begitu kuat mempengaruhi fikiran
sesetengah masyarakat Melayu. Sebagai akibatnya, terdapat beberapa pihak yang
mengeksploitasinya dengan menetapkan ciri-ciri tersebut dalam seni silat yang diajarkan mereka
untuk mempengaruhi orang lain demi kepentingan sendiri.
Tahyul dan mesteri adalah unsur yang masih mendominasi budaya dan pemikiran
masyarakat kita. Cerita-cerita seram yang berunsurkan hantu, pontianak, dan “dracula” begitu
mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat. Hal ini melambangkan tahap pemikiran
masyarakat yang masih dibelenggu dengan amalan dan kepercayaan yang boleh merosakkan
pemikiran dan akidah. Hal ini juga menjadi kekangan ke arah merealisasikan matlamat
pembangunan negara.
Pemodenan minda perlu dilaksanakan supaya masyarakat tidak lagi tertipu atau terlalu
asyik dengan unsur khayalan yang diterapkan kepada mereka secara berterusan tanpa kawalan.
Mungkin kesan unsur-unsur tersebut tidaklah sehebat kesan yang diterbitkan oleh ciri-ciri
keganasan dan kekerasan yang dipaparkan dalam filem, namun kemungkinan akan berlakunya
kesan yang lebih buruk semakin ketara pada hari ini. Oleh hal yang demikian, tindakan kawalan
perlu dilaksanakan dengan segera sebelum keadaannya bertambah buruk sesuai dengan pesan
peribahasa “ kalau baik jadikan teladan, kalau jahat jadikan sempadan”.

( 470 patah perkataan )

You might also like