You are on page 1of 3

Fenomena Kenaikan Harga Minyak Mentah Dunia(15 JUN 2008)

Ketika artikel ini ditulis, harga minyak mentah dunia menurut pasaran masa hadapan barangan
komoditi, New York Mercantile Exchange (NYMEX), telah mencecah  132 Dollar AS setong.  
Kenaikan ini memaksa beberapa negara seperti India, Indonesia, serta Malaysia terpaksa
menaikkan harga barang bakar tersebut di pasaran, dengan mengurangkan subsidi yang
dahulunya digunakan untuk mengawal harganya untuk kegunaan masyarakat awam. 

Keadaan ini nyata amat sukar serta terlalu pahit ditelan, memandangkan dunia masih belum
pulih daripada krisis bekalan makanan yang turut melanda semenjak kebelakangan ini. Justeru,
bukanlah suatu perkara menghairankan jika fenomena kenaikan harga minyak ini turut
mendorong kebimbangan di kalangan rakyat di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat
serta negara-negara Eropah, yang rata-ratanya tidak mengenakan subsidi ke atas bahan bakar
tersebut.
 
KESAN-KESAN
 

Ini memandangkan kenaikan harga minyak ini bakal meninggalkan beberapa kesan yang sangat
mendalam di dalam pelbagai sektor. Kesan paling ketara dapat dilihat dalam sektor
pengangkutan yang merupakan sektor yang banyak mempengaruhi perkembangan serta keadaan
dalam sektor-sektor lain. Ini memandangkan sektor terbabit memainkan peranan yang sangat
penting dalam perjalanan serta perkembangan ekonomi global, kerana ia merupakan penggerak
utama di sebalik proses perdagangan antarabangsa. 
Kenaikan harga minyak akan memaksa para penggerak dalam sektor ini terpaksa menanggung
kos perniagaan yang tinggi, sekaligus memaksa penggerak-penggerak terbabit menaikkan kos
perkhidmatan yang dikenakan untuk menampung kos yang diakibatkan oleh kenaikan harga
minyak. Ini memaksa para pengusaha serta pengilang membayar kos pengangkutan yang jauh
lebih mahal, yang sekaligus mendorong kenaikan harga produk-produk ataupun barangan yang
dikeluarkan, yang memaksa para pembeli mahupun pengguna terpaksa membayar harga yang
lebih untuk mendapatkan produk yang ditawarkan.

Sekaligus, keadaan ini mengurangkan kuasa beli di kalangan pengguna di peringkat domestik
yang sekaligus mengakibatkan berlakunya inflasi, yang boleh mengancam kestabilan ekonomi di
sesebuah negara. Bahkan majalah Newsweek keluaran 9 Jun 2008 meramalkan bahawa
fenomena kenaikan harga minyak ini akan membataskan aktiviti perdagangan di peringkat
domestik serta peringkat serantau semata-mata. Dalam erti kata lain, fenomena kenaikan harga
minyak ini adalah ancaman kepada proses perdagangan bebas yang dianggap sebagai tunjang
utama kepada ekonomi dunia sebelum ini.        
 
 
 
MENGAPA?
 

Ada beberapa faktor yang dikatakan menjadi pencetus utama kepada kenaikan harga minyak
dunia semenjak kebelakangan ini. Antara faktor tersebut membabitkan kegagalan mekanisme
pasaran minyak dunia untuk memenuhi permintaan ke atas komoditi bakar itu yang semakin
meningkat. Secara ringkas, harga minyak mentah di pasaran dunia ditentukan melalui
mekanisme yang bertunjangkan konsep permintaan serta penawaran, di antara pengeluar serta
pengguna. Menerusi sistem ini, harga komoditi ini akan menjadi murah jika jumlah penawaran
oleh pengeluar melebihi jumlah permintaan di kalangan pengguna. Akan tetapi, keadaan menjadi
sebaliknya jika terdapat lebihan dari segi permintaan jika dibandingkan dengan jumlah
pengeluaran.
 
Jika kenyataan di atas dijadikan rujukan, maka ini akan mampu menjelaskan fenomena kenaikan
harga minyak mentah yang akan terus mencengkam kehidupan setiap lapisan masyarakat di
segenap pelusuk dunia. Kenyataan ini diperkuat dengan analisa yang dilakukan oleh akhbar New
York Times pada Disember lalu, yang meramalkan bahawa negara-negara pengeluar minyak
utama dunia seperti Arab Saudi, Iran, Emiriah Arab Bersatu, serta Russia, akan mengurangkan
eksport minyaknya untuk menjamin kelangsungan bekalan di peringkat domestik. Menurut
jangkaan yang dikeluarkan oleh Badan Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA),
keadaan ini dijangka berterusan berdasarkan kepada jangkaan  akan meningkatnya permintaan
di kalangan negara-negara pengguna minyak dunia seperti India dan China. 
 

Akan tetapi, di Amerika Syarikat serta beberapa negara Eropah, kenaikan mendadak bahan bakar
ini dianggap turut didorong oleh tindakan spekulator-spekulator kewangan antarabangsa yang
ingin mendapat keuntungan dalam sekelip mata. Menurut spekulator kewangan terkemuka
dunia, George Soros, spekulasi membabitkan harga minyak berlaku akibat daripada
meningkatnya jumlah pelaburan yang dibuat oleh para spekulator ke atas pasaran masa hadapan
minyak. Akibatnya, ini secara langsung dikatakan telah meningkatkan harga komoditi tersebut di
pasaran dunia. Akan tetapi, Soros juga meramalkan fenomena akhirnya dijangka akan
mengakibatkan kejatuhan mendadak harga pasaran komoditi tersebut, yang sekaligus mampu
melumpuhkan system pasaran minyak sedunia.
 

Andaian itu dibuat berdasarkan kepada jangkaan sekiranya spekulator-spekulator terbabit


menarik balik pelaburan mereka daripada sektor komoditi itu secara mendadak. Bahkan Soros
juga berpendapat bahawa kenaikan harga minyak mentah sedunia ini mampu menjejaskan
pertumbuhan kuasa besar ekonomi dunia, Amerika Syarikat. Berdasarkan kepada kenyataan
yang dibuat oleh Soros itu, bukanlah satu perkara yang menghairankan jika Jawatankuasa Senat
Amerika Syarikat untuk Perdagangan, Sains dan Pengangkutan, mengundang Soros untuk
memberi penerangan mengenai fenomena ini.
 

Bahkan di Jerman sebagai contohnya, terdapat desakan di kalangan ahli politik tempatan agar
inisiatif secara agresif diambil untuk menghalang tindakan spekulasi yang keterlaluan ke atas
harga komoditi tersebut. Ini memandangkan fenomena tersebut mampu meninggalkan kesan
yang ketara kepada setiap lapisan masyarakat dalam pelbagai bentuk berbeza. Keadaan ini
diburukkan dengan krisis bekalan makanan sedunia yang masih belum menampakkan sebarang
tanda akan selesai .
 

Berdasarkan kepada keadaan semasa harga pasaran minyak mentah global, bukanlah suatu
perkara menghairankan jika krisis ini akan berlarutan serta akan menjadi bertambah buruk.
Justeru, bukanlah satu perkara yang menghairankan jika kesan kenaikan harga minyak sedunia
dinanti dengan penuh debar serta tanpa kepastian yang nyata. 
Langkah-langkah untuk menangani isu kenaikan harga minyak

1. ramai orang sudah jimat ekoran kenaikan harga petrol.

• Kenderaan berkurangan di jalan raya.


• Kesesakan lalu lintas diatasi. Pencemaran alam berkurangan.
• Wang RM 13.7 bilion yang dijimat itu lebih baik digunakan untuk menyediakan sistem
pengangkutan awam yang lebih baik.
• Wang itu digunakan untuk pembangunan yang lebih bermakna seperti R&D dalam tenaga
alternatif.
• Usaha mengatasi masalah kekurangan makanan dapat digiatkan.

2. Untuk membendung kesan inflasi akibat kenaikan harga petrol, bantuan kewangan diberi
kapada golongan miskin.

• Rebat kenderaan seperti motosikal dan kenderaan kecil diberi. RM625 dan RM 150. Tol lebuh
raya dikurangkan
• Golongan bawahan dibantu dengan subsidi yang pelbagai. Nelayan RM200/bulan
• Pengecualian cukai juga boleh dipertimbangkan.
• Majlis Ekonomi Negara memastikan daya beli golongan miskin tidak banyak terjejas.
• Pemantauan harga barang pasaran diketatkan. Kawalan harga barang keperluan.
• Jangan membenarkan peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga sewenang-
wenangnya.
Untuk mengurangkan beban rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana
yang paling teruk terjejas dengan kenaikan harga bahan bakar dan peningkatan harga barang
keperluan harian serta perkhidmatan yang menyusul, kerajaan memperkenalkan pelbagai pakej
bantuan di samping memulangkan semula sebahagian besar daripada penjimatan yang diperoleh
daripada kenaikan harga itu kepada rakyat dalam bentuk subsidi lain, khususnya subsidi
makanan.
Inflasi: projek raksasa batal, potong gaji, lesen niaga penjaja kepada golongan miskin.

3.Cara alternatif untuk mengurangkan permintaan petrol perlu dilaksana.

• Selain itu, kerajaan juga melancarkan kempen berjimat cermat dalam sektor awam.
Batal/tangguh projek menteri kurang bercuti di luar negara
• Untuk perjalanan dekat, jalan kaki dapat menyihatkan badan serta tidak membazirkan petrol.
• Kongsi kereta juga dapat jimatkan petrol. NGV, basikal
• Sistem pengangkutan awam moden seperti LRT/MRT, Bas Rapid di perluaskan.
• Usaha mencari tenaga alternatif seperti biojisim/biodiesel, tenaga nuklear dan hidroelektik
lebih mendesak.

You might also like