You are on page 1of 3

PERANAN MATEMATIK

Dewasa ini, bidang Matematik merupakan satu bidang yang tidak asing lagi
di dunia ini. Apabila kita berbicara tentang Matematik, maka kita akan mula
mengaitkannya dengan nombor. Berdasarkan carian di laman web Wikipedia,
Matematik ini boleh didefinisikan sebagai pembelajaran atau kajian mengenai
kuantiti, corak struktur, perubahan dan ruang, atau dalam erti kata lain, kajian
mengenai nombor dan gambar rajah. Matematik juga ialah penyiasatan yang
menerangkan struktur abstrak menggunakan logik dan simbol matematik. Matematik
memainkan peranan yang begitu penting dalam pelbagai aspek di dunia ini. Peranan
penting yang ditonjolkan oleh bidang Matematik ini telah membuka mata
masyarakat dunia untuk mempelajari Matematik dengan sebaiknya supaya mereka
tidak lagi ketinggalan.

Salah satu peranan Matematik ialah untuk menyelesaikan masalah yang


dihadapi dalam kehidupan seharian. Masalah-masalah yang timbul ini mungkin
sukar untuk diselesaikan sekiranya masyarakat mempunyai pengetahuan cetek
dalam bidang Matematik. Sebagai contoh, sekiranya peniaga dan pembeli tidak
tahu untuk membuat pengiraan semasa jual beli sedang berlangsung, maka ini akan
menyukarkan kedua-dua belah pihak iaitu pihak peniaga dan pihak pembeli untuk
berurusan. Hal ini juga akan menyebabkan masa yang begitu berharga dibuang
begitu sahaja kerana mereka perlu mengambil masa yang lama untuk membuat
pengiraan. Pengiraan dalam urusan jual beli melibatkan proses Matematik. Oleh itu,
untuk menjadi seorang peniaga yang berkaliber, mereka perlulah cekap dalam
bidang Matematik. Bidang Matematik bukan sahaja dilihat dalam urusan jual beli,
malah ianya juga dapat dilihat semasa ingin memasak. Tanpa pengetahuan
Matematik, maka kita tidak akan tahu bagaimana ingin mengambil sukatan yang
betul untuk menjadikan masakan kita itu lazat ataupun tidak. Justeru itu, dapatlah
kita ketahui bahawa bidang Matematik ini tidak boleh dipandang enteng sekiranya
kita belum menguasai sepenuhnya bidang ini kerana ia akan mempengaruhi
kehidupan seharian kita.

Disamping itu, bidang Matematik ini juga memainkan peranan dalam bidang-
bidang ilmu lain seperti bidang Sains, Muzik, Seni dan banyak lagi. Dalam bidang
Sains, para Saintis menggunakan ilmu Matematik sebagai tunjang utama dalam
memahami sesuatu kejadian dan juga untuk menerangkan kejadian tersebut.
Contohnya kejadian siang dan malam, pasang surut air, gerhana matahari, taufan,
kelajuan cahaya dan sebagainya. Manakala dalam bidang muzik, operasi Matematik
dapat dilihat dalam not-not muzik yang dihasilkan. Setiap not yang dihasilkan ini
mewakili frekuensi yang berbeza. Maka setiap not yang digunakan akan
menghasilkan bunyi atau nada yang berbeza. Ada yang bernada tinggi danjuga ada
yang rendah. Pemuzik yang menghasilkan not-not untuk membentuk sebuah lagu
yang boleh membuai perasaan pendengar adalah seorang yang mempunyai
pengetahuan yang baik dalam kedua-kedua bidang ini kerana mereka pandai
mengaitkan antara Matematik dan Muzik. Matematik juga dapat dikaitkan dengan
bidang seni. Bentuk-bentuk yang dihasilkan dalam bidang seni boleh dilihat daripada
bentuk-bentuk geometri yang dipelajari dalam Matematik. Justeru, bidang Matematik
ini mempunyai peranan yang begitu besar kepada masyarakat dunia kerana ia
saling berkait antara satu perkara dengan satu perkara yang lain. Sekiranya
sesebuah masyarakat itu menguasai ilmu Matematik ini sepenuhnya, maka ia akan
memudahkan mereka untuk melaksanakan sesuatu kerja dengan sebaiknya kerana
di dunia ini, ilmu Sains, Matematik, dan sebagainya tidak pernah lari daripada diri
manusia.

Selain itu, Matematik juga memainkan peranan penting dalam bidang


pendidikan di Malaysia. Berdasarkan kajian oleh Trends in International Mathematics
and Science Study 2003, (TIMMS), ke atas subjek Matematik, pencapaian pelajar
Malaysia dalam subjek ini meningkat daripada kedudukan ke-16 ke tempat ke-10
dan mendahului 40 buah negara yang lain termasuk Negara maju seperti United
Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Australia dan New Zealand. Situasi ini
menunjukkan bahawa pelajar-pelajar di Malaysia ini mungkin menunjukkan minat
yang begitu mendalam dalam bidang Matematik. Mereka juga mungkin menyedari
bahawa Matematik memainkan peranan yang begitu penting dalam diri mereka.
Bidang Matematik boleh menjadikan pelajar lebih seronok dengan proses
pembelajaran mereka kerana mereka didedahkan dengan soalan-soalan yang
begitu mencabar. Mereka juga tidak akan bosan apabila membuat pengiraan yang
melibatkan proses berfikir. Hal ini sekaligus dapat membantu pelajar-pelajar di
negara ini yang terdiri daripada pelbagai peringkat untuk menjadi seorang yang lebih
kreatif dan dapat menggunakan minda dengan sebaiknya. Namun begitu, masih
terdapat segelintir pelajar yang masih belum menyahut cabaran untuk mendalami
ilmu Matematik ini dengan sepenuhnya.

Seterusnya, Matematik juga memainkan peranan yang begitu besar dalam


bidang ekonomi di seluruh negara bukan hanya di Malaysia sahaja. Masyarakat
yang celik Matematik adalah mudah untuk memahami analisis ekonomi yang
terkandung di dalamnya. Keputusan yang dibuat dalam pasaran modal, saham dan
kewangan banyak berasaskan kepada model Matematik. Pengurus sesebuah
syarikat seharusnya mengetahui penggunaan pendekatan Matematik bagi
merancang strategi syarikat yang bermatlamatkan keuntungan. Melalui situasi ini
dapatlah dilihat bahawa hubungan antara ilmu Matematik dan bidang Ekonomi ini
sangat rapat dan boleh diibaratkan seperti isi dengan kuku. Tanpa Matematik,
bidang ekonomi di sesebuah negara tidak akan sempurna. Ekonomi negara juga
boleh terjejas dan boleh menghuru-harakan masyarakat di sesebuah negara
tersebut.

Kesimpulannya, bidang Matematik ini memainkan peranan yang begitu besar


dalam kehidupan manusia di dunia ini. Sejak kecil sehinggalah dewasa, kita sentiasa
dikelilingi dengan ilmu Matematik. Ilmu ini merentasi pelbagai bidang ilmu yang lain
yang juga masih mempunyai kaitan dalam kehidupan seharian masyarakat.
Masyarakat dunia yang masih belum menguasai ilmu ini seharusnya bertindak
dengan secepat yang mungkin untuk menguasainya. Ibarat kata pepatah “Sesiapa
yang dapat menguasai Matematik dan Bahasa, maka ia dapat menguasai dunia”.
Oleh itu, dapatlah kita lihat bahawa betapa pentingnya bidang Matematik kepada
masyarakat sejagat.

You might also like