You are on page 1of 1

Memperkukuhan aktiviti sukan di sekolah

1.         Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha yang berterusan untuk melahirkan potensi
individu sepenuhnya, perlu dilihat dalam pelbagai perspektif. Sebagai langkah ke arah ini
Kementerian Pelajaran akan memastikan supaya sukan di sekolah-sekolah dianjurkan dengan
lebih meriah dengan penglibatan masyarakat setempat. Di antara strategi yang akan dilaksanakan
dalam memenuhi hasrat ini ialah dengan melaksanakan dasar mewajibkan setiap pelajar
menyertai sekurang-kurangnya satu sukan mulai tahun 2011.

2.         Dasar ini akan memastikan setiap pelajar melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti sukan
di sekolah masing-masing. Usaha ini pastinya akan meningkatkan penyertaan menyeluruh di
kalangan pelajar sekolah yang berjumlah 5.4 juta di 10,000 buah sekolah di negara kita.
Sehubungan itu, pihak Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah diminta
untuk membuat perancangan rapi berkaitan pembangunan sukan di sekolah-sekolah dengan
menjadualkan program sukan sepanjang tahun supaya memberi peluang yang luas untuk setiap
pelajar menyertai pelbagai jenis sukan di sekolah.

3.         Bagi memastikan hasrat ini dicapai, Kementerian telah menubuhkan sebuah


Jawatankuasa Pembangunan Sukan di Sekolah yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada wakil
pelbagai pihak yang berkepentingan dalam sukan di negara kita. Jawatankuasa ini, yang
dipengerusikan oleh YAB Menteri Pelajaran sendiri akan merancang, melaksana dan memantau
program membangunkan sukan di sekolah ini. Beberapa strategi telah dikenal pasti untuk
melaksanakan program ini. Perincian strategi ini akan dilakukan apabila data dan maklumat
berkaitan diperolehi daripada sekolah-sekolah bagi menentukan supaya strategi yang dikenal
pasti menepati sasaran yang dikehendaki.

4.         Semua pengetua, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri telah
diarahkan supaya mengambil tindakan di atas pelaksanaan dasar ini sejajar dengan hasrat kita
untuk melaksanakan Konsep 1Malaysia dan mengembalikan kegemilangan sukan di sekolah.

Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd. Dom


Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Putrajaya, 22 Februari 2010

Read more @ http://www.moe.gov.my/?id=26&aid=669

You might also like