You are on page 1of 2

Keselamatan di Tempat Kerja

Tanggungjawab Majikan dan Orang yang Bekerja Sendiri

Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap majikan dan tiap-tiap orang yang bekerja sendiri untuk
memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja
semua pekerjanya. Kegagalan mematuhi peruntukan ini boleh menyebabkan majikan
didenda RM 50,000 atau 2 tahun penjara atau kedua-duanya. Seterusnya di bawah seksyen
15(2) memperuntukkan bahawa majikan hendaklah setakat yang praktik melindungi
keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang-orang yang bekerja untuk mereka termasuklah
mengadakan dan menyelenggara loji dan sistem kerja yang selamat dan tanpa risiko
kepada kesihatan, membuat perkiraan tentang langkah-langkah yang perlu diambil dalam
penyimpanan, pengendalian, penyimpanan dan pengangkutan loji dan bahan, menyediakan
maklumat, arahan, latihan dan pengawasan ke atas aktiviti-aktiviti berbahaya,
menyelenggara tempat kerja serta menyediakan keluar dan masuk yang selamat, dan
menyediakan persekitaraan tempat kerja yang bebas daripada bahaya-bahaya yang tidak
diingini seperti bising, habuk dan sebagainya. Kewajipan lain majikan dan orang yang
bekerja sendiri adalah menyediakan Polisi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan,
memastikan orang lain selain daripada pekerjanya tidak terdedah kepada bahaya yang
dihasilkan daripada aktiviti yang dijalankan oleh beliau serta memberitahu orang lain tentang
aktiviti yang dijalankannya, dan memberi maklumat kepada orang lain berkenaan dengan
aspek cara pengusahaannya yang boleh menyentuh keselamatan dan kesihatan orang lain.
Perkataan yang digunakan bagi meletakkan tanggungjawab majikan dan orang yang bekerja
sendiri adalah ‘setakat yang praktik’. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja tidaklah
memperincikan secara menyeluruh tentang apa yang dimaksudkan dengan perkataan
setakat yang praktik, apa yang dinyatakan hanyalah faktor-faktor yang perlu diambil kira
dalam menentukan maksud perkataan ini. Faktor-faktor tersebut adalah seperti berikut:-
1. Teruknya bahaya atau risiko yang terlibat.
2. Keadaan pengetahuan mengenai bahaya atau risiko tersebut dan cara
mengawalnya.
3. Kewujudan cara yang sesuai untuk menghapus atau mengurang bahaya atau risiko
itu.
4. Kos yang terlibat bagi menghapus atau mengurangkan bahaya atau risiko itu.

Faktor-faktor ini penting sebagai rujukan atau panduan majikan dan orang yang bekerja
sendiri dalam mempraktikkan tanggungjawab yang terpikul di bahu mereka. Dalam pada itu,
faktor-faktor ini juga adalah penting bagi Mahkamah dalam membuat keputusan sama ada
sesuatu tindakan majikan dan orang yang bekerja sendiri adalah boleh dipraktikkan atau
tidak.

Rujukan boleh dibuat kepada beberapa kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah dalam
memutuskan tanggungjawab majikan dan orang yang bekerja sendiri dengan maksud
perkataan setakat yang dipraktikkan. Di dalam kes Mat Jusoh bin Daud v Syarikat Jaya
Seberang Takir Sdn Bhd, plaintif telah diambil bekerja sebagai seorang penggergaji di kilang
papan defenden. Beliau telah tercedera semasa bekerja dan akibatnya tiga jari kanannya
putus. Kemalangan tersebut berlaku kerana majikannya tidak mengambil pekerja yang
mencukupai untuk melakukan kerja tersebut dan mesin yang digunakan juga tidak
mencukupi. Mahkamh telah memutuskan bahawa defenden cuai kerana tidak menyediakan
jumlah pekerja yang mencukupi untuk melakukan kerja tersebut dan tidak menyediakan
sistem kerja yang betul dan efektif.

Dalam kes Chang Fah Lin v United Engineers (M) Sdn Bhd & YL, plaintif yang bekerja
sebagai buruh binaan telah jatuh semasa bekerja memasang kepingan zink pada bumbung
setinggi 25 kaki dan mengalami kecederaan parah. Majikan di dalam kes ini telah gagal
menyediakan tali pinggang keselamatan untuk digunakan plaintif sebagai langkah
keselamatan. Plaintif telah menuntut ganti rugi terhadap defenden pertama,kedua, dan
ketiga atau mana-mana satu daripada mereka. Terdapat penafian tanggungjawab antara
defenden-defenden tersebut. Defenden pertama menghujahkan bahawa oleh kerana
kontrak pembinaan telah dimasuki maka defenden kedua telah menjadi kontaktor bebas dan
implikasinya defenden pertama tidak mempunyai kawalan terhadap defenden kedua.
Defenden pertama juga menghujahkan bahawa oleh kerana kerja tersebut telah
disubkontrakkan secara tidak sah oleh defenden kedua kepada defenden ketiga, maka
sebarang tuntutan ganti rugi hendaklah dibuat terhadap defenden kedua atau ketiga.
Defenden kedua menghujah bahawa plaintif adalah pekerja kepada defenden pertama atau
ketiga. Defenden ketiga walaupun mengakui bahawa ia menyediakan pekerja tetapi adalah
atas permintaan defenden pertama dan kedua. Mahkamah memutuskan bahawa bukanlah
tugas plaintif untuk membuktikan dengan siapa beliau berkhidmat. Adalah memadai jika ada
keterangan yang beliau telah digajikan untuk menjalankan kerja tersebut oleh mana-mana
defenden dan kemalangan tersebut berlaku semasa dia menjalankan tugas. Telah wujud
hubungan “majikan dan pekerja” dan dibawah Common Law, wujud tugas berhati-hati oleh
defenden pertama, kedua, dan ketiga terhadap plaintif. Defenden kedua dan ketiga
khususnya mempunyai tugas berhati-hati terhadap plaintif yang merupakan pekerja mereka.

You might also like