You are on page 1of 9

NKRA ketiga pula ialah Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti dan Berkempampuan.

Perdana Menteri
mengumumkan pra sekolah akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.

Langkah ini katanya bagi mencapai matlamat agar sekurang-kurangnya 80 peratus kanak-kanak mendapat akses
kepada pendidikan pra sekolah menjelang tahun 2012 berbanding 60 peratus sahaja buat masa ini.

Selain itu Perdana Menteri turut memberikan jaminan jaminan melalui NKRA pendidikan ini, bagi kanak-kanak yang
normal, mereka akan boleh membaca, menulis dan mengira apabila memasuki Tahun 4 sebelum hujung 2012.

Bersesuaian dengan konsep pencapaian diutamakan, Najib turut menawarkan ‘new deal’ kepada semua pengetua
atau guru besar sekolah dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.

Dalam meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan pula, Perdana Menteri berkata kerajaan akan memberi
keutamaan untuk menyediakan pendidikan terbaik bermula daripada peringkat asas, iaitu peringkat prasekolah.

Untuk itu, katanya, pendidikan prasekolah akan dijadikan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran
perdana.

"Suka atau tidak, adalah amat merugikan kerana terdapat kanak-kanak yang pergi ke sekolah dan masih tidak menguasai
kemahiran membaca atau menulis apabila meninggalkan bangku pengajian.

"Maka, bagi menangani kemelut ini, saya telah menetapkan supaya semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh
menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira ketika melangkah ke Tahun 4 sekolah rendah sebelum penghujung 2012,"
kata Najib.

Sekolah ditawar ganjaran

Beliau berkata kerajaan juga akan menawarkan satu ganjaran atau satu Bai'ah baru kepada semua pengetua dan guru besar
sekolah rendah dan menengah dengan memberi ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.

Selain itu sebagai projek perintis, 100 sekolah jenis harian biasa, sekolah bestari, kluster, sekolah berpiagam dan sekolah
berasrama penuh, akan dikenal pasti untuk diangkat menjadi Sekolah
Berprestasi Tinggi.

"Dengan ini kita akan menyediakan persekitaran pelajaran dan pembelajaran yang kondusif serta menggalakkan kerjasama
antara sektor awam dan swasta bagi memacu lagi pencapaian pelajar. Semua rencana ini akan dilaksanakan dalam tempoh tiga
tahun sebelum penamat 2012," katanya.

Najib juga mengumumkan bahawa bermula Januari 2010, semua bantuan kebajikan untuk rakyat akan dibayar pada setiap 1
haribulan bagi bulan berkenaan di bawah NKRA meningkatkan taraf hidup rakyat yang berpendapatan rendah.

Kerajaan juga telah menetapkan matlamat untuk menambah lagi jumlah usahawan dalam kalangan wanita kepada seramai 4,000
orang menjelang 2012 melalui program Amanah Ikhtiar Malaysia.

Sehingga Jun 2009, seramai 717 wanita telah dikenal pasti berpotensi untuk dibimbing menjadi usahawan dalam program itu,
katanya.

1Malaysia diwujudkan dengan tujuan untuk menyediakan satu forum yang bebas dan terbuka bagi membincangkan tentang
perkara yang benar-benar dekat di hati kita sebagai satu bangsa. Ia menyediakan peluang untuk meluahkan dan menerokai
kepelbagaian perspektif masyarakat kita. Apa yang menjadikan Malaysia unik adalah kepelbagaian rakyat kita. Matlamat
1Malaysia adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan di dalam kepelbagaian ini yang selama ini menjadi kekuatan
kita dan akan kekal sebagai bekalan terbaik kita untuk masa hadapan. Saya berharap agar laman web ini akan menjadi permulaan
kepada satu dialog yang penting dan terbuka bagi menerokai identiti, tujuan dan hala tuju kita sebagai rakyat Malaysia. Saya
menggalakkan setiap orang daripada anda menyertai saya dalam memberikan takrifan kepada Malaysia kita dan peranan yang
perlu kita mainkan untuk masa hadapannya. Setiap kita – di sebalik segala perbezaan kita – berkongsi impian untuk satu masa
hadapan yang lebih baik. Setiap kita mahukan peluang, dihormati, persahabatan dan saling memahami.
PENGENALAN

Yayasan 1Malaysia (Y1M) adalah sebuah yayasan bebas, bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan khusus untuk
membangun, menyokong dan menerajui kegiatan dan program yang akan melibatkan semua rakyat Malaysia dalam usaha ke
arah mencapai perpaduan nasional dan konsep 1Malaysia.

Yayasan ini ditubuhkan oleh sekumpulan rakyat Malaysia yang sealiran berminat untuk melihat konsep 1Malaysia, yang
dipandu oleh Perlembagaan Persekutuan menjadi tunjang kepada kehidupan semua rakyat Malaysia.

MEMPERKUKUHKAN AKTIVITI SUKAN DI SEKOLAH


1.         Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha yang berterusan untuk melahirkan potensi individu sepenuhnya, perlu dilihat
dalam pelbagai perspektif. Sebagai langkah ke arah ini Kementerian Pelajaran akan memastikan supaya sukan di sekolah-
sekolah dianjurkan dengan lebih meriah dengan penglibatan masyarakat setempat. Di antara strategi yang akan dilaksanakan
dalam memenuhi hasrat ini ialah dengan melaksanakan dasar mewajibkan setiap pelajar menyertai sekurang-kurangnya satu
sukan mulai tahun 2011.
2.         Dasar ini akan memastikan setiap pelajar melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti sukan di sekolah masing-masing.
Usaha ini pastinya akan meningkatkan penyertaan menyeluruh di kalangan pelajar sekolah yang berjumlah 5.4 juta di 10,000
buah sekolah di negara kita. Sehubungan itu, pihak Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah diminta
untuk membuat perancangan rapi berkaitan pembangunan sukan di sekolah-sekolah dengan menjadualkan program sukan
sepanjang tahun supaya memberi peluang yang luas untuk setiap pelajar menyertai pelbagai jenis sukan di sekolah.
3.         Bagi memastikan hasrat ini dicapai, Kementerian telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pembangunan Sukan di
Sekolah yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada wakil pelbagai pihak yang berkepentingan dalam sukan di negara kita.
Jawatankuasa ini, yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Pelajaran sendiri akan merancang, melaksana dan memantau program
membangunkan sukan di sekolah ini. Beberapa strategi telah dikenal pasti untuk melaksanakan program ini. Perincian strategi
ini akan dilakukan apabila data dan maklumat berkaitan diperolehi daripada sekolah-sekolah bagi menentukan supaya strategi
yang dikenal pasti menepati sasaran yang dikehendaki.
4.         Semua pengetua, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri telah diarahkan supaya mengambil
tindakan di atas pelaksanaan dasar ini sejajar dengan hasrat kita untuk melaksanakan Konsep 1Malaysia dan mengembalikan
kegemilangan sukan di sekolah.

Guru Cemerlang
“Guru Cemerlang ialah guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran, dan kepakaran yang tinggi dalam mata pelajaran
khususnya dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Guru Cemerlang juga sentiasa berdedikasi dan bermotivasi dalam
melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang cemerlang secara berterusan.” - Buku Terma Rujukan konsep Guru Cemerlang

Pengetua, Penolong Pengetua, Guru Besar dan Pegawai Pendidikan.

Jawatan-jawatan yang dinyatakan tadi merupakan antara jawatan yang tertinggi dalam bidang perguruan. Kenaikan pangkat
dalam bidang perguruan cenderung untuk menjauhkan guru daripada melibatkan diri dalam pengajaran di bilik darjah.

Secara tidak langsung, bidang perguruan kehilangan guru-guru yang pakar dan berdedikasi dalam bidang masing-masing apabila
mereka dinaikkan pangkat.

Menyedari hakikat tersebut, kenaikan pangkat Guru Cemerlang diperkenalkan mulai 1993 sebagai peluang kenaikan pangkat
yang lebih baik bagi guru gemilang yang tidak meninggalkan bilik darjah.

Objektif kenaikan pangkat Guru Cemerlang


 Memberi pengiktirafan kepada guru yang cemerlang dalam mata pelajaran atau bidang pengkhususan masing-masing.
 Meningkatkan pencapaian kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P).
 Menjadikan Guru Cemerlang role model kepada guru lain.
 Meningkatkan motivasi guru.
 Meningkatkan kecemerlangan sekolah dengan berkongsi pengalaman dan kemahiran Guru Cemerlang.
 Memperluaskan peluang kenaikan pangkat dalam perkhidmatan pelajaran.
 Membolehkan guru dinaikkan pangkat tanpa perlu meninggalkan tugas mengajar atau bertukar ke jawatan pentadbiran.
 Menyediakan peluang untuk guru naik pangkat ke gred yang lebih tinggi secara laluan laju (fast track), khas Untuk
Penyandang (KUP).
 Q1. Apakah yang dimaksudkan dengan “Program Pembangunan Prestasi  Sekolah”?
 ·         Program Pembangunan Prestasi Sekolah merupakan suatu usaha yang komprehensif dan bermatlamat tinggi bagi
mencabar, memotivasi dan membantu semua sekolah di Malaysia dalam meningkatkan prestasi murid  dan menjadikan
semua sekolah cemerlang, dengan memberi fokus kepada sekolah-sekolah yang paling memerlukan  perhatian. 
 ·         Teras kepada program ini ialah  sistem pengumpulan data berpusat dan toolkit yang membantu Guru Besar untuk
dengan mudah mengakses dan menjejaki maklumat prestasi sekolah dan merancang kaedah-kaedah bagi meningkatkan
prestasi masing-masing.
  
 Q2. Mengapakah “Program Pembangunan Prestasi sekolah” ini dilancarkan?
 ·         Peningkatan pencapaian pelajar - ini sangat krusial dalam membangunkan  tenaga kerja yang lebih kompetitif
selaras  dengan hasrat Malaysia untuk menjadi Negara Maju pada tahun 2020, dengan meluaskan akses kepada
pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan kepada semua akan lebih ramai rakyat Malaysia mendapat peluang
pendidikan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
 ·         Setiap kanak-kanak mampu berjaya. Kegagalan akademik adalah kumulatif, oleh itu lebih banyak usaha perlu
dilakukan untuk memastikan setiap kanak-kanak diberikan peluang yang saksama untuk berjaya - sementara program
Sekolah Berprestasi Tinggi menentukan standard emas untuk kecemerlangan, Program Pembangunan prestasi sekolah
pula meletakkan dasar untuk mencapai standard-standard tersebut.
 ·         Pada masa ini guru-guru dibebani dengan melaksanakan tugas-tugas yang di luar bidang pengajaran dan
pembelajaran. Program Pembangunan Prestasi Sekolah yang dibangunkan ini adalah program yang seragam dan
berpusat yang bertujuan untuk mengurangkan kerenah birokrasi serta memberi ruang untuk Pengetua dan Guru Besar
lebih masa dan autonomi untuk mengurus dan mentadbir sekolah dengan lebih efektif bagi meningkat prestasi murid.
  
 Q3.Bagaimanakah Program Pembangunan Prestasi Sekolah ini akan berkesan?
 •       Program Pembangunan Prestasi sekolah yang dilaksanakan ini mengandungi tiga elemen utama iaitu :
  
               1.     Band Prestasi Sekolah -  Penyenaraian band prestasi sekolah berdasarkan kepada Gred Purata Sekolah
dalam peperiksaan awam dan skor penarafan kendiri sekolah menggunakan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia
(SKPM)
               2.     Toolkit Penambahbaikan Sekolah - Instrumen secara online ini mengumpul maklumat keperluan
spesifik  sekolah bagi membantu Pengetua dan Guru Besar membuat perancangan serta mengadakan perbincangan
dengan  Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah keperluan utama sekolah bagi menangani masalah-masalah di sekolah.
               3.     Talian Khidmat Bantuan  - Bantuan dan sokongan diberikan berdasarkan maklumat keperluan sekolah
yang dijana secara oleh Kementerian yang disasarkan untuk membantu kepada Pengetua/Guru Besar, guru, pelajar dan
ibu bapa, serta infrastruktur.
  
 ·         Sementara Sekolah Berprestasi Tinggi menentukan piawai kecemerlangan yang perlu dicontohi, Program
Pembangunan Prestasi Sekolah merupakan usaha meningkatkan prestasi kesemua sekolah serta menghubungkait
inisiatif yang dilaksanakan  seperti Tawaran Baru (New Deal) untuk para Guru, LINUS dan transformasi kurikulum.
  
 Q4. Bagaimanakah Program Pembangunan Prestasi sekolah ini berbeza dengan inisiatif-inisiatif yang sedia
ada?
 ·         Program Pembangunan Prestasi Sekolah ini adalah usaha secara berpusat bagi menyeragamkan sistem-
pemantauan dan penaksiran sedia ada untuk memberi  Pengetua/Guru besar lebih autonomi dalam mentadbir dan
mengurus sekolah dan guru  untuk meningkatkan pencapaian pelajar.
 ·         Akses yang lebih luas. Berlainan daripada inisiatif-ini sedia ada yang dirancang dan dilaksanakan secara
bersendiri oleh oleh Bahagian, JPN dan PPD, Program Pembangunan Prestasi Sekolah ini yang akan dilancarkan adalah
program sepadu yang digunapakai di 10,000 buah sekolah di seluruh negara.
 ·         Program Pembangunan Prestasi Sekolah ini tidak bermaksud untuk menggantikan atau mengganggu inisiatif
penambahbaikan sekolah yang sedang dilaksanakan; tetapi program ini diharap akan memberi impak dengan pantas
bagi memastikan  Program Transformasi Kerajaan dalam bidang pendidikan mencapai hasrat yang dirancang.
 Q5. Apakah objektif Penyenaraian Kedudukan (Ranking/Banding) Sekolah?
 ·         Penyenaraian kedudukan atau Band  pada awalnya diperkenalkan sebagai sebahagian daripada Tawaran Baru
kepada Guru Besar yang mana Band itu menjadi asas kepada pemberian ganjaran berasaskan kepada penilaian
pencapaian.
 ·         Band ini akan membolehkan pihak kementerian memantau prestasi sekolah-sekolah terutamanya sekolah
berprestasi rendah dan mengambil langkah-langkah penambaikan yang sesuai di bawah Program Pembangunan Prestasi
Sekolah, dalam usaha memastikan sekolah-sekolah berkenaan dapat melonjakkan prestasi sekolah ke tahap yang lebih
baik. Di sub NKRA Tawaran Baru untuk Pengetua /Guru Besar, pihak kementerian komited dalam melaksanakan
transformasi dan penambahbaikan daripada semasa ke semasa untuk menjamin kualiti pendidikan negara berada pada
tahap yang tinggi.
  
 Q6. Berapa kerapkah sekolah-sekolah akan diberi penarafan?
 ·         Penarafan sekolah akan dilakukan secara tahunan berasaskan kepada prestasi sekolah-sekolah berkenaan dalam
peperiksaan awam dan  Skor Penarafan Kendiri Sekolah (PKS) yang menggunakan instrumen Standard Kualiti
Pendidikan Malaysia (SKPM).
  
 Q7. Apakah bentuk dan nilai ganjaran yang diberi kepada sekolah berjaya meningkat prestasi?
 ·         Ganjaran dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan akan diberikan kepada sekolah-sekolah yang
menunjukkan peningkatan prestasi.
  
 Q8. Sekiranya sekolah berprestasi lebih baik diberi ganjaran, bagaimana pula Kementerian Pelajaran
menangani sekolah berprestasi rendah?
 ·         Penarafan sekolah berperanan sebagai alat analitikal bagi menentukan sekolah-sekolah yang amat memerlukan
bantuan dan sokongan dari Kementerian Pelajaran bagi meningkatkan prestasi. Pengetua/Guru Besar sekolah yang
berprestasi rendah akan menerima bantuan atau sokongan yang dikenali sebagai “Talian Khidmat Bantuan”.
Contohnya:
     Ø Pembangunan kapasiti (seperti menambahbaikan kemahiran, latihan semula dan kaunseling)
     Ø Bahan-bahan sokongan/bantuan (seperti garis panduan untuk perancangan dan bahan pengajaran preskriptif)
     Ø Sumber-sumber tambahan (seperti menaik taraf prasarana)
  
 Q9. Apakah alternatif yang disediakan kepada ibu bapa yang mahu anak mereka keluar daripada sekolah
berpretasi rendah?
 ·         Pemindahan dan penukaran antara sekolah tidak digalakkan dan sepatutnya menjadi pilihan terakhir ibu bapa.
Memindahkan pelajar dari sekolah sedia ada adalah suatu pengalaman yang mungkin akan memberi tekanan kepada
seorang kanak-kanak dan boleh dikatakan lebih mengganggu daripada membantu.
 ·         Kerajaan akan melancarkan Program Pembangunan Prestasi Sekolah bagi memastikan kegusaran ibu bapa
terhadap keadaan sekolah-sekolah mereka diberi perhatian. Program ini disediakan  untuk membantu sekolah-sekolah
terutamanya yang berprestasi rendah, meningkatkan prestasi pelajar dengan lebih cepat berkesan . Malah, salah satu
daripada komponen penting bagi program ini adalah bantuan yang disasarkan terhadap ibu bara dan para pelajar.  
  
  
 Q10. Sekolah-sekolah manakah yang akan menerima impak program ini?
 ·         Program Pembangunan Prestasi Sekolah ini akan menyokong kesemua 10,000 sekolah di Malaysia yang
mengikuti kurikulum kebangsaan termasuk sekolah jenis kebangsaan. Sekolah yang berprestasi rendah adalah sasaran
utama untuk diberikan bantuan dan sokongan melalui prorgam ini. Fasa pertama Program Pembangunan prestasi
sekolah akan melibatkan pembabitan kesemua 7,700 sekolah rendah. Fasa kedua pula akan tertumpu kepada semua
sekolah menengah.
 Q11. Apakah yang dimaksudkan dengan “ penyelesaian khusus’ (tailored solution)?
 ·         Penyelesaian  akan berasaskan kepada penilaian ketua sekolah tentang isu dan kekangan utama yang dihadapi
oleh sekolah. Maklumat ini memberi  Pengetua dan Guru Besar dan Kementerian gambaran yang lebih mendalam untuk
menentukan jenis sokongan yang diperlukan oleh setiap sekolah itu. Pihak Kementerian kemudian akan berbincang
dengan Pengetua/Guru Besar  tentang perkhidmatan yang diperlukan seperti pembangunan kapasiti, peralatan sokongan
atau sumber tambahan seperti menaiktaraf prasarana.
  
 Q12. Berapakah jangkamasa yang dianggarkan untuk melaksanakan perubahan di sekolah-sekolah setelah
keperluan itu dipastikan?
 ·         Jangka masa  bagi penyelesaian masalah bergantung kepada kesungguhan dan komitmen Pengetua/guru dalam
memastikan masalah yang dihadapi diselesaikan dengan strategi yang dirancang.  Kementerian akan  memberi
sokongan sambil memantau progres sekolah dalam mencapai sasaran.
 Q13. Adakah ini akan mengakibatkan gangguan kepada kurikulum / peperiksaan?
 ·         Program Pembangunan prestasi sekolah adalah sebahagian besar daripada matlmat Program Transformasi
Kerajaan bagi mempertingkatkan pencapaian pelajar. Walaupun Program Pembangunan prestasi sekolah akan
memastikan kurikulum dan peperiksaan yang dijalankan dapat dilaksanakan dengan terbaik.
 Q14. Siapakah yang akan membiayai program ini ataupun untuk cadangan penambahbaikan sekolah yang lain?
Adakah ini bermakna peningkatan anggaran perbelanjaan untuk sekolah?
 ·         Program Pembangunan Prestasi Sekolah bertujuan untuk membantu Pengetua/Guru Besar  sekolah
mengenalpasti cabaran-cabaran khusus untuk sekolah mereka dan sekali gus membolehkan pihak kementerian
membantu dan menyokong rancangan mereka dengan sistem pemantauan yang lebih sistematik bagi membantu
sekolah-sekolah melonjakkan prestasi pencapaian masing-masing. Pemahaman dan maklumat yang diperolehi melalui
program ini akan membolehkan para pengetua sekolah untuk merangka strategi yang sesuai dan merancang
peruntukkan yang ada secara optima dengan sokongan padu daripada pihak kementerian.
  
 Q15. Apakah kesan program ini ke atas para warga pendidik dan pelajar?
 ·         Pelaksanaan program ini akan membantu para Pengetua/Guru Besar  sekolah merancang usaha penambahbaikan
berasaskan kepada penilaian kendiri dan pada masa yang sama akan membolehkan para pengetua bekerjasama dengan
pihak kementerian untuk mencapai sasaran tahunan mereka.
 ·         Berasaskan kepada usaha penambahbaikan yang dikenalpasti, program ini mampu meningkatkan tahap
pengajaran dan pembelajaran di sekolah, contohnya melalui program latihan dan mentor untuk warga pendidik
menguasai dan meningkatkan kepakaran mereka dalam matapelajaran yang mereka ajar ataupun memperuntukkan
sumber kewangan untuk membeli buku teks.

PROGRAM PEMBANGUNAN PRESTASI SEKOLAH


1.           Program ini adalah satu mekanisme komprehensif yang dirangka khusus oleh Kementerian Pelajaran dengan kerjasama
Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (PEMANDU) Jabatan Perdana Menteri dan pihak McKinsey Consultant, untuk
membantu setiap sekolah meningkatkan keberhasilan murid secara konsisten.
 
2.           Program ini mempunyai tiga komponen utama. Pertama ialah penarafan tahap pencapaian sekolah ( banding sekolah)
berdasarkan Skor Komposit Sekolah yang mengambilkira GPS dan skor SKPM. Melalui penarafan ini, setiap sekolah akan
mengetahui kedudukan masing-masing dari segi prestasi akademik murid dan kualiti pengurusan sekolah secara keseluruhan.
Dengan adanya maklumat ini, pihak sekolah akan dapat menentukan garis mula proses peningkatan prestasi sekolah dan
menetapkan sasaran yang realistik.
 
3.           Kedua, setiap sekolah akan dibekalkan dengan “tool kit” pembangunan prestasi sekolah, iaitu satu instrumen penilaian
kendiri secara on-line yang akan membantu setiap sekolah untuk menilai pencapaian semasa, mengenalpasti bidang-bidang yang
perlu ditambahbaik dan menyediakan pelan tindakan penambahbaikan secara terarah. Sebagai contoh, melalui penilaian
pencapaian sekolah secara kendiri, guru besar atau pengetua dapat mengesan kelemahan murid dalam mata pelajaran tertentu.
Justeru, langkah seterusnya ialah mengenalpasti punca kelemahan tersebut dan merancang tindakan susulan untuk mengatasinya.
Jika kelemahan itu berpunca daripada kaedah pengajaran yang kurang berkesan, maka guru besar atau pengetua boleh
mengambil inisiatif melaksanakan program bimbingan untuk guru-guru mata pelajaran berkenaan dan memantau
perkembangannya dari masa ke semasa.
 
4.           Keunikan program ini ialah pihak sekolah tidak akan dibiarkan bersendirian dalam usaha untuk melonjakkan prestasi
masing-masing. Setiap sekolah akan dibantu oleh Kementerian melalui satu program sokongan yang dikenali sebagai “service
line” yang merupakan komponen ketiga program pembangunan prestasi sekolah. Berdasarkan keperluan setiap sekolah yang
telah dikenalpasti melalui aplikasi “tool kit”, pihak Kementerian akan memberikan bantuan tambahan kepada sekolah-sekolah
yang paling memerlukan, terutamanya sekolah-sekolah berprestasi rendah. Ini termasuklah menyediakan bimbingan kepada
kepimpinan sekolah, melaksanakan program pembinaan keupayaan guru dan membekalkan alat-alat bantuan mengajar tambahan
mengikut keperluan. Bantuan yang diberikan ini adalah bertujuan untuk membantu pihak sekolah mengatasi kelemahan dan
meningkatkan prestasi ke tahap yang lebih tinggi.
 

Kementerian Pelajaran akan Menamatkan Kurikulum KBSR dan KBSM yang Ada Sekarang
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan memperkenalkan "Kurikulum Transformasi" bagi menggantikan Kurikulum Baru
Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) yang digunakan sekarang. Kenyataan itu
disampaikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimudddin, kepada para penerbit buku pada suatu majlis taklimat baru-
baru ini.

Perbezaan yang paling besar antara KBSR & KBSM dengan Kurikulum Transformasi adalah pada isu peperiksaan. Dalam
Kurikulum Transformasi, tekanan pada peperiksaan akan dikurangkan. Ini bermakna, bagi para penerbit, apabila Kurikulum
Transformasi dilaksanakan, mereka akan kehilangan bisnes menerbitkan buku-buku teks dan buku-buku ulangkaji peperiksaan.

Sebaliknya, permintaan bagi buku-buku pengkayaan pelbagai subjek akan meningkat. Maksudnya, sekolah akan memerlukan
buku-buku sains, matematik dan lain-lain, yang ditulis bukan sebagai buku teks, tetapi sebagai buku rujukan, buku bacaan umum
dan juga dalam bentuk buku-buku cerita.
Kelas 2020: Sekolah lemah dipantau
KERAJAAN akan membantu sekolah yang kurang berdaya maju untuk melaksanakan impian kelas 2020, melalui program
penambahbaikan pencapaian sekolah, dengan fokus memperbaiki pencapaian pelajar, dan menjadikan semua sekolah berprestasi
tinggi menjelang tarikh keramat itu.
Bagaimanapun, sekolah yang telah menjalankan program penambahbaikan diminta meneruskan inisiatif mereka. Dalam kes ini,
program penambahbaikan sekolah akan membantu memudahkan program sedia ada oleh pihak sekolah.
Ke arah itu, satu sistem pengumpulan data berpusat dan mekanisme bantu kendiri akan diperkenalkan bagi membolehkan guru
menjejak dan mencapai maklumat tentang pencapaian sekolah masing-masing, dan apakah langkah yang boleh dilakukan untuk
menambah baik.
Program itu yang dilancarkan baru-baru ini, bertujuan menangani isu kritikal tenaga kerja yang mampu berdaya saing -
khususnya dalam mengejar impian menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Program penambahbaikan sekolah ini akan menjadi asas kepada usaha untuk semua sekolah mencapai standard sekolah
berprestasi tinggi.
Semua pengetua dan guru besar akan diberi kuasa autonomi untuk mengurus tadbir sekolah, mengurus sumber yang sedia ada
dan menghasilkan pelajar seperti mana yang diharapkan.
Program penambahbaikan sekolah terdiri daripada tiga elemen, yang akan dilaksanakan mengikut urutan berikut:
1. Pengkelompokan - Sekolah akan diberi penarafan mengikut kelompok pencapaian. Antaranya mengikut Piawaian Gred Purata
Sekolah (GPS) dan Piawaian Kualiti Pendidikan Malaysia (SQEM). Status ranking ini akan dimaklumkan kepada sekolah pada
setiap tahun.
2. Perkakasan penambahbaikan sekolah - Data keperluan khusus sesebuah sekolah akan dikumpul, membantu pentadbir sekolah
membuat keutamaan dan perancangan, dan memudah cara; diskusi berterusan antara pihak sekolah dengan Jabatan Pelajaran
Negeri.
3. Talian khidmat - Mengenal pasti ruang yang perlu diperakui berdasarkan bukti yang telah dikumpulkan, akan disalurkan dari
Kementerian Pelajaran kepada sekolah, dengan sasarannya ialah para pengetua, pelajar dan ibu bapa - selain infrastruktur.
Sementara program sekolah berprestasi tinggi bertujuan meletakkan tahap sekolah pada satu kedudukan yang cemerlang,
program penambahbaikan sekolah ini pula bertujuan meningkatkan mutu semua sekolah, serta menghubungkan segala inisiatif
yang ada di KPM, seperti inisiatif baru kepada pentadbiran sekolah, program literasi dan numerasi (LINUS) serta transformasi
kurikulum.
Program penambahbaikan sekolah lebih bersifat berpusatkan sekolah. Hal ini bagi membolehkan pengetua atau guru besar
memiliki kuasa autonomi untuk melaksanakan program penambahbaikan - sama ada berkaitan hal pentadbiran sekolah atau
penambahbaikan program keguruan masing-masing.
Program kali ini bukan lagi berfokus kepada kawasan atau sekolah tertentu. Program ini akan meliputi 10,000 buah sekolah di
seluruh negara.
Pengenalan kepada inisiatif pengkelompokan sekolah adalah sebahagian daripada kelancaran program inisiatif dan tawaran baru
kepada pengetua dan guru besar, dengan mutu perkhidmatan mereka menjadi pertaruhan.
Di bawah program penambahbaikan sekolah, pengkelompokan memberi gambaran kepada pencapaian sesebuah sekolah dan
memudahkan untuk dibantu.
Kerajaan kini menggalakkan Sekolah Berasrama 1Malaysia dengan menjadikan sekolah berasrama semasa lebih berciri pelbagai
kaum dalam komposisi pelajar dan menubuhkan sekolah asrama berkualiti tinggi yang terbuka kepada semua.
Selain itu, dokumen Program Transformasi Kerajaan juga mahu institusi latihan perguruan menyediakan guru yang mempunyai
pengetahuan, daya kesedaran dan kemahiran yang menjadikan mereka sensitif terhadap latar belakang pelajar yang berbeza-beza
dan menangani perhubungan antara kaum dalam kaedah yang positif dan proaktif.

FORMULA 10 + 2 BILANGAN MATA PELAJARAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA

FORMULA 10 + 2
BILANGAN MATA PELAJARAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA
 
 
1.      Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Jun 2009 telah membuat keputusan bahawa mulai tahun 2010 calon yang menduduki
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dihadkan untuk mengambil maksimum 10 mata pelajaran kecuali murid-murid
aliran agama sains yang boleh mengambil 11 mata pelajaran sehingga tahun 2010 sahaja.
 
2.      Kerajaan telah menerima pandangan pelbagai pihak yang mendakwa keputusan itu menyebabkan murid Cina dan murid
India terhalang daripada mengambil mata pelajaran Bahasa Cina atau Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Cina atau Kesusasteraan
Tamil. 
3.      Sukacita saya maklumkan bahawa dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Disember 2009, kerajaan telah bersetuju
menerima rayuan pelbagai pihak agar murid dibenarkan mengambil dua lagi mata pelajaran tambahan dalam peperiksaan SPM
mulai tahun peperiksaan 2010. Dua mata pelajaran tambahan tersebut adalah Bahasa Cina atau Bahasa Tamil DAN
Kesusasteraan Cina atau Kesusasteraan Tamil. Sehubungan dengan keputusan ini, murid juga dibenarkan mengambil Bahasa
Arab sebagai salah satu mata pelajaran tambahan.
4.      Formula 10 + 2 ini bermaksud dasar mengehadkan 10 mata pelajaran dalam peperiksaan SPM yang diputuskan terdahulu,
adalah kekal tetapi kelonggaran diberi kepada murid untuk mengambil tidak lebih daripada dua mata pelajaran tambahan
seperti dinyatakan di atas sahaja. Kelonggaran ini boleh diguna pakai untuk semua murid di semua aliran. Syarat-syarat lain
pengambilan mata pelajaran dalam peperiksaan SPM, termasuk syarat mata pelajaran teras dan mata pelajaran elektif
sedia ada, juga kekal.
 
5.      Selain maksud yang dinyatakan dalam perenggan 4 di atas, Formula 10 + 2 diterima oleh kerajaan dengan syarat-syarat
berikut:
 
(i)           mata pelajaran tambahan yang dinyatakan di atas akan hanya diambil kira dalam penganugerahan Biasiswa Nasional Tajaan
Kerajaan sekiranya ianya termasuk dalam 10 matapelajaran maksimum yang diambil oleh murid.  

(ii)          mata pelajaran tambahan yang dinyatakan di atas akan hanya diambil kira dalam pengiraan mata, bagi tujuan kemasukan ke
kursus-kursus Pengajian Bahasa Tamil atau Bahasa Cina atau Bahasa Arab atau kursus-kursus berkaitan di IPTA.
 
(iii)        kedua-dua mata pelajaran tambahan itu boleh digunakan bagi menyertai latihan perguruan untuk menjadi guru bahasa Cina atau
bahasa Tamil atau bahasa Arab.
 
(iv)        keputusan dalam peperiksaan SPM bagi kedua-dua mata pelajaran tambahan itu akan dicatatkan di atas sijil SPM yang sama.
 
6.      Dengan formula 10 + 2 ini, tidak timbul lagi masalah murid yang tidak dibenarkan mengambil mata pelajaran Bahasa Cina,
Bahasa Tamil, Kesusasteraan Cina dan Kesusasteraan Tamil. Mereka boleh mengambil mana-mana satu atau dua mata pelajaran
tambahan ini tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan di atas.
 
7.      Murid aliran agama sains juga boleh mengambil mana-mana 10 mata pelajaran dan satu mata pelajaran tambahan iaitu
Bahasa Arab (lihat lampiran) walaupun selepas 2010. Kumpulan yang mewakili sekolah agama dalam beberapa pertemuan
dengan KPM menyatakan 11 mata pelajaran telah mencukupi. 
 
8.      Keputusan kerajaan membenarkan dua mata pelajaran tambahan dalam peperiksaan SPM ini adalah selaras dengan
peruntukan Akta Pendidikan 1996 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
 
Tan Sri Dato’ Hj. Alimuddin bin Hj. Mohd Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU,
MEMANTAPKAN BAHASA INGGERIS:
TAWARAN BARU SISTEM PENDIDIKAN MALAYSIA

8 JULAI 2009

Kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memantapkan
Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai
pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak dasar ini mula dilaksanakan pada
tahun 2003.

Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran ingin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah
kebangsaan akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia.

Pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam
bahasa ibunda masing-masing.

Keputusan Kabinet untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ini akan mula berkuatkuasa pada tahun 2012.
Pelaksanaan akan diadakan secara bertahap di Tahun Satu dan Tahun Empat di sekolah rendah dan Tingkatan Satu dan
Tingkatan Empat di sekolah menengah bermula pada tahun 2012. Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan Tingkatan
Enam dan Matrikulasi.
Untuk memastikan pelaksanaan ini tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran
Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran ini akan
dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada tahun 2014.

Kerajaan mengambil keputusan ini setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang
menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sebagaimana yang dihasratkan.

Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM, iaitu guru-guru mengajar pelajaran Sains dan Matematik dalam dwi bahasa, iaitu
bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Pemantauan Kementerian Pelajaran pada tahun 2008 mendapati:
 Hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan
Matematik.
 Secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53–58 peratus daripada keseluruhan masa yang
diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.
 Hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap
Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun 2008 mencapai tahap profisiensi.
 Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah
(UPSR) 2008 telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus
kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar. Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot
daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus
kepada 77 peratus.
 Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar
semasa PPSMI dilaksanakan.

Selain daripada pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study
2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains telah merosot daripada tangga ke-20 pada tahun 2003
ke tangga ke-21 pada tahun 2007. Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-
10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007.

Kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu
tidak lebih 3 peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI. Tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar
bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh
murid, iaitu bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJK(C) dan bahasa Tamil SJK(T).

Kerajaan juga telah memutuskan agar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat
persekolahan dimantapkan.

Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan langkah-langkah berikut untuk memantapkan penguasaan bahasa
Inggeris di kalangan murid.
 Menambah bilangan guru bahasa Inggeris seramai 13,933 orang untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di
kalangan murid. Ini termasuklah 1000 orang guru luar negara, 600 orang guru bersara dan 12,333 guru tambahan
daripada IPGM, IPTA dan IPTS. Keutamaan akan diberikan kepada sekolah luar bandar dan pedalaman untuk
mendapatkan guru terbaik. Pihak Kementerian juga akan menyediakan guru penolong bahasa Inggeris gred DG 41 bagi
kelas besar seperti kelas yang melebihi 35 murid di Tahun Satu dan Dua untuk meningkatkan ”contact time” antara
guru dan murid.
 Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi SK Tahap I ditambah sebanyak 90 minit daripada 240 minit menjadi 330 minit
seminggu manakala bagi Tahap II ditambah sebanyak 90 minit daripada 210 minit menjadi 300 minit seminggu.
 Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi SJKC/T Tahap I ditambah seratus peratus iaitu daripada 60 minit menjadi 120
minit seminggu manakala bagi Tahap II ditambah sebanyak 30 minit daripada 90 minit menjadi 120 minit seminggu.
 Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi Tingkatan Satu hingga Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 200 minit
menjadi 280 minit seminggu.
 Peruntukan waktu bagi MUET untuk Tingkatan Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 320 minit menjadi 400
minit seminggu.
 Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi Matrikulasi ditambah seratus peratus iaitu daripada 3 jam menjadi 6 jam
seminggu.
 Program Sastera Kontemporari Kanak-Kanak Bahasa Inggeris diperkenalkan kepada semua murid Tahap II untuk
mengukuhkan minat membaca di kalangan murid di samping memperkenalkan unsur-unsur sastera.
 Makmal bahasa Inggeris akan diwujudkan di sekolah-sekolah untuk memudahkan murid mempelajari bahasa Inggeris
dengan lebih berkesan.
 Teknologi maklumat akan dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris melalui penggunaan
perisian komputer yang sesuai.
 Pelajaran tatabahasa Inggeris akan diberikan penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran BI.
 Untuk mendedahkan murid dengan istilah-istilah sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris, elemen sains dan teknologi
akan diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

Selaras dengan hasrat untuk memartabatkan Bahasa Malaysia, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan transformasi
kurikulum Bahasa Malaysia di sekolah rendah dan menengah dengan memberi fokus kepada penguasaan asas kemahiran
berbahasa di kalangan murid melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik. Modul yang disediakan
meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis, serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa. Pendekatan
didik hibur dan apresiasi bahasa diberi penekanan dalam kurikulum BM sekolah rendah.

Di peringkat sekolah menengah, transformasi kurikulum Bahasa Malaysia akan memberikan penekanan kepada penghayatan dan
apresiasi aspek kesusasteraan Melayu di samping memantapkan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta
penguasaan tatabahasa dan seni bahasa. Penekanan terhadap aspek Kesusasteraan Melayu bertujuan untuk memperkayakan
aspek kebahasaan di samping menonjolkan aspek pemikiran, nilai, budaya masyarakat Malaysia.

Dengan keputusan ini, kerajaan menawarkan pendekatan baru dalam pengajaran Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa
Malaysia. Kerajaan percaya bahawa dengan pendekatan baru ini kita akan dapat memartabatkan Bahasa Malaysia, memantapkan
penguasaan Bahasa Inggeris dan meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai ilmu sains dan teknologi yang amat penting
untuk masa depan negara.

You might also like